Monday, 14 May 2012

Petugas PAS adalah pendakwah

Rata-ratanya kita faham bahawa 'dakwah' adalah seruan,yakni menyeru ke jalan Allah, mengajak manusia untuk beriman dengan Allah dan beramal dengan sunnah Nabi baik secara individu ataupun secara kolektif. Sebagaimana Firman Allah subhanahu wa ta’ala;


“Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang Engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; Sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.
(An-Nahl; 125)


“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Inilah jalanku, Aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada ugama Allah Dengan berdasarkan keterangan dan Bukti yang jelas nyata. dan Aku menegaskan: Maha suci Allah (dari Segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah Aku dari golongan yang mempersekutukan Allah Dengan sesuatu yang lain."
(Yusuf; 108)


Ayat ini menjadi bukti bahawa tugas Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam adalah menyampaikan mesej Islam kepada semua ummat manusia. Sepertimana yang penulis catatkan sebelum ini, tugas kenabian ini telah diserahkan secara rasminya oleh Nabi kepada ummat sewaktu terjadinya peristiwa Haji Wada. Tugas berdakwah menjadi kewajipan kepada seluruh ummat Islam. Apabila kita meninggalkan amalan berdakwah ini, maka kepincangan akan wujud didalam masyarakat. Allah telah menjamin bahawa orang-orang yang membuat kerja dakwah ini akan mendapat kebaikan samada di dunia apatah lagi di akhirat nanti sebagaimana firman Tuhan,


“Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat Segala perkara yang baik dan melarang daripada Segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). dan kalaulah ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.”
(Ali Imran;110)


Lebih-lebih lagilah kita ini sebagai ahli PAS, yang muslim, yang mukmin, maka menjadi tanggungjawab kita untuk memikul tugas dakwah. Janganlah kita menyerahkan tugas ini hanya kepada para ustaz dan tok-tok guru kita sahaja kerana amanah ini amat berat. Sememangnya itu adalah tugas mereka untuk mendidik dan menyampaikan risalah Islam. Namun, tugas itu tidak hanya terkongkong kepada mereka semata-mata. Kalau kita yang bukan ustaz ini pun, menjadi tugas kita untuk berdakwah. Apa maksud dakwah? Maksudnya mengajak manusia untuk berbuat kebajikan. Jadi, hendak mengajak orang untuk melakukan kebaikan ini tidaklah memerlukan ijazah pengajian Islam menggunung tinggi. Cukup sekadar kita tahu yang mana baik dan yang mana buruk. Cukup sekadar kita tahu dosa dan pahala. Sebagaimana sabda nabi yang maksudnya, "Sampaikan daripadaku walau sepotong ayat."

Sebagai Ahli PAS yang muslim dan beriman kepada Allah, perlulah membiasakan lidah kita ini untuk menuturkan kata-kata yang baik untuk mengajak manusia dekat dengan Allah. Perkara ini perlu diberi penekanan oleh ahli kita. Lazimkan lidah kita dengan kata-kata berkenaan akhirat, dosa pahala, syurga neraka, hidup selepas mati dan sebagainya. Penulis melihat bahawa rata-ratanya ahli kita amat kurang penekanan tentang perkara itu. Kebiasaannya apabila bertemu sesama kita, topik kita kebiasaannya tidak lari dari samaada mengutuk UMNO, mengutuk pimpinan negara yang sedia ada dan yang sewaktu dengannya. Mungkin bagi kita, perkataan-perkataan seumpama itu amat manis menjadi halwa mulut dan telinga, namun hakikatnya ianya tidak membawa faedah selain daripada menyemarakkan persengketaan sesama kita di peringkat bawahan ini. Sepatutnya kita diperingkat akar umbi ini, perlulah menyuburkan perasaan kasih sayang dan mengeluarkan perkataan yang baik-baik kerana kalau kita lihat disekeliling kita dikalangan orang UMNO sekalipun, mereka kadangkalanya ahli keluarga kita, jiran tetangga kita dan orang-orang yang rapat dengan kita.

