Saturday 12 May 2012

Kemestian Menegakkan Negara Kebajikan


Rasulullah bersabda:

"الراحمون يرحمهم الرحمن، ارحموا من في الأرض يرحمكم من في السماء" رواه أبو داود والترمذي

Orang yang penyayang akan disayangi oleh Yang Maha Penyayang. Kasihanilah makhluk Allah di dunia ini nescaya anda akan dikasihani oleh Tuhan yang di langit
Hadith riwayat Abu Daud dan Termizi.

Pendahuluan

Islam adalah agama kebajikan. Ajaran Islam dalam apa jua bentuk dan bidang yang digarapnya adalah untuk kebaikan dan kesejahteraan manusia dan jin sejagat. Apabila Islam mengharamkan kezaliman maka itu adalah untuk kerukunan hidup dan kesentosaan manusia dan jin. Apabila Islam mengharamkan memakan bangkai atau binatang yang mati tanpa disembelih menurut syara’ itu adalah untuk kesihatan diri manusia itu sendiri. Apabila Islam menggalakkan amalan berkhitan bagi anak lelaki dan perempuan maka itu untuk kebersihan dan keselamatan keturunan dan zuriat manusia. Apabila Islam mengharamkan zina dan menggalak perkahwinan dan sistem hidup berkeluarga maka itu adalah juga untuk tujuan yang sama. Apabila Islam mengharamkan riba maka Islam bertujuan mengembangkan kesaksaman dan kesejahteraan dalam “Interaksi Mal” dan sistem ekonomi yang sihat di dunia ini. Ini semua untuk mencegah krisis pemikiran sosial, ekonomi, politik dan lain-lain krisis yang merosakkan ketenteraman dan kebahagiaan manusia.

Jadi Islam dalam segala prinsip akidah, norma, syariat atau perundangannya, dasar ihsan dan akhlak yang dianjurkannya amalan politik beragama dan bermoral yang menjadi saranannya adalah diturunkan untuk menjana kebajikan dan kebahagiaan manusia sejagat. Allah berfirman dalam Surah al Anbia :107

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلاَّ رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ

Kami tidak mengutusmu wahai Muhammad kecuali untuk menjadi (sumber) rahmat bagi seluruh alam.

”Dalam pola pemikiran Islam nilai al Haq (kebenaran) sangat berganding rapat dengan al Khair (kebaikan atau kebajikan). Dua nilai utama ini merupakan matlamat penting yang mesti menjadi kewajipan umat Islam untuk dilaksanakan. Tanpa kebenaran, sebuah perjuangan akan menyimpang ke kancah kebatilan. Tanpa kebajikan pula, sebuah perjuangan akan menjadi gersang dan tidak akan berupaya membawa kepada apa-apa kebaikan.

Matlamat utama agama Islam adalah untuk merealisasi kebaikan dalam diri, keturunan, akal, harta dan nama baik. Sebab itulah para ulama muktabar telah merumuskan Maqasid al Syariah merangkumi aspek-aspek perlindungan kepada agama, nyawa, zuriat keturunan, akal waras dan juga harta.”

Selaras dengan itu dapat dibuat kesimpulan bahawa menegakkan negara berkebajikan adalah sinonim dan selaras dengan hasrat menegakkan negara Islam. Kerana itu maka manifesto Pakatan Rakyat dalam pilhanraya yang lalu ialah untuk menegakkan negara dan negeri yang berkebajikan. Manusia yang menolak pola negara berkebajikan atau pola negara Islam adalah menolak rahmat dan memperbodoh diri mereka sendiri. Allah berfirman dalam Surah al Baqarah ayat 130:

وَمَن يَرْغَبُ عَن مِّلَّةِ إِبْرَاهِيمَ إِلاَّ مَن سَفِهَ نَفْسَهُ ..

Siapa yang enggan menganut (mematuhi dan mengamalkan ) agama Ibrahim maka itulah manusia yang memperbodoh diri sendiri.

