Monday 2 January 2012

‘Tumpas’ kerana ingin ‘jerat’ YDP PAS


KOTA BHARU, 2 Jan: Hanya kerana ingin ‘menjerat’ Yang Dipertua PAS Kawasan Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dalam laman tertutup facebook Umno-tumPAS, akhirnya aktivis dan penyokong Umno, Wan Musa Wan Ahmad yang tumpas dan seterusnya menyertai PAS.


Bekas Setiausaha Pemuda Umno Cawangan Batu Empat, Jalan Kuala Krai itu petang tadi menyerahkan borang keahlian untuk menyertai PAS bersama 20 orang yang lain kepada Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Turut hadir pada majlis itu, Setiausaha PAS negeri, Zulkifli Mamat, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, Exco kerajaan negeri, Abdul Fatah Mahmood.

Wan Musa yang juga Setiausaha JKKKP Mukim Padang Enggang ketika ditemui memberitahu pada mulanya dia menyertai halaman tertutup Umno-tumPAS bertujuan untuk ‘menghentam’ pemimpin PAS terutama Wan Rahim.

“Memang saya menghentam dia sebelum ni, tetapi dia tidak membalas kutukan saya terhadapnya, sebaliknya rakan-rakan lain yang membela beliau.

“Tetapi akhirnya dia ingin bertemu saya, sepatutnya saya yang bertemu dia, begitu hebat jiwa pemimpin PAS, ada sifat rendah diri dan akhirnya saya ‘kalah’ dan seterusnya mengakui pemimpin PAS memang terbaik,” ujarnya.

Sambungnya, andainya Wan Rahim sahaja telah dapat menawan hatinya, belum lagi pemimpin besar lain terutama Tuan Guru dan ulama lain yang berada dalam PAS.

Beliau juga turut mengakui pemimpin Umno semakin tidak boleh dipercayai dari hari ke hari.

Tambahnya, dengan penyelewengan yang berlaku di peringkat menteri dan bawahannya, jelas membuktikan mereka hanya berjuang untuk peribadi dan keluarga dan bukannya untuk rakyat.
Ketika ditemui, beliau menyeru semua rakan-rakannya yang masih bersama Umno dan BN turut menyertai PAS.

Sempena majlis itu juga, memorandum dari rakan-rakan Umno-tumPAS telah diserahkan kepada Tuan Guru yang antara lainnya untuk mendedahkan kehebatan kerajaan PAS Kelantan.
Memorandum itu diserahkan oleh seorang rakan laman sosial itu, Mat Kamal Awang (MKA).

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Photobucket