Friday, 13 July 2012

Konsep Kebajikan Islam 2


(Sambungan )Konsep dan Amal Kebajikan

Di Bulan Ramadhan


43. Berusaha memulihkan hubungan sesama makhluk. Suka mendamaikan sengketa antara mereka. Rasulullah SAW menerangkan:

: "ألا أخبركم بأفضل من درجة الصيام والصلاة والصدقة؟ قالوا: بلى يا رسول الله قال إصلاح ذات البين" رواه أبو داود

Mahukah kalian aku beritahu suatu amalan yang lebih afdhal dan tinggi darjatnya daripada puasa, solat dan sedekah? Sahabat menjawab: Mahu, wahai Rasulullah. Baginda pun berkata: Memulihkan hubungan dan menyelesaikan sengketa sesama makhluk.

44. Suka bersabar, memaafkan dan menahan perasaan marah. Allah SWT menegaskan dalam Surah Ali Imran antara sifat orang budiman ialah:

والكاظمين الغيظ والعافين عن الناس والله يحب المحسنين" (آل عمران: 134)،

Orang yang mengawal perasaan marah dan suka memaafkan orang lain . Allah sayang dan suka orang yang berbuat baik.

45. Berjabat tangan dengan rasa penuh kasih mesra dan tulus ikhlas dengan orang lain seperti yang dianjurkan oleh syara’. Rasulullah SAW bersabda:

"ما من مسلمين يلتقيان فيتصافحان إلا غفر لهما قبل أن يتفرقا" رواه أبو داود والترمذي وقال: حسن.

Bila dua orang muslim (atau lebih) bertemu dan saling berjabat tangan maka kedua-duanya diampunkan oleh Allah dosa masing-masing; sebelum mereka bersurai atau berpisah.



46. Berupaya menunjukkan wajah yang manis dan ceria apabila bertemu dengan orang. Rasulullah SAW menerangkan:

: "تبسمك في وجه أخيك صدقة".

(Sesungguhnya) senyuman yang anda hadiahkan bila betemu dengan saudara anda yang lain adalah dikira sebagai sedekah

47. Berupaya mengawal pandangan mata daripada melihat atau menonton perkara yang haram. Rasulullah SAW mengingatkan:

"النظرة سهم مسموم من سهام إبليس، من تركها مخافتي أبدلته إيمانًا يجد حلاوته في قلبه" رواه الطبراني.

Sekilas pandangan (haram ) itu adalah laksana satu panahan berbisa dari sekian banyak panahan iblis. Siapa yang dapat meninggalkan pandangan seperti itu kerana takut kepada Ku (Allah) nescaya akan Ku gantikan dengan (suntikan) keimanan yang dapat dirasakan kemanisannya dalam lubuk hatinya

48. Melaksanakan amr makruf dan nahi ’anil munkar; menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Perkara ini telah diperintahkan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya:

"من رأى منكم منكرًا فليغيره بيده، فإن لم يستطع فبلسانه، فإن لم يستطع فبقلبه، وذلك أضعف الإيمان" رواه مسلم.

Siapa yang nampak kemungkaran ia wajib mencegahnya dengan tangannya (yakni kuasanya). Kalau dia tidak mampu maka dengan lidahnya. Kalau masih tidak mampu maka dengan hatinya dan itu adalah selemah-lemah iman.

49. Suka duduk bergaul dengan orang baik-baik dan soleh; mengerjakan amal kebajikan. Rasulullah SAw mengingatkan:

"لا يقعد قوم يذكرون الله عز وجل إلا حفتهم الملائكة، وغشيتهم الرحمة، ونزلت عليهم السكينة، وذكرهم الله فيمن عنده" رواه مسلم.

Mana-mana golongan yang duduk berhimpun mengingati Allah Azza Wajalla maka nescaya (majlis) mereka dikitari oleh para malaikat. Mereka mendapat lembayung rahmat dan mendapat ketenangan batin. Lebih jauh Allah akan menyebut-nyebut nama mereka kepada malaikat yang ada di sisiNya.

50. Mampu mengawal mulut dan kehormatan daripada dosa. Rasulullah SAW menegaskan:

: "من يضمن ما بين لحييه وما بين رجليه أضمن له الجنة" رواه البخاري ومسلم.

Siapa yang menjamin kepada ku untuk menjaga lidah dan kemaluannya nescaya aku jamin dirinya masuk syurga

51. Mengamal dan melazimkan diri berselawat kepada Nabi SAW. Baginda mengatakan:

: "من صلى عليّ صلاة، صلى الله عليه بها عشرًا" رواه مسلم.

