Monday 30 April 2012

Berjuanglah untuk menegakkan agama Allah



Orang yang memberi sumbangan harta benda pada jalan Allah SWT diberi pahala sampai kepada 700 kali ganda di mana kebiasaannya amal yang baik itu digandakan dengan 10 kali ganda tetapi pengorbanan harta benda kerana meninggikan agama Allah diberi pahala sampai kepada 700 kali ganda.


Allah Taala berfirman dalam al-Quran bermaksud :"Jangan kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan." (Al-Baqarah ayat 195)


Makna mencampakkan diri ke dalam kebinasaan ialah kamu tidak menjalankan tugas jihad. Tetapi ada manusia menyalahgunakan ayat ini. Mereka berkata, tidak ada gunanya kita berjuang untuk Islam nanti, kita akan dipenjarakan, ditukar tempat kerja atau dibuang kerja dan sebagainya sedangkan Allah Taala mengatakan jangan kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan.
Inilah cara bagaimana cakap-cakap yang berdalilkan ayat dengan cara yang salah kerana ayat ini mempunyai hubungan dengan menegakkan agama Allah SWT, bahkan orang yang tidak berani menegakkan agama Allah itulah orang yang mencampakkan diri mereka ke dalam kebinasaan.

Pernah diriwayatkan ketika orang-orang Islam berperang dalam rangka menawan kota Konstantinople (Istanbul, Turki) tiba-tiba orang Islam berdepan dengan tentera Rom yang terlalu ramai.

Ada antara orang Islam itu seorang pahlawan yang terlalu berani. Dia terus masuk ke dalam tentera Rom yang ramai secara bersendirian sehingga dia dibunuh oleh tentera Rom, lalu orang ramai mengatakan, kenapa dia sanggup membinasakan dirinya? Tidakkah Allah mengatakan dalam al-Quran:" Jangan kam mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan." (Al-Baqarah ayat 195)

Kebetulan di dalam peperangan itu ada seorang sahabat yang bernama Abu Ayub al-Ansari r.a iaitu sahabat yang diberi kelebihan ketika Rasulullah s.a.w berhijrah di mana baginda s.a.w bermalam di rumah sahabat itu sebelum baginda memiliki rumahnya sendiri di kota Madinah. Semasa Abu Ayub meniti usia tua, beliau juga hadir sama dalam peperangan dengan tentera Rom.

Apabila beliau mendengar seseorang membaca ayat tersebut, dia naik radang sambil berkata: "Wahai manusia! Sesungguhnya kamu telah mentakwilkan ayat ini dengan takwil yang begitu rupa. Sesungguhnya ayat ini diturunkan kepada kami golongan Ansar ketika kami telah mendapat ganjaran daripada Allah ketika Allah memenangkan agama-Nya dan ramai orang yang menolong agama-Nya maka berkatalah sesetengah kami terhadap sesetengah yang lain.

"Kami berbisik sesama kami dengan tidak diketahui oleh baginda Rasulullah s.a.w bahawasanya harta manusia sudah banyak. Kita ketinggalan dalam masalah harta benda kerana mementingkan jihad, tidak menguruskan kebun dan perniagaan dengan baik.

"Sesungguhnya Allah memberi kemenangan kepada Islam dan orang yang menegakkan agama Islam juga sudah ramai maka langkah sebaiknya kita semua tinggal di Madinah, tidak payah lagi berperang seperti biasa. Kita serahkan urusan jihad itu kepada orang lain kerana kita mahu membaiki dan menjaga kebun kita dan apa yang ketinggalan selama ini dalam harta benda, kita dapat mengatasinya semula."

"Justeru, Allah SWT menurunkan ayat ini kepada Nabi-nya sebagai menolak apa yang kami katakan:"Dan berbelanjalah kamu pada jalan Allah dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan."

Abu Ayub r.a adalah serorang sahabat yang berani di mana ketika dalam keadaan sakit beliau mewasiatkan supaya dikebumikan mayatnya di tepi kota itu (kota musuh), jangan dibawa pulang mayatnya ke Madinah. Ini kerana beliau mahu kuburnya dipijak oleh kuda-kuda tentera Islam yang meneruskan perjuangan Islam, menawan kota tersebut dari tangan musuh.

Orang Islam berjihad beratus-ratus tahun lamanya untuk menawan kota Konstantinople kerana kerajaan Rom Timur mempunyai teknologi yang kuat dan lebih daripada orang Islam. Mereka mempunyai berbagai-bagai senjata moden pada zaman itu antaranya mereka boleh melontarkan peluru api yang boleh bernyala di dalam air sehingga kapal-kapal tentera Islam terbakar.

Akhirnya Allah SWT memberi kurniaan kepada Sultan Muhammad al-Fateh iaitu Sultan kerajaan Islam Uthmaniyah yang memimpin tentera Islam dalam usia 20-an. Baginda diberi kelebihan yang dijanjikan oleh Rasulullah s.a.w bahawa baginda boleh menawan kota itu semula dan memimpinnya.

Setelah kota itu ditawan orang Islam, mereka menukar namanya kepada Istanbul dan gereja Es Sophia yang besar itu telah ditawan oleh orang Islam. Patung-patung yang dibina di dalam dan persekitarannya di buang serta ia ditukar menjadi masjid yang agung hingga ke hari ini.

Sehingga sekarang masjid itu dikenali dengan Masjid Al-Fateh atau Masjid Es Sophia tetapi sayangnya apabila Mustafa Kamal Ataturk berkuasa di Turki, dia telah menjadikan masjid itu sebagai muzium. Tetapi alhamdulillah setelah orang Islam kembali sedar, muzium itu ditukar semula kepada masjid.

Berdasarkan kepada ayat yang ditafsirkan ini dan berdasarkan kepada riwayat Abu Ayub, orang Islam boleh menunjukkan keberanian sehingga keperingkat mati menentang musuh yang lebih ramai jika sekiranya tindakan itu memberi semangat kepada tentera-tentera Islam yang lain.

Memang berlaku di kalangan orang Islam apabila hatinya terlalu kuat hubungannya dengan Allah SWT dengannya, yang dia nampak ialah balasan baik daripada Allah dan janjinya, apabila berlakunya hubungan langit dan bumi yang terlalu erat dan tidak ada pemisahan lagi, maka seseorang itu tidak akan takut lagi kepada mati.

Inilah yang pernah dinyatakan oleh ulamak sebagaimana yang disebut oleh as-Syahid Saiyid Qutb di dalam buku-buku tulisannya. Apabila bumi berhubung dengan langit, apabila hati itu bulat kepada Allah SWT, maka dia tidak mengira mati lagi dalam menegakkan diri dalam kebinasaan.

Kesimpulannya, mencampakkan diri ke dalam kebinasaan ini ialah ditujukan kepada orang yang tidak berjihad dan tidak memberi sumbangan harta benda serta jiwa raganya untuk meninggikan agama Allah. FirmanNya yang bermaksud :"Berbuat baiklah kamu, sesungguhnya Allah kasih kepada orang yang berbuat baik." (Al-Baqarah ayat 195)

Diantara berbuat baik itu ialah membelanjakan harta benda kepada menegakkan agama Allah SWT dan sesungguhnya Allah amat suka dan kasih kepada orang-orang yang suka berbuat baik.

-----------

Dipetik daripada buku "Kuliah Tafsir, Tauhid Rububiyah dan Tauhid Uluhiyah", halaman 173-178, terbitan Dewan Muslimat Sdn Bhd, 1999.

Ditulis oleh Presiden PAS
Baca Selanjutnya...

Thursday 26 April 2012

Warkah Untuk Hawa


HAWA...

SEDARKAH ENGKAU SEBELUM DATANGNYA SINAR ISLAM, KITA DIZALIMI, HAK KITA DICEROBOHI, KITA DITANAM HIDUP HIDUP, TIADA PERGHORMATAN WALAU SECEBIS OLEH KAUM ADAM, TIADA NILAIAN DI MATA ADAM, KITA HANYALAH SEBAGAI ALAT UNTUK MEMUASKAN HAWA NAFSU SEMATA. TAPI KINI BILA RAHMAT ISLAM MENYELUBUNGI ALAM, BILA SINAR ISLAM BERKEMBANG, DARJAT KITA DIANGKAT, DIPANDANG MULIA, DAN MENDAPAT TEMPAT DI SISI ALLAH SEHINGGA TIADA SEBAIK HIASAN DUNIA MELAINKAN WANITA SOLEHA.

WAHAI HAWA...

KENAPA ENGKAU TAK MENGHARGAI NIKMAT IMAN CARA ISLAM ITU? KENAPA MESTI ENGKAU KAKU DALAM MENTAATI AJARAN-NYA, KENAPA MASIH SEGAN MENGAMALKAN ISI KANDUNGAN-NYA, KENAPA MASIH WAS WAS DALAM MEMATUHI PERINTAH-NYA DAN KENAPA MASIH TAK MAHU MENUTUP AURAT WAHAI HAWA?

WAHAI HAWA...

TANGAN YANG MENGAYUN BUAIAN BISA MENGGONCANG DUNIA, SEDARKAH HAWA KAU BISA MENGONCANG DUNIA DENGAN MELAHIRKAN MANUSIA YANG HEBAT YAKNI ANAK YANG SOLEH SOLEHAH, KAU BISA MENGGEGAR DUNIA DENGAN MENJADI ISTERI YANG TAAT SERTA MEMBERI DORONGAN DAN SOKONGAN PADA SUAMI YANG SEJATI DALAM MENEGAKKAN ISLAM DI MATA DUNIA. TAPI HAWA JANGAN SESEKALI KAU CUBA MENGGONCANG KEIMANAN LELAKI DENGAN LEMBUT TUTURMU, DENGAN AYU WAJAHMU, DENGAN LENGGOK TUBUHMU. JANGAN KAU MENGHENTAK HENTAK KAKIMU UNTUK MENYATAKAN KEHADIRANMU. JANGAN HAWA JANGAN.... JANGAN SESEKALI CUBA MENARIK PERHATIAN KAUM ADAM YANG BUKAN SUAMIMU, KERANA AKU KHUATIR IA MENGUNDANG KEMURKAAN DAN KEBENCIAN ALLAH. TETAPI MEMBERI KEGEMBIRAAN PADA SYAITAN KERANA WANITA ADALAH JALA SYAITAN, ALAT DIEKSPLOITASIKAN OLEH SYAITAN DALAM MENYESATKAN ADAM.

HAWA...

ANDAI ENGKAU BELUM BERKAHWIM JANGAN KAU RISAU AKAN JODOHMU, INGATLAH HAWA JANJI TUHAN KITA, WANITA YANG BAIK ADALAH UNTUK LELAKI YANG BAIK. JANGAN MENGGADAIKAN MARUAHMU HANYA SEMATA MATA SEORANG LELAKI, JANGAN MEMAKAI PAKAIAN YANG MENAMPAKKAN SUSUK TUBUHMU HANYA UNTUK MENARIK PERHATIAN ATAU BERTUJUAN MEMIKAT SEORANG LELAKI, KERANA KAU BUKAN MEMANCING HATINYA TAPI MERANGSANG NAFSUNYA. JANGAN DIMULAKAN SEBUAH PERTEMUAN DENGAN LELAKI YANG BUKAN MUHRIM KERANA AKU KHUATIR DARI MATA TURUN KE HATI, MAKA LAHIRNYA SENYUMAN MAKA TERCETUSNYA SALAM DAN SEKALI GUS DISUSULI DENGAN PERTEMUAN.... DAN DARI PERTEMUAN TAKUT LAHIRNYA NAFSU KEJAHATAN YANG MENGUASAI DIRI.

HAWA...

LELAKI YANG BAIK TIDAK MELIHAT PARAS RUPA, LELAKI YANG SOLEH TIDAK MEMILIH WANITA MELALUI KESEKSIANNYA, LELAKI YANG WARAK TIDAK MENILAI WANITA MELALUI KEAYUANNYA, KEMANJAANNYA SERTA KEMAMPUANNYA MENGONCANG IMAN MEREKA. TETAPI HAWA, LELAKI YANG BAIK AKAN MENILAI WANITA MALALUI AKHLAKNYA, PERIBADINYA DAN YANG PENTING PEGANGAN AGAMANYA. LELAKI YANG BAIK JUGA TIDAK MENGINGINKAN PERTEMUAN DENGAN WANITA YANG BUKAN MUHRIMNYA KERANA DIA TAKUT UNTUK MEMBERI KESEMPATAN KEPADA SYAITAN UNTUK MENGGODANYA. LELAKI YANG WARAK JUGA TAK MAHU BEMAIN CINTA KERANA DIA TAHU APA MATLAMAT DALAM SEBUAH PERTEMUAN ANTARA LELAKI DAN WANITA, YAKNI SEBUAH PERKAHWINAN.

OLEH ITU HAWA...

JAGALAH PANDANGANMU, AWASILAH AURATMU, PELIHARALAH AKHLAKMU, KUATKAN PENDIRIANMU. ANDAI DITAKDIRKAN TIADA CINTA DARIPADA ADAM UNTUKMU, CUKUPLAH HANYA CINTA ALLAH MEMENUHI DAN MENYINARI KEKOSONGAN JIWAMU, BIARLAH HANYA CINTA DARIPADA KEDUA IBU BAPAMU YANG BERI HANGATAN KEBAHAGIAAN BUAT DIRIMU, CUKUPLAH SEKADAR CINTA ADIK BERADIK SERTA KELUARGA YANG MEMBAHAGIAKAN DIRIMU.

HAWA...

