Sunday, 1 July 2012

AKHLAK SEORANG MUFTI



Tidak dapat dinafikan bahawa ilmu pengetahuan yang mendalam dan wawasan yang luas adalah merupakan keperluan asasi bagi seorang mufti. Tetapi ilmu pengetahuan juga harus disertai dengan amal perbuatan, dan amal perbuatan juga mesti dilakukan dengan khusyuk dan ikhlas kepada Allah Taala. Kerana ilmu yang tidak diamalkan dan tidak akan menimbulkan khasyiah (takut kepada Allah) adalah ilmu yang tidak bermanfaat dalam pandangan Allah. Firman Allah bermaksud :

"Dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang yang melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya? Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun." - Surah Faathir:28

Sesungguhnya musibah yang menimpa kehidupan manusia adalah kerana disebabkan oleh kerosakan akal fikiran, tetapi musibah yang disebabkan oleh kerosakan hati manusia adalah lebih besar. Dan krisis yang melanda ummah bukanlah kerana krisis ilmu pengetahuan, tetapi pada hakikatnya adalah kerana krisis moral atau akhlak. Kerosakan dan kehancuran sendi-sendi agama-agama samawi yang datang sebelum Islam bukanlah disebabkan oleh para penganut yang bodoh dan jahil, tetapi adalah disebabkan oleh mereka yang berilmu pengetahuan, bahkan bertaraf ulama yang menjual ayat-ayat Allah untuk kepentingan kebendaan dan harta duniawi semata-mata.

Jika demikian, tidak hairanlah kita bila al Quranul Karim dengan tegas membidas orang-orang yang mengkhianati amanah ilmu pengetahuan, dengan cara memperjual-belikan ayat-ayat Allah dengan harta benda dunia yang fana, memperselindungkan kebatilan dengan selimut agama dan menyembunyikan hak serta kebenaran padahal mereka mengetahuinya disebabkan rosak dan condongnya hati mereka terhadap hawa nafsu.

Firman Allah Taala :

"Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian setia dari orang-orang yang telah diberikan Kitab (iaitu), Demi sesungguhnya! Hendaklah kamu menerangkan isi Kitab itu kepada umat manusia, dan jangan sekali-kali kamu menyembunyikannya. Kemudian mereka membuang (perjanjian setia) itu ke belakang mereka, serta mereka menukarnya dengan mengambil faedah dunia yang sedikit. Maka amatlah buruknya apa yang mereka dapati dari penukaran (Kalamullah dan janjiNya) itu." - Surah al Imran:187

Dalam ayat yang lain Allah Taala berfirman :

"Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa-apa yang telah diturunkan Allah Taala daripada al Kitab, kemudian mereka menjualnya dengan harga yang sedikit, sesungguhnya hasil