Friday 30 March 2012

Motivasi: Pertama sekali, kita perlu mereformasi diri


Saya sentiasa mencari penyelesaian kepada permasalahan ummat Islam. Di manakah titik penyelesaian kepada permasalahan Palestin, di manakah titik penyelesaian kepada permasalahan kelemahan ummat Islam, di manakah titik penyelesaian kepada masalah kesatuan ummat Islam.

Di manakah titiknya?
Akhirnya saya tidak berjumpa apa-apa penyelesaian yang solid, selain mereformasikan diri kita sendiri.
Ya, Islah nafsak _ perbaiki diri.

Jangan tuding jari pada yang lain
Hari ini, kita lihat Islam terpinggir dan terhimpit di dalam dunia yang luas. Kita ini dipermainkan
dengan agenda musuh-musuh Allah SWT yang sememangnya mendeklarasikan perang kepada Islam.
Kita lihat hari ini, Palestin dijajah. Ummat Islam diselar sebagai pengganas, walaupun peristiwa 9/11 sudah jelas bukan perbuatan ummat Islam. Ummat Islam dihina dengan karikatur Nabi Muhammad. Itu belum lagi dikira dengan serangan-serangan ke atas negara Islam seperti Iraq dan Afghanistan. Itu pada era kita, belum lagi kita ungkit kes-kes hitam dunia seperti kes Bosnia Herzegovina, kes Shabra Shatilla, kes Gujerat, peristiwa di Maluku, Ambon.

Dan merentasi hinaan demi hinaan ini, kita ummat Islam menuding jari kepada Amerika Syarikat. Kita tuding jari kepada Israel. Kita tuding jari kepada Eropah. Kita tuding jari kepada Serbia. Kita tuding jari pada musuh-musuh Allah SWT. Ya, kita tuding jari pada mereka. Kita nampak mereka yang menyerang,kita nampak mereka yang membunuh, kita nampak merekalah yang menyusun agenda untuk merosakkan kita, menghancurkan kita. Pada kita, merekalah yang bersalah, berdosa dan segalanya.

Tetapi saya, berpendapat bahawa, yang salahnya adalah kita.

Ya, kita. Kitalah yang bersalah dan bertanggungjawab atas kejatuhan ummah ini. Kitalah yang bersalah atas kerosakan ummah ini, kehinaan yang ditanggungnya. Kitalah yang bertanggungjawab atas kematiankematian ummat Islam. Kita, kita, dan kita.
Jangan tuding jari kepada orang lain. Mereka semua bukan orang Islam, mereka memang tugasnya menjadi saingan, ujian, cubaan kepada kita. Mereka sekadar melakukan apa yang _orang memerangi islam_ lakukan. Sebagaimana perlakuan kaum musyrikin Makkah kepada Rasulullah SAW, sebagaimana perlakuan Firaun kepada Musa AS, sebagaimana Namrud kepada Nabi Ibrahim AS. Itu memang reality mereka. Justeru hendak salahkan mereka kah?

Sekali kamu menuding jari ke arah orang lain, ada empatjari lagi menuding ke arah kamu semula.Yang salahnya adalah kita.Sebab kita meninggalkan Islam dalam kehidupan kita.

Punca kejatuhan Islam
Apakah punca kejatuhan Islam? Mungkin akan keluar macam-macam pendapat, fakta-fatka sejarah itu dan ini. Mungkin ada yang nak cakap fasal kepincangan politik kerajaan Khilafah Uthmaniah, kebangkitan nasionalisma dan sebagainya.
Tetapi siapa yang menjatuhkan Islam?
Orang bukan Islam atau orang Islam?
Kalau kita sorot kembali, yang menjadi kunci kemenangan kepada musuh-musuh Allah dalam menjatuhkan Islam, adalah orang Islam sendiri. Semua boleh merujuk kembali sejarah betapa ummat Islam pada zaman kejatuhan itu, telah meninggalkan tatacara kehidupan Islam, telah jauh hubungan mereka daripada Allah SWT, tidak berani lagi menegakkan yang haq, hidup dalam nafsi-nafsi dan tidak lagi merasakan kepentingan menjaga Islam dalam kehidupan mereka.

Di sinilah punca kelemahan. Yang kemudiannya menyeret kepada kejatuhan Khilafah. Sebaik sahaja khilafah jatuh, mereka mencipta garis sempadan memberikan negara. Selepas semua yang tamak kuasa diberikan tempatnya, mereka mula menjajah Palestin dan tiada siapa yang bangkit membelanya. Dan selepas itu, kehinaan demi kehinaan kita langkahi sepanjang perjalanan ummat ini ke akhir dunia.
Siapa yang salah?
Kita. Kita, dan kita.

Asas kepada kebangkitan:
Memperbaiki diri
Bayangkan kalau kita kata penyelesaian kepada masalah ini adalah dengan kita menumbangkan kerajaan Amerika Syarikat. Tetapi apakah akan ada perubahan andai pemimpin yang menumbangkan kerajaan Amerika Syarikat adalah mereka yang tidak memperbaiki diri? Anda lihat, sama sahaja Bush dan Obama.
Tiada perubahan.
Apakah akan ada perubahan, kalau rakyat juga tidak bergerak memperbaiki diri?
Adakah masa kejatuhan khilafah dahulu, khalifah Islam ketika itu tidak baik?
Namun pemimpin yang baik sahaja tidak mencukupi.

Pernah sekali, Saidina Ali ditanya oleh seorang rakyatnya:
Wahai Amirul Mukminin, kenapa rakyat pada zaman Uthman baik-baik, manakala rakyat zaman kau rosak-rosak?_ Dengan niat untuk mempersenakan pemerintahan Saidina Ali. Tetapi Saidina Ali bijaksana,menjawab ringkas:


Kerana rakyat di zaman Uthman adalah seperti aku, dan rakyat di zaman aku adalah seperti kamu.


Kita, pernahkah kita mempersoalkan keadaan diri kita?
Bagaimana kita beramal dengan Islam dalam kehidupan kita?
Bagaimana kita bergerak menuju Allah SWT dalam kehidupan kita?
Di mana kita meletakkan Islam dalam kehidupan kita?
Bagaimana hubungan kita dengan pencipta kita?
Pernahkah anda bertanya?
 Pernahkah anda berusaha melakukan perubahan?
Tidak pernah?
Kemudian anda menuding jari kepada Bush? Kepada Obama? Kepada Ariel Sharon? Kepada Pope Vatican? Kepada Tony Blair? Kepada John Howard? Kepada Yahudi? Kepada Nasara?

Pengajaran yang Allah beri Allah SWT memberikan pengajaran kepada kita melalui rasul-rasul-Nya. Allah SWT juga membantu rasul-rasul-Nya mengislahkan diri. Rasul dijadikan maksum supaya menjadi contoh kepada kita. Tetapi Rasul juga manusia dan mempunyai masa kejatuhan. Cuma kejatuhan Rasul, tidak sama dengan kejatuhan kita.