CINTAILAH ALLAH DI KALA SUSAH DAN SENANG KERANA KAU AKAN PEROLEHI CINTA DARI INSAN YANG JUGA MENYINTAI ALLAH. CINTAILAH KEDUA IBU BAPAMU KERANA KAU AKAN PEROLEHI KEREDHAAN ALLAH. CINTAILAH KELUARGAMU KERANA KAU TAK AKAN JUMPA CINTA YANG BAHAGIA SELAIN DARIPADA CINTA KELUARGA.

HAWA...

INGATANKU YANG TERAKHIR, BIARLAH TANGAN YANG MENGAYUN BUAIAN INI BISA MENGONCANG DUNIA DALAM MENCAPAI KEREDHAAN ALLAH. JANGALAH SESEKALI TANGAN YANG MENGONCANG DUNIA INI JUGA YANG MENGONCANG IMAN LELAKI, KERANA AKU SUKAR MENERIMANYA DAN BENCI SETIAP KALI MENDENGARNYA.

DARIPADA HAWA UNTUK HAWA

Sumber: anamuslimah85
Baca Selanjutnya...

Artikel Hak Mempertahankan Islam Dan Kebebasan Beragama


Apabila tercetusnya isu siasatan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap penganjuran program di Damansara Utama Methodist Church, tidak semena-mena media arus perdana bertindak memaparkan berita dengan tujuan untuk melonjakkan UMNO menjadi juara mempertahankan Islam, seolah-olah memang benarlah UMNO adalah sebuah parti gagah perkasa yang mempertahankan Islam. Namun rakyat boleh sebenarnya menilai siapakah yang sebenarnya memperjuangkan Islam, dengan menerokai kembali sifat dan sikap yang ditunjukkan terhadap agama Islam sejak puluhan tahun ini.
Perlu diketahui bahawa pertembungan agama untuk mencari penganut bukan perkara baru, kerana ianya berlaku sejak dari zaman Nabi Adam sehinggalah tamatnya ajal dunia ini. Umat Islam yang beriman bahawa mereka adalah penganut  agama para rasul yang berakhir dengan Nabi Muhammad S.A.W. wajib mempertahankan agama mereka dan menyebarkanya kepada seluruh manusia, namun dilarang melakukan paksaan terhadap sesiapa pun manusia, kerana Islam itu bukan sahaja ucapan secara lisan, ianya hendaklah disertakan dengan iman dan dinyatakan dengan amalan yang ikhlas. Memaksa orang menganut Islam hanya melahirkan penganut Islam munafik.

Rasulullah S.A.W. telah berada dalam masyarakat majmuk, sama ada di Makkah dalam kedaan yang lemah, atau dalam kedaan yang sangat kuat berkuasa di Madinah. Ketika Islam dalam kedaan berkuasa di Madinah,Rasulullah S.A.W. mengizinkan penganut agama lain wujud dalam masyarakat Islam secara aman  dengan menjadi rakyat yang wajib dilayan secara adil tanpa paksaan dalam agama  menerusi perjanjian bertulis yang dimeteraikan.

Dalam masa yang sama Islam mewajibkan  penganutnya  mempertahankan Islam, yang menjadi hak kepada penganut Islam sendiri dan kerajaannya. Zalim terhadap penganut agama lain juga adalah haram, sehingga Rasulullah S.AW memberi amaran neraka kepada orang Islam yeng mengkhianati perjanjian yang sebenarnya adil.
Al Quran meletakkan garis panduan dalam surah Al Haj, ayat 40 :
Maksudnya :“Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebagian manusia dengan sebagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara dan gereja-gereja penganut kristian, rumah-rumah ibadat orang yahudi dan masjid- masjid, yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa.”
Rasulullah S.A.W  telah menafsirkan perintah Allah secara amalan, apabila Islam melarang penganut Islam menceroboh gereja dan paderi walaupun ketika berlakunya perang, maka sudah tentulah ketika damai keadaan ini lebih wajib dipelihara.
Bagi penganut agama lain yang wujud bersama dan berada dalam masyarakat Islam yang lebih ramai sekalipun,  maka hak beragama, berkeluarga, bekerja dan bermasyarakat bagi mereka adalah wajib ditunai dan haram dicabuli oleh mana-mana pihak. Dalam masa yang sama, banyak ayat-ayat Al Quran memaparkan berlakunya perbahasan secara hujah di antara Islam dan pihak lain dalam masyarakat Islam dengan mengutamakan kebijaksanaan.
Sejarah Islam juga memaparkan kewujudan orang Islam dalam masyarakat bukan Islam yang berkuasa dan adil tanpa paksaan terhadap penganut Islam. Rasulullah S.A.W. mengarahkan para sahabatnya berhijrah ke Habasyah, iaitu sebuah negara kristian ortodok yang adil di zamanya untuk mendapat perlindungan dan berlakunya dailog di antara Islam dan Kristian dengan hujah. Sejarah Islam di China menyebut kewujudan masyarakat Islam di negara China yang besar dan adanya orang Islam yang menyumbang khidmat negara dengan cemerlang kepada negara China dan adanya hubungan diplomatik diantara China dan Islam dengan baik.
Amir Al Mukmin Umar bin Al Khattab dijemput oleh paderi besar Palestin yang menyambut kemenangan Islam menjatuhkan Rom Timur yang sebelumnya dikuasai oleh penganut Kristian yang berlaku zalim terhadap mereka. Khalifah Umar datang menerima jemputan dan melawat Gereja Baitul Laham. Apabila tiba waktu sembahyang,  Umar bertanya :”Di mana tempat saya bersembahyang?”. Paderi besar menjawab :”Di sini sahaja (dalam gereja)”. Umar menjawab :” Tidak patut bagi Umar bersembahyang di sini, nanti generasi akan datang berkata : ”Umar pernah bersembahyang di sini lalu mereka mendirikan masjid di sini (dengan merobohkan gereja)”. Maka Umar pun keluar dan bersembahyang di halaman, dan bersempena dengannya didirikan masjid yang masih ada sehingga hari ini berhampiran dengan gereja yang masih ada. Apa yang paling menarik di zaman terkini, pihak gereja itu pula melindungi mujahidin Palestin yang dikepung oleh tentera zionis Israel.
Semua cerita benar tersebut berlaku dalam  kedaan Islam diamalkan dengan sempurna, yang berbeza dengan Islam yang diamalkan oleh UMNO pada ketika lalu dan kini. Islam warisan penjajah Inggeris  yang dizamannya Islam telah dirampas kuasanya daripada raja-raja Melayu dengan memenjarakannya dalam kepompong Jabatan Agama dan Majlis Agama yang tidak berkuasa mengikut Islam yang sempurna. Manakala kedudukan jabatan agama adalah mengikut bidang kuasa seperti jabatan-jabatan lain, seperti jabatan pendidikan, tanah, kebajikan , termasuk jabatan haiwan dan perhutanan. Kuasa jabatan agama itu sekadar mengawal masjid, mengawasi khutbah dan pengajian agama, mengendalikan urusan keluarga Islam, pusaka dan harta wakaf. Islam menjadi agama yang diperintah dan ditadbir, bukannya agama yang memerintah dan mentadbir. Hasilnya masjid boleh digeledah, tidak ada perbezaan dengan gereja dan imam boleh diambil tindakan bukan kerana kesalahan agama, tetapi kerana kononnya kesalahan politik. Politik pula dipisahkan daripada  agama, seperti juga pemisahan agama dengan politik dalam lain-lain agama selain dari Islam.
UMNO tidak layak mempertahankan Islam kerana tidak berwajah Khalifah Umar yang melawat gereja dan bersembahyang apabila tiba waktunya, kerana Umar mendirikan sembahyang maka dengan sendiri mendirikan masjid, sedang UMNO mendirikan masjid tetapi tidak semestinya mendirikan sembahyang,  boleh berhimpun  untuk membincangkan agenda negara dengan meninggalkan sembahyang, sedangkan Saidina Umar tidak memisahkan sembahyang dengan urusan negara.
Kesimpulannya kenyataan media milik UMNO dalam isu gereja lebih bersifat apa yang disebut oleh Imam Ali K.W. “Ucapan yang zahirnya benar , tetapi matlamatnya kebatilan“. Ianya dengan bermatlamat untuk memancing undi melayu Islam yang buta al Quran, bagi pilihanraya umum ke-13 untuk meneruskan agenda warisan penjajah iaitu Islam yang terpimpin bukannya Islam yang memimpin.
Marilah kita buka Al Quran dan ajaran Rasulullah SAW dan para sahabat dan ulama muktabar yang menunjukkan cara beramal dengan Islam yang sebenarnya. Bukan melalui media dan pengampu di sepanjang jalan.
 
Oleh: Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (Presiden PAS)
Baca Selanjutnya...

Monday 23 April 2012

Warkah Buat Sahabat


AssalamualaikumWarahmatullahiwabarakatuh...

Segala puji-pujian bagi Allah,Tuhan sekalian alam,Selawat dan salam untuk junjungan mulia Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam,keluarganya,serta para sahabat sekaliannya...

Maafkan diriku kiranya kedatangan warkah yang tidak diundang ini mengguris hatimu.Kuluangkan masa mencoretkan apa yang termampu setakat ini sebagai peringatan dan tazkirah buat diriku dan dirimu yang kukasihi.

Sahabatku seperjuangan,

Keberadaan kita di bumi ini adalah tidak lain dan tidak bukan untuk mencari sebanyak mungkin ilmu Allah sebagai panduan hidup dan sebagai persiapan kita untuk menjadi pemimpin kepada generasi yang akan datang serta untuk meneruskan dakwah Nabi kita untuk menegak dan mempertahankan Islam di bumi Allah ini.

Sahabatku yang dikasihi,

Sama ada engkau sedar atau tidak masyarakat kita hari ini semakin hari semakin jauh menyimpang dari landasan Islam yang sebenar.Maksiat bermaharaja lela dimana-mana.Orang yang berbuat maksiat pula tidak segan silu mendedahkan perbuatannya.Apa yang kita tahu dan sedar ianya semakin hari semakin parah melanda masyarakat kita.Apakah engkau hendak berdian diri saja melihat kemungkaran berlaku di depan matamu.Apakah kau mahu masyarakat yang jahil dalam agama ini memimpin anak cucumu kelak?Apakah kau mahu musuh-musuh Islam itu terus menerus menghancurkan Islam?Dimanakah dirimu ketika itu?

Duhai sahabatku,

Tidak terdetikkah di hatimu tentang kemurungan umat Islam hari ini?Mengertilah engkau bahawa mereka terkapai-kapai mencarimu,meminta pertolonganmu di dalam kelemasan gelombang lautan kejahilan dan kemungkaran.Tangan siapakah yang dapat dihulurkan untuk menyelamatkan mereka dari terus hanyut dalam gelombang ini?

Sahabatku seagama,

Tiada tangan lain yang dapat dihulurkan kepada mereka.Kitalah yang akan menyelamatkan mereka.Oleh itu bersiap sedialah kita dengan ilmu agar kita akan terus menyelamatkan mereka ini dan moga-moga kita tidak hanyut bersama-sama mereka kerana gelombang itu semakin hari semakin ganas dan buas.

Sahabatku,

Dalam mengharungi liku-liku kehidupan di alam buana ini,sedarlah dan jadikanlah dirimu itu sebagai seorang pejuang yang akan sama-sama menyinarkan kembali Nur Islam,meneruskan perjuangan Nabi kita serta mencari keredhaan Allah.Janganlah engkau leka dan cuai walau sesaat pun kerana musuh Islam tidak pernah berdiam diri mencari jalan untuk menghancurkan Islam.Mahukah kau melihat mereka tersenyum puas melihat kejayaan mereka menghapuskan agama kita?Sedangkan engkau leka dibuai keasyikan duniawi,langsung kau tidak sedari yang agama kau akan terus dimusnahkan.

Sahabatku dunia dan akhirat,

Mulakanlah langkahmu dari sekarang,bangunlah engkau dari lena yang mengasyikkan itu.Tajamkanlah semula pedang Islam dan hunuslah ia di depan musuhmu dan belakangmu pertolongan Allah.Berdoalah sahabatku,insyaAllah kita mampu menggoyahkan kekuatan musuh dengan keyakinan kita kepada Allah.Di sini juga ingin ku utarakan sejarah silam kemenangan tentera Islam di zaman kegemilangan Islam suatu ketika dulu.Rahsia kemenangan mereka ialah mempunyai kekuatan rohaniah yang tinggi darjatnya di samping kekuatan fizikal.Bagaimana memperoleh kekuatan rohaniah ini,wahai sahabatku?Sesungguhnya ia datang apabila kita sentiasa mentaqarrubkan diri kita dengan Allah.Tentera-tentera Islam itu umpama singa yang kelaparan di siang hari dan seorang 'abid yang sentiasa rukuk dan sujud kepada Allah mengharapkan pertolongan daripadaNya ketika insan lain nyenyak dibuai mimpi.
Begitulah wahai sahabatku sikap dan sifat seorang pejuang Islam.Ayuhlah amalkanlah dalam kehidupanmu.Moga-moga kau beroleh kemenangan dalam perjuanganmu.

Sahabatku,

Hanya sekadar ini coretan dariku buat tatapanmu sebagai tanda persahabatan kita.Semoga segala yang tercoret di warkah sepi ini mendapat keredhaan Allah.Wassalam.

salam perjuangan daripada insan serba kekurangan, Anamuslimah85..
Baca Selanjutnya...