Allah berfirman dalam Surah al-Nisa’ ayat 42:

يَوْمَئِذٍ يَوَدُّ الَّذِينَ كَفَرُواْ وَعَصَوُاْ الرَّسُولَ لَوْ تُسَوَّى بِهِمُ الأَرْضُ وَلاَ يَكْتُمُونَ اللَّهَ حَدِيثًا Pada hari kiamat manusia yang kafir (pendusta dan penentang agama Allah) dan penderhaka Rasul (Allah) berharap kalau dia rata bersama tanah (tanpa tanggungjawab dan melalui proses hisab ). (Pada hari itu) tidak ada pertuturan mereka yang dapat mereka sembunyikan daripada Allah. Dalam ayat lain iaitu Surah al-Naba’ penyesalan mereka digambarkan sebagai berikut:

وَيَقُولُ الْكَافِرُ يَا لَيْتَنِي كُنتُ تُرَابًا ..

(Pada hari itu) Orang yang kafir akan berkata : Alangkah baiknya andaikata aku hanya sekadar tanah tanih (ketika hidup di dunia) dahulu.

Penerimaan solution “Negara Kebajikan” dalam maksud ini bukan suatu keharusan tapi satu kemestian. Penerimaan ini demi keamanan manusia dan jin itu sendiri di dunia dan di akhirat. Allah berfirman dalam Surah al Nisa’ ayat 115:

وَمَن يُشَاقِقِ الرَّسُولَ مِن بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُ الْهُدَى وَيَتَّبِعْ غَيْرَ سَبِيلِ الْمُؤْمِنِينَ نُوَلِّهِ مَا تَوَلَّى وَنُصْلِهِ جَهَنَّمَ وَسَاءَتْ مَصِيرًا

Sesiapa juga yang menentang Rasul setelah jelas kebenaran itu baginya ; sebaliknya dia menurut jalan bukan jalan orang-orang mukmin Kami akan biarkan dia terperusok dalam kesesatan yang dilakukannya itu dan Kami (pasti) masukkan dia ke dalam neraka jahanam. Itulah seburuk-buruk tempat untuk didiami.

Politikus muslim atau Melayu yang menolak gagasan ini adalah manusia malang dan celaka. Dia bukan sahaja mencelakan dirinya tetapi juga keluarga, kaum kerabat dan bangsanya. Kecelakaan ini ikut merembat kepada para pengundi dan para penyokong mereka.

Namun usaha manusia untuk merealisasi idealisme serta cita-cita murninya ini sering melalui berbagai peringkat masa dan modes operandi tertentu. Mereka menyedari bahawa usaha menggapai cita-cita besar lumrahnya memerlukan masa bertahun, berdekad, berpuluh dan mungkin sahaja beratus tahun. Kendatipun sifat manusia inginkan sesuatu yang mudah dan segera namun perkembangan kematangan, perubahan dan tamadun menuntut peringkat masa tertentu. Halangan pun tidak kurang besarnya. Ini bermakna kita terpaksa melalui proses bertahap.

Generasi muda terbentuk melalui periode pentarbiahan dan proses pematangan. Perubahan itu sendiri memerlukan variable dan angkubah atau prasyarat tertentu berkait dengan peralihan kepimpinan, perubahan sikap pengikut dan rakyat, latarbelakang suasana ekonomi dan iklim politik yang membantu kehadiran kesedaran dan perubahan itu sendiri. Ini disamping elemen yang tidak kurang pentingnya iaitu inayah dan taufiq daripada Allah Azza Wajalla.Allah berfirman dalam Surah Ali Imran 126 :

وَمَا جَعَلَهُ اللَّهُ إِلاَّ بُشْرَى لَكُمْ وَلِتَطْمَئِنَّ قُلُوبُكُم بِهِ وَمَا النَّصْرُ إِلاَّ مِنْ عِندِ اللَّهِ الْعَزِيزِ الْحَكِيمِ

Berita (kehadiran Malaikat bantuan) itu Allah jadikan sebagai perkhabaran yang menggembirakan kamu . Sesungguhnya kemenangan itu semata-mata dari (anugerah) Allah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Konsep Negara Kebajikan

Kebajikan bukan hanya bersumberkan harta benda, wang atau kesenangan meteri. Kebajikan berteraskan kepada kebenaran akidah perjuangan. Sebab itu berada dipihak yang benar, berjuang dan berpolitik atas landasan perjuangan yang benar atau Islam malah bersama perjuangan parti Islam adalah suatu kebaikan, kebajikan dan rahmat. Sebab itu akhir-akhir ini kita dapati ramai kalangan pemimpin Melayu yang ikhlas kembali ke pangkal jalan. Mereka rela ikut bersama perjuangan dalam parti Islam atau Pakatan Rakyat. Mereka meninggalkan parti UMNO kerana kesedaran mereka yang tinggi terhadap dasar politik yang lohor dan benar.