Sebagai contoh, Nabi Yunus AS. Dia kecewa dengan kaumnya, lantas dia meninggalkan kaumnya. Allah SWT kemudiannya mencampakkan Nabi Yunus ini dari kapal yang dinaikinya, ke dalam Ikan Paus.
Untuk apa?
Untuk Rasul-Nya yang bernama Yunus itu bermuhasabah dan memperbaiki diri. Selepas itu, apa yang Nabi Yunus lakukan sebaik sahaja dia ditegur Allah SWT demikian?
Dia pantas menyesali dirinya dengan sebenar-benar penyesalan.
Dan sebutkanlah peristiwa Zunnun(Nabi Yunus) ketika dia pergi meninggalkan kaumnya dalam keadaan marah, yang menyebabkan dia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan(selepas dia meninggalkan tugas dakwahnya), maka dia pun menyeru dalam keadaan gelap gelita(dalam perut ikan paus) dengan berkata:

Sesungguhnya Tiada Tuhan Melainkan Kau, Maha Suci Engkau, Sesungguhnya aku telah tergolong dari kalangan mereka yang menzalimi diri (Surah Anbiya_ayat 86)

Tidakkah anda melihat, kita hari ini, dunia sekarang ini, seakan-akan perut ikan paus yang gelap gelita,dan kitalah Nabi Yunus yang sedang menjalani teguran Allah SWT di dalam perut ikan paus ini?


Kenapa Nabi Yunus berada di dalam perut ikan paus?
Kerana dia meninggalkan tugasan yang Allah beri kepadanya.
Kenapa kita berada dalam kehinaan, kerosakan, seperti hari ini?
Kerana kita meninggalkan hubungan kita dengan Allah, kita meninggalkan Islam dalam kehidupan kita.

Apa yang Nabi Yunus lakukan? 
Muhsabah dan menyesali, bergerak memperbaiki dirinya. Lihat selepas Nabi Yunus berdoa, apa Allah lakukan kepadanya:

Maka Kami kabulkan doanya, dan Kami selamatkannya dari kesusahan yang menyelubunginya, dan sebagaimana kami menyelamatkannya(Nabi Yunus), begitulah Kami akan menyelamatkan orang-orang yang beriman (apabila mereka menyeru kepada Kami).. (Surah Anbiya: ayat 87)

Apa signifikan Allah SWT meletakkan ayat:
Dan sebagaimana Kami menyelamatkannya(Nabi Yunus),begitulah Kami akan menyelamatkan orang-orang yang beriman(apabila mereka menyeru kepada Kami)?


Apa signifikannya?
Signifikannya adalah, apabila kita melakukan kesalahan, sedarlah, perbaikilah diri kita, bergeraklah  merubah diri kita, kembali menjaga hubungan kita dengan Allah, kembali mengambil Islam sebagai cara hidup kita, kemudian Allah akan menyelamatkan kita juga dari keadaan kita, dari perut _ikan paus_dunia yang sedang merosakkan kita sekarang.
Itu signifikannya.
Berapa ramai hamba Allah SWT berfikir begini?

Penutup: Bergeraklah, bergerak...
Ketahuilah, bahawasanya kita semua punya saham atas jatuh bangun ummat ini. Ummat ini memang rosak di tangan musuh-musuh Allah. Tetapi siapakah yang membenarkan musuh-musuh Allah ini kuat dan bermaharajalela?
Kita.


Kelemahan kita, membenarkan mereka mengambil peluang.
Maka, kunci kemenangan adalah pada kita.
Bergeraklah memperbaiki diri. Hidupkan hati dan jiwa kita. Kita ambil semula Islam, terjemahkannya dalam kehidupan kita. Bukan sekadar kita memakai nama sahaja Islam. Ayat Al-Quran itu kita dalami,fahami. Bukan sekadar kita gantung sahaja di dinding rumah.

Sehingga ke tahap apa kita hendak redha dengan penghinaan ke atas agama Allah hari ini?
Sehingga ke tahap apa?
Atau sememangnya kita rasa tidak mengapa?
Maka tertinggal lah kita dari kafilah Rasulullah SAW yang menuju ke syurga.

Ayuh kita ubah!
Ayuh kita buat perubahan!
Ayuh beri sokongan dan kemenangan pada kebenaran dan ISLAM!

Sumber: Hilal Asyraf
Baca Selanjutnya...

Sunday 25 March 2012

Menelusuri Pahlawan Atas Kerusi Roda (1938 – 22 Mac 2004) ; Syeikh Ahmad Yasin


Kerusi rodanya yang hanya mampu bergerak di ruang yang terbatas,
Telah membuka di hadapanmu ufuk  dan zaman yang luas,
Ia (kerusi roda) telah mengajar (manusia) erti perlawanan dan bukannya,
Seperti kerusi-kerusi lain (pemimpin yang tidak peduli) yang lari ketakutan,
Dia (Syeikh Ahmad Yassin) menikmati kelazatan sebuah kematian dan kebenarannya
Dalam perjuangan menjadi contoh dan ingatan…

Pahlawan di atas kerusi roda, Syeikh Ahmad Yasin atau nama penuhnya Ahmed Ismail Hassan Yassin dilahirkan pada tahun 1938 di sebuah kampung bernama al Jora, daerah Majdal dalam wilayah Asqalan. Beliau dibesarkan di sana sehingga tahun 1948. Semasa pendudukan regim Zionis Israel ke atas bumi Palestin, beliau dan keluarga dipaksa berhijrah ke Semenanjung Gaza.

Kemuliaan Adalah Dengan Bersama Islam

Beliau adalah seorang pelajar yang cemerlang dalam pelajaran dan amat disayangi oleh guru-guru semasa di sekolah. Beliau juga seorang ahli sukan yang aktif pada zaman sekolah. Pada zaman muda, beliau telah terjatuh semasa beriadah dan menyebabkan beliau lumpuh pada bahagian kakinya. Keadaan yang lumpuh itu tidak menghalang beliau meneruskan kecemerlangan dalam bidang pelajaran dan kegiatan Islam.  Pada tahun 1964, beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti Ain Shams di Kaherah, namun tidak berjaya meneruskan pengajiannya kerana telah dipenjara oleh pihak Berkuasa Mesir selama sebulan di atas penglibatannya dengan pertubuhan Ikhwan Muslimin pada tahun 1966. Lebih dasyat lagi beliau telah dihantar pulang oleh pihak Berkuasa Mesir ke Gaza tanpa sempat menyelesaikan kuliahnya .

Ketika kembali ke Gaza, beliau tidak pernah berhenti dari meneruskan kegiatan dakwahnya. Beliau tetap aktif dengan menjadi tenaga pengajar Bahasa Arab dan juga khatib di Masjid Gaza. Khutbah-khutbah beliau telah berjaya membangkitkan semangat umat Islam Palestin untuk melawan pendudukan regim Zionis pada tahun 1967.  Dalam suatu khutbahnya, Syeikh Ahmad Yasin pernah berkata:

“Umat ini tidak akan pernah memiliki kemuliaan dan meraih kemenangan kecuali dengan Islam. Tanpa Islam tidak pernah ada kemenangan. Kita selamanya akan selalu berada dalam kemunduran sampai ada sekelompok orang dari umat ini yang siap menerima panji kepimpinan yang berpegang teguh kepada Islam, baik sebagai cara hidup,sahsiah, pergerakan, pengetahuan, mahupun jihad. Inilah satu-satunya jalan. Pilih Allah atau binasa!