Monday 16 April 2012

Sifat zuhud Nabi Muhammad, cairkan sikap orang kafir - Surah al-An'am ayat 49 hingga 50


Firman Allah bermaksud, "Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, mereka akan dikenakan azab seksa dengan sebab mereka berlaku fasik." (Surah al-An'am :49)
Ertinya, mereka yang mendustakan (mengkufuri) al-Quran (ayat-ayat keterangan yang dapat dibaca) yang disampaikan oleh Nabi s.a.w dan ayat-ayat keterangan yang dapat dilihat (alam yang menjadi hujah mengenai keagungan dan kekuasaan Allah) dengan mata mereka sendiri, mereka akan dikenakan azab seksa yang pedih daripada sebab kejahatan dan kekufuran yang mereka lakukan terhadap ajaran Allah dan Rasul-Nya s.a.w.
Seterusnya Allah berfirman yang bermaksud, "Katakanlah (wahai Muhammad s.a.w): "Aku tidak mengatakan kepada kamu (bahawa) perbendaharaan Allah ada di sisiku." (Surah al-An'am : 50)

Yakni Allah SWT memerintahkan supaya Nabi s.a.w berkata kepada mereka yang kufur itu bahawa baginda s.a.w tidak mengatakan yang harta perbendaharaan milik Allah berada di sisinya.

Bahkan Nabi s.a.w tidak pernah memiliki harta kekayaan walaupun baginda s.a.w berupaya untuk mendapatkannya.

Ini kerana baginda s.a.w pernah ditawarkan oleh golongan kafir Quraisy harta kekayaan dan pangkat kedudukan jika baginda s.a.w meninggalkan kerja-kerja dahkwah mengajak manusia kepada Islam.

Nabi s.a.w boleh memohon pertolongan Allah untuk mendapatkan harta kekayaan atau perbendaharaan Allah jika dia mahu. Tetapi baginda tidak berbuat demikian Inilah sifat zuhud dan tawaduk baginda s.a.w

Sejarah membuktikan baginda adalah seorang Nabi yang tidak mempunyai harta kekayaan, tidak seperti Nabi Sulaiman a.s. bahkan semasa wafat baginda s.a.w masih berhutang dengan Yahudi di Madinah.

Allah berfirman yang bermaksud, "Dan aku pula tidak mengetahui perkara yang ghaib." (Surah al-An'am:50)

Allah juga memerintahkan Nabi s.a.w supaya memberitahu orang-orang kafir itu bahawa perkara ghaib itu adalah di dalam ilmu Allah SWT. Nabi Muhammad s.a.w tidak akan dapat mengetahuinya melainkan Allah yang memberitahunya. Nabi s.a.w tidak berkuasa untuk mengetahui semuanya itu melainkan Allah yang memberitahu kepadanya.

Banyak peristiwa dalam sejarah menjelaskan bagaimana Allah SWT menampakkan perkara-perkara ghaib kepada Nabi s.a.w di mana Nabi s.a.w melihat malaikat dan Jibrail dalam pelbagai rupaya seperti seorang lelaki yang lawa dan berpakaian serban putih dan dalam bentuk rupanya yang asal datang menemui Rasulullah s.a.w dalam banyak peristiwa sepanjang hayatnya sehingga baginda s.a.w wafat.

Allah berfirman lagi, "Aku juga tidak mengatakan kepada kamu bahawasanya aku ini malaikat." (Surah al-An'am : 50)

Allah turut memerintahkan nabi s.a.w berkata kepada golongan kuffar itu bahawa beliau tidak pernah mengatakan dan mengakui bahawa baginda adalah seorang malaikat. Baginda adalah seorang manusia yang dipilih oleh Allah menjadi rasul. Baginda masih bersifat seperti manusia biasa yang lain, perlu makan dan minum, perlu berkawin dan sebagainya.

Orang-orang kafir itu menghina Nabi s.a.w kerana perkara ini sebagaimana firman Allah yang bermaksud, "Mengapa rasul ini makan minum dan berjalan di pasar-pasar seperti manusia lain)?" (Surah al-Furqan:7)

Cuma bezanya dengan manusia yang lain ialah baginda s.a.w diutuskan sebagai rasul untuk menyampaikan dan memberi contoh teladan yang baik kepada manusia bagaimana seharusnya mereka melaksanakan segala suruhan Allah daripada sekecik-kecil perkara sehingga ke sebesar perkara daripada membuang duri dan batu di tengah jalan sehingga mendirikan kerajaan Islam dan menegakkkan hukum Allah SWT di atas muka bumi dan berjihad, berperang bagi menegakkan agama Allah SWT.

Allah berfirman yang bermaksud, "Aku tidak menurut melainkan apa yang diwahyukan kepadaku." (Surah al-An'am : 50)

Allah SWT memerintahkan Nabi s.a.w berkata kepada golongan yang tidak beriman itu bahawa baginda s.a.w tidaklah melakukan sesuatu perkara melainkan menurut segala perintah wahyu daripada Allah yang disampaikan kepadanya melainkan Jibrail a.s

Ini dikuatkan lagi dengan firman Allah yang bermaksud," Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakan itu (sama ada al-Quran atau hadis) tidak lain melainkan wahyu yang diwahyukan kepadanya." (Surah an-Najmu:3-4)

Oleh: TG Haji Abdul Hadi Awang (Presiden PAS)
Baca Selanjutnya...

Friday 13 April 2012

Motivasi: Irkam Ma’ana – Tika Kami Bersendirian, Proses Tetap Berjalan (Hilal Asyraf)


Pernah rasa keseorangan dalam usaha menjalankan tarbiyah(didikan) terhadap diri? Jauh dari rakan-rakan dan sahabat yang mampu membantu diri untuk menjadi hamba Ilahi?

Apakah kita apabila tercampak di mana-mana keseorangan, atau terputus hubungan dengan rakan-rakan yang berbuat kebaikan, maka kita tidak lagi perlu menggerakkan proses untuk membawa diri kita menjadi hamba yang Allah redha?

Lumrah manusia kuat apabila bersama, lemah apabila bersendirian.
Namun bersendirian bukan alasan untuk terus berada dalam kelemahan.

Di sinilah wujudnya tarbiyah kendiri.

Kita memproses diri kita sendiri.

Kenal Allah

Step pertama dan utama dalam menggerakkan proses tarbiyah kendiri ini, semestinya adalah dengan mengenal Allah. Hal ini kerana, apabila menggerakkan tarbiyah kendiri, keimanan adalah tunjang yang membuatkan perkara ini terus berjalan.

Dengan mengenali, betapa Allah itu Maha Melihat dan Mendengar, Maha Memerhati dan Maha Menghitung, mengetahui betapa janji-janji Allah itu benar dan syurgaNya sangat mengiurkan, mengetahui betapa amaran-amaran Allah itu benar dan betapa syurgaNya sangat menakutkan, semestinya diri akan bergerak melakukan sesuatu untuk meningkatkan diri ke arah kebaikan.

Dengan mengetahui apa yang Allah suka, dan apa yang Allah benci, dapat membantu kita menggariskan perkara yang perlu dilakukan dan perkara yang perlu ditinggalkan. Maka kita akan menyusun kehidupan kita ini agar mudah melakukan apa yang Allah suka dan kita akan berusaha mengelakkan diri dari melangkahi larangan-larangan Allah SWT.

Proses mengenali Allah ini, bukanlah ditinggalkan selepas tarbiyah itu berjalan.

Proses mengenali Allah ini juga adalah sebahagian dari proses tarbiyah itu sendiri.

Dan selepas kita menggerakkan diri kita berada di atas proses ini, insyaAllah kita akan lebih mengenali Allah SWT. Kasih sayangNya, cintaNya, marahNya, benciNya, janji-janjiNya, amaran-amaranNya, dan erti menjadi hamba kepadaNya.

Kalau tidak kita bermula dengan mengenal Allah, maka hilanglah tujuan dan matlamat menjalani proses tarbiyah, susahlah nak disiplinkan diri nanti.

Hendak mengenali Allah SWT ini, kita perlu mengambil sumber  yang benar-benar sohih sahaja. Al-Quran dan hadith yang sohih. Dan bukanlah mengenali Allah SWT itu adalah dengan menyibukkan diri mengetahui apakah Allah itu bertangan, zatnya bagaimana dan sebagainya. Tiadalah manfaatnya kepada kita, dan perbahasan itu tidak akan ada akhirnya.

Tetapi kenalilah kekuatanNya, kuasaNya, kasih sayangNya, kebencian dan kemurkaanNya.

Kerana dengan mengenali itu, kita akan bergerak menjadi hamba yang sebenarNya.

Apabila bersama orang lain kita akan memimpin orang lain ke arahNya.

Bila berseorangan, kita akan berusaha meimpin diri kita.

Gerakkan diri

Satu perkara di dalam medan ilmu ini, yang menjadikan sesuatu ilmu itu tidak bermakna adalah tidak beramal. Kita tahu solat awal waktu itu dituntut, tapi kita lewat-lewatkan. Kita tahu baca Al-Quran itu penting, tapi satu muka surat pun tak habis sehari. Kita tahu tengok movie+drama itu semua melalaikan, tapi kita habiskan masa kita untuk itu. Tahu buat banyak kebaikan dapat rahmat Allah, tapi tidak buat. Tahu buat banyak dosa menjemput murka Allah, tetapi yang itu kita buat.

Dan begitulah dalam banyak hal kehidupan kita.

Kita tidak beramal, tidak menggerakkan diri atas apa yang kita tahu.
Maka proses  tarbiyah kendiri adalah dengan kita menetapkan untuk diri kita sendiri dalam menjalankan apa-apa yang Allah mahu.

Memang nampak susah. Memang nampak banyak. Tetapi tenanglah. Perlu ingat, kita manusia biasa. Bukan malaikat. Justeru, bermulalah dengan sedikit. Bak kata orang tua-tua, sedikit demi sedikit, lama-lama jadi bukit.

Langkah utama di dalam tarbiyah kendiri ini adalah menetapkan SASARAN dan buat JADUAL untuk mencapai sasaran itu.

Apa yang hendak dicapai dalam seminggu itu untuk proses tarbiyah?
Kita setkan yang mudah-mudah dulu. Kata la minggu pertama: Perkata wajib kena bagi clear. Contohnya Solat Fardhu pastikan cukup. Maka cuba capai. Kita tambahkan sikit beberapa perkara sunat yang lazim agar dapat membantu kita. Sebagai contoh, membaca bahan-bahan fikrah(satu tajuk kecil tiga hari sekali), membaca Al-Quran sehelai sehari, tambah istighfar 70 kali sehari.

Buat jadual. Gerakkan.

Dan semakin lama, kita tambah lagi sikit. Sikit demi sedikit. Agar kita tidak rasa terbeban, dan memberikan pula ruang untuk kita menghayati, di samping ini menjamin konsistensi.

Bila sudah rasa stabil dan konsisten dengan sasaran mingguan yang ditetapkan, tambah. Dari solat fardhu sahaja, mungkin sudah boleh ditambah dengan solat sunat rawatib. Dari sehelai Al-Quran sehari, boleh tambah sehelai setengah atau dua helai. Dari istighfar sahaja, sudah boleh mula tambah selawat. Dan dari tiga hari satu tajuk bahan fikrah kita baca, boleh la buat dua hari satu tajuk bahan fikrah.

Perlahan-lahan. Sedikit demi sedikit.

Tetapi biasanya, yang perlahan-lahan dan sedikit demi sedikit inilah yang menjamin istiqomah.

Kami penumpang bahtera keimanan, percaya akan hal itu.

Kerana manusia bukan seperti plastisin. Diketuk, berubah bentuk. Tetapi manusia perlu diadun ibarat tanah liat yang dibakar untuk membuat pasu. Diproses dengan teliti, dengan sabar, untuk menjadi pasu yang cantik dan bernilai.

Kita gerakkan diri kita dengan pacuan keimanan

Pastinya akan datang rasa lemah. Rasa tak nak buat. Rasa malas. Rasa letih dan sebagainya.

Itulah sebabnya kami para penumpang bahtera memulakannya dengan mengenal Allah. Bila rasa penat, rasa letih, rasa malas, kita ingat janji-janji Allah yang hendak membayar segala keletihan kita. Kita pandang sedikit ke hadapan dan melihat nerakaNya, apakah kita mahu ke sana?

Kita ingat betapa Allah suruh manusia itu berusaha, kita mengenang betapa Allah itu Maha Pemurah memberikan itu dan ini kepada kita, dan kita membayarNya dengan putus asa?

Kita melihat sejenak syurga yang penuh kenikmatan yang dijanjikan oleh Dia. Tidak cukup dengan penuh nikmat, kekal abadi pula kita di dalamnya. Dan kita hendak mendapatkannya dengan bersenang lenang serta bersambil lewa? Mustahil!

Memang tidak patut.

Langsung tidak patut.

Kemudian kita lihat pula sekeliling kita. Mana yang lebih banyak? Yang membawa kita ke arah kebaikan, atau yang membawa kita ke arah kejahatan? Jadi, apakah jika kita tidak melakukan apa-apa, atau sekadar mahu menanti ramai sahabat baik ada bersama dengan kita sahaja, maka tidak akan ada anasir-anasir buruk menjengah kita?

Mustahil.

Di sinilah kita sepatutnya melihat urgensi proses tarbiyah.

Walaupun seorang diri, kita perlu menggerakkannya.

Bukan untuk sesiapa sebenarnya. Untuk diri kita juga.

Sukakah diri ni masuk neraka Allah? Kami para penumpang bahtera jelas bukan ke arah itu tujuannya.

Ya. Hanya yang beriman sahaja yang akan memacu dirinya menggerakkan proses tarbiyah kendiri ini.

Penutup: Jaga diri baik-baik

Semua orang mahu jadi baik. Tapi tidak tahu cara. Ada pula yang sudah ada kumpulan yang menggerakkan program-program kebaikan, tetapi bila terputus, maka dia larut. Ada pula yang sudah ada kumpulan usrah, ada program-program tarbawi, tetapi bila balik rumah, bila sendirian, tidak dijalankan di dalam kehidupannya..

