Monday 9 January 2012

Bersiap Sedia Untuk PRU

KUALA LUMPUR, 9 Jan: Sambil mengalu-alukan keputusan membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengingatkan ahli-ahli PAS agar bersedia untuk bertempur dalam pilihanraya.

“PAS juga mengingatkan petugas parti agar menumpukan kepada gerak kerja parti, kerana dengan keputusan ini dijangka pilihanraya akan diadakan dalam masa terdekat.

"Keputusan ini juga boleh dilihat dari satu sudut yang boleh digunakan media milik Umno untuk berhabis-habisan menaikkan imej Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri,” kata Tuan Ibrahim (gambar)  dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, katanya, seluruh jentera parti mesti menggandakan upaya untuk membawa kemenangan kepada parti pada PRU13.

Di samping itu, Tuan Ibrahim juga berharap dengan keputusan mahkamah hari ini, nama baik Anwar akan dibersihkan dan segala tohmahan liar terhadap beliau dan keluarga beliau dihentikan.

“Dengan bukti yang cukup rapuh dari awal, sepatutnya tuduhan ini dibuang kes lebih awal, namun begitu keputusan hari ini membuktikan Anwar hanyalah mangsa tohmahan tuduhan liar yang dibuat oleh beberapa pihak,” tegas beliau.

PAS, katanya juga menggesa semua pihak khususnya umat Islam kembali kepada peringatan Allah bahawa qazaf adalah kesalahan dan dosa besar yang mesti bertaubat dan memohon maaf kepada yang dituduh.


BN Tetap Bersalah 

Sementara itu, pakar perlembagaan Dr Aziz Bari (gambar) berkata dari awal lagi rakyat - baik yang tahu undang-undang atau rakyat biasa - dapat melihat yang kes Anwar ini luar biasa dan tidak mengikut undang-undang.

“Malah sejak awal lagi apabila Anwar disiasat oleh polis jadi keputusan ini tidak dapat lari dari dilihat sebagai kes politik dan bukan kes jenayah biasa,” kata beliau yang dipetik Merdeka Review.

Tetapi Aziz berpendapat pembebasan Anwar hari ini akan menyulitkan BN kerana ia akan menyebabkan BN dilihat memanipulasi mahkamah dan menyebabkan rakyat marah.

“Mengapa kes ini diteruskan sedangkan dari mula lagi hujah yang mempertikai kes ini telah disuarakan,” soal beliau.

Keputusan ini mengesahkan apa yang Anwar katakan selama ini, tegas Aziz Bari bahawa BN tetap bersalah meskipun ia akan mengatakan keputusan mahkamah ini menunjukkan mahkamah bebas.

“Dan kita jangan lupa yang selama ini UMNO menggunakan kes ini untuk mengejek dan mempertikai Anwar.  Keputusan ini kemenangan buat Anwar dan BN masih berada di dalam parit; ia tidak melepaskan BN yang sedia terbelit dalam pelbagai masalah dan rasuah,” kata beliau.

Mahkamah Masih Belum Bebas


Seiring pendapat dengan presiden PAS Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa masih terlalu awal untuk mengisytiharkan bahawa kehakiman negara sudah pulih, Aziz Bari berkata badan kehakiman masih belum bebas sebab kalau ia bebas ia tidak perlu memanggil Anwar membela diri.

“Dari satu sudut ia membuat kita tertanya-tanya; apakah keputusan itu akibat sikap rakyat yang menunjukkan kebencian dan penentangan terhadap apa yang berlaku ke atas Anwar?  Ini menebalkan tanggapan bahawa mahkamah boleh ditekan dan dipengaruhi; ia tidak bebas.  Dan kita jangan lupa bahawa kebebasan kehakiman ialah satu persepsi; kalau rakyat sangsi dan tidak yakin mahkamah tidak boleh berbuat apa-apa,” terang beliau lagi.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Photobucket