“Dan Allah tidak menjadikan pemberian bala-bantuan itu melainkan sebagai khabar gembira bagi (kemenangan) mu, dan agar tenteram hatimu kerananya. Dan kemenanganmu itu hanyalah dari Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.(Al-Imran: 126)

Qudwah Umat

Syeikh Ahmad Yasin juga aktif dalam kegiatan kebajikan umat Palestin. Pada tahun 1973, beliau bersama sahabat-sahabatnya telah menubuhkan sebuah pertubuhan kebajikan yang menjaga kebajikan pelarian-pelarian Palestin yang diberi nama Mujamma Al-Islam yang bermaksud Akademi Islam. Melalui pertubuhan ini, beliau aktif membangunkan masjid-masjid, serta membina imam-iman  dan para khatib muda untuk menjadi hujung tombak dalam perjuangan Palestin melawan pendudukan regim Israel. Pertubuhan ini juga aktif menyantuni golongan yang miskin di samping mengurus pendidikan anak-anak Palestin sehingga ke peringkat universiti. Beliau aktif mendidik dan membina generasi muda Palestin untuk berjihad melawan regim Zionis.

Syeikh Ahmad Yasin bukan sahaja dihormati dan dikagumi oleh umat Islam Palestin dan antarabangsa, bahkan juga amat dihormati oleh penganut agama lain. Suatu ketika ada seorang penganut Kristian di kota Ramallah bernama Bassam Hana Rabbah datang menemui Syeikh Ahmad Yasin untuk mengadukan permasalahannya kerana ada seseorang di Gaza melakukan penipuan terhadap dirinya. Syeikh Ahmad Yasin yang juga pimpinan Dewan Islah (perdamaian) dengan bijaksana mampu mendamaikan antara Bassam Hana Rabbah seorang Kristian dengan seseorang yang telah melakukan penipuan. Kata Hana Rabbah;  

“Beliau menguruskan permasalahan aku dengan benar dan serius, bahkan mampu bersikap adil terhadapku. Hak-hak aku pun telah dikembalikan untuk aku nikmati. Sebagai tanda terima kasih, sebahagian hartaku diberikan kepada Dewan Islah.”

Sebagai seorang kepimpinan Islam dan tokoh umat, kehidupan Syeikh Ahmad Yasin cukup bersederhana. Anak perempuannya, Mariyam Ahmad Yasin telah menceritakan tentang corak kehidupan ayahnya:

“Rumah ayah terdiri dari 3 bilik dengan jendela yang sudah rapuh. Rumah ini sangat sederhana sekali. Ini fakta bahawa ayahku tidak mencintai dunia, namun cintakan akhirat .Ramai yang menawari beliau untuk memiliki sebuah  rumah besar seperti para kepimpinan negara yang lain, namun ditolaknya. Bahkan pernah suatu ketika, kerajaan Berkuasa Palestin memberikan sebuah rumah besar di suatu kampung mewah di Gaza, Namun tawaran itupun di tolaknya, dan ayah tidak peduli dengan perbagai bentuk tawaran kesenangan duniawi.

Rumah kami sangat sempit. Tidak ada lantai, dapurpun ala kadarnya. Jika musim dingin, kami kedinginan. Namun jika musim panas tiba, kami pun kepanasan. Ayah sama sekali tidak memikirkan untuk menambah besar rumahnya. Ayah justeru sibuk mempersiapkan rumah di akhiratnya. Walau apapun keadaan kami, Alhamdulillah, kami cukup sabar, kerana kami percaya, InsyaAllah, kami akan melihatnya lagi di syurga-Nya nanti. Untuk itulah kami juga sangat berharap beroleh mati syahid seperti beliau.”

Jihad Adalah Jalan Pilihan

Syeikh Ahmad Yasin amat sinonim dengan perjuangan jihad membebaskan tanah air Palestin dan bumi Al Aqsa. Memandangkan situasi Palestin saat itu berterusan dizalimi oleh Zionis Israel sehingga menuntut mereka untuk berjihad melawan penjajah, Syeikh Ahmad Yasin bersama sahabat-sahabatnya menubuhkan sebuah gerakan jihad yang dinamakan al-Mujahidun al-Falastiniyun pada tahun 1982. Walaupun dirinya lumpuh, ianya tidak menjadi penghalang kepada beliau mendidik dan membina generasi pejuang Palestin bagi berhadapan dengan penjajah Zionis.

Pada tahun 1983, beliau telah ditangkap dan dipenjarakan oleh Mahkamah Tentera Israel selama 13 tahun atas dakwaan cubaan menjatuhkan kerajaan Zionis Israel. Namun pada tahun 1985, hasil daripada proses pertukaran tahanan di antara PLO dan regim Israel, beliau dibebaskan selepas menjalani hukuman penjara selama 11 bulan.

Pada tahun 1987, Syeikh Ahmad  Yasin dan sahabat-sahabatnya telah menubuhkan Gerakan Pembebasan Islam yang dikenali sebagai HAMAS bagi memerdekakan Palestin dan Masjid Al Aqsa. Ruhul jihad yang telah ditanamkan oleh Syeikh Ahmad Yasin kepada generasi muda Palestin melalui proses tarbiyah yang tersusun, telah mencetuskan kebangkitan umat Palestin melawan penjajahan Zionis Israel. Pada Disember 1987, gerakan massa yang dipelopori anak muda Palestin telah mencetuskan gerakan Intifadhah yang bermodalkan batu melawan tentera regim Israel yang lengkap dengan senjata canggih.

Usaha untuk memenjarakan Syeikh Ahmad Yasin oleh regim Zionis Israel tidak pernah padam untuk menghentikan usaha jihad beliau dan HAMAS. Pada 19 Mei 1989, beliau telah ditangkap oleh pasukan rahsia Israel. Kemudian pada 16 Oktober 1991, Syeikh Ahmad Yasin dijatuhi hukuman penjara seumur hidup ditambah 15 belas tahun lagi oleh Mahkamah Tentera Israel. 1 Oktober 1997, beliau dibebaskan dari penjara Israel akibat tekanan dan ketakutan regim Israel dengan penentangan yang semakin kuat dari HAMAS dan masyarakat antarabangsa. Pada 6 September 2003, sebuah helikopter Apache milik tentera regim Zionis membedil dan merobohkan rumah beliau. Namun beliau telah terselamat dan mengalami kecederaan ringan di tangan kanannya. Namun pada Subuh 22 Mac 2004, tentera Israel sekali lagi melancarkan serangan ke atas beliau. Semasa dalam perjalanan pulang dari masjid selepas solat Subuh berjamaah, tiga buah roket dilancarkan ke atas beliau yang lumpuh itu dan mengorbankan Syeikh Ahmad Yasin serta empat yang lain, termasuk anaknya sendiri, Abdul Ghani.

Bintang Itu Tetap Menyinar

Syeikh Ahmad Yasin telah meninggalkan medan perjuangannya. Namun ketiadaan beliau tidak menghentikan semangat dan perjuangan para pewarisnya di bumi Palestin. Menurut Syeikh Saud Abu Mahfuz, Ketua Jawatankuasa Gabungan Antarabangsa Untuk Al Aqsa, melalui proses tarbiyah dan ruh Al-Quran yang dibangkitkan oleh Syeikh Ahmad Yassin sejak 50 tahun yang lalu, kini Gaza adalah kota Islam yang terbanyak melahirkan ribuan para penghafal Quran.

Menurutnya, tidak kurang ada 60,000 hafiz al-Quran di Jalur Gaza. Selain itu, bandar Gaza yang terus dikepung oleh regim Israel dengan dukungan Barat ini juga menjadi bandar terkecil dengan jumlah masjid yang terbanyak di Timur Tengah. Menariknya, kini hampir 100% wanita Muslimah di Gaza telah berjilbab. Semua ini terjadi, ujar Syeikh Saud, kerana berjalannya proses tarbiyah berpaksikan al-Quran.