Tragedi-tragedi ini berlaku kerana kita tidak memahami tuntutan untuk melaksanakan tarbiyah secara kendiri.

Ada cutikah dalam menjadi hamba Allah?

Tiada!

Bersama-sama sahabat baik, itu hakikatnya hanyalah penambahan kekuatan. Akhirnya yang hendak jadikan diri sendiri hamba yang Allah redha, tetap diri sendiri juga yang kena buat.

Sama-sama kita memandang lebih jauh. Pandang keluarga kita. Pandang masyarakat kita. Pandang sekali akhirat kita.

Apa yang telah kita lakukan?

Mari islah diri sambil perbaiki juga orang lain.
Tarbiyah kendiri, mari kita jalankan!
Naiklah bersama kami.

Irkam Ma’ana!

“Dan setiap mereka datang kepada Allah pada hari kiamat dengan sendiri-sendiri ” Surah Al-Isra’ ayat 13-14.

“Setiap orang dari kalian pasti diajak bicara Tuhan-Nya, tanpa penterjemah antara dirinya dengan-Nya” Hadith muttafaq alaih

“Wahai orang-orang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat)” Surah Al –Hasyr ayat 18.

Oleh: Hilal Aysraf
Baca Selanjutnya...

Larangan Allah duduk bersama orang jahat - Surah al-An'am ayat 68-69


ALLAH berfirman yang bermaksud,

“Dan jika engkau dilupakan oleh syaitan.” (Surah al-Aníam: 68) Ertinya jika syaitan menyebabkan kamu lupa untuk menghindarkan diri daripada majlis seumpama itu, kamu dimaafkan kerana sebab lupa. Bagaimanapun Allah berfirman yang bermaksud, “Maka jangan kamu duduk selepas ingat semula bersama kaum yang zalim itu.” (Surah al- An’am: 68)


Selepas kamu ingat akan amaran Allah, maka berkewajipan kepada kamu menghindarkan diri daripada majlis tersebut melainkan mereka tidak lagi bercakap menghina Islam, menghina hukum Allah SWT dan menghina Nabi s.a.w.

Ayat ini mengajar kita umat Islam, menjadi manusia mulia dan sukakan perkara yang mulia. Ia juga termasuk dalam perkara dakwah dan perjuangan.

Bukan sahaja mengajar umat Islam cintakan kemuliaan tetapi mengajar manusia sedar, bahawa orang yangmenghina Islam dan Nabinya s.a.w. adalah manusia yang jahat atau zalim bahkan kufur terhadap Allah SWT

Kemuliaan seseorang terjadi dengan Islam dan iman kepada Allah SWT, satusatunya Tuhan yang sebenar, tidak ada sekutu bagi-Nya.

Walaupun ada manusia menghina ayat-ayat Allah, perjuangan untuk menyampaikannya tetap diteruskan. Sama ada ada atau tidak orang menghina Islam, perjuangan untuk menyampaikan Islam wajib diteruskan di samping menjaga adab-adab pergaulan dengan manusia pelbagai ragam dan majlis mereka yang pelbagai jenis.

Oleh kerana itu Imam Hassan Al-Banna pernah pergi ke kelab malam bertujuan untuk menyampaikan dakwah Islam kepada penghuninya. Ertinya menghadiri kelab seumpama itu untuk tujuan menyampaikan dakwah Islam, suatu yang dipandang mulia dan diizinkan oleh syarak.

Justeru Islam menetapkan cara bersosial yang selamat daripada fitnah, memberi dukungan kepada kebaikan dan menghapuskan majlis mungkar apabila diberi kuasa memerintah. Inilah sikap kita para pejuang Islam di sepanjang zaman.

Seterusnya Allah berfirman yang bermaksud, 

“Dan tidaklah ada tanggungjawab sedikit pun atas orang-orang yang bertakwa mengenai dosa orang-orang (kafir yang mengejek-ngejek) itu. Akan tetapi (kewajipan orang-orang Islam) ialah mengingatkan (larangan Allah itu), supaya mereka bertakwa.” (Surah al-An’am: 69)

Berkata Ibnu Abbas r.a. apabila datang larangan Allah supaya tidak duduk bersama majlis kaum musyrikin dan perintah supaya tinggalkan majlis mereka, maka berkata, orang-orang Islam pada zaman Nabi s.a.w.: 

“Tidak mungkin kami boleh memasuki masjid dan tawaf di sekeliling Kaabah.”

Maka Allah menurunkan ayat yang bermaksud, 

“Akan tetapi kewajipan orangorang Islam mengingatkan larangan Allah itu.” (Surah al-An’am: 69) 

Ertinya jika kamu duduk bersama mereka, kamu hendaklah memberi peringatan tentang amaran Allah tersebut, supaya mereka jangan menghina Islam atau mengejek-ngejek ayat-ayat Allah di dalam al-Quran.

Ertinya jika kamu duduk bersama mereka, kamu hendaklah memberi peringatan tentang amaran Allah tersebut, supaya mereka jangan menghina Islam atau mengejek-ngejek ayat-ayat Allah di dalam al-Quran.

Al-Qurtubi menyebut di dalam tafsirnya bahawa ayat ini dikatakan telah dinasakhkan dengan firman Allah yang bermaksud, “Dan sesungguhnya Allah telah pun menurunkan kepada kamu (perintahnya) di dalam kitab (al- Quran), iaitu apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diejek-ejek (oleh kaum kafir dan kaum munafik) maka janganlah kamu duduk (bergaul) bersama-sama mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka.

“Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan sekalian orang munafik dan orang kafir di dalam neraka jahanam.” (Surah al-Nisa’: 140)

Dalam sejarah Islam, Allah SWT telah memberi keringanan kepada umat Islam untuk bergaul dengan golongan musyrikin Makkah sebelum pembukaan kota suci tersebut sebagai “taqiyyah” (takut menzahirkan Islam dalam keadaan tertentu)

Oleh: TG Haji Abdul Hadi Awang (Presiden PAS)
Baca Selanjutnya...

Wednesday 11 April 2012

Respon Hilal Asyraf kepada Jawapan Balas Tun Dr Mahathir

 
Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barokatuh,

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT, kerana atas rahmat dan kasih sayangNya, Dia masih membenarkan lagi kita meneruskan kehidupan, membuka peluang untuk bertaubat, dan ruang untuk kita melakukan kebaikan.

Alhamdulillah, tempoh hari Tun Dr Mahathir telah melontarkan soalan-soalannya kepada saya di:


Saya telah respon dengan jawapan saya di:


Pada 02 April 2012 pula, Tun Dr Mahathir telah memberikan respon di:


Maka suka untuk saya memberikan respon saya kepada jawapan Tun yang terakhir itu sebagai penegasan saya kepada stand saya.

Saya harap, Tun sebagai seorang pemimpin yang bijaksana dan terbuka, bersedia juga untuk mendengar pandangan saya terhadap jawapan beliau. Semoga jawapan saya ini memberikan manfaat kepada kita semua.

Saya akan letakkan sekali jawapan-jawapan, statement-statement, dan persoalan-persoalan Tun di dalam artikel ini, dan respon saya akan wujud di bawah garisannya.

Respon saya ini agak panjang. Saya berharap, pembaca mengambil masa membacanya dengan baik.

Tun Dr Mahathir yang saya kasihi kerana Allah SWT,

————————————–

1. Saya ucap terima kasih kepada Hilal Asyraf kerana menjawab dengan panjang lebar soalan-soalan saya.

————————————–

Saya mengucapkan sama-sama. Sungguh saya sangat senang hati Tun sudi baca walaupun panjang. Nyata itu menunjukkan kerendahan hati Tun. Kala ada orang mempersoalkan mengapa saya menulis panjang lebar, Tun dengan lapang hati tidak kisah, bahkan sanggup membacanya.

Itu nyata menambahkan rasa hormat saya kepada Tun.

Saya yang sepatutnya mengucapkan terima kasih. Terima kasih Tun.

————————————-

2. Sebenarnya saya membuat soalan-soalan kerana ingin mendapat pengesahan berkenaan reaksi terhadap apa yang telah diucapkan oleh saya berkenaan hudud.

3. Jawapan Hilal mengesahkan apa yang saya syaki, iaitu Hilal dan mungkin ramai orang Islam lain berpendapat bahawa wahyu Allah s.w.t. seperti yang terdapat dalam Al-Quran adalah setaraf dengan Hadith sohih Bukhari, iaitu kesahihan yang dibuat oleh manusia biasa walaupun pakar dalam bidang Hadith.

————————————–

Ya. Saya sebenarnya sudah dapat agak itu tujuan Tun. Sebab itu saya berusaha menjawab dengan rujukan. Sebagai tanda jawapan saya punya asas. Tiadalah saya menjawab sekadar mendengar orang kata, atau berfikir menggunakan fikiran saya semata-mata.

‘Setaraf dengan hadith sohih bukhari’ ini satu kenyataan yang silap, Tun yang saya kasihi. Yang saya nyatakan, hadith, as-sunnah, yang Rasulullah SAW benar-benar buat itu.

Manakala berkenaan Hadith Sohih Bukhari, saya hanya menyatakan taraf kekuatannya yang setakat ini masih tidak dinafikan para ulama’. Sudah saya nyatakan mengapa dan kenapa. Bahkan saya juga menyatakan bahawa, sekiranya terdapat juga apa yang kita rasa silap pada Bukhari ini, boleh kita kaji dengan ilmu jarah wa ta’dil.

Saya rasa, saya jelas tulis berkenaan bagaimana perlunya kita kembali kepada ilmu jarah wa ta’dil, ilmu periwayatan hadith, merujuk kitab-kitab ar-rijal untuk perkara sedemikian.

Perkara ini, Imam Al-Bukhari pun tidak terkecuali. Cuma, Imam Al-Bukhari, walau disaring seketat ini, tiada yang dapat menafikan keampuhan hadith-hadith yang diriwayatkan olehnya. Itu maksudnya, Tun.

Jadi, sekiranya kita masih hendak meragui betapa mantapnya hadith-hadith yang diriwayatkan oleh seorang Imam Al-Bukhari, maka pergilah kita nilai periwayatannya. Saya terangkan dengan detail tempoh hari, adalah supaya kita tidak semata-mata menilai Bukhari, hatta imam-imam perawi hadith lain, sewenang-wenangnya.

Perkara ini ada ilmunya Tun. Ibarat kalau kita mahu cabut gigi yang sakit, bukan dicabut semberono sahaja. Ada tekniknya kan Tun? Sebab setahu saya, kalau kita main cabut sahaja, maka gigi kita akan tumbuh dalam keadaan tidak tersusun, tidak cantik.

Saya kira, begitulah juga ilmu periwayatan hadith. Mahu nyatakan satu-satu hadith itu tidak benar, maka perlulah melalui ‘teknik’nya.

Itu mesej saya apabila saya terangkan dengan panjang lebar tempoh hari, Tun.

—————————————–

4. Lebih teruk lagi ialah pendapat bahawa ada ayat Al-Quran yang sudah dimansuh tetapi masih boleh dibaca iaitu baca tanpa terima.

5. Tidak pula disebut ayat yang mana yang telah dimansuh. Apakah yang dimansuh ini ialah ayat yang bertentangan dengan Hadith yang dikatakan sohih?

——————————————

Tun yang saya kasihi kerana Allah SWT,

Telah saya berusaha nyatakan dengan sebaik mungkin, bahawa perkara itu(pemansuhan), perlu kita menyelam pula ke dalam ilmu nasakh wa mansukh. Perkara ini Tun, semuanya telah didokumentasikan. Telah dikaji. Tun boleh buka kitab seperti ‘Ulum Al-Quran karangan Allahyarham Sheikh Fadhl Hassan ‘Abbas, ulama’ terkenal dalam bidang Al-Quran di Jordan. Anak muridnya, Dr Muhammad Jamal adalah guru saya dalam bidang tafsir Al-Quran.

Ayat Al-Quran ada yang dimansuhkan hukumnya, tetapi dikekalkan bacaannya. Saya tak nyatakan tempoh hari, kerana saya tak rasa itu perlu dalam perbincangan tempoh hari. Tun pun mahu seringkas yang mungkin, dan saya pula menyedari penulisan saya sudah panjang. Tetapi Tun minta kali ini, saya berilah beberapa contoh:

1 – Ayat 184 Surah Al-Baqarah: “dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.”

Dimansuhkan dengan ayat 185 Surah Al-Baqarah: “dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.”

2 – Surah Al-Anfal ayat 65: “ Jika ada di antara kamu dua puluh yang sabar, nescaya mereka dapat menewaskan dua ratus orang (dari pihak musuh yang kafir itu); dan jika ada di antara kamu seratus orang, nescaya mereka dapat menewaskan seribu orang dari golongan yang kafir, disebabkan mereka (yang kafir itu) orang-orang yang tidak mengerti.”

Dimansuhkan dengan ayat 66 Surah Al-Anfal: “Sekarang Allah telah meringankan daripada kamu (apa yang telah diwajibkan dahulu) kerana Ia mengetahui bahawa pada kamu ada kelemahan; oleh itu jika ada di antara kamu seratus orang yang sabar, nescaya mereka akan dapat menewaskan dua ratus orang; dan jika ada di antara kamu seribu orang, nescaya mereka dapat menewaskan dua ribu orang dengan izin Allah.”

