Monday, 23 April 2012

Warkah Buat Sahabat


AssalamualaikumWarahmatullahiwabarakatuh...

Segala puji-pujian bagi Allah,Tuhan sekalian alam,Selawat dan salam untuk junjungan mulia Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam,keluarganya,serta para sahabat sekaliannya...

Maafkan diriku kiranya kedatangan warkah yang tidak diundang ini mengguris hatimu.Kuluangkan masa mencoretkan apa yang termampu setakat ini sebagai peringatan dan tazkirah buat diriku dan dirimu yang kukasihi.

Sahabatku seperjuangan,

Keberadaan kita di bumi ini adalah tidak lain dan tidak bukan untuk mencari sebanyak mungkin ilmu Allah sebagai panduan hidup dan sebagai persiapan kita untuk menjadi pemimpin kepada generasi yang akan datang serta untuk meneruskan dakwah Nabi kita untuk menegak dan mempertahankan Islam di bumi Allah ini.

Sahabatku yang dikasihi,

Sama ada engkau sedar atau tidak masyarakat kita hari ini semakin hari semakin jauh menyimpang dari landasan Islam yang sebenar.Maksiat bermaharaja lela dimana-mana.Orang yang berbuat maksiat pula tidak segan silu mendedahkan perbuatannya.Apa yang kita tahu dan sedar ianya semakin hari semakin parah melanda masyarakat kita.Apakah engkau hendak berdian diri saja melihat kemungkaran berlaku di depan matamu.Apakah kau mahu masyarakat yang jahil dalam agama ini memimpin anak cucumu kelak?Apakah kau mahu musuh-musuh Islam itu terus menerus menghancurkan Islam?Dimanakah dirimu ketika itu?

Duhai sahabatku,

Tidak terdetikkah di hatimu tentang kemurungan umat Islam hari ini?Mengertilah engkau bahawa mereka terkapai-kapai mencarimu,meminta pertolonganmu di dalam kelemasan gelombang lautan kejahilan dan kemungkaran.Tangan siapakah yang dapat dihulurkan untuk menyelamatkan mereka dari terus hanyut dalam gelombang ini?

Sahabatku seagama,

Tiada tangan lain yang dapat dihulurkan kepada mereka.Kitalah yang akan menyelamatkan mereka.Oleh itu bersiap sedialah kita dengan ilmu agar kita akan terus menyelamatkan mereka ini dan moga-moga kita tidak hanyut bersama-sama mereka kerana gelombang itu semakin hari semakin ganas dan buas.

Sahabatku,

Dalam mengharungi liku-liku kehidupan di alam buana ini,sedarlah dan jadikanlah dirimu itu sebagai seorang pejuang yang akan sama-sama menyinarkan kembali Nur Islam,meneruskan perjuangan Nabi kita serta mencari keredhaan Allah.Janganlah engkau leka dan cuai walau sesaat pun kerana musuh Islam tidak pernah berdiam diri mencari jalan untuk menghancurkan Islam.Mahukah kau melihat mereka tersenyum puas melihat kejayaan mereka menghapuskan agama kita?Sedangkan engkau leka dibuai keasyikan duniawi,langsung kau tidak sedari yang agama kau akan terus dimusnahkan.

Sahabatku dunia dan akhirat,

Mulakanlah langkahmu dari sekarang,bangunlah engkau dari lena yang mengasyikkan itu.Tajamkanlah semula pedang Islam dan hunuslah ia di depan musuhmu dan belakangmu pertolongan Allah.Berdoalah sahabatku,insyaAllah kita mampu menggoyahkan kekuatan musuh dengan keyakinan kita kepada Allah.Di sini juga ingin ku utarakan sejarah silam kemenangan tentera Islam di zaman kegemilangan Islam suatu ketika dulu.Rahsia kemenangan mereka ialah mempunyai kekuatan rohaniah yang tinggi darjatnya di samping kekuatan fizikal.Bagaimana memperoleh kekuatan rohaniah ini,wahai sahabatku?Sesungguhnya ia datang apabila kita sentiasa mentaqarrubkan diri kita dengan Allah.Tentera-tentera Islam itu umpama singa yang kelaparan di siang hari dan seorang 'abid yang sentiasa rukuk dan sujud kepada Allah mengharapkan pertolongan daripadaNya ketika insan lain nyenyak dibuai mimpi.
Begitulah wahai sahabatku sikap dan sifat seorang pejuang Islam.Ayuhlah amalkanlah dalam kehidupanmu.Moga-moga kau beroleh kemenangan dalam perjuanganmu.

Sahabatku,

Hanya sekadar ini coretan dariku buat tatapanmu sebagai tanda persahabatan kita.Semoga segala yang tercoret di warkah sepi ini mendapat keredhaan Allah.Wassalam.

salam perjuangan daripada insan serba kekurangan, Anamuslimah85..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...