As syahid Syeikh Ahmad Yasin, pergimu meninggalkan kesan buat kami yang masih berbaki lagi. Mampukah kami meneladani kehidupanmu? Dr. Asy-Syahid Abdul Aziz ar-Rantisi, anak didik kepada Syeikh Ahmad Yasin mengatakan, Syeikh Ahmad Yasin adalah simbol Islam yang besar ketika hidup. Dengan gugurnya beliau, ia menjadi guru unik dan paling menonjol dalam sejarah umat yang besar. Tidak ada sejarah seperti yang diukir Syeikh Yasin, dimana pemimpin yang lemah (dari segi fizikal) mampu mengubah menjadi kekuatan. Ia adalah pemimpin yang tidak pernah percaya dengan kelemahan mutlak seharipun bagi manusia atau dengan kekuatan mutlak selama ia masih bernama makhluk”.

Berani, optimis, dan berjihad, sikap inilah yang telah diajarkan oleh beliau kepada kita. Naluri kepahlawanan itulah yang dimiliki oleh beliau dan ingin diwariskan kepada kita. Sesungguhnya pekerjaan-pekerjaan besar dalam sejarah ini hanya dapat diselesaikan oleh mereka yang memiliki naluri kepahlawanan sejati berpaksikan keimanan kepada Allah. Tentangan-tentangan dan cabaran besar dalam sejarah hanya dapat dijawab oleh mereka yang memiliki jiwa kepahlawanan yang cintakan akhirat dan syurga Allah SWT semata. Dan Syeikh Ahmad Yasin telah mencontohkan kepada kita, bahawa semangat perjuangan dan kepahlawanan kan tetap bergelora meskipun keterbatasan melanda diri.

“Diantara orang-orang beriman itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka diantara mereka ada yang gugur dan diantara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu (sampai saat kemenangan), dan mereka sedikitpun tidak merubah janjinya.” (Al-Ahzab: 23)

Pesanan as Syahid

Akhir bicara sempena memperingati perjuangan Syeikh Ahmad Yasin, dilampirkan pesanan beliau buat tatapan kita bersama, semoga memberi inspirasi ruhiyah buat para pemuda pemudi Islam yang cintakan perjuangan al haq;

Wahai anak-anakku, telah tiba saatnya kalian kembali kepada Allah SWT, meninggalkan pelbagai sorak kehidupan dan menyingkirkannya ke tepi jalan. Telah tiba saatnya kalian bangun dan melakukan solat subuh berjamaah, saatnya kalian menghiasi diri dengan akhlak mulia, mengamalkan kandungan Al Qur’an, serta meneladani Muhammad SAW.

Aku mengajak kalian wahai anak-anakku untuk solat tepat waktu. Lebih dari itu, aku mengajak kalian, wahai anak-anakku, untuk mendekatkan diri kepada Nabi kalian yang agung.

Wahai para pemuda, aku ingin kalian mengenal dan menyedari makna tanggungjawab, tetap utuh menghadapi kesulitan hidup, meninggalkan keluh kesah, menghadap kepada Allah SWT, banyak meminta ampunan kepada-Nya agar Dia memberi rezeki kepada kalian, menghormati yang tua dan menyayangi yang muda. Aku ingin kalian tidak terlena oleh saluran-saluran lagu audio visual, melupakan kata-kata yang membisikan cinta nafsu, serta menggantinya dengan kata amal, kerja, dan zikir kepada Allah. Wahai anak-anakku, kuharap kalian tidak sibuk dengan muzik dan terjerumus ke dalam arus syahwat.

Wahai puteriku, aku ingin kalian berjanji kepada Allah mempergunakan hijab secara benar. Aku meminta kalian berjanji kepada Allah peduli dengan agama dan Nabi kalian yang mulia. Jadikanlah ibunda kalian, Khadijah dan Aisyah, sebagai teladan. Jadikan mereka sebagai pelita hidup kalian. Haram hukumnya bagi kalian membuatkan mata para pemuda menjadi kendur dan surut tatkala melihat aksi kalian.

Kepada semuanya, aku ingin kalian bersiap-siap menghadapi segala sesuatu yang akan datang. Bersiaplah dengan agama dan ilmu pengetahuan. Bersiaplah untuk belajar dan mencari hikmah. Belajarlah bagaimana hidup dalam kegelapan yang pekat. Latihlah diri kalian agar dalam beberapa saat hidup tanpa elektrik dan tanpa kebergantungan dengan kemudahan elektronik. Latihlah diri kalian agar dalam sementara waktu merasakan kehidupan yang keras. Biasakan diri kalian agar dapat melindungi diri dan membuat perancangan untuk masa depan. Berpeganglah kepada agama kalian. Carilah sebab-sebabnya dan tawakallah kepada Allah.”

Sumber: Langit Ilahi
Baca Selanjutnya...

Thursday 22 March 2012

Mualaf rayu bantuan pertahan akidah anak

KOTA BHARU, 21 Mac: Usaha seorang saudara baru, Muhammad Riduan Abdullah, 43 menyelamatkan akidah anaknya berdepan dengan kesukaran sekiranya hak ke atas penjagaan anak-anaknya ditolak mahkamah.
 
 (Riduan Abdullah bersama anaknya Ummu Habibah)

Perkara itu bakal diputus Mahkamah Rayuan yang akan bersidang pada 29 Mac ini.

Riduan berkata, berdasar kepada surat Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan bertarikh 6 Mac lalu menyebut kes tersebut telah ditetapkan untuk ditamatkan di hadapan Mahkamah Rayuan pada 29 Mac ini.

Pada 11 Mac 2010 Mahkamah Tinggi Ipoh memutuskan hak penjagaan terhadap tiga anaknya Ummu Habibah (Prasana Diksa), 4; Abu Bakar (Karan Dinish), 14 dan Ummu Salamah (Tevi Darsiny), 15 diberi kepada bekas isterinya, M Indira Ghandi, 37.

Sedangkan sebelum itu pada April 2009 Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh memberikan hak penjagaan tiga anak kepada Riduan atau nama asal K Patmanathan.

Ekoran itu Riduan memfail rayuan berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh tersebut.

Riduan memeluk Islam pada 11 Mac 2009. Kemudian pada 2 April 2009 beliau mengislamkan ketiga-tiga anaknya. Bagaimanapun bekas isterinya mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi Ipoh untuk membatalkan Perakuan Memeluk Islam ketiga-tiga anaknya pada 25 Oktober 2009.

Indra juga membuat permohonan supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Persekutuan bagi menentukan empat persoalan berkaitan perundangan bagi kes ibu bapa dan anak-anak yang terbabit dalam perkahwinan didaftar mengikut Akta Pembaharuan (Perkahwinan dan Cerai) 1976.

Namun Mahkamah Tinggi menolak permohonan Indra yang juga seorang guru tadika beragama Hindu supaya Mahkamah Persekutuan mendengar permohonannya.

Kes berkenaan juga pernah mendapat perhatian umum sehingga ke peringkat kabinet dan mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu pada 2009.

Riduan berkata, anak bongsu kini tinggal bersamanya dibesarkan dalam suasana Islam dan sudah mampu menghafal ayat-ayat suci al Quran, manakala dua lagi bersama bekas isterinya.

Oleh itu beliau berharap mendapat bantuan orang ramai bagi mengumpul dana termasuk membayar kos guaman dan kos lain sehingga menjangkau RM60,000.

Malah katanya sebelum ini beliau membayar pendaftaran rayuan kes berkenaan sebanyak RM3,000.