3 - Surah Al-Muzammil ayat 1-2: “Wahai orang yang berselimut!. Bangunlah sembahyang Tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa”

Dimansuhkan dengan Surah Al-Muzammil ayat 20: “Sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad) mengetahui bahawasanya engkau bangun (sembahyang Tahajjud) selama kurang dari dua pertiga malam, dan selama satu perduanya, dan selama satu pertiganya; dan (demikian juga dilakukan oleh) segolongan dari orang-orang yang bersama-samamu (kerana hendak menepati perintah yang terdahulu); padahal Allah jualah yang menentukan dengan tepat kadar masa malam dan siang. Ia mengetahui bahawa kamu tidak sekali-kali akan dapat mengira dengan tepat kadar masa itu, lalu Ia menarik balik perintahNya yang terdahulu (dengan memberi kemudahan) kepada kamu; oleh itu bacalah mana-mana yang mudah kamu dapat membacanya dari Al-Quran (dalam sembahyang). Ia juga mengetahui bahawa akan ada di antara kamu orang-orang yang sakit; dan yang lainnya orang-orang yang musafir di muka bumi untuk mencari rezeki dari limpah kurnia Allah; dan yang lainnya lagi orang-orang yang berjuang pada jalan Allah (membela ugamaNya). Maka bacalah mana-mana yang sudah kamu dapat membacanya dari Al-Quran; dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah zakat; dan berilah pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (ikhlas). Dan (ingatlah), apa jua kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah, -sebagai balasan yang sebaik-baiknya dan yang amat besar pahalanya. Dan mintalah ampun kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Itu antara contoh yang saya boleh beri. Kita masih membaca kedua-dua ayat, walau salah satu telah dimansuhkan. Jadi pada hemat saya, kita tidak patut kata perkara ini ‘lebih teruk’.

Dan bukanlah ayat-ayat ini dimansuhkan kerana bertentangan dengan hadith yang sohih.

Kita bukannya seperti Nasrani dan Yahudi yang mengubah kitab suci mereka agar selaras dengan hawa nafsu mereka.

Kenyataan Tun, seakan-akan hendak menyatakan bahawa, ada ‘tangan’ yang mengubah Al-Quran mengikut hawa nafsu mereka. Saya yakin Tun, perkara itu tidak berlaku.

Sudah saya jelaskan betapa ketatnya penyaringan yang berlaku, dan bukannya dilakukan oleh satu-dua orang. Saya berharap, penjelasan saya tempoh hari berkenaan betapa telitinya orang terdahulu di dalam Islam dalam menjaga agama, diperhatikan semula.

Bab nasakh wa mansukh ini sahaja sudah besar dan perlu didalami, digali.

Saya yakin 100% di dalam Islam tiada isu ‘kita mansuhkan ayat itu, kerana ia bertentangan dengan hadith ini. Kita nak hadith ini.”

Jika benar ada sedemikian, maka sarjana-sarjana Islam dari dulu hingga sekarang adalah pembohong besar. Dan ini pada saya nyata satu tuduhan yang berat, Tun.

——————————————

6. Berkenaan dengan Surah An-Nur, Ayat 2, (ayat yang terang dan jelas iaitu ayat Mukhamat) dan saya perturunkannya disini; “Perempuan dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari Akhirat dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan orang-orang yang beriman.”

7. Bandingkan “hukum sebat seratus kali” dengan “orang itu direjam” dalam Hadith sohih riwayat Bukhari (Dari Jabir bin Abdullah Al Ansar RA).

8. Bolehkah disamakan hukum sebat dan hukum rejam (iaitu hukum bunuh)? Siapa pun yang berfikiran waras akan berkata hukum-hukum ini amat berbeza. Justeru itu dakwaan Hilal seperti berikut, “Jelas, sekali lagi, hukum ini daripada Al-Quran dan Hadith”, memberi gambaran seolah-olah hukum dalam Al-Quran iaitu “sebat” adalah sama dengan hukum rejam dalam Hadith.” Pemikiran yang waras tidak mungkin mengaku yang sebat dengan bunuh adalah sama.

——————————————

Tun yang saya kasihi kerana Allah SWT,

Saya yakin bahawa saya pun tidak pernah kata hukum sebat dengan rejam sampai mati itu sama. Dan saya tidak rasa bahawa saya letak ayat ‘jelas, sekali lagi, hukum ini daripada Al-Quran dan hadith’ adalah untuk samakan hukum sebat dan hukum rejam.

‘Hukum ini’ itu adalah merujuk kepada hukuman yang dijatuhkan ke atas penzina. Saya jelaskan pula, ada beza yang kahwin dengan belum kahwin. Saya rasa, semua orang waras, sebab itu saya tulis begitu, sebab saya yakin orang faham saya sedang tulis apa.

Dan sekiranya diteliti jawapan saya kepada Tun tempoh hari, maka Tun akan menemui bahawa saya menyebut hukum rejam itu ada pandangan-pandangannya. Saya tidak panjangkan perkara itu secara detail kerana nyata jawapan saya telah panjang.

Ada sebahagian ulama’ menyatakan bahawa ‘rejam sampai mati’ bukan qat’ie. Itu hanya ta’zir di zaman Rasulullah SAW kerana culture pada zaman itu. Ada yang berdalilkan bahawa, rejam sampai mati ini hukum ummat terdahulu. Tambahan pula, mereka ini berpendapat bahawa ayat rejam itu telah dimansuhkan bacaan dan hukumnya sekaligus. Diganti dengan umum, semua penzina, berkahwin atau bujang, hanya dikenakan sebat 100 kali.

Ada pula sebahagian ulama’ pula berpendapat, qat’ie, kerana terdapat hadith sohih daripada kitab Sohih Bukhari dan Kitab Sohih Muslim, yang menyatakan bahawa rejam dilaksanakan di zaman Rasulullah SAW dan para sahabat meneruskannya. Diyatakan di dalam hadith yang sama juga bahawa, Allah SWT ada menurunkan ayat rejam, dan kemudian dimansukhkan bacaan ayat itu, tetapi kekal perlaksanaan hukumannya. Boleh rujuk: Sohih Muslim, III, No. 4194 dan Sohih Bukhari, VIII, No. 816.

Kalau kita buka bab nasikh wa mansukh, permasalahan rejam ini ada dibincangkan.

Dan kalau kita kembali kepada Tafsir Mafatihul Ghaib karangan Ar-Razi, dalam tafsir Surah An-Nur, perkara ini dibahaskan dengan detail, dan kesimpulannya adalah rejam memang dari Al-Quran, ayatnya telah dimansuhkan tetapi hukumnya kekal, dan sunnah nabawiyah melalui hadith yang dinyatakan di atas.

Jadi jelas, sebagaimana yang saya nyatakan tempoh hari, isu rejam ini, ada perbahasannya. Sila rujuk semula jawapan saya.

Ada yang berpendapat dengan pendapat pertama, ada yang berpendapat dengan pendapat kedua.

Justeru, bila saya nyatakan ianya ada perbahasan, maka saya sendiri tidak kata saya berpegang bahawa rejam itu sebahagian daripada hudud. Cuma tempoh hari, semasa menulis nota itu, apabila Tun menyatakan ‘hukum hudud adalah rekaan ahli fiqah’, saya letakkan juga perihal rejam kerana saya nak menegaskan bahawa, ulama’ tidaklah mereka-reka perkara itu. Jelas mereka punya asas, dan ada pendalilan mereka. Itu adalah ijtihad mereka. Bukan mereka reka ikut hawa nafsu mereka.

Maka jika mahu menolak, pada pandangan saya, tidak patut kita sekadar menyatakan itu rekaan. Kita perlu tunjukkan dalil kita pula.

——————————————

9. Memanglah Bukhari membuat kajian mendalam mengikut syarat-syarat yang Bukhari sendiri mengenakan kepada dirinya. Memang pun Hadith sohih Bukhari yang tidak bertentangan dengan ayat Al-Quran boleh diterima sebagai sohih.

10. Yang menimbul masalah ialah apabila sohih Bukhari tidak sama dengan wahyu Allah s.w.t. dalam Al-Quran – umpamanya Surah An-Nur, Ayat 2.

11. Hanya dengan berkata tidak ada percanggahan antara Hadith yang sohih dengan ayat-ayat Al-Quran bermakna menafi kenyataan. Percanggahan memang ada seperti yang disebut diatas.

12. Jawapan, “Sekiranya kita menjumpai ta’arudh (perlanggaran, percanggahan) ini, di antara Hadith yang sohih dengan ayat Al-Quran, maka hendaklah kita kaji semula apakah sebabnya. Dan biasanya, percanggahan itu bukanlah percanggahan, tetapi diantaranya disebabkan (mengikut surat kedua Hilal):

(a) “Silap dalam periwayatan Hadith”

(b) “Ayat Al-Quran itu sudah dinasakh (mansuh) hukumnya, tetapi tidak dinasakh (mansuh) bacaannya”

(c) “Atau Rasullah s.a.w. melakukan/membenarkan/melarang perkara tersebut, sebelum ayat Al-Quran turun melarang/membenarkan”

Mengikut pendapat ini “silap periwayatan Hadith” lebih mudah diterima kerana daripada 600,000 hadith kebanyakannya lemah dan tidak sohih, daripada mendakwa “ayat Al-Quran itu sudah dimansuh” sesuatu yang amat bercanggah dengan penerimaan oleh orang Islam bahawa Al-Quran itu mengumpul semua wahyu Allah s.w.t. yang disampaikan kepada Rasulnya, Muhammad s.a.w. untuk umat manusia.

——————————————

Tun yang saya kasihi kerana Allah SWT,

Silap dalam periwayatan ni Tun, pada pandangan saya yang do’if ini, kita nilai dengan ilmu. Bukan dengan akal semata-mata.

Ada ilmu untuk menilai silap dalam periwayatan hadith ini. Kerana itu adanya ilmu ‘takhrij ahadith’, yang di dalamnya dibahaskan berkenaan kitab-kitab Ar-Rijal(sejarah dan penilitian terhadap semua perawi hadith), berkenaan jarah wa ta’dil(kritikan dan pujian kepada hadith yang diriwayatkan), dan sebagainya.

Bukannya bila kita tengok nampak macam tak kena, terus kita hukum ini salah dari periwayatan. Contoh nak kata periwayatan itu silap adalah, ada orang yang diketahui nyanyuk dalam senarai perawi hadith tersebut. Maka bolehlah kita persoalkan. Contoh lain, diketahui bahawa salah seorang perawi hadith tersebut memang terkenal sebagai penipu. Maka bolehlah kita persoalkan.

Maka, sekiranya kita hendak nyatakan satu-satu hadith itu salah dalam periwayatannya, maka perlulah kita gali semua kitab-kitab Ar-Rijal, mengamalkan teknik jarah wa ta’dil, dan nyatakan di mana kecacatannya. Bukan semudah dengan: “Saya rasa hadith ini tidak sohih.”

Dan itu sama sekali tidak menafikan wujudnya ayat Al-Quran yang dimansuhkan. Saya rasa Tun, perkara nasakh wa mansukh ini, dalam teks pengajian agama yang Kementerian Pelajaran tetapkan pun ada nyatakan. Dan ini bukan bicara seorang dua ulama’. Perkara ini ada perbincangan dan perbahasannya. Jika Tun mahu nafikan, maka kemukakan rujukannya.

Kemudian, jelas bahawa saya telah memberikan penerangan yang saya nyatakan tiada percanggahan itu adalah hadith yang benar-benar datang daripada Rasulullah SAW. Saya sudah nyatakan, kalau daripada hadith yang sohih itu, tetap juga berlaku percanggahan, maka perlulah dikaji terlebih dahulu periwayatannya, atau bab nasakh wa mansukhnya.

Persoalannya, di mana kesilapan Bukhari di dalam periwayatannya? Saya memandang berat akan hal ini kerana, sekiranya kita menuduh Bukhari silap, maka kita automatik menuduh ulama’ pada zamannya, juga pada zaman-zaman selepasnya, juga silap. Sedangkan, Kitab Sohih Bukhari itu saban waktu dikaji dan dikaji.

Sekiranya yang dikatakan ‘percanggahan’ itu benar-benar ‘percanggahan’, maka perkara ini nyata besar, dan tuduhan ini diletakkan atas bahu para ulama’ terdahulu hingga sekarang. Jadi, adalah sepatutnya, jika kita mahu membuktikan ‘benar bahawa Bukhari meriwayatkan hadith yang bercanggah, dan ini adalah satu kesilapan pada pihak Bukhari’, maka datangkanlah dengan bukti bahawa Bukhari benar-benar tersilap. Bukan sekadar berkata begitu sahaja.

———————————————

13. Hilal sendiri mencatit, “Menolak apa-apa sahaja daripada Al-Quran hukumnya adalah kafir”. Surah Al-Maidah, Ayat 44 berbunyi “Oleh itu janganlah kamu takut kepada manusia tetapi hendaklah kamu takut kepadaKu, dan janganlah kamu menjual ayat-ayatKu dengan harga sedikit, dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah maka mereka itulah orang-orang kafir. Tidak pula disebut di mana-mana “tidak menghukum mengikut Hadith adalah kafir.”

———————————————

Tun yang saya kasihi kerana Allah SWT,

Antara arahan Allah SWT di dalam Al-Quran adalah:

“Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu maka terimalah, dan apa jua yang dilarang olehnya apa yang kamu lakukan, maka berhentilah.” Surah Al-Hasyr ayat 7.

Menolak hadith sohih yang memang tak mampu ditentang lagi kesohihannya(menandakan ianya memang daripada Rasulullah SAW), bukankah telah melanggar, meninggalkan perintah Allah SWT dalam surah Al-Hasyr ayat 7 ini, Tun?

Sekiranya kita mahu menolak satu-satu hadith, kita patut membahaskannya terlebih dahulu. Kita kaji terlebih dahulu. Bukan kita tolak begitu sahaja. Saya sudah nyatakan akan betapa ketatnya perkara ini perlu dijalankan.