Betapa pun juga sebelum kita menjangkau lebih jauh dan sebagai asas perbincangan ada baiknya kita sorot asas perkataan kebajikan atau al-Khair dalam al Quran atau hadith.

Perkataan kebajikan atau al Khair lumrahnya tersebut dalam al Quran sebagai kata nama. Perkataan ini berulang sebanyak 180 kali; antaranya firman Allah dalam Surah al Taubah ayat 41

ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Perkataan ini berulang sebagai perbuatan atau verb sebanyak tujuh kali dalam tempat yang berlainan. Seperti yang tertera dalam Surah al Qasas ayat 68.

وَرَبُّكَ يَخْلُقُ مَا يَشَاء وَيَخْتَارُ

Perkataan ini dalam al Quran membawa beberapa makna dan maksud:

Pertama :( ( الخير bermakna harta .. Firman Allah dalam Surah al Baqarah ayat 180.

إِن تَرَكَ خَيْرًا

Perkataan al khair ( الخير)di sini menurut Imam al Quthubi bermakna:

المال من غير خلاف وعلى هذا المعنى جاء اكثر استعمال القران للفظ ( الخير) Firman Allah :

{ ولو كنت أعلم الغيب لاستكثرت من الخير } (الأعراف:188)

Dan firmanNya: { وإنه لحب الخير لشديد } (العاديات:8) Ibnu Abbas dalam menafsirkan ayat ayat ini menerangkan maksudnya ialah al-Mal atau harta. Kedua bermakna makanan sepertimana firman Allah yang mengungkapkan keluhan Nabi Musa ketika berhadapan dengan kesulitan hidup di rantau orang dalam Surah al Qasas ayat 24

رَبِّ إِنِّي لِمَا أَنزَلْتَ إِلَيَّ مِنْ خَيْرٍ فَقِيرٌ

Hai Tuhan, sesungguhnya dengan segala kebaikan yang Engkau telah hulurkan kepada ku masih lagi miskin dan memerlukan (kepada kurniaanMu ).

Ibnu Abbas R. A menerangkan bahawa Nabi Musa berkelana daripada Mesir ke Madyan tidak membawa bekalan kecuali daun salad dan ulaman lain. Beliau berkaki ayam. Ini kerana sebelum sampai ke Madyan capal beliau putus dan tertanggal dari kakinya. Beliau duduk beristirehat sebentar di bawah pokok untuk berteduh. Meskipun beliau makhluk Allah yang terpilih tapi beliau pun menghadapi dugaan yang berat. Perut beliau menjadi kempis kerana kelaparan dan kekurangan makanan. Kehijaun dedaun yang dikunyah dan ditelan beliau tertera dalam rongga mulutnya. Beliau – ketika itu - sangat memerlukan makanan seperti kurma dan lain-lain.

Ketiga bermakna kekuatan sepertimana firman Allah terhadap musyrikin Arab dalam Surah (Al- Dukhan :37):

أَهُمْ خَيْرٌ أَمْ قَوْمُ تُبَّعٍ

Adakah mereka yang lebih baik atau kaum Tubba’. Kata Baghawi maksudnya adakah mereka yang lebih kuat, lebih gagah dan lebih banyak bilangannya ataukah kaum Tubba’. Ibnu ’Asyur menegaskan : maksud perkataan khairiah di sini ialah membandingkan mereka dari sudut kekuatan dan daya tahan.