Siapa yang berselawat untuk ku satu selawat nescaya Allah balas (pahala) selawatnya dengan sepuluh selawat.

52. Ikut berdakwah mengajak orang taat dan ikut ajaran Allah dan suka berbuat kebajikan. Ujar baginda:

"من دعا إلى هدى، كان له من الأجر مثل أجور من تبعه، لا ينقص ذلك من أجورهم شيئًا" رواه مسلم

Siapa yang mengajak ke arah hidayah maka dia akan dapat pahala (persis sebanyak) pahala orang yang mengikut ajarannya. Tidak dikurangi sedikitpun pahalanya sendiri .

53. Membantu orang yang dilanda malapetaka atau mengalami kecelakaan. Ini berlandaskan hadith Rasulullah SAW terdahulu iaitu:

"من نفّس عن مسلم كربة من كرب الدنيا نفس الله عنه كربة من كرب يوم القيامة" رواه مسلم.

Siapa yang membantu muslim lain mengatasi kesulitan dunianya nescaya Allah akan membantunya untuk melepaskan dirinya daripada kesulitan di hari kiamat kelak.

54. Tidak menyakiti dan mengganggu-gugat orang muslim yang lain. Rasulullah menerangkan :

"سُئل رسول الله صلى الله عليه وسلم: أي الإسلام أفضل؟ فقال: من سلم المسلمون من لسانه ويده" رواه البخاري ومسلم

Rasulullah ditanya tentang (amalan ) Islam yang manakah yang lebih afdhal dan baik. Baginda menjawab. Orang Islam yang (tingkahlakunya) menyebabkan orang Islam lain terselamat dari gangguan lidah dan tangannya.

55. Cenderung membantu para pembuat kebajikan dan pertubuhan amal sama ada secara persendirian mahupun secara berkelompok. Rasulullah SAw berpesan:

"كل سلامى عليه صدقة كل يوم، يعين الرجل في دابته يحمله عليها، أو يرفع عليها متاعه صدقة" رواه البخاري

Setiap sendi anggota manusia itu ada sedekah yang boleh diajukannya saban hari. Membantu orang untuk menaiki binatang tonggangannya, di samping tolong mengangkat barangan untuk dinaikkan ke atas tonggangannya itu pun dikira satu sedekah.

56. Ikut membantu menyelesaikan urusan orang yang memerlukan itu pun dikira amal soleh. Baginda menegaskan:

"اشفعوا تؤجروا، ويقضي الله على لسان نبيه ما شاء" رواه البخاري.

Tolonglah memberi rekomendasi (untuk kebaikan) nescaya anda akan diberikan pahala. Allah akan melaksanakan sesuatu mengikut apa yang Dia mahu berdasarkan ucapan lisan NabiNya.

57. Terus kekal melakukan amal soleh walaupun sedikit. Baginda mengingatkan:

: "أحب الأعمال إلى الله أدومها وإن قل" رواه مسلم.

Amalan yang Allah paling suka ialah amalan yang terus kekal berkesinambungan ditunaika ; walaupun sedikit.

58.Berbuat baik kepada jiran tetangga. Baginda berpesan:

: "من كان يؤمن بالله واليوم الآخر فليكرم جاره" رواه مسلم.

Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia memuliakan jirannya.

59. Memulangkan apa yang terambil daripada hak orang dan memberi pampasan terhadap orang yang terlanjur dianiaya. Baginda mengarahkan:

: "إن كانت عنده مظلمة لأخيه فليتحلله منها، فإنه ليس ثم دينار ولا درهم من قبل أن يؤخذ لأخيه من حسناته ، فإن لم يكن له حسنات أخذ من سيئات أخيه فطرحت عليه" رواه البخاري.

Siapa yang ada sangkutan kes aniaya terhadap saudaranya maka dia wajib berusaha memohon kemaafan daripadanya sebelum sampai hari di mana dinar dan dirham tidak lagi dapat melunaskan bayaran tetapi sebaliknya yang diambil ialah pahala-pahala kebajikannya. Apabila pahalanya tidak mencukupi untuk melunaskan hutang berkenaan maka akan diambil dosa nista orang berkenaan dimasukkan dalam akaunnya untuk melunaskan bayaran.