Katanya juga beliau akan mendapat khidmat peguam lain membawa kesnya memandangkan peguam sebelum ini tidak memfail memorandum seperti dikehendaki mahkamah ekoran tidak dapat menyediakan kos guaman.

Oleh itu orang ramai yang ingin membantu Riduan boleh menghubungi talian 09 744 6736 (peguam Mustapa Kamal Mat Kasam) atau akaun Bank Islam 3018010036250.

Sumber: Harakah Daily
Baca Selanjutnya...

Bidadari Dunia – Inspirasi Daripada Bidadari


Dalam banyak-banyak kerjaya, kerjaya apa yang paling saya kagum sekali?

Tahu apa kerja yang paling saya kagum?

Bidadari di dalam rumah atau pendeknya:

Suri rumah.

Realiti Perempuan Hari Ini.

Perempuan yang berkahwin, baik yang bekerja atau tidak, mereka akan mempunyai satu tanggungjawab yang sama:

Suri rumah. Mahu tidak mahu, perempuan akan menguruskan hal-hal dalaman rumah tangga. Biasanya, perempuan akan menguruskan makan minum, kemas rumah, basuh pakaian dan melayan anak-anak.

Saya tidaklah mahu menyatakan bahawa itu semua memang kerja perempuan. Saya jujurnya tidak setuju pun perempuan ini dibebankan dengan memasak, kemas rumah, basuh pakaian. Saya nampak, perempuan ini tugasnya adalah menjaga dan mendidik anak-anak agar membesar menjadi orang yang Allah redha, juga melayan suami dengan baik.

Tetapi, realiti hari ini, begitulah perempuan. Dia kena masak, dia kena basuh pakaian, dia kena kemas rumah, dia kena layan anak-anak.

Tetapi di dalam realiti itulah, saya termotivasi.

Tetapi, di dalam realiti perempuan hari ini, ada satu perkara saya terinspirasi. Pendek kata, saya jadi termotivasi dengan mereka. Apa yang istimewa pada mereka hingga saya terinspirasi?

Kesabaran mereka.

Saya ambil contoh ibu saya. Ibu saya bukanlah suri rumah sepenuh masa. Dia bekerja dan pada masa yang sama, seorang suri rumah. Ibu saya perlu berada di pejabat pada pukul 8.00 pagi. Sebelum itu, dia akan bangun seawal 4.30 pagi untuk menyiapkan sarapan buat keluarga, kejut anak-anak bangun, siapkan pakaian anak-anak untuk sekolah, basuh baju dan sidai kain, buang sampah, sebelum pergi kerja. Paginya sahaja sudah penuh.

Saya pernah ikut Ibu saya pergi ke pejabatnya. Banyak berurusan dengan orang. Fail datang bersilih ganti memerlukan perhatian dan penelitian Ibu saya. Banyak kerjanya. Dari pagi, sampailah ke petang. Rehat hanya di kala waktu sarapan yang disediakan pejabat, dan tengahari.

Tetapi apabila Ibu saya pulang ke rumah, tidak pula dia terus mencampakkan dirinya di atas katil. Tidur. Lepaskan lelah. Tidak. Apa yang Ibu saya lakukan? Dia akan terus bersedia untuk masak makan malam. Malamnya, dia akan luang masa untuk menonton berita, dan kemudiannya akan kembali sibuk dengan lipat baju, dan memerhatikan anak-anak punya pengajian.

Hujung minggu, ibu saya akan keluar ke pasar, beli barang rumah. Kadang-kadang ayah saya teman. Kadang-kadang sendiri. Kalau ibu saya kuat sikit, dia akan kemas rumah sekali ketika itu.

Itulah rutin ibu saya. Bayangkan, dia hidup macam itu sepanjang lepas kahwin sampai la hari ini. Dah berapa tahun? Ketika saya berumur 20 tahun, maka ibu saya telah hidup sedemikian rupa selama 21 tahun. Itu belum dikira apabila rumah bergegar dengan sikap anak-anak yang pelbagai kerenahnya.

Tapi ibu saya boleh sabar kan?

Saya yakin ibu anda juga sedemikian.

Saya yakin, begitulah juga ibu-ibu yang lain, suri rumah-suri rumah yang lain. Yalah, ibu saya melalui hari-hari yang sama sepanjang 21 tahun. Kalau ibu lain yang mungkin sudah berumah tangga 40 tahun? MasyaAllah, dia melalui hari-harinya dalam 40 tahun itu begitu. Ditambah pula, mereka ini pastinya perlu juga menjaga ibadat mereka seperti solat, membaca Al-Quran dan lain-lain.

Sabar bukan?

Itu Saya Kagum.

Saya kagum. Saya kagum sekali dengan suri rumah. Macam mana mereka boleh sabar sedemikian rupa?

Macam mana ya? Macam mana anda wahai suri rumah, mampu bertahan dengan rutin sedemikian?

Bolehkah ada suri rumah yang membantu saya untuk menjawab soalan ini?

Saya pernah rasa terlalu bengang atau marah apabila sering melakukan sesuatu itu berulang-ulang. Tapi, apabila saya teringat akan ibu saya dan segala kerjanya, teringat akan kehidupan sebagai suri rumah, maka saya akan kembali insaf. Malah bermotivasi untuk melakukan yang lebih baik.

Saya selalu kata: “Ummi boleh tahan. Takkan aku tak boleh”

Begitulah.

Kesabaran Suri Rumah itu mengagumkan.

Suri rumah itu mengagumkan.

Allah SWT hingga menukilkan di dalam ayat-Nya, arahan untuk mentaati kedua ibu bapa, terutama ibu.

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau – dengan fikiran sihatmu – tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaulah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang soleh). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan. Surah Luqman ayat 14-15.

Dan Rasulullah SAW juga bersabda, tiga kali mengulang kalimah yang sama, apabila ditanya siapakah yang patut ditaati selepas Allah dan Rasul. Kalimah yang diulang itu adalah: Ibumu.

Kenapa? Sebab besarnya peranan seorang ibu, wanita, di dalam rumah tangga dan pembinaan manusia.

Penghargaan Saidina Umar Al-Khattab RA

Mungkin ada juga suri rumah yang merungut sekali sekala. Ya lah, manusia mana yang sabar sepanjang masa. Tetapi, berapa banyak kali kah rungutan itu keluar dibandingkan dengan jasa seorang suri rumah sepanjang hidupnya?

Apakah kita lelaki, suami, anak perlu marah atau terasa bila perempuan, isteri, ibu kita merungut atau sekali sekala meninggikan suara?

Pada saya, tidak. Sebab mereka telah melalui hari-hari dalam hidup mereka untuk kita. Saya ulang, untuk kita. Mereka habiskan 75% hidup mereka untuk ahli keluarga mereka. Sebab itu, saya ada satu kisah hendak dikongsikan:

Satu hari, seorang lelaki pergi ke rumah Saidina Umar Al-Khattab. Dia hendak mengadu yang isterinya pada hari itu naik angin kepadanya. Dia merasakan bahawa, isterinya tidak patut bersikap demikian pada suami.

Sampai sahaja di pintu rumah Saidina Umar, dia mendengar isteri Saidina Umar memarahi Amirul Mu’minin itu. Lelaki itu terkejut. Lantas, dia pun berpatah balik, untuk pulang. Saidina Umar perasan akan kehadiran lelaki itu, terus memanggilnya semula.

“Wahai lelaki, apakah hajat kamu?”