Keempat bermakna ibadah dan ketaatan. Firman Allah dalam Surah al Anbia ayat :73

وَأَوْحَيْنَا إِلَيْهِمْ فِعْلَ الْخَيْرَاتِ

Lalu Kami mewahyukan kepada mereka dengan saranan beribadah dan ketaatan. Menurut Qurthubi ayat ini bermaksud agar mereka melakukan amalan ketaatan. Kelima bermaksud kedudukan atau kehidupan yang baik sejahtera. Kehidupan berkualiti ini tersebut dalam dailog Nabi Syuaib dengan kaumnya ; di mana beliau berkata:

إِنِّيَ أَرَاكُم بِخَيْرٍ

Saya dapati kamu semua hidup sejahtera (dan bahagia) (Hud :84).

Attabari menerangkan : Termasuk dalam Khairuddunia atau kebaikan hidup di dunia perkara berikut: Harta, perhiasan hidup dunia, harga yang murah dll. Tidak ketara pula dari ungkapan beliau ini beliau mengutamakan satu kebaikan dunia berbanding yang lain. Jadi tentulah yang beliau maksud segala kebaikan dan kualiti hidup di dunia ini.

Firman Allah { لا يسأم الإنسان من دعاء الخير } (فصلت:49) Manusia tidak jemu-jemu memohon kebaikan. Menurut al Tabari. Perkataan khair di sini bermaksud kesihatan dan harta. Al Qurthubi menegaskan maksudnya harta, kesihatan, kekuasaan dan kemuliaan. Pengertian ini diperkuat dengan bacaan Ibnu Mas’ud terhadap ayat ini sebagai berikut:

( لا يسأم الإنسان من دعاء المال ) .

Manusia tidak jemu-jemu memohon harta. Keenam (( الخير membawa maksud lebih utama atau al Tafdhil. Umpamanya firman Allah :

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ أُوْلَئِكَ هُمْ خَيْرُ الْبَرِيَّةِ

Sesungguhnya orang yang beriman dan beramal soleh mereka itulah sebaik-baik golongan yang menghuni dunia ini. (al Baiyinah :7) Dengan lain-lain perkataan orang-orang yang beriman kepada Allah itulah makhluk yang paling afdhal dan mulia.

Ketujuh bermaksud al Quran. Ini seperti yang difirmankan oleh Allah S.W.T dalam Surah al Nahl ayat 30:

وَقِيلَ لِلَّذِينَ اتَّقَوْا مَاذَا أَنزَلَ رَبُّكُمْ قَالُواْ خَيْرًا

Apabila ditanya kepada golongan yang bertaqwa ; apakah gerangan yang telah Tuhan kamu turunkan. Mereka menjawab ”Khairan” . al Qurthubi mengatakan maksud khair di sini ialah al Quran.

Ciri Negara Berkebajikan

Sebenarnya kalau kita teliti ayat ayat di atas kita boleh menyimpulkan matlamat dan ciri negara berkebajikan itu sebagai negara yang antara lain bermatlamat :

1. Menjamin Kebebasan Beragama dan Berbudaya Islam tidak membenarkan umatnya memaksa orang lain; kaum Cina atau India beriman. Ini kerana Allah berfirman tidak ada paksaan dalam beragama. Oleh sebab itu jaminan kebebasan beragama adalah menjadi ciri negara yang berkebajikan. Dalam masa yang sama Islam sebagai agama persekutuan yang diperakukan oleh perlembagaan yang ada adalah teras keyakinan dan asas budaya negara. Ini bemakna bahawa kedudukan bahasa rasmi atau bahasa Melayu dan bahasa ibunda bangsa-bangsa yang menghuni Malaysia tetap dijaga.

2. Pengurusan dan Sistem Pentadbiran yang Berintegriti

Rasuah dan penyalahgunaan kuasa sangat bertentangan dengan dasar keadilan yang disanjung oleh PAS dan Islam khasnya. Oleh itu penyakit ini perlu ditentang habis –habisan dengan melaksanakan sistem pentadbiran yang berteraskan moral, etika kerja yang amanah, bersih dan berintegriti. Badan pencegah rasuah dan Suruhanjaya anti korupsi atau Suruhanjaya Pencegah dan Pembenteras rasuah perlu diperkasa dengan akta dan peraturan yang kemas dan mantap.