60.Membalas keburukan dengan kebaikan. Melakukan kebaikan sesudah terlanjur membuat sesuatu yang buruk. Baginda mengatakan:

"اتق الله حيثما كنت، وأتبع الحسنة السيئة تمحها، وخالق الناس بخلق حسن" رواه أحمد والحاكم

Bertaqwalah kepada Allah di mana jua anda berada. Ikuti keburukan dengan kebaikan yang melupuskannya. Bergaullah dengn orang lain dengan akhlak yang baik.

61. Cenderung dan menunaikan amanah di samping mengotakan janji yang telah dibuat. Rasulullah SAW berpesan:

: "الإيمان لمن لا أمانة له، ولا دين لمن لا عهد له" رواه أحمد.

Tidak beriman (tidak sempurna iman) orang yang tidak amanah. Tidak beragama orang yang tidak boleh dipegang janjinya.

62. Sayang kepada orang muda dan menghormati orang tua. Pesan Rasulullah SAW :

"ليس منا من لم يرحم صغيرنا، ويعرف حق كبيرنا" رواه أحمد والترمذي.

Bukan golongan kita orang yang tidak menyayangi orang muda kita dan tidak mengetahui hak (layanan penghormatan sewajarnya) kepada orang tua-tua kita.

63. Mempunyai keprihatinan yang tinggi kepada nasib orang lain Suka mengambil berat tentang nasib orang lain. Rasulullah SAW mengatakan:

"مثل المؤمنين في توادهم وتراحمهم وتعاطفهم كمثل الجسد، إذا اشتكى منه عضو تداعى له سائر الجسد بالسهر والحمى" رواه البخاري ومسلم.

Kemesraan, hubungan kasih sayang dan simpati antara orang mukmin dengan mukmin yang lain bagaikan sebatang tubuh badan manusia. Andainya mana-mana anggota sakit; yang lain ikut merasa dan terganggu tidur dan turut demam.

64. Suka berdiam diri, menjaga lidah kecuali untuk mengatakan yang benar. Rasulullah SAW berpesan:

: "من كان يؤمن بالله واليوم الآخر فليقل خيرًا أو ليصمت" رواه البخاري.

Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia bertutur yang baik atau lebih baik diam sahaja.

65. Suka mempertahankan maruah dan nama baik orang baik-baik. Rasulullah SAW mengingatkan:

"من رد عن عرض أخيه رد الله عن وجهه النار يوم القيامة" رواه الترمذي.

Siapa yang mempertahankan maruah saudaranya (yang dicerobohi) nescaya Allah pertahankan wajahnya dari di jilat api neraka pada hari kiamat kelak.

66. Sentiasa bersikap lapang dada, jauh dari menaruh dendam kesumat. Untuk dapat meraih rahmat Allah. Rasulullah SAW mengingatkan:

"تفتح أبواب الجنة يوم الإثنين والخميس، فيغفر لكل عبد لا يشرك بالله شيئًا، إلا رجلاً كانت بينه وبين أخيه شحناء. فيقال: انظروا هذين حتى يصطلحا" رواه مسلم.

Setiap hari isnin dan khamis pintu syurga akan dibuka; maka setiapa hamba Allah yang tidak menyengutukan Allah sedikitpun akan diberi keampunan. Kecuali terhadap dua orang yang berbalah sesama sendiri. Terhadap golongan ini diperintahkan agar ditangguhkan pemberian keampunan itu; sehingalah mereka berdamai.

67.Bersikap adil dalam memerintah dan menghukum. Rasulullah SAW telah menggesa umatnya bersikap demikian Baginda bersabda:

: "كل سلامى من الناس عليه صدقة كل يوم تطلع فيه الشمس، يعدل بين الناس صدقة" رواه البخاري.

Apabila memancar matahari setiap pagi maka seluruh anggota dan sendi anak Adam perlu menghulurkan sedekah. Berlaku adil sesama manusia adalah dikira satu sedekah.

68. Suka menyahut panggilan kebajikan dan tidak menghampakan permintaan para peminta. Rasulullah SAW bersabda:

"من استعاذ بالله فأعيذوه، ومن سأل بالله فأعطوه، ومن دعاكم فأجيبوه، ومن صنع إليكم معروفا فكافئوه" رواه أحمد والنسائي وأبو داود.

Siapa yang merayu mohon perlindungan atas nama Allah maka berilah perlindungan . Siapa yang meminta atas nama Allah maka perkenankanlah. Siapa yang dijemput (menghadhiri majlis yang baik) maka sahutilah. Siapa yang berbudi kepada anda maka ganjarilah dia.

