Friday, 30 December 2011

NFC: Muslimat PAS ulangi gesaan dakwa Muhyiddin


KUALA LUMPUR, 29 Dis: Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) mengulangi kenyataan beberapa pemimpin parti itu bahawa Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga harus bertanggungjawab dalam isu skandal Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC).
Timbalan DMPP, Dr. Siti Mariah Mahmud (gambar) berkata, tidak adil jika hanya Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil sahaja digesa meletakkan jawatan tetapi Muhyiddin terus terlepas tanpa sebarang siasatan.

Beliau berkata, Muhyiddin yang merupakan menteri pertanian ketika projek itu diluluskan pada 2007 bertanggungjawab memberi penjelasan kenapa beliau memberikan dana RM250 juta kepada keluarga Shahrizat untuk menguruskan projek tersebut.

Pengerusi Eksekutif NFC ialah suami Shahrizat sendiri, Datuk Dr. Mohamad Salleh Ismail.

"PAS bersependapat kerana itu adalah isu penyalahguanaan dana rakyat dan merupakan isu nasional.

"Daripada proses awal memberi dana itu pun sudah tak betul dan kita patut berhentikan amalan kronisme.

"Sepatutnya media pergi juga tanya suami dia, pergi tanya Muhyidin, tanya kepada kerajaan. Kenapa projek ini diluluskan," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan raja Laut, dekat sini, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan pemberita mengenai pendirian DMPP dalam isu NFC yang mula timbul selepas dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara Oktober lalu.

Sejak kes itu timbul, hanya Shahrizat dan keluarganya yang "diserang" sedangkan Muhyiddin dan beberapa pimpinan Umno BN yang turut terlibat terlepas.

Bagaimanapun Siti Mariah yang juga Ahli Parlimen Kota Raja berkata, amat pelik jika Shahrizat sebagai seorang isteri tidak tahu menahu mengenai projek yang diuruskan suaminya sendiri.

"Saya tak bersetujulah kalau dia (Shahrizat) kata dia tak tahu. Suami mana yang tak cerita kepada isteri yang syarikat dia dapat RM250 juta," katanya berseloroh.

Beliau berkata, DMPP tetap menentang Sharizat atas dasar prinsip. "Walaupun kita hormat dia tapi kita bangkang atas dasar prinsip. "Kalau orang Pakatan dapat projek begitu, saya pun akan bangkang kalau saya tahu," katanya.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...