Saturday 2 June 2012

Keperibadian Muslim Tapak Kepada Pembinaan Jamaah


Sesungguhnya keperibadian Muslim yang tulen merupakan batu bata yang menjadi tapak kepada pembinaan jamaah. Kukuhkan peribadi Muslim melalui program tarbiah fardi (perseorangan) atau secara jama’i). Jika berlaku kelemahan dan kecacatan di dalam proses pembinaan ini maka jamaah perlu dipertangungjawab kenapa perkara ini berlaku. Sekiranya jamaah sudah berusaha semaksimum mungkin mengatur program, namun sikap ahli atau pimpinan yang  tidak memperdulikan program ini, maka jamaah boleh melepaskan diri daripada tanggungjawab ini.

Kerana kegagalan berbuat demikian akan memberi kesan jangka panjang kepada parti Pas untuk meneruskan perjuangan, kerana  perjalanan masih jauh. Kegagalan ini akan memberi kesan jangka panjang dan keruntuhan kepada jamaah.  Mengakibatkan parti  tidak boleh melahirkan keperibadian yang bertanggungjawab dan petugas yang sanggup memikul beban tugas yang merupakan amanah. Paling malang sekali,  kesan yang paling buruk ialah mereka ini membebankan parti, bukan meringankan parti.

Sesungguhnya tabiat perjuangan itu sendiri yang perlu meletakkan asas yang kukuh kerana ia menuntut kita kepada amal jihad yang berterusan. Untuk mendapat kejayaan cemerlang, jamaah mesti melahirkan  manusia yang memiliki akidah yang betul-betul memahami Islam mengikut sistem tarbiah  yang baik untuk persediaan kepada jihad dan pengorbanan.

Imam Syhid Hassan al-Banna pernah menyatakan “Sesungguhnya lelaki bercakap bukan lelaki kerja,lelaki kerja pula bukan lelaki jihad, lelaki jihad yang semata-mata berjihad saja bukan lelaki yang bijaksana yang boleh mengeluarkan hasil yang memberi keuntungan besar melalui pengorbanan yang sidikit saja”

Tarbiah mempunyai kesan dan pengaruh jangka panjang dan pendik untuk menghadapi berbagai-bagai peristiwa dan keperluan amal di jalan dakwah, samada ketika menghdapi dugaan atau tipu helah musuh.

Tarbiah tidak sepatutnya  dibataskan untuk ahli biasa sahaja, sedangkan peringkat atasan ditinggal begitu sahaja. Ia wajib diamalkan  tanpa ada pilihan kerana setiap orang memerlukan bekalan dan bahan ingatan.

Tarbiah amat diperlukan sepanjang masa, terutama ketika suasana kritikal , seperti sewaktu pilihanraya. Suasana begini amat penting kerana unsur iman diperlukan untuk mendapat sokongan dan pertolongan Allah.

Meneruskan usaha tarbiah amat diperlukan sebagai persediaan kepada generasi akan datang untuk menyambung tugas perjuangan jihad sebagai barisan pelapis.

Terdapat beberapa perkara yang menyebabkan kecuaian terhadap program tarbiah.

Sheik Mustafa Masyhur dalam bukunya “Tariq al-Dakwah Baina al-Asalah wal-Inhiraf” (Jalan Dakwah Antara Keaslian Dan Penyelewingan) telah menggariskan beberapa perkara yang boleh menyebabkan program tarbiah terencat untuk menjadi ingatan kepada kita, supaya perkara ini tidak berlaku kepada parti Pas

a. Memberi tumpuan yang lebih kepada bidang politik dan meringankan aspek tarbiah . Hal ini diatur oleh politik yang terlalu sibuk menghabiskan masa dalam menyelesaikan masalah , kemusykilan dan perhitungan.
b. Tidak menyediakan para murabbi dan para pelatih. Para murabbi hanya menumpukan kepada peringkat tinggi, dan mengabaikan peringkat bawahan. Selain itu berlebihan memberi keutamaan kepada berceramah ke merata-rata tempat kerana banyak jemputan hingga melemahkan  tugas mereka dalam aspek tarbiah.Dengan ini amat penting disediakan para murabbi  untuk mengimbangkan program  ceramah dengan tarbiah.
c. Usrah tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Usrah tidak digunakan untuk mengasah bakat dan  pembentukan peribadi dan membina akhlak.
d. Sibuk dengan bidang-bidang lain hingga mengenepikan tugas tarbiah.

Muhasabah yang diberikan oleh Sheikh Mustafa Mashur ini boleh kita mmbuat koreksi terhadap diri kita dan juga jamaah kita supaya ia menjadi jamaah yang unggul. Walaupun beliau menulis di dalam konteks negeri Mesir yang berbeza dari segi demografi dan suasana persekitaran politik. Namun beberapa saranan dan teguran beliau itu ada relevan untuk kita muhasabah diri dan parti kita.

Setiap ahli Pas mesti melatih  diri mereka mengutamakan sudut amali daripada banyak bercakap. Elakkan diri daripada terjebak dengan pencemaran riya’ yang boleh membawa kepada kerosakan dan kemusnahan amalan dan parti. Elakkan diri daripada menyebarkan diayah palsu sesama ahli jamaah

Elakkan pertengkaran dan perbalahan sesama anggota, kerana syaitan akan masuk campur dan berlakulah pertelingkahan dan permusuhan sehingga merosakkan ukhwah. Semua ini menjejaskan amal kerja untuk berdakwah. Rasulullah melarang kita dari bersifat demikian kerana ia tidak mendatangkan kebaikan.

Memanglah ukhwah sangat penting dalam berdakwah dan berjihad supaya tidak ada peluang kepada musuh menembusi masuk ke dalam saf jamaah. Kecuaian terhadap ruh atau semangat ukhwah dan kasih sayang sesama anggota akan memberi  peluang kepada syaitan dan musuh sehingga membawa kepada pertelagahan, kegagalan dan keruntuhan. Firman Allah SWT:

“Dan janganlah kamu berbalahan, maka kamu akan gagal dan hilang kekuatan kamu” (Surah al-Anfal 46)

Imam Syahid Hassan al-Banna menasihat perkara ini “Masa merupakan kehidupan, dan tanggungjawab lebih banyak dari masa. Oleh itu janganlah kita sibuk dengan menguruskan kulit mengenepikan isi dan jangan sibuk dengan banyak cakap dan bertengkar tetapi mengenepikan amal.

Oleh: Ustaz Idris Haji Ahmad
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Photobucket