3. Badan Kehakiman Yang Bebas dan Berwibawa. Keadilan adalah dasar dan matlamat kehidupan yang disepakati oleh semua orang yang waras. Ini kerana dengan keadilan masyarakat akan mendapat keamanan dan ketenangan. Sebab itu negara berkebajikan mesti memperjuangkan badan kehakiman yang berwibawa, berintegriti, bebas dari pengaruh kuasa eksekutif dan rasuah. PAS berjuang untuk membantu kehadiran Badan Kehakiman yang boleh dipercayai oleh rakyat dan orang ramai membela kepentingan mereka dan bukan para pemimpin nasionalis Melayu yang zalim dan menobatkan kezaliman.

4. Memiliki Agenda Ekonomi Yang Mapan

Ekonomi dunia kini merudum dan berkrisis kerana asasnya yang rapuh dan berteraskan riba serta eksploitasi. Ekonomi negara pun menghadapi gejala ketirisan berbilion ringgit kerana salah urus dan ketiadaan amanah. Oleh itu negara berkebajikan mesti merangka dan membangun sebuah agenda ekonomi yang lebih adil, lebih terbuka, mapan, kompetitif serta bebas dari unsur rasuah dan amalan kronisme serta nepotisme. Agenda ekonomi yang bersifat pro pertumbuhan, pro-perniagaan dan menekankan pengagihan yang adil serta berkebajikan tanpa meminggirkan mana-mana kaum atau golongan dinegeri atau negara ini. Dasar dan tindakan afirmatif akan dilaksanakan berpandukan keperluan bagi membantu golongan miskin dan terpinggir dari semua kaum, gender, agama dan fahaman politik.

5. Kebebasan Media dan Keupayaan Mengakses Maklumat

Pembangunan insan bertamadun berkait rapat dengan pembangunan ilmu dan maklumat serta keupayaan mengakses ilmu serta maklumat. Sebab itu negara berkebajikan komited untuk menggubal undang-undang untuk menjamin rakyat mendapat akses kepada sumber maklumat. Ini sejajar dengan asas dan dsar memperkasa rakyat yang celek pengetahuan untuk membolehkan mereka berperanan menyemak-imbang (check and balance) secara berkesan. Sehubungan dengan matlamat ini maka negara kebajikan akan menghapuskan segala bentuk undang-undang yang menyekat rakyat mendapat maklumat seperti OSA, Akta mesin Cetak dan Penerbitan. PAS dan Pakatan Rakyat akan memastikan agar rakyat bebas mendapat maklumat bagi melahirkan rakyat yang matang berpolitik berteraskan syura dan nilai-nilai demokrasi yang selaras dengan Islam.

6. Pembentukan Masyarakat Berasaskan Syura dan Nilai Demokratik

Ciri masyarakat yang matang ialah urusan kepimpinan dan negara mereka dilandaskan atas nilai-nilai permuafakatan yang sihat. Ini bermula dengan amalan berkenaan dalam parti dan pakatan parti-parti yang mengurus negara atau negeri tersebut. Parti yang tidak demokratik dan memilih pemimpin berdasarkan pemberian habuan dan rasuah tentu akan merebakkan amalan tidak sihat tersebut dalam negara dan di kalangan para pegawai kerajaan. Sebab itu Negara kebajikan komited untuk menegakkan serta memantapkan peranan institusi syura dan demokrasi di semua peringkat. Pendemokrasian dan penstrukturan semula kerajaan tempatan bahkan semua jentera kerajaan akan dipulihkan. Reformasi SPR suatu kemestian. Ini untuk memastikan berlakunya pilihanraya yang adil, bersih dan telus. Institusi parlimen akan dimurni dan diperkasa. Sikap kepimpinan parlimen yang lebih adil, mulia, amanah dan memihak kepada kepentingan rakyat akan dipastikan menjadi amalan. Parlimen bukan hanya sebagai rubber stamp kepada kepentingan kroni dan pemimpin atasan tertentu.