“Aku ingin mengadu akan sikap isteriku yang memarahi aku, tetapi tidak sangka kau juga mempunyai masalah yang sama. Maka aku merasakan bahawa aku tidak patut mengadu kepadamu”

Saidina Umar tersenyum mendengar kata-kata lelaki itu. Dia pun berkata:

“Wahai lelaki, isteriku telah menjaga makan minumku, mendidik anak-anakku, dan mengurus rumahku sepanjang hidupnya. Maka apakah pantas untuk aku terasa apabila dia sekali sekala naik angin seperti hari ini?”

Lelaki itu senyap.

Lihat. Saidina Umar Al-Khattab yang terkenal garang dan tegas, tidak sedikit pun marah dengan isterinya yang melenting. Malah berkata sesuatu yang amat lembut untuk perempuan suri rumah.

Penutup: Bidadari Dunia, Berbanggalah.

Wahai suri rumah yang ada hari ini. Maka berbanggalah.

Saya menghargai anda. Mengkagumi anda. Malah Allah memuliakan anda. Maka didiklah anak-anak anda dengan didikan syurga, agar mereka menjadi manusia-manusia yang mencintai akhirat. Maka jagalah keluarga anda sejaga-jaganya, agar kalian nanti dapat berkumpul di syurga sana.

Terima kasih atas motivasi kesabarannya.

Semoga Allah redha dengan suri rumah-suri rumah yang tabah, yang cekal dan yang bersungguh-sungguh dalam menjaga keluarganya untuk mentaati Allah, mentaati suaminya untuk memudahkan kerjanya kepada Allah, mendidik anaknya untuk membesar menjadi manusia yang Allah redha.

Sesungguhnya pada saya, sekiranya seorang perempuan itu mampu menjadi suri rumah yang baik, bukan sahaja mampu mengemas dan memasak, bahkan berusaha mendidik anak dan mendampingi suami ke jalan yang Allah SWT redhai, perempuan itulah bidadari.

Bidadari yang nyata membawa motivasi.

Dan bagi yang belum berkahwin, fahamilah realiti ini, tanggungjawab ini, dan binalah diri, untuk menjadi suri rumah yang merupakan bidadari.

Sumber: Hilal Asyraf
Baca Selanjutnya...

Wednesday 21 March 2012

Umum: Allah SWT itu sentiasa memberikan yang terbaik!


Bagaimana keputusan peperiksaan anda? PMR, SPM, STAM, STPM?

Ya. Pelbagai orang, pastinya pelbagai gaya keputusan.

Tahukah anda, walau apa pun keputusan yang anda dapat, sesungguhnya itulah yang terbaik? Ini bukan sekadar menyentuh SPM/STAM/PMR dan lain-lain peperiksaan. Ini juga menyentuh keputusan-keputusan yang kita perolehi dalam mana-mana stesen kehidupan kita yang lain.

Hal ini kerana, Allah SWT tidak pernah memberikan yang tidak baik pada hamba-hamba-Nya.

Cuma pokoknya, apakah kita mampu menerima keputusan Allah dalam keadaan terbaik, yakni dalam keadaan redha pada-Nya?
Itu persoalannya.

Sikap orang beriman terhadap keputusan Allah SWT.

Orang Islam itu tidak ajaib. Tetapi, orang beriman diiktiraf sebagai menakjubkan. Kenapakah orang beriman mencapai tahap yang menakjubkan?

Hal ini kerana mereka mampu melalui segenap liku kehidupan dengan tabah dan ketenangan.

Rasulullah SAW bersabda: “Sungguh ajaib keadaan orang beriman, sesungguhnya semua urusan mereka berada dalam keadaan baik. Dan tiad ayang memperolehi keadaan ini melainkan orang yang beriman sahaja. Sekiranya dia dianugerahkan sesuatu, dia bersyukur. Maka jadilah anugerah itu baik untuknya. Sekiranya dia ditimpa musibah, dia bersabar. Maka jadilah musibah itu baik untuknya” Hadith riwayat Muslim.

Ya. Itu dia orang beriman. Segala keputusan Allah adalah baik. Anugerah kecemerlangan dan kegemilangan hidup tidak menjadikannya riya’, takabbur, ujub sehingga menyeretnya ke neraka. Timpaan musibah tidak membawa kepadanya putus asa, kecewa dan merungut-rungut sehingga menyeretnya ke dalam kalangan manusia yang tidak bersyukur.

Kenapa Rasulullah SAW menyebut ‘orang beriman’, tetapi bukan orang yang memeluk Islam?

Hal ini kerana, hanya yang ber’iman’ sahaja mampu menghubungkan jiwanya dengan Allah SWT, untuk redha dengan segala keputusan-Nya. Tunduk taat pada ketentuan-Nya. Hal ini kerana, hanya orang beriman sahaja yang percaya 100% tanpa ragu kepada Allah SWT.

Keburukan itu, hasil daripada tangan sendiri

Musibah-musibah yang menimpa kita dalam kehidupan, biasanya adalah daripada tangan kita sendiri. Tidak semestinya secara terus ia berkait.

Sebagai contoh, seorang pelajar gagal dalam peperiksaan. Tidak semestinya kerana dia tidak rajin studi. Tetapi kegagalannya di dalam peperiksaan, adalah teguran Allah SWT atas sikapnya yang angkuh, atas hubungan dengan ibu bapanya yang buruk, atas pembazirannya, atas kelupaannya dalam melaksanakan perintah-perintah fardhu da 1001 sebab lain.

Allah SWT tidak akan memberikan keburukan, melainkan kita sendiri yang menjemput keburukan itu. Lihatlah betapa pengasihnya Allah SWT menghantar rasul-rasul pada ummat yang tidak mengetahui. Allah tidak akan mengazab sesuatu kaum melainkan telah disampaikan rasul kepada mereka.

“Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah).” Surah Al-Israa’ ayat 15.

Tetapi, manusia memilih untuk ingkar. Sebab itu Allah menurunkan musibah kepada mereka.

Akhirnya benarlah firman Allah SWT:

“Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.” Surah Asy-Syu’ara ayat 30.

Kenapa dikatakan dosa-dosa, bukan perbuatan? Sebab tidak semua perkara Allah balas kerana perbuatan. Mungkin dosa kita dengan rakan, menyebabkan kita gagal pada satu sisi lain dalam kehidupan kita, walaupun perbuatan kita terhadap sisi kehidupan itu baik-baik sahaja.

Ini juga satu ujian

Bila Allah SWT menunjukkan keputusan-Nya pada kita atas sesuatu perkara, kita perlu ingat, bahawa bagaimana pun keputusan itu, semuanya adalah untuk menguji kita.

Cemerlang atau gagal, berjaya atau tewas, menang atau kalah, kedua-dua sisi keputusan itu mempunyai ujiannya yang tersendiri.

Cemerlang diuji hebat dengan ujub, riya’, takabbur, dan lupa diri.

Gagal diuji hebat dengan putus asa, kecewa, sangka dan buruk pada Allah SWT.

Maka, hakikatnya, kita perlu berhati-hati dengan keadaan ini. Baik kita cemerlang, mahupun kita di posisi gagal. Baik kita dikurniakan kejayaan, mahupun kita di posisi ditimpa musibah.

Allah SWT mengingatkan kita dalam firman-Nya:

“Apakah manusia itu mengira, mereka akan ditingalkan dengan berkata: Kami telah beriman, sedangkan mereka belum diuji(keimanan mereka itu)?” Surah Al-Ankabut ayat 2.

Adakah check semula markah itu tanda tidak sangka baik dengan Allah?