———————————————-

14. Memansuhkan ayat Al-Quran samalah dengan menolak ayat Al-Quran dan hukumannya juga tentulah kafir. Siapakah yang memansuhkan ayat Al-Quran dan ayat yang mana yang dimansuhkan? Tidak ada bukti yang Nabi yang memansuhkannya. Jika sebelum diterima wahyu, Rasullah s.a.w. melakukan/membenarkan/melarang perkara tersebut, apakah apabila kemudian Nabi Muhammad menerima wahyu dari Allah s.w.t. maka Nabi akan menolak wahyu dan mengekalkan pendapatnya yang terdahulu?

———————————————-

Tun yang saya kasihi kerana Allah SWT,

Sekiranya kita mendalami ayat-ayat Allah SWT, Allah sendirilah yang sebut fasal nasakh wa mansukh ini Tun. Pembaca Al-Quran yang mentadabbur Al-Quran, kalau pun tidak arif dalam isu nasakh wa mansukh, akan mengetahui bahawa perkara itu ada.

Hal ini kerana, Allah SWT sendiri menyebut dalam firmanNya:

“Ayat mana saja yang Kami nasakhkan, atau Kami jadikan (manusia) lupa kepadanya, Kami datangkan yang lebih baik daripadanya atau yang sebanding dengannya. tidakkah kamu mengetahui bahwa Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu” Surah Al-Baqarah ayat 106

“Dan apabila Kami tukarkan satu ayat (Al-Quran) untuk menggantikan ayat yang lain (yang dimansukhkan), dan Allah memang mengetahui akan apa yang Ia turunkan, – berkatalah mereka (yang kafir): “Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) hanyalah seorang pendusta”; (padahal Nabi Muhammad tidak berdusta) bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui hakikat yang sebenarnya.” Surah An-Nahl ayat 101.

Bukannya Rasulullah SAW yang mansuhkan. Allah yang mansuhkan. Apakah sekarang ini, selepas membaca ayat-ayat ini, kita nak kata Rasulullah SAW pula yang reka-reka ayat ini? Allah telah siap-siap sebut bahawa memang akan ada yang tuduh Rasulullah SAW itu pendusta.

Tiada manusia yang memansuhkan ayat Al-Quran. Jelas, kalau manusia yang buat, kita akan kata dia kafir. Tetapi masalahnya Tun, yang mansuhkan ni, Allah. Maka, mustahil Tuhan kita kafir.

Sekiranya kita masuk di dalam ilmu asalib bayan(cara-cara penyampaian) Al-Quran, dan i’jaz Al-Quran(mukjizat Al-Quran), kita akan melihat betapa sempurnanya Al-Quran dari segi susunan bahasa. Bahkan, setiap kalimat yang wujud di dalam Al-Quran, adalah signifikan semuanya. Mustahil manusia mampu melakukan sedemikian rupa. Rujukan saya akan hal ini adalah Kitab Asalib Bayan, dan Kitab I’jaz Al-Quran karangan Allahyarham Dr Fadhl Hassan ‘Abbas.

Maka jelas, sekiranya ada campur tangan manusia di dalam Al-Quran kita sekarang, kita akan menjumpai kedangkalannya. Sebab itu antara kewajipan kita mengekalkan teks arab untuk Al-Quran, kerana teks asal itulah yang akan membuktikan kebenarannya. Tidak seperti Bible yang kini tidak lagi menggunakan bahasa asalnya, dan jelas kita nampak banyak kelemahannya hasil campur tangan manusia di dalamnya.

Jadi, saya amat yakin tiada campur tangan manusia di dalam hal ini, dan pemansuhan itu dilakukan oleh Allah SWT sendiri. Sekiranya ada campur tangan manusia, jelas Al-Quran akan menjadi dangkal dan janggal bacaannya.

Kita boleh cuba perkara ini dengan membaca Al-Quran-Al-Quran palsu yang direka oleh musuh-musuh Islam. Akan menjadi jelas apa yang saya sebutkan ini.

————————————

15. Bolehkah kita terima bahawa Rasulah s.a.w. ingkar dan menolak wahyu dari Allah s.w.t.? Ini tidak masuk akal dan tidak disebut di mana-mana.

———————————–

Ya. Memang tidak masuk akal. Saya sendiri tidak sebut begitu. Saya sudah jelaskan sebelum ini akan hal ini.

————————————

16. Tidak mungkin Hadith disamakan dengan wahyu Allah s.w.t. Hadith bergantung kepada periwayatan, penilaian/kajian oleh manusia biasa sedangkan wahyu Allah oleh Rasullah s.a.w. untuk umat manusia.

———————————-

Tun yang saya kasihi kerana Allah SWT,

Saya rasa, salah faham hanya akan berlaku, sekiranya kita sama ratakan semua hadith yang diriwayatkan oleh pelbagai jenis perawi. Yang saya nyatakan setaraf dengan wahyu Allah SWT, adalah hadith yang sohih yang memang daripada Rasulullah SAW. Telah saya nyatakan tadi perkara ini.

Sekiranya tidak setaraf, maka buat apa Allah SWT berikan autoriti kepada Rasulullah SAW agar perintah baginda dan larangan baginda diikuti seperti di dalam Surah Al-Hasyr ayat 7?

Buat apa Allah SWT berfirman di dalam surah An-Najm ayat 2-4, yang bermaksud:

“Rakan kamu (Muhammad yang kamu tuduh dengan berbagai tuduhan itu), tidaklah ia menyeleweng (dari jalan yang benar), dan ia pula tidak sesat (dengan kepercayaan yang salah). Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan ugama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Melainkan yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya”

Dan hadith Rasulullah SAW juga untuk seluruh ummat manusia.

Kalau hendak diperbahaskan dengan lebih detail dan panjang, Al-Quran pun ada penilaian dan kajian oleh manusia biasa. Sebab itu zaman berzaman, wujud pentafsir Al-Quran yang mentafsirkan Al-Quran.

Cubalah Tun santuni tafsir-tafsir para pentafsir dari zaman berzaman seperti Kitab Mafatihul Ghaib karangan Ar-Razi, Tafsir At-Tobari oleh Muhammad ibn Jarir, Tafsir Ruuhul Ma’ani oleh Imam Alusi, Tafsir Fi Zilalil Quran karangan Syed Qutb dan sebagainya.

Tinggalnya, kalau hendak kita lihat ‘kurang’nya hadith berbanding Al-Quran adalah, hadith ada yang diriwayatkan dengan makna tanpa lafaznya yang asal. Manakala Al-Quran, kita riwayatkan dengan teksnya yang asal.

Manakala dari segi periwayatan dan sebagainya, saya telah jelaskan di dalam jawapan saya tempoh hari. Al-Quran pun diriwayatkan juga. Kita boleh rujuk semula ilmu yang membahaskan berkenaan pembukuan Al-Quran.

Kita membahaskan hadith, kita juga membahaskan Al-Quran. Perkara ini berjalan zaman berzaman. Perkara ini berlaku, kerana autoriti Al-Quran dan Hadith adalah sama. Hanya akan jadi tidak sama, sekiranya ayat An-Najm 2-4 itu tidak wujud. Tetapi ayat itu nyata wujud, menguatkan bahawa hadith Rasulullah SAW, apa yang Rasulullah SAW buat, suruh, larang, semuanya adalah wahyu daripada Allah SWT.

Maka dengan itu saya tidak nampak ini ‘persamaan taraf antara hadith dan Al-Quran’ sebagai satu masalah, satu keraguan, Tun.

Saya rasa, mungkin ramai orang salah faham berbezanya antara ‘hadith’/’sunnah’ dengan ‘ilmu hadith’/’ilmu sunnah’. Sama macam ramai orang salah faham terhadap berbezanya ‘Aqidah’, dengan ‘ilmu Aqidah’.

————————————

17. Manusia terdedah kepada berbagai-bagai kelemahan dan kesilapan. Nabi Muhammad adalah Rasul dan Baginda tidaklah seperti manusia biasa dengan kelemahan-kelemahan mereka.

————————————

Itu kita akui, Tun. Rasulullah SAW adalah maksum. Nyatanya baginda tidak akan sesekali sama dengan kita, manusia biasa ini.

———————————–

18. Umat Islam sekarang ini berada dalam keadaan yang buruk dan terhina. Negara mereka diserang, dilanda dan dihancurkan. Ratusan ribu orang Islam dibunuh, diseksa, ditawan; sekatan makanan dan ubat-ubatan menyebabkan beribu-ribu kanak-kanak dan orang tua mati. Agama Islam dicemuh, dikatakan agama pengganas yang dibawa oleh Nabi yang dikatakan ketua pengganas dan bermacam lagi.

19. Al-Quran berkata segala yang baik datangnya dari Allah s.w.t. dan segala yang buruk datangnya dari kita sendiri.

20. Bagi saya adalah jelas keburukan yang menimpa umat Islam adalah kerana perbuatan kita sendiri.

21. Untuk mengenalpasti apa yang salah yang dilakukan oleh umat Islam, saya membaca Al-Quran untuk mendapat panduan darinya. Dan saya dapati sungguh banyak daripada ajaran dan panduan yang terdapat dalam Al-Quran tidak diamalkan oleh kita. Ada juga yang ditolak oleh kita untuk mematuhi ajaran daripada punca lain.

—————————————

Ya. Bahagian ini, saya nyata bersetuju dengan Tun. Memang benar, kehinaan yang kita terima hari ini adalah kerana kesilapan kita sendiri. Membelakangkan ajaran Allah SWT yang sebenar.

Kita telah meninggalkan cara hidup Islam yang sebenar, mengambil sistem lain sebagai perlembagaan untuk mentadbir negara kita, dan membiakkan korupsi, serta meninggalkan keadilan yang sebenar. Isu seperti kronisme, nyata memberikan kita hentaman yang sangat teruk kepada kepimpinan negara, sekaligus memberikan kesan kepada rakyat marhein.

Kita biarkan maksiat berleluasa bebas, memudahkan urusan-urusan kemungkaran, membuka peluang kepada hedonisme untuk meracun kehidupan masyarakat, dan menyempitkan pandangan manusia terhadap Islam yang sebenar.

Ada pula dari kalangan kita menggunakan agama sebagai ‘senjata’ untuk menjatuhkan lawan, menjatuhkan saingan, menyebabkan akhirnya salah faham terhadap agama itu sendiri membiak. Kita letak agama atas nama bangsa, menyebabkan agama kelihatan lebih sempit, memberikan pandangan negatif terhadap Islam itu sendiri.

Kita warnakan Islam dengan pelbagai warna, mengikut hawa nafsu kita.

Ya, ini semua salah kita sebenarnya, yang meninggalkan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai perlembagaan hidup.

—————————————-

22. Apabila sahaja datang orang yang pandai bercakap maka kita mengikuti mereka. Sebab itu ada Ashaari dan Ayah Pin. Dan banyak pula tarikat diadakan yang tidak menepati ajaran Islam.

23. Dan ramai juga yang lebih percaya kepada punca ajaran yang tidak dari Al-Quran, bahkan bertentangan dengan Islam.

24. Sebaliknya kita tahu Islam adalah Ad-deen, cara hidup. Dan sesungguhnya terdapat panduan yang jelas dalam Al-Quran berkenaan cara hidup bagi orang Islam. Dan jika cara hidup ini diamalkan maka tetap orang Islam akan berjaya, akan terpelihara daripada keburukan yang disebut tadi.

—————————————–

Tun yang saya kasihi kerana Allah SWT,

Sebab itu saya tegaskan dalam jawapan saya kepada Tun tempoh hari bahawa, punca ajaran Islam yang sebenar hanyalah Al-Quran dan As-Sunnah. Bukan fatwa ulama’, bukan ajaran tuk-tuk guru. Fatwa ulama’ dan ajaran tuk-tuk guru itu sendiri perlu mengikuti, selaras, dengan apa yang Al-Quran dan As-Sunnah gariskan.

Saya tegaskan sedemikian kerana, saya tidak mahu masyarakat kita kekal dalam ‘taklid buta’. Ikut semberono, mendewa-dewakan ulama’ hingga ke aras yang tidak sepatutnya.

Saya sendiri kurang senang dengan herdikan – hei, dia itu ulama’, dia tahu lah. Jangan pandai-pandai tegur dia – sebagaimana saya juga kurang senang dengan herdikan – dia itu Perdana Menteri, dia mestilah tahu semua – sebab jelas untuk saya, itu semua argumentasi yang tidak matang.

Kerana itu, pertama sekali, sebelum kita pergi kepada rakyat marhein, maka kita perlu tekankan kepada para ulama’ dan kepimpinan negara agar amanah, dan jujur, dalam membawa Al-Quran dan As-Sunnah yang sebenar. Bukan menggunakan hanya sebahagian ayat bagi memenangkan perjuangan mereka, dan meninggalkan pula sebahagian yang lain yang tidak selari dengan perjuangan mereka.

Kerana dua golongan inilah yang akan mempengaruhi masyarakat marhein dan ‘memerangkap’ pemikiran mereka.

Sebab itu, saya tidak pernah bersetuju dengan sekadar orang menggertak dengan: “Ini kata ulama’ tau!” atau “Ini Perdana Menteri cakap!” dan sebagainya. Kerana itu ‘memenjarakan’. Sedangkan yang kita perlu adalah perbahasan secara terbuka, bersama rujukan, bersama pendetailan, mengimbang kedua-dua pandangan dan melakukan pengkajian.

Saya rasa, kalau rakyat kita dididik dengan perkara ini secara serius, maka tidak akan berlaku isu ramai orang mengikut Abuya(Arqam) dan Ayah Pin.