Segala undang-undang rimba yang zalim, drakonian termasuk ISA, Akta Polis , AUKU dan lain-lain yang menafikan hak-hak asasi seperti hak berpersatuan, bersuara dan berhimpun akan ditamatkan.

7. Meningkatkan Taraf Kedudukan Sosial dan Cara Hidup Yang Berkualiti

Memastikan kesejahteraan dan ciri hidup yang lebih berkualiti adalah merupakan matlamat negara berkebajikan. Selaras dengan itu segala bentuk jenayah dan salah laku akan dibasmi dan dikekang. Kerajaan negeri atau negara kebajikan komited untuk meningkatkan taraf akhlak dan moral dalam semua bidang. Kerajaan memberikan kemudahan perumahan yang lebih murah tapi bermutu. Kerajaan menyediakan peluang pendidikan percuma dan berkualti di semua peringkat sehingga ijazah pertama, di samping meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan agar lebih murah dan mudah terutama bagi golongan miskin dan berpendapatan rendah. Kerajaan Berkebajikan akan memastikan golongan wanita dan belia semua kaum akan lebih berperanan dalam masyarakat dan nasib mereka terbela.

8. Menghormati Kedaulatan Perlembagaan Persekutuan

Perjuangan menobatkan nilai dan ajaran Islam bukan berlaku dalam alam mimpi tapi dalam realiti politik, sejarah, ekonomi dan budaya setempat. Oleh itu kaedah-kaedah usul fiqh dan siasah syari’yah semuanya akan dimanfaatkan. Sesuatu kebaikan dan jaminan yang sudah tercapai tidak disia-siakan untuk meraih matlamat yang lebih berkualiti. Antara kaedah tersebut ialah kaedah :”Mala yudrak kulluhu la yutrak julluhu”. Apa yang tidak dapat dicapai seluruhnya tidak pula dibiar dan diabai kesemuanya. Sejajar dengan itu – pada peringkat ini - kerajaan negara berkebajikan akan berpegang teguh dan mendaulatkan prinsip-prinsip yang terkandung di dalam perlembagaan Malaysia. Ia mengamalkan dasar ”Pemisahan Kuasa” dasar transference dan dasar ”good governance ” serta dasar dasar yang dianggap lebih maju dan berperi kemanusiaan. Dalam masa-masa yang akan datang perlembagaan yang bukan berstaus al-Quran boleh ditokok tambah menurut keperluan msyarakat semasa.

Negara Kebajikan Adalah Harapan Semua

Pemilihan wadah perjuangan Islam, landasan politik berteraskan akhlak, moral dan spiritual yang tinggi, bercirikan nilai integriti, adil, beradab dan mengamalkan kepatuhan kepada sistem halal haram, disamping menjaga kepentingan orang-orang yang bukan Islam sebagai makhluk dan amanah atau dengan lain perkataan negara berkebajikan ini tentulah akan membahagiakan siapa jua mahkluk Allah ; baik manusia mahupun jin yang melaksanakannya. Ini adalah harapan semua rakyat yang ingin bebas daripada cengkaman kezaliman UMNO dan BN.

Syaitan dan manusia yang keliru sahaja yang merasa celaka dengan kedatangan dan kehadiran solution Islam ini. Golongan yang derhaka, fasiq dan tidak berakhlak mahu bermaharajelala melakukan kezaliman dengan ISA dan tidak amanah mungkin akan merasa celaka dan malang kerana solution pemberian Allah ini. Golongan tersebut tidak mahu hakikat kebatilan perjuangan mereka terdedah.Mereka juga tidak mahu terdedah sebagai penentang Allah; lalu mereka berdalih dengan menuduh bahawa orang berjuang atas landasan Islam sebagai golongan yang menggunakan agama untuk kepentingan politik. Tidakkah Islam hadhari dicipta untuk menggunakan nama Islam yang ditambah dengan perkataan hadhari sebagai suatu helah licik menggunakan nama agama untuk memenangkan faham asabiah UMNO dan BN.