Ini soalan yang menyeronokkan, dan hangat pada setiap pengambil keputusan peperiksaan.

Tidak salah. Hal ini kerana, check semula keputusan itu bukannya kita sangka buruk dengan Allah SWT yang memberikan kita keputusan yang kurang baik. Bahkan, check semula keputusan itu adalah satu USAHA untuk kita mencapai kecemerlangan.

Selepas check, dan telah kita dapat keputusan yang sebenarnya, ketika itu kalau tidak redha juga, maka barulah termask dari kalangan yang tidak bersyukur, dan tidak bersangka baik dengan Allah SWT.

Maka, jika anda rasa anda layak mendapat kecemerlangan pada keputusan peperiksaan anda, tetapi keputusan menunjukkan anda gagal, tiada salahnya anda pergi memeriksa.

Anggaplah, keputusan gagal yang mungkin silap itu, sebagai pengajaran besar oleh Allah SWT kepada anda.

Dan bila anda disahkan berjaya, jangan lupa bersyukur kepada-Nya.
Dan bila anda disahkan tetap gagal, jangan lupa juga muhasabah kembali diri anda.

Tiadalah pemberian Allah itu yang tidak baik.

Tetapi kitalah yang perlu belajar untuk menerima keputusan-Nya dengan baik.

Penutup: Allah sentiasa memberikan yang terbaik.

Dunia ini merupakan kembar dengan ujian. Baik buruk di dalam dunia ini adalah ujian. Mendapat kebaikan itu juga ujian, mendapat keburukan juga adalah ujian.

Hakikatnya, tiada yang buruk dalam pemberian Allah SWT. Semuanya terbaik. Cuma kita yang gagal menilainya.

Bila Allah berikan kita kejayaan, itu kebaikan dari segi balasan usaha kita. Bila Allah berikan kita kegagalan, itu kebaikan dari segi peringatan kepada kita.

Yang menjadikan pemberian Allah itu buruk adalah kita.

Bila Allah berikan kita kejayaan, kita riya’, takabbur, ujub, angkuh dan melupakan-Nya. Bila Allah berikan kita kegagalan, kita kecewa, sakit hati, putus asa dan mengeji-Nya.

Segala yang baik itu memang daripada Allah SWT. Kita sahaja yang memburukkan diri kita.

Maka marilah kita sama-sama, mendidik diri untuk redha dengan keputusan yang Allah SWT berikan.

Allah SWT sentiasa memberikan yang terbaik.

Tetapi kitalah yang kita perlu belajar bagaimana hendak menerima keputusan Allah dengan baik.

Sumber:
Baca Selanjutnya...

Prinsip [UMI] Ubudiyyah, Mas’uliyyah dan Itqan Dalam Kerja


Pendahuluan:

Salah satu tanggung jawab umat Islam terhadap Islam ialah beramal sepenuhnya dengan agama yang mereka anuti, mendaulatkannya dengan meletakkan agama tersebut di tempat yang paling tinggi dan menjadikannya sebagai cara hidup sebagai menyahut perintah Allah swt dan gesaan Nabi saw. Sesuai dengan panggilan terhadap mereka sebagai ‘muslim’ dengan maksud orang yang menyerah diri kepada Allah, sewajarnyalah tidak ada ruang bagi mereka membelakangi Islam apatah lagi mengambil cara hidup asing yang tidak ada kena mengena dengan mereka.

Di dalam surah al-Baqarah ayat 208 Allah swt berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhannya dan jangan kamu ikut langkah-langkah syaitan,sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu.”

Di dalam surah al-Ahzab 36 pula Allah berfirman:

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَنْ يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَنْ يَعْصِ اللهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلالا مُبِينًا 

“Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang beriman dan perempuan yang beriman apabila Allah dan rasulNya telah menetapkan sesuatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan yang lain tentang urusan mereka. Dan barang siapa yang mendurhakai Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya, dia telah sesat, sesat yang nyata.”

Pengamalan Islam bukan sahaja terhad dalam soal ibadat khusus seperti solat, puasa, zakat dan haji, soal kekeluargaan meliputi nikah kahwin, nafkah, talaq dan sebagainya tetapi meliputi seluruh aspek kehidupan baik soal hubungan dengan Allah, hubungan sesama manusia, hubungan dengan alam dan haiwan , urusan dunia dan akhirat, kegiatan zahir dan batin, soal politik, ekonomi, sosial; pembangunan, keselamatan, pendidikan, hubungan antara bangsa, urusan fardiy (peribadi) atau jama’iy (masyaraka) dan lain lain. Dalam soal kerja atau profession, Islam telah mengatur pelbagai perkara yang berkaitan seperti soal konsep, kaedah, method, matlamat termasuk soal prinsip.

Tiga Prinsip Islam:

Terdapat tiga prinsip dalam Islam berhubung dengan kerja yang seharusnya difahami dan diamalkan oleh setiap orang Islam dalam rangka melaksanakan amanah yang terbeban di atas bahu mereka iaitu prinsip ubudiyyah, prinsip mas’uliyyah dan prinsip itqan.

Pertama: Prinsip Ubudiyyah (Pengabdian terhadap Allah)

Ubudiyyah dalam kerja bermaksud bekerja semata-mata kerana Allah dengan meletakkan setiap kerja yang dilakukan sebagai ibadah yang akan memperolehi ganjaran pahala di akhirat ’Bekerja’ akan mencapai tahap ibadah apabila dapat memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarak.

Syarat pertama- Niat yang ikhlas
Niat yang ikhlas di dalam kerja adalah syarat paling utama yang menjadi roh kepada amal untuk dikira sebagai ibadah. Niat dalam bekerja hanya kerana Allah, bekerja bukan kerana yang lain, bukan kerana pangkat, gelaran, pujian, sanjungan atau kepentingan peribadi dan sebagainya melainkan hanya keranaNya semata-mata dengan harapan untuk mendapat keredaanNya, itulah yang dikatakan niat yang ikhlas.

وَمَا أُمِرُوا إِلا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاءَ وَيُقِيمُوا الصَّلاةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ وَذَلِكَ دِينُ الْقَيِّمَةِ 

Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan ikhlas kepadaNya dalam (menjalankan) agama dengan lurus dan supaya mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat dan yang demikian itulah agama yang lurus. [Al-Bayyinah: 5]

Allah swt berfirman:

إِنَّكُمْ لَذَائِقُو الْعَذَابِ الأَلِيمِ (38) وَمَا تُجْزَوْنَ إِلا مَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ (39) إِلا عِبَادَ اللَّهِ الْمُخْلَصِينَ .(40) أُولَئِكَ لَهُمْ رِزْقٌ مَعْلُومٌ (41) فَوَاكِهُ وَهُمْ مُكْرَمُونَ (42

Maksudnya: {Sesungghunya kamu pasti merasakan azab yang pedih. Dan kamu tidak diberi pembalasan melainkan terhadap kejahatan yang telah kamu kerjakan. Kecuali hamba-hamba Allah yang ikhlas. Mereka itu memperolehi rezeki yang tertentu. Iaitu buah-buahan dan mereka adalah orang yang dimuliakan.} [Al-Saffat:38-42].

Ikhlas’ adalah suatu persoalan urusan hati yang sangat sukar dicapai, hanya kita mengharapkan rahmat dan kasih sayang Allah agar amal dan kerja dengan kekurangan dan kelemahan yang ada diterima Allah dan tidak menjadi kerja yang sia-sia.