Nyatanya, apabila saya memberikan rujukan, saya seakan mengajak masyarakat membuka kitab-kitab tersebut, bukan sekadar dengar ulama’ kata, bukan sekadar dengar pemimpin kata. Sebagaimana saranan Tun, jangan sekadar dengar orang yang pandai bercakap sahaja, terus ikut.

Sebab itu saya memberikan rujukan.

———————————————-

25. Tafsiran ajaran Islam yang berbeza-beza, mengutamakan Hadith lebih dari Al-Quran, fatwa yang dibuat yang tidak membantu umat Islam, dan kesediaan mengikut nafsu dan tidak akal fikiran, ghairah untuk menunjuk-nunjuk betapa kuatnya ke-Islaman kita – semua ini menyumbang kepada keburukan yang menimpa umat Islam.

26. Sesungguhnya umat Islamlah yang bersalah, terutama kerana membelakangkan wahyu Allah s.w.t. dalam Al-Quran. Selagi kita tidak mengaku kesalahan kita, selagi kita tidak kembali kepada ajaran Islam yang sebenar iaitu yang didapati dalam Al-Quran serta Hadith sohih dan fatwa-fatwa yang tidak bertentangan dengan Al-Quran, selama itulah kita akan berada dalam keadaan terhina dan tertindas.

————————————

Tun yang saya kasihi kerana Allah SWT,

Saya tidak nafikan memang kebanyakan ummat Islam hari ini, hidup dengan membelakangkan Al-Quran dan As-Sunnah.

Saya sentiasa nampak, kedua-duanya perlu bergerak seiring.

Saya bersetuju dengan betapa buruknya jika kita sekadar ghairah menunjuk-nunjuk kuatnya ke-Islaman kita. Memang benar, ini hanya akan menyumbang kepada keburukan yang menimpa ummat Islam hari ini.

Ramai menilai baiknya Islam kita semata-mata pada pakaian, semata-mata kepada bahasa ana-enta. Pada banyaknya masjid. Pada indahnya seni Islam pada bangunan-bangunan kita. Sedangkan Islam lebih luas daripada itu. Islam perlu dibina dengan kefahaman, justeru masyarakat perlu dididik dengan asas-asas dan cara hidup Islam yang sebenar. Itu yang patut kita utamakan, agar dapat membina rakyat yang kuat dan bersih kefahamannya. Barulah selepas itu, pakaian, bahasa, masjid yang kita bina, seni Islam yang wujud pada bangunan-bangunan kita, punya maknanya.

Saya juga bersetuju dengan Tun dalam keperluan kita kembali kepada Al-Quran, dan hadith sohih, serta apa-apa yang tidak bertentangan dengan Al-Quran dan As-Sunnah As-Sohihah itu sendiri.

———————————–

27. Saya akui ada hukum potong tangan si pencuri. Tetapi pelaksanaannya mestilah mengambil kira keadaan. Jika kita tidak dapat laksanakan hukum ini kepada semua kerana perbezaan agama dan kemungkinan huru-hara berlaku, adalah lebih baik kita tidak laksanakan hukum ini keatas orang Islam sahaja sehingga berlaku ketidakadilan.

28. Saya tidak berkata orang Melayu banyak yang mencuri tetapi hakikatnya jumlah mereka yang mencuri di negara ini lebih ramai daripada orang bukan Islam. Hukuman yang berbeza antara rakyat sebuah negara tetap akan memperlihatkan ramai orang Melayu yang kudong tangan sementara orang bukan Islam kena dua bulan penjara. Adilkah ini?

————————————

Tun yang saya kasihi kerana Allah SWT,

Maka akhirnya, Tun mengakui. Maka jelas, ini bukan rekaan ulama’ fiqah.

Ya, saya bersetuju dengan Tun sekiranya Tun menyatakan perlaksanaannya perlulah mengambil kira keadaan. Tetapi untuk saya, saya kekal percaya bahawa ‘keadaan masyarakat majmuk’ bukanlah halangan untuk melaksanakannya.

Izinkan saya memberikan pandangan saya berkenaan hal ini. Mungkin Tun dapat menelitinya. Ini sekadar pandangan saya.

Tun yang saya hormati, saya lebih percaya bahawa, antara halangan yang besar untuk melaksanakan hukum ini adalah kerana ‘para pemimpin negara sendiri masih belum dipersoalkan pengambilan harta-harta mereka’. Hudud ini asasnya adalah keadilan. Tun sendiri sebut tempoh hari. Adil diulang berkali-kali di dalam Al-Quran. Saya sendiri tidak bersetuju sekiranya hukum hudud ini disalah guna untuk menjatuhkan musuh politik atau membuatkan rakyat tunduk buta kepada kerajaan dan sebagainya.

Maka, saya melihat, yang pertama sekali perlu kita tegakkan hudud ini adalah kepada pemimpin, sebelum kita sibuk mahu menghukum rakyat. Saya sendiri tidak bersetuju jika rakyat yang mencuri roti kerana miskin kita hukum, tetapi pemimpin yang kaya raya tanpa kita tahu datang daripada mana hartanya tidak dipersoalkan dan tidak diberikan hukuman hudud ini.

Bahkan, di dalam peraturan untuk menjalankan hukum hudud itu sendiri adalah ketat. Saya sebelum ini beberapa kali menyatakan bahawa saya tidak arif akan persoalan ‘bagaimana hukum hudud itu perlu dijalankan’. Namun alhamdulillah, baru-baru ini Dr Asri Zainal Abidin bertandang ke Jordan, saya sempat berdiskusi dengannya akan hal perlaksanaan hudud ini.

Dengan diskusi bersamanya itu, saya bertambah yakin bahawa, hukum hudud itu dilaksanakan dengan penuh adil dan saksama. Tiada ummat Islam akan rugi, sekiranya hukum hudud ini dijalankan secara benar, jujur dan amanah.

Sekiranya kita takut orang melayu rugi kerana ramai yang kudung, maka sudah tiba masanya kita lakukan beberapa perkara.

1 – Memastikan sistem urusan pembayaran zakat mantap dan kemas. Semua bayar, dan semua zakat yang dibayar itu pula diberikan kepada yang berhak. Bukan pergi ke tempat lain yang tidak sepatutnya.

2 – Menghukum dan membuang mereka yang tidak amanah dalam menguruskan duit zakat, seterusnya menggantikan dengan yang lebih amanah, dan mengetatkan pemerhatian terhadap isu zakat.

3 – Mengenal pasti orang yang miskin, dan utamakan zakat kepada mereka. Pastikan ada progres kenaikan taraf hidup seperti diberi peluang pekerjaan, dan sebagainya.

Pada hemat saya Tun, sekiranya perkara ini berjalan dengan baik, selepas itu, kalau ada juga orang mencuri, memang patut dipotong tangannya sahaja sebagai pengajaran. Apabila telah terhapus ‘sebab untuk mencuri’, pergi mencuri juga, memang patut dikenakan hukuman yang berat kerana mencemarkan keadaan yang harmoni yang telah kita bina. Dan ini tidaklah kita laksanakan kerana ‘kita geram’ dan sebagainya. Kita pilih potong tangan, kerana memang Allah SWT yang sebut kena potong tangan.

Potong tangan ini Tun, sekadar yang saya faham, bukan semua kecurian kita potong tangan.

Ketika saya bersembang dengan Dr Asri Zainal Abidin tempoh hari, dia menyatakan bahawa kerajaan terlebih dahulu perlu bertanggungjawab menyediakan suasana yang kondusif, memberikan hak-hak yang sepatutnya, telus dan amanah dalam pengurusan zakat, dan pemimpinnya sendiri tidak korup dan merampok harta negara. Dalam suasana yang harmoni itulah, hudud dijalankan. Bila dijalankan pula, ada peraturannya. Curi, bukan semua curi kena potong. Ada kadarnya. Kemudian kalau mencuri sebab lapar, sebab miskin, kerajaan yang kena check balik, kenapa sampai boleh lapar dan miskin rakyat ini? Kerajaan buat apa sampai dia lapar dan miskin?

Begitulah yang sebenarnya saya faham Tun.

Jadi, saya tidak nampak ruginya perkara ini Tun. Bahkan, ini memberikan imej yang baik kepada orang Islam, Tun.

Jadi, saya bersetuju ‘keadaan sekarang’ bukan keadaan yang pantas untuk kita laksanakan hudud. Maka, kita patut berusaha ubah keadaan ini. Bukan asyik menyalahkan keadaan, dan menjadikan keadaan sebagai alasan.

————————————

29. Hukum bunuh orang yang murtad adalah juga dari Hadith. Hukum ini bukan dari Al-Quran.

Hudud

30. Dalam Quran hudud diterjemah dengan perkataan “had” atau dalam Bahasa Inggeris “limit”. Had bermakna “setakat itu” tidak boleh lebih daripada itu.

31. Hukum-hukum yang terdapat dalam Al-Quran adalah hukum yang maksimum, yang tertinggi yang boleh dikenakan. Ini bermakna hukum yang kurang daripada yang tertinggi juga boleh dikenakan.

32. Tetapi kita asyik dengan nafsu yang ingin menunjuk-nunjuk betapa kerasnya pegangan kita kepada agama Islam. Justeru itu kita tafsir hudud bermakna yang tertinggi sekali daripada hukuman yang mungkin dijatuhkan mestilah dikenakan setiap kali.

33. Al-Quran dan agama Islam memberi banyak kelonggaran kepada pengamalan agama kita. Islam bukan diturunkan oleh Allah s.w.t. untuk menjadi beban kepada penganutnya.

34. Tetapi ramai daripada kita suka jika Islam menjadi beban yang berat supaya pengamal ajaran Islam dapat buktikan betapa kuatnya pegangan mereka kepada agama Islam. Kita suka jika kita didera sepanjang masa supaya dapat kita tunjuk betapa kuatnya iman kita. Kerana inilah wujud puak-puak yang keterlaluan dalam pengamalan agama mereka yang sering berkata orang lain kurang Islam atau tidak Islam. Dengan ini perpecahan berlaku di kalangan umat Islam sehingga mereka menjadi lemah dan mudah diperkosa oleh orang lain.

———————————————————

Tun yang saya kasihi kerana Allah SWT,

Berkenaan hukum bunuh orang murtad ini Tun, setakat yang saya faham, bukan murtad terus kena bunuh. Nyatanya tidak selari dengan Islam yang mendidik tiada paksaan di dalam agama. Orang bebas memilih.

Tetapi yang murtad kemudian dibunuh ini, adalah yang murtad kemudiannya menentang Islam secara terang-terangan. Kerana itu wujud di dalam sejarah Islam, perang menentang ahlu riddah, yang di dalamnya terdapat mereka yang mengaku Nabi, kemudian menafikan zakat. Kumpulan itu bertegas, bahkan membina kekuatan untuk menentang kerajaan Islam.

Itu pun Tun, saya yakin, bukan terus dibunuh. Diberikan masa. Dibawa kepada perbincangan. Kalau masih terus nak menentang, baru kita jalankan hukuman ini. Itu pun kalau berjaya ditangkap.

Manakala yang murtad sendiri-sendiri, kemudian dia hidup dengan kepercayaannya yang baru itu tanpa menentang Islam, memburuk-burukkan Islam, maka itu buat apa dibunuh?

Kemudian sebagai kerajaan yang adil, sebelum menghukum, mestilah diperiksa. Adalah satu tanggungjawab bagi kerajaan Islam yang sebenar, untuk reflect semula, mengapa sampai ada ummat Islam yang murtad di bawah pemerintahannya? Apa yang telah kerajaan abaikan, sehingga dia memilih untuk murtad dan melakukan penentangan? Apakah kerajaan telah zalim kepadanya, mengabaikan haknya, atau kerajaan tidak benar-benar memahamkan mereka akan Islam? Apakah kerajaan telah menyalah gunakan hukum Islam untuk menafikan hak yang dia sepatutnya dapat?

Kesempitan hidup dan rapuh fahaman agama, adalah antara dua punca terbesar untuk murtad, selain kezaliman pemerintah terhadap mereka ini. Maka, ini semua diperiksa semula.

Begitulah yang sepatutnya dilakukan, sebelum dijatuhkan hukuman bunuh. Begitu cantiknya Islam.

Maka, dengan kefahaman saya ini, saya tidak nampak salahnya ‘hukum bunuh’ untuk orang yang murtad.

Ramai orang pada saya, ‘melompat’ dari kerusi mereka dan menyatakan hukum ini kejam. Tetapi siapakah yang mendalaminya, membahaskannya dengan adil? Apakah hanya kerana ia datang daripada hadith, bukan dari Al-Quran, kita boleh sewenang-wenang mempertikaikannya? Bahkan, jelas hadith itu sohih. Jadi mengapa tidak kita persoalkan – bunuh itu bagaimana? Orang murtad yang macam mana sampai k2ena bunuh? –

Mengapa kita suka memilih untuk terus kepada – hukum ini bukan dari Islam. Hukum ini kejam. – dan sebagainya? Takkan Islam sekejam itu?

Tun yang saya kasihi, Saya tidak pasti siapa yang Tun maksudkan dengan menunjuk-nunjuk itu. Saya berlepas tangan daripada mereka. Saya juga tidak bersetuju kita ‘sekadar nampak hebat’ dengan mengangkat hukum-hukum yang keras. Saya sendiri tidak pernah berbangga dengan kerajaan yang mengamalkan hudud kepada rakyat, tetapi pemimpin-pemimpinnya terlepas dan tidak dipersoalkan. Saya sendiri tidak bersetuju, hudud dijalankan dengan rakus, tanpa kita sedarkan juga akan kepentingan dan keluasan taubat.