Tidakkah rezeki Allah berjuta malah berbilion ringgit daripada wang negara dan rakyat digunakan untuk menjauhkan bangsa Melayu dari menurut solution Allah ini. Tidakkan diayah mereka untuk meneruskan lagi era kezaliman para pemimpin mereka di samping akan menambah lagi bentuk kejahatan dalam masyarakat masih berterusan siang malam. Ini terbukti dengan meningkatkatnya gejala penyimpangan akidah keruntuhan akhlak, jenayah dan berbagai bentuk rasuah dan kejahatan dalam masyarakat kita kini.

Allah berfirman dalam Surah Taha ayat 1-4:

طه مَا أَنزَلْنَا عَلَيْكَ الْقُرْآنَ لِتَشْقَى إِلاَّ تَذْكِرَةً لِّمَن يَخْشَى تَنزِيلا مِّمَّنْ خَلَقَ الأَرْضَ وَالسَّمَاوَاتِ الْعُلَى

Ta Ha , Kami tidak menurunkan al Quran (Solution ketuhanan) untuk anda menjadi celaka. Ia semata-mata sebagai peringatan untuk manusia yang takut (kepada Allah). Al Quran diturunkan oleh Tuhan pencipta bumi dan langit yang tinggi .

Masalah dan Rintangan

Hasrat untuk menegakkan negara berkebajikan ini tidak diterima oleh semua orang. Hatta terhadap seruan Nabi atau Rasul Allah yang jelas-jelas baik pun terdapat rintangan dan masalah. Masalah dan rintangan ini disebut dalam Surah al-An’am ayat 123:

وَكَذَلِكَ جَعَلْنَا فِي كُلِّ قَرْيَةٍ أَكَابِرَ مُجْرِمِيهَا لِيَمْكُرُواْ فِيهَا وَمَا يَمْكُرُونَ إِلاَّ بِأَنفُسِهِمْ وَمَا يَشْعُرُونَ

Demikianlah kami wujudkan di setiap desa (negeri atau negara) para petualang besar desa berkenaan untuk melakukan tipu daya kepada penghuninya. Namun mereka tidak memperdaya kecuali diri mereka sendiri. Malangnya mereka tidak sedar. Rintangan dan masalah memang akan berjejalan untuk menggencat proses kebangkitan umat dan rakyat menuju transformasi politik yang diinginkan oleh mereka. Namun bagi manusia dan rakyat yang berjiwa besar sudah tentu mereka akan menghadapinya dengan tabah dan sabar demi mendapat kehidupan yang lebih berkualiti, diberkati dan diredhai oleh Allah S.W.T.

Penutup

Idealisme negara kebajikan perlu direalisasi. Penjanaannya memerlukan prasyarat yang sangat banyak. Tidak ada jalan mudah untuk mencapai cita-cita besar dan lohor, sebab itu semua pihak perlu mempunyai etika muafakat yang standard. Mereka perlu melepaskan diri daripada sergahan dan perangkap musuh. Mereka mesti berlapang dada berjiwa besar dan berfikir secara realistik. Mereka perlu membudayakan dalam diri mereka budaya usrah, tamrin, diskusi, pembelajaran dalam kelompok dan pembelajaran secara aktif di samping etika dan akhlak berjamaah demi meningkatkan mutu perlaksanaan politik dan dakwah mereka di dunia ini.

Islam memulakan bibit-bibit kebaikan dan kebajikan melalui pendidikan insan itu sendiri. Manusia perlu dididik dengan pegangan agama Islam yang menitikberatkan persoalan kebajikan. Walau bagaimanapun manusia mesti dididik, dilatih, diasuh untuk melaksanakan kebajikan dalam dirinya sendiri dahulu. Hatinya perlu disirami dengan baja keimanan dan ketaqwaan. Akalnya mesti diluruskan dengan kriteria menilai keburukan yang jitu dan tepat berlandaskan wahyu (al Quran dan Hadith). Perangainya mesti dibentuk menjadi manusia dan warga negara yang cenderung berbuat baik dan berkebajikan. Dengan itu masyarakat dan kerajaan yang akan dibentuk kelak akan bersikap serba berkebajikan untuk rakyat dan tidak pecah amanah, rasuah , zalim dan jahat.

Oleh : Ustaz Hj. Abdul Ghani Bin Samsudin
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Photobucket