Syarat kedua; pekerjaan yang dilakukan tidak melanggar atau bercanggah dengan hukum syarak; maksudnya bentuk, rupa atau nature kerja itu halal di sisi Allah. Sebarang kerja yang haram sekali pun niat orang yang melakukannya baik tidak layak dikatakan bekerja kerana Allah dan bukan suatu bentuk ubudiyyah kepadaNya.

Syarat ketiga: iaitu perlaksanaan kerja hendaklah selaras dengan prinsip-prinsip syariat dan akhlak Islam seperti amanah, adil, bertanggung jawab dan sebagainya dan menepati kaedah atau cara yang ditentukan oleh syarak contohnya kerja dimulakan dengan bismillah atau doa dan lain-lain

Syarat keempat; amalan atau kerja hendaklah dilakukan seelok-eloknya dan sebaik mungkin.(Syarat ini akan dijelaskan di bawah tajuk itqan)

Syarat kelima; bekerja jangan sampai mengganggu atau melalaikan ibadah pokok seperti solat, puasa dan sebagainya.

Zahir dan batin manusia tidak boleh dipisahkan. Perlakuan zahir adalah buah atau kesan dari dalaman atau batin. Bagi memperbaiki amal, ia perlu dimulakan dengan memperbaiki dalaman atau jiwa dengan memupuk keimanan dan ketaqwaan dan menyuburkan dan membersihkan jiwa dengan ibadah; wajib dan sunat. Iman dan taqwa menjadi pelindung kepada diri dari melakukan sesuatu yang tidak wajar atau maksiat kepada Allah termasuk dalam urusan kerja atau profesyen dan ketika itu mungkin Institut Integriti Malaysia (IIM) sebagai institusi yang bertanggungjawab menilai dan memantau pelaksanaan pelan integriti nasional yang dirancang tidak lagi diperlukan. Begitu juga dengan SPRM, Jabatan Audit Negara, Biro Pengaduan Awam dan sebagainya.

Kedua: Prinsip Mas’uliyyah.

Prinsip mas’uliyyah atau ’accountability’ ialah prinsip yang menuntut seseorang pekerja supaya sentiasa berwaspada dan bertanggung jawab ke atas apa yang dilakukan atau dibelanjakan kerana mereka akan di periksa dan disoal bukan sekadar di dunia malah di hari pembalasan.

Asas pegangan orang Islam dalam hal ini termaktub di dalam banyak ayat al-Qur’an dan hadis Rasulullah saw.

Ibnu Umar ra dari Nabi saw, Baginda saw bersabda:

عَبْد اللَّهِ بْنَ عُمَرَ يَقُولُ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ: كُلُّكُمْ رَاعٍ، وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ؛ الإِمَامُ رَاعٍ وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، وَالرَّجُلُ رَاعٍ فِي أَهْلِهِ، وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ فِي بَيْتِ زَوْجِهَا، وَمَسْئُولَةٌ عَنْ رَعِيَّتِهَا، وَالْخَادِمُ رَاعٍ فِي مَالِ سَيِّدِهِ، وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ

Maksudnya: “Ketahuilah setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya tentang kepimpinan kamumu. Seorang amir/penguasa/ atau pemimpin yang berkuasa terhadap rakyat akan ditanya tentang kepimpinannya. Sseorang laki-laki adalah pemimpin atas keluarganya .Dia akan ditanya tentang kepimpinannya. Seorang wanita adalah pemimpin rumahtangga suami dan anak-anaknya. Dia akan ditanya tentang kepimpinannya. Seorang hamba adalah pemimpin atas harta kekayaan tuannya yang dipercayakan kepadanya. Dia juga akan ditanya tentang kepimpinannya. Ketahuilah setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya tentang kepimpinan kamu. ” [HR: Imam Bukhari].

Hadis di atas menjelaskan dua perkara;
Pertama: setiap orang memikul amanah dan tanggung jawab yang wajib ditunaikan (kecualilah orang yang tidak mukallaf).
Kedua; setiap amal samada kecil atau besar akan diminta pertanggungjawaban, akan ditanya dan periksa oleh Allah.

Jawatan, kerja, tugas atau apa-apa profesyen yang kita pegang bukan suatu kebanggaan yang boleh kita gunakan sebagai suatu alat untuk mencapai cita-cita dunia tetapi ia merupakan suatu amanah yang wajib ditunaikan dengan cara yang sempurna seperti mana yang ditetapkan oleh institusi dan yang diakui oleh syarak. Mudah-mudahan kerja yang kita lakukan itu bukan sahaja membawa manfaat duniawi tetapi juga manfaat ukhrawi sebagai suatu bentuk ubudiyyah kita kepada Allah .Sebelum Allah bertanyakan kita tentang setiap amal dan kerja yang kita buat selama ini, adalah lebih baik kiranya kita sebelum terlambat kita memuhasabah diri kita sendiri dan kalau kita tersilap tentu tidak terlambat untuk memperbetulkannya sama ada menggantikan balik, menampung, memulangkan, menqada’ dan apa sahaja cara yang patut.

Ketiga: Prinsip Itqan.

Prinsip itqan iaitu prinsip yang menuntut manusia supaya melaksanakan sesuatu amal atau kerja dengan cara yang bersungguh-sungguh, melakukannya dengan sebaik-baiknya, serius dan bukan main-main sehingga tercapai perkhidmatan dan pengurusan yang cemerlang. Sifat seperti ini menjadi tuntutan Islam sebagaimana maksud hadis Rasulullah saw;

((عن عائشة عن النبي صلى الله عليه وسلم: ((إن الله يحب إذا عمل أحدكم عملا أن يتقنه

“Allah sangat menyukai mana-mana hambaNya yang bila melakukan sesuatu kerja dilakukannya dengan sungguh-sungguh”. [HR: Baihaqi, sanadnya "Hasan"]

Kerja yang sungguh-sungguh menggambarkan kesempurnaan iman dan taqwa, ketulusan hati, keluhuran budi dan kemuliaan akhlak yang semua sifat-sifat ini akan dikira oleh Allah dalam menentukan amal hambaNya diterima atau sebaliknya.

Kesimpulan

Menyebut tiga prinsip di dalam Islam berhubung dengan kerja iaitu; prinsip ubudiyyah, mas’uliyyah dan itqan ini memang mudah tetapi menghayatinya tidak semudah menyebutnya.

Cuba kita renung dan fikir terhadap kerja kita sebagai kakitangan kerajaan atau swasta, yang sudah beberapa tahun berkhidmat…Apakah kerja kita diterima Allah sebagai amal soleh?

Apakah kita amanah dengan kerja yang ditugaskan?

Apakah kita ikhlas dalam menjalankan tanggung jawab?

Apakah rezeki yang diperolehi rezeki yang halal?

Bagaimanakah kita hendak menampung lompang-lompang yang ada?

Apakah kita tidak takut doa orang-orang yang kena zalim sedangkan tiada hijab antara doa orang yang kena zalim dengan Allah dan banyak lagi soalan-soalan yang harus kita jawab, sebelum ditanya dihadapan Rabbul Jalil!.

Mungkin saudara-saudari sudahpun berfikir seperti apa yang diminta kita berfikir hari ini.

Apa pun kita sebagai orang yang beriman tetap bersangka baik terhadap rahmat dan kasih sayang Allah, mudah-mudahan amal dan kerja diterima-Nya sebagai ibadah walau pun berlobang-lobang lebih dari daun yang dimakan ulat.

WA ALLAHU A’LAM

Oleh : Abu Anas Madani
Baca Selanjutnya...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Photobucket