69. Berterima kasih kepada orang yang sudah berbuat baik kepadanya dan berusaha mengganjarinya. Rasulullah SAW bersabda:

"من صنع إليه معروف فليجزه، فإن لم يجد ما يجزيه فليثن عليه، فإنه إذا أثنى عليه فقد شكره، وإن كتمه فقد كفره" رواه البخاري في الأدب المفرد.

Siapa yang termakan budi orang lain maka cubalah memberi ganjaran kepadanya. Kalau dia tidak mempunyai apa-apa untuk membalas budi baiknya maka hendaklah memujinya. Sebab dengan pujian itu bermakna ia berterima kasih kepadanya. Tapi kalau dia sembunyikan perkara itu bererti dia seolah-olah menafikannya.

70. Bersungguh-sungguh menunaikan ibadah dan qiamullail apabila menjelang hari kesepuluh terakhir bulan Ramadhan. Rasulullah SAW diriwayatkan berbuat seperti itu bila Ramadhan tinggal sepuluh hari lagi. Dalam hadith dinyatakan:

"كان رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا دخل العشر أحيا الليل، وأيقظ أهله، وشد مئزره" رواه البخاري ومسلم

Rasulullah bila tinggal sepuluh hari lagi Ramadhan (berakhir) baginda menghidupkan malamnya, menggalakkan keluarga baginda berjaga dan menyinsing kain beribadah dengan bersungguh-sungguh.

71. Memenuhi malam-malam yang diandaikan malam lailatul qadri dengan berbagai ibadah seperti solat , zikir, bacaan quran doa dan sebagainya. Rasulullah SAW menegaskan:

"من قام ليلة القدر إيمانًا واحتسابًا غفر له ما تقدم من ذنبه" رواه البخاري ومسلم.

Siapa yang menghidupkan malam Lailatulqadri (dengan solat) dengan penuh rasa keimanan dan kerelaan nescaya dosa-dosa yang telah dilakukannya akan diampunkan oleh Allah.

72. Beri’tikaf di masjid. Ini kerana Rasulullah SAW sendiri berbuat demikian . Ulama meriwayatkan hal itu dalam hadith berikut:

"كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يعتكف في العشر الأواخر من رمضان" رواه البخاري.

Baginda biasa beri’tikaf (di masjid ) pada sepuluh hari terakhir dalam bulan Ramadhan.

73. Mengeluarkan zakat fitrah dalam waktunya yang betul. Ulama meriwayatkan :

: "فرض رسول الله صلى الله عليه وسلم زكاة الفطر طهرة للصائم من اللغو والرفث، وطعمة للمساكين من أداها قبل الصلاة فهي زكاة مقبولة، ومن أداها بعد الصلاة فهي صدقة من الصدقات".

Zakat Fitrah diwajibkan oleh Rasulullah untuk memurnikan amalan orang yang berpuasa itu daripada lagha (perbuatan sia-sia) dan rafath (dosa bercengkerama atau berasmara ringan).

74. Tunaikan apa yang disebut “Puasa Sepanjang Zaman”; iaitu dengan berpuasa enam atau enam hari dalam bulan Syawal. Rasulullah SAW mengatakan:

"من صام رمضان وأتبعه ستًّا من شوال كان كصوم الدهر" رواه البخاري ومسلم

Siapa yang berpuasa Ramadhan lalu diikuti dengan puasa enam (hari dalam bulan ) Syawal maka dia seolah-olah berpuasa sepanjang zaman.

Penutup

Islam memulakan bibit-bibit kebaikan dan kebajikan melalui pendidikan insan itu sendiri. Manusia perlu dididik dengan pegangan agama Islam yang menitikberatkan persoalan kebajikan. Walau bagaimanapun manusia mesti dididik, dilatih, diasuh untuk melaksanakan kebajikan dalam dirinya sendiri dahulu. Hatinya perlu disirami dengan baja keimanan dan ketaqwaan. Akalnya mesti diluruskan dengan kriteria menilai keburukan yang jitu dan tepat berlandaskan wahyu (al Quran dan Hadith). Perangainya mesti dibentuk menjadi manusia dan warga negara yang cenderung berbuat baik dan berkebajikan. Dengan itu masyarakat dan kerajaan yang akan dibentuk kelak akan bersikap serba berkebajikan untuk rakyat dan tidak pecah amanah, rasuh , zalim dan jahat.

Semoga Allah menjadikan kita semua manusia yang sentiasa berbuat kebajikan dengan penuh ikhlas kepada Allah Azza Wajalla.


Oleh: Ustaz Abdul Ghani Shamsudin
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...