Saya sendiri tidak bersetuju kita mengangkat hukum hudud terlebih dahulu sebelum kita usaha ‘bersih’kan negara kita, sebelum kita berikan rakyat haknya, sebelum kita educate rakyat dengan Islam yang sebenar, sebelum kita mampu memberikan pandangan yang bersih terhadap Islam kepada rakan-rakan non muslim di negara kita.

Saya tidak pernah menafikan kewujudan ekstrimis. Saya tidak pernah menafikan, wujud pelbagai kesilapan dalam hendak mengamalkan Islam yang dilakukan oleh mereka yang berautoriti ustaz, ulama’. Tetapi ini tidak boleh membatalkan hukum itu. Yang salahnya, golongan ekstrimis itu, golongan yang berautoriti ustaz dan ulama’ yang silap dalam pengurusan hukum Islam.

Maka, golongan itulah yang perlu kita tentang. Kita persoalkanlah mereka. Mengkritik pengurusan, berlainan dengan mengkritik nas.

Satu contoh: Saya setuju kita mengkritik cara pengurusan Mahkamah Syari’ah yang hari ini jelas membebankan. Tetapi saya tidak sama sekali bersetuju kita mengkritik kewujudan Mahkamah berteraskan Syari’ah itu di dalam kerajaaan. Itu satu contoh.

Kritik pengurusan, kita boleh baiki dan tingkatkan pengurusannya. Tetapi kritik ‘perkara’nya, mahu pula perkara itu datang daripada Allah dan Rasulullah SAW, kita manusia yang biasa ini nak ‘baiki’ dan ‘tingkatkan’ macam mana perkara itu?

Contoh lain: Saya setuju kita kritik orang yang amal poligami. Tetapi saya tidak pernah bersetuju kita kritik ‘poligami’ itu sendiri hingga ingin mengharamkan poligami. Kita boleh betulkan orang yang silap dalam pengamalan poligami, hingga kelihatan seperti poligami ini satu kezaliman kepada wanita. Tetapi kalau nak kritik ‘poligami’ itu sendiri, apakah kita nak ‘cancel’kan apa yang Allah nyatakan boleh?

Kelonggaran di dalam Islam juga berprinsip Tun. Contoh, di dalam kapal terbang, Islam bagi kelonggaran untuk solat duduk jika tiada tempat nak solat. Boleh tayammum, sebab mustahil tandas yang sedikit mampu menampung ramai penumpang yang nak solat. Apatah lagi, tandas di dalam kapal terbang perlu digunakan untuk kegunaan yang lebih penting seperti membasuh najis. Jadi Islam benarkan solat duduk, dan tayammum.

Tetapi Islam tidak benarkan kita tinggal solat.

Begitu rupa ‘kelonggaran’ di dalam Islam.

Longgarnya berprinsip, bukan buat ikut apa akal kita rasa semata-mata.

Jadi, saya setuju kita boleh lambatkan perlaksanaan hukum hudud. Kita memang perlu lambatkannya, kerana jelas keadaan hari ini tidak membenarkan. Maka kita perlu perbaiki keadaan hari ini, sebagaimana yang telah saya jelaskan.

Namun ini tidak bermakna, hukum hudud itu tertolak dan terbatal.

Tetap satu hari nanti, kita perlu laksanakan hukum potong tangan kepada pencuri.

———————————————-

35. Ya. Saya bukan ulama. Saya tidak fasih dalam Bahasa Arab. Saya tidak terlatih seperti orang yang tidak senang dengan penjelasan saya, terlatih dan berijazah. Tetapi sebagai seorang orang Islam yang sedih dan perihatin terhadap nasib yang menimpa orang Islam saya berhak mencuba mengenalpasti sebab-sebab malapetaka menimpa kita.

36. Al-Quran juga berkata Allah SWT tidak akan mengubah nasib buruk kita sehingga kita berusaha mengubah nasib kita sendiri. Mengenalpasti sebab-sebab nasib kita menjadi buruk adalah usaha awalan untuk memperbaikinya.

————————————————

Tun yang saya kasihi kerana Allah SWT,

Saya pun bukan ulama’. Tidaklah pula saya ini pandai bahasa arab sampai fasih macam orang arab sendiri. Saya menjawab yang tempoh hari, dan menjawab kali ini pun, dengan membuka semula kitab-kitab, dan membuat beberapa kajian semula, juga bertanya kepada beberapa orang guru saya di University of Yarmouk, di samping saya diskusikan dan saring terlebih dahulu dengan rakan-rakan.

Nyatanya, saya tidak semberono, sendirian berbicara akan perkara yang jelas saya pun belum habis belajar akannya. Bahkan, saya ambil peluang lontaran persoalan-persoalan Tun ini untuk mengasah dan menambah lagi ilmu saya.

Ya, saya akui memang ada orang yang tidak senang dengan Tun. Tetapi pun saya rasa Tun, bila ada orang tidak senang dengan kita, kita boleh ambil itu sebagai peluang untuk lakukan penjelasan, atau muhasabah diri tengok apa yang kita buat sampai orang tidak senang dengan kita.

Alhamdulillah, saya sangat hormati Tun apabila Tun menyatakan keprihatinan Tun terhadap kondisi Ummat Islam. Maka sepatutnya kita perlu bermula dengan ‘islah’ diri kita terlebih dahulu Tun.

Saya nampak, malapetaka yang menimpa kita ini memang jelas adalah salah kita yang meninggalkan didikan dan cara hidup Islam. Kita perlu berusaha mengubah keadaan ini. Barisan kepimpinan itu sendiri perlu sedar bahawa mereka adalah role model, duta Islam yang terbesar. Para ulama’ memang patut menjadi terbuka dan memberikan pandangan yang seimbang dengan realiti. Utamakan apa yang patut diutamakan, bukannya membesarkan perkara yang jauh lagi dari capaian.

Masing-masing perlu bermuhasabah dan melakukan perubahan.

Kita sebenarnya telah ditimpa oleh luka-luka lama, yang bertahun menemani kita. Luka semalam belum sembuh, kita tambah dengan luka baru hari ini.

Kefahaman Islam itu perlu diperkukuhkan, pemimpin perlu adil, jujur dan amanah dalam mengangkat Islam, ulama’-ulama’ perlu sederhana dan tidak ekstrim, menunjukkan keluasan dan kesederhanaan Islam, menunjukkan keindahan dan kecantikan Islam. Barulah rakyat akan terkesan, tertarik, lantas mencontohi dan mengikuti perkara ini.

————————————————

37. Insyaallah, Tuhan tidak akan menghampa usaha dan harapan kita.

————————————————

InsyaAllah, amiin. Allah memang tidak pernah mengecewakan hamba-hambaNya.

Sebagai kesimpulan akhir, saya masih bertegas dengan jawapan saya tempoh hari. Saya tambah lagi dengan beberapa penjelasan kali ini.

Saya nampak Tun, ini sekadar salah faham. Saya tidak pasti Tun bertemu dengan ulama’ yang bagaimana, hingga Tun berpandangan seakan-akan ‘hukum hudud’ ini adalah ‘persembahan tunjuk kuat’ atau seakan-akan satu ‘masochism’(mendera diri sendiri untuk kepuasan). Cuma pada pandangan saya yang do’if ini, suka saya tegaskan di sini bahawa, perkara ini bukanlah seperti yang Tun sangkakan.

Hukum ini adil. Saya tidak nampak di mana flawnya. Dan ini saya hitung dengan logik akal saya juga. Saya bukan jenis menerima membuta tuli. Saya melihat bila kerajaan dah berikan kefahaman Islam yang sebenar, bila pemimpin pun sudah adil, harta rakyat tidak diambil bahkan hak-hak diberikan sepenuhnya, pemimpin pun tak boros bahkan sederhana, menyebabkan ‘sebab untuk melakukan keingkaran melebihi had maksimum yang diberikan’ tiada, maka memang patut pun dilaksanakan hudud yang keras itu.

Dan jelasnya, hukum hudud ini pun, nak dilaksanakan bukan dengan sambil lewa. Ketat. Jadi, banyaknya, tidak sampai pun kepada potong tangan dan sebagainya. Ini hukum hudud yang sebenarnya.

Saya nampak, kita selama ini sering melihat hudud itu dari paparan orang lain yang mungkin ada agenda politiknya. Dari negara lain yang amalkan hudud, tetapi bukan secara adil. Jatuh kepada rakyat marhein semata-mata. Amalkan pula, tidak mengikut cara yang ditetapkan Islam.

Manakala saya, sebagai pelajar agama, saya melihat perkara ini dari usulnya, dari asasnya. Saya tiada apa-apa kepentingan politik, Tun. Saya tulis ini, mewakili jiwa saya sendiri yang rasa Tun silap di dalam isu ini. Saya tidak mewakili mana-mana kumpulan dan parti. Saya juga tidak menjadikan cara perlaksanaan hukum hudud di Saudi, di Afghanistan, di Acheh sebagai kiblat saya. Saya menyatakan perkara ini dari apa yang saya belajar, dan apa yang saya faham terhadap Islam secara menyeluruh, bukan pada isu hudud semata-mata.

Satu perkara yang kita kena terima di dalam isu ini adalah, perkara ini besar dan luas. Banyak perbahasan. Banyak kajian. Banyak saringan. Sebab itu saya sebut dengan detail termasuk nama-nama ilmunya dan kitab-kitabnya. Maka janganlah apabila kita tidak mendalami perkara ini, dengan hanya melihat nasnya, dengan hanya melihat teksnya, kita interprestasi begitu sahaja mengikut minda kita. Pada saya, jelas ini tidak patut.

Itulah respon saya kepada Jawapan Tun. Saya minta maaf atas kekurangan saya. Sebenarnya, saya sedar saya bukanlah orang yang sepatutnya Tun tanya. Macam yang saya cadangkan tempoh hari, lebih baik Tun tulis soalan-soalan ini di dalam bahasa inggeris, biar semua ulama’ yang lebih berautoriti, lebih dipercayai, boleh perbahaskannya.

Saya sebenarnya jelas tidak berhajat nak membincangkan ‘bagaimana hukum hudud perlu dijalankan’. Saya hanya mahu kata pada Tun tempoh hari, “Hukum hudud bukan rekaan ahli fiqah”. Itu sahaja. Ahli fiqah tak mereka-reka perkara ni Tun. Mereka ada asas. Ada pengkajian. Maka adalah beradab, bagi kita, kalau nak batalkan, atau nak kata hukum ini rekaan, maka kita bangkitkan dengan pengkajian yang detail.

Kalau pun Tun tidak bersetuju dengan hukum rejam dan bunuh untuk murtad, tetap tidak membatalkan hukum potong tangan yang Tun pun percaya. Tetap tidak membatalkan hukum sebatan bagi mereka yang memfitnah orang lain berzina(Qazaf) dan bagi mereka yang berzina. Dan sebagainya yang jelas termaktub di dalam Al-Quran. Saya tiada masalah untuk Tun tidak bersetuju dengan perkara-perkara khilaf dan yang masih boleh diperbahaskan. Yang saya nak tegakkan adalah, hukum hudud bukan rekaan ulama’ fiqah. Ulama’ terdahulu berijtihad dengan asas. Bukan dengan hawa nafsu mereka. Saya hanya hendak buktikan itu sahaja sebenarnya. Kerana itu saya menjawab soalan tempoh hari dengan panjang lebar bersama rujukan. Saya nyatakan sekali nama guru-guru saya adalah kerana saya sedar saya masih belajar. Kalau ada kesilapan dalam penyampaian saya, dalam pendalilan saya, maka bolehlah pergi cari guru-guru saya untuk dapatkan penjelasan yang sebenarnya. Tiadalah saya berkata ini semua dengan suka-suka sahaja.

InsyaAllah, masyarakat boleh menilai diskusi kita berdua ini. Saya yakin. Inilah yang terbaik yang saya mampu berikan.

Sekian daripada saya, yang nyata jauh lebih muda daripada Tun, pangkat cucunda. Saya mohon maaf segala kekurangan, dan kalau ada terkasar bahasa.

Sampaikan salam saya kepada nenda Tun Siti Hasmah. Semoga Tun dan Tun Siti berada di dalam penjagaan Allah SWT sentiasa, bahagia hingga ke akhirnya.

Semoga Allah menumpahkan cahaya petunjukNya di dalam respon saya ini, dan memberikan manfaatnya bukan kepada Tun dan saya semata-mata, tetapi kepada masyarakat yang sama-sama membacanya.

Selepas ini, sekiranya Tun hendak melontarkan apa-apa, saya memilih untuk tidak lagi membalas. Saya rasa dengan jawapan saya tempoh hari, termasuk respon saya kepada Tun kali ini, sudah memadai. Selepas ini, sekiranya Tun kekal dengan pendirian Tun, maka itu adalah kebebasan pilihan Tun. Saya kekal dengan pendirian saya, berdasarkan rujukan-rujukan yang saya telah persembahkan. Melainkan sekiranya didatangkan kepada saya bukti-bukti yang kukuh untuk membatalkan rujukan-rujukan saya. Saya sentiasa terbuka kepada ‘saya mungkin salah’. Dan saya sentiasa faham bahawa saya masih belajar.

Sepatutnya perkara ini tidak ditumpahkan kepada saya. Saya lebih senang sekiranya hal ini diajukan kepada ulama’-ulama’ besar yang lebih layak. Nyata, saya masih belajar.

Sekali lagi saya meminta maaf. Siapalah saya sebenarnya untuk berbahas akan hal ini.

Sekian.

Seorang hamba,

Hilal Asyraf

http://langitilahi.com

Pelajar tahun akhir,

University of Yarmouk, bidang Usuluddin,

Irbid, Jordan.
Baca Selanjutnya...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Photobucket