Monday 30 January 2012

Boleh Kritik Pas


Sebagai sebuah parti Islam ia tidak sunyi daripada kecacatan dan kelemahan. Selagi yang memimpin itu bernama manusia. Pemimpin Pas bukan maksum ia juga terdedah kepada kecacatan dan kekurangan. Sifat maksum hanya Rasulullah SAW sahaja, selain daripada mereka semuanya tidak maksum.

Ayat yang lazim dibaca selepas daripada mesyuarat dan perjumpaan ialah tasbih kaffarah dan surah al-Asr. Di dalam surah al-Asr memberi panduan kepada orang yang beriman supaya menghidupkan budaya tausiah (nasihat dan teguran) di kalangan mereka terutama di kalangan anggota jamaah. Manakala tasbih kaffarah untuk memohon keampunan daripada Allah mungkin ada kesilapan dan kesalahan sepanjang pertemuan dan perbincangan.

Pas tidak pernah menghalang mana-mana pihak untuk mengkritik termasuk daripada musuh. Bukan semua kritikan daripada musuh kita membakul sampahkan sahaja, malahan perlu untuk dimuhasabah di kalangan pimpinan. Begitu juga kritikan daripada orang yang di luar jamaah yang memberi pandangan sebagai orang luar. Pas bersedia untuk menerima kritikan daripada pemerhati bebas, cuma jangan ada unsur fitnah.

Menurut Abu Ala Al Maududi seorang pemimpin gerakan Islam Jamiat Islami Pakistan di dalam tulisannya ada menyatakan, suatu gerakan Islam yang mempunyai pak turut yang tidak berfikir panjang akan mendapati jamaahnya  diresapi kesilapan-kesilapan walaupun sebuah jamaah itu melalui jalan yang benar. Dengan adanya kritikan maka segala  kesilapan dapat diminimumkan di dalam jamaah.

Jika tidak ada tegur menegur maka kesilapan demi kesilapan berterusan akan berlaku di dalam jamaah kerana tidak ada siapa yang berani menegur. Ini merupakan satu musibah kepada jamaah dan akan menghalang jamaah daripada terus maju.

Kita boleh melihat di dalam Muktamar Tahunan Pas. Ahli bebas memberi pandangan dan kritikan kepada pimpinan tanpa ada sekatan dan tapisan. Muktamar tidak dijadikan sebagai pesta mengampu pemimpin. Pimpinan Pas pula menerima kritikan dengan dada terbuka dan mengambil teguran sebagai satu peringatan.

Oleh itu salah satu daripada agenda usrah ialah sesi muhasabah di kalangan anggota ahli usrah. Naqib boleh muhasabah ahli dan ahli boleh muhasabah naqib. Ertinya tidak ada batu penghalang di antara mereka untuk membina peribadi dan jamaah melalui sessi muhasabah.

Cuma perlu diambil ingatan bahawa teguran ini datang dengan hati yang ikhlas bukan kerana dendam untuk mencari kesalahan mana-mana pihak. Jika ada sifat ini maka teguran ini tidak mempunyai apa-apa kebaikan kepada jamaah.

Gunalah saluran yang betul ketika memberi teguran. Lagak kita tidak boleh bertindak seperti orang yang tidak ada jamaah. Janganlah kita luahkan rasa tidak puas hati mengenai jamaah melalui Face book, blog, twiter, akhbar, televisyen. Janganlah mengkritik di majlis ceramah atau majlis ilmu, kerana pendengar  Ini bukan ahli Pas sahaja, mungkin musuh. Jika berlaku demikian rupa ia akan menguntung musuh Pas. Walaupun kita boleh memuas hati kita tetapi ia memberi mudharat kepada jamaah. Jangan kita membantu musuh daripada dalam tanpa kita sedari.

Sekiranya teguran masih tidak membawa apa-apa perubahan kepada jamaah dan pimpinan, maka parti membenarkan kita menukar pemimpin yang lain setiap dua tahun sekali. Kita boleh memilih pemimpin yang bersedia untuk menerima teguran untuk kebaikan jamaah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Photobucket