Sebagai ahli PAS yang adalah juga sebuah Harakah Islamiyah, berkewajipan kita mengajak dan menyeru mereka kepada jalan yang haq dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan. Tidak perlulah kita berkonfrontasi dengan mereka. Serahkan tugas itu kepada pihak pimpinan kita. Biarlah mereka sesama mereka berhujah dan bertikam lidah dengan kasih sayang dan hikmah manakala kita diperingkat bawahan ini harus berdakwah, menyeru kearah jalan syurga Allah. Jadilah seorang pendakwah yang berkesan!

Selain daripada perlaksanaan secara individu, kita perlulah menjalankan tugas dakwah secara berkumpulan atau kolektif atau amal jama'i. Dakwah secara berkumpulan ini haruslah dijalankan disemua peringkat pemuda baik di cawangan, kawasan ataupun peringkat negeri. Semua ahli harus menggembeling tenaga untuk mengajak manusia mengenal tuhan yang menciptakannya. Kita perlu mengatur program-program dakwah secara berkala. Banyak ruang lingkup dakwah yang masih belum lagi diterokai. Kita perlu sedar bahawa masyarakat amat jauh dari Islam. Bermacam-macam budaya yang tak sepatutnya telah menyerap didalam masyarakat. Tidak perlulah penulis menyatakan disini kerana semua sudah sedia maklum. Antara program dakwah yang kita boleh laksanakan ialah:

Terlibat dalam komuniti masjid. Masjid merupakan pusat dakwah semenjak daripada tertubuhnya dakwah nabi lagi. Dakwah Nabi Muhammad sallahualaihiwasallam berpusat dimasjid. Masjid Nabawi menjadi saksi kepada perkembangan Islam keseluruh pelosok alam ini. Dan kita sepatutnya mengambil iktibar ini untuk menjadikan masjid sebagai pusat dakwah kita. Dengan melibatkan diri dengan masjid, kita boleh menyusun atur program-program dan pengisian yang sesuai. Kita boleh ambil contoh penghayatan masjid yang telah dilaksanakan di Masjid Batu, Permatang Pauh,Pulau Pinang. Program-program yang disusunatur begitu menarik sekali bukan sahaja menyebabkannya berjaya menarik penduduk tempatan bahkan negeri sejiran pun amat mengenali akan nama Masjid Batu khususnya para pencinta ilmu. (Kalau yang tidak biasa ke masjid, sebutlah masjid apa pun, memang tak tahu). Kalau boleh, masjid di tempat kita atau cawangan kita atau kawasan kita mempunyai pusat ilmu dan dakwah seperti itu. Memang tidak dinafikan disana banyak masjid-masjid yang makmur dan subur dengan program-program dakwah. Namun ianya masih belum dapat menampung mad'u (orang yang menjadi target dakwah) yang terlalu ramai.

Program dakwah diluar masjid seperti pasar malam, kelab malam, pasar raya, padang bola, tempat konsert, expo dan sebagainya. Program seumpama ini adalah menggunakan konsep 'Kalau mereka tidak datang kepada kita, kita datang kepada mereka'. Program seumpama ini memerlukan perancangan teliti dan kita perlulah bermesyuarat tentang cara bagaimana kita hendak melaksanakannya bersesuaian dengan tempat kita ini.

Program banteras maksiat. Memang terlalu banyak maksiat yang berleluasa di sekitar kita ini. Sehinggakan penulis pernah berbicara dengan seorang imam yang berasal dari negara luar yang mana katanya,"Syeikh, ana ni bila sampai Malaysia, separuh Quran yang ana hafal telah hilang dari ingatan." Menurutnya lagi, ini semua adalah kerana terlalu banyak maksiat yang berlaku didepan mata kita sehingga kita pun sudah tidak terlarat untuk membendungnya lagi. Antara maksiat yang agak nyata didepan mata kita ialah masalah 'couple' dan berjudi.

Dua masalah ini memang telah berleluasa terutamanya dikalangan orang Islam kita. Ianya dilakukan secara terang-terangan tanpa segan silu lagi. Sudah tentulah faktor utamanya kerana kurang perihatinnya pihak kerajaan terhadap gejala itu ditambah lagi dengan faktor galakan daripada pihak kerajaan sendiri dengan pusat-pusat judi 'halal' yang berleluasa dimana-mana. Jadi dalam suasana yang sebegini sebelum PAS dapat berkuasa dan membuat pembaikan secara menyeluruh, ahli-ahli PAS perlulah bersungguh-sungguh berusaha untuk menyediakan medium yang baik kepada kerajaan Islam yang bakal dibentuk. Dakwah secara intensif perlulah dibuat!


Program-program pendidikan perlulah diatur di taman-taman bunga, tempat rekreasi, pusat-pusat judi seperti sport toto dan empat nombor ekor. Cara yang paling mudah ialah dengan mengumpulkan 5-10 orang petugas, sediakan risalah berkenaan dan edarkan kepada 'target' kita dengan senyuman dan tidak perlu berkata apa-apa. Selesai. Kalau di hadapan pusat judi, sediakan risalah berkenaan judi dan kalau ditaman bunga, sediakan risalah berkenaan pergaulan lelaki perempuan dan yang lain yang bersesuaian.
Kalau ingin lebih 'advance' lagi, kita lantik jurubicara dan buat sedikit ceramah dengan penuh kasih sayang.
Harapannya dengan usaha yang sedikit ini akan menarik hidayah daripada Allah untuk masyarakat kita di Malaysia.


Berikut di kepilkan kata-kata Imam As Syahid Hassan Al Banna di dalam kitabnya “Ini jalanku”.
“*Hasan Al-Banna (1906-1949). Pengasas dakwah Ikhwan Muslimin.*


Apa sahaja bidang pekerjaan kita seperti guru, peguam, petani dsb, ia adalah satu bentuk pengkhususan. Jika ianya penting untuk umat maka jatuh hukumnya menjadi Fardhu Kifayah. Berbeza dengan Dakwah, seperti menuntut ilmu asas, ia bukan satu pengkhususan, akan tetapi ia wajib dilaksanakan oleh setiap orang Islam jika Syariat Allah belum ditegakkan. Oleh itu hukumnya adalah Fardhu Ain.
Allah swt menjadikan Dakwah sebagai sebaik-baik profesyen bagi seseorang yang mencari dan menuju keredhaanNya. FirmanNya bermaksud, *"Dan siapakah yang lebih baik perkataannya dari orang yang Berdakwah (manusia) kepada Allah, beramal soleh dan berkata 'Sesungguhnya aku seorang Islam'?"*(Al-Quran).

Dengan ini, perkataan dan ucapan seorang Pendakwah lebih baik dari perkataan para peguam, petani, doktor, akauntan dll.

Sebaik-baik amal ialah amal yang sangat diperlukan ketika itu atau yang
mengikut keutamaan. Contohnya ketika hampir musim peperiksaan, amal yang
terbaik atau keutamaan ketika itu ialah mengulangkaji pelajaran. Bahkan kata Ibnu Qayyim, di antara strategi Syaitan dalam memesong manusia selain mengajaknya kufur, bid'ah, melakukan dosa besar dan kecil ialah merosakkan aturan keutamaan dalam hidup seseorang, hingga dia tidak tahu lagi apakah yang sepatut didahulukan dan apa yang patut dikemudiankan.
Jika kita melihat ciri-ciri para Mujaddid setiap kurun, ternyata bahawa mereka adalah penyelesai kepada isu yang dihadapi ummah ketika itu.

*"Sesungguhnya Allah akan membangkitkan disetiap permulaan kurun seorang yang akan memperbaharui (memberi nafas baru) untuk umat ini akan urusan agama mereka"*(Hadis).
Mujaddid Pertama, Umar Abdul Aziz (99H), seorang Khalifah yang berciri
Khulafak Rasyidin dibangkitkan ketika hal keadaan dalam negara Islam dan umatnya masih utuh kecuali tingkahlaku ramai khalifah-khalifahnya.

Mujaddid Kedua, Imam As-Syafie (199H), tokoh ulamak fiqh zamannya dan pengasas ilmu Usul Fiqh dibangkitkan ketika Islam berkembang pesat ke banyak pelusuk dunia dan bertemu dengan berbagai permasalahan kehidupan masyarakat yang sangat memerlukan ijtihad yang berbagai pula.
Di hari ini, semua kita tanpa mengira apa latarbelakang pengkhususan, mesti sepakat memahami apakah keutamaan hidup kita yang sebenar? Apakah
permasalahan terbesar yang umat sedang hadapi di dunia amnya dan d Malaysia khususnya? Permasalahan terbesar umat Islam hari ini tidak lain selain
hilangnya identiti Islam di dalam diri dan jiwa yang mengakibatkan runtuhnya sistem Islam di bumi dan negara mereka.

Oleh itu profesyen atau tugas terpenting pula ialah Dakwah iaitu mendidik
diri dan masyarakat sekeliling ke arah menuju keredhaan Allah swt dengan menegakkan kembali sistemNya di muka bumi dan mendominasikan agamaNya
mengatasi agama-agama yang lain.
*"Dialah yang mengutuskan RasulNya dengan Hidayah dan Agama yang benar, agar Dia mendominasikan Agama tersebut mengatasi agama-agama yang lain walaupun orang-orang kafir tidak menyukai"* (AL-Quran).

Oleh itu, seorang guru tidak sepatutnya tenggelam dengan rutin karier hariannya dengan timbunan buku dan aktiviti ko-kurikuum semata-mata, bahkan
berusaha mendidik seramai mungkin pelajar dalam usrah, qiyamullail, rehlah dsb sehingga terbentuk individu-individu yang kuat memahami dan menghayati Islam yang sebenar. Seorang doktor tidak sepatutnya hanyut dengan karier hariannya mengubati sakit fizikal pesakit demi pesakit di klinik atau hospital, akan tetapi yang lebih penting ialah bagaimana dia dapat bersama dengan pendakwah-pendakwah lain bekerja keras atau memimpin usaha mengubati hati dan jiwa individu dan masyarakat Islam yang sedang parah pada hari ini hingga jasad Khalifah Islam yang besar dan bertahan lebih 1300 tahun runtuh tidak bermaya.

Hakikat dan kesedaran yang sama ingin kita tanamkan dijiwa dan kefahaman seorang kerani, pegawai, peguam, pensyarah dan selain mereka. Nilaian prestasi hidup mereka yang sebenar terletak kepada perlaksanaan Fardhu Ain terlebih dahulu sebelum prestasi Fardhu Kifayah mereka.
Akhir sekali, setiap kita yang bekerja saban hari dan memiliki kesedaran yang tinggi terhadap apa yang kami huraikan di atas pasti akan menghadapi dua perkara besar di hadapan iaitu (i) fokus dan (ii) masa.
Dalam kesibukan belajar atau bekerja dengan karier masing-masing, sering fokus kita terhadap tugas-tugas Dakwah terganggu. Ramai orang pula dapat menjaga fokusnya, namun setelah tenggelam dengan pelajaran dan pekerjaan, saki baki masa yang terluang untuk Dakwahnya amat menyedihkan. Akhirnya tidak jauh berbeza di dalam masyarakat di antara mereka yang sedar, separuh sedar dengan mereka yang lalai dari tanggungjawab memikul tugas para Rasul yang mulia ini … Dakwah kepada Allah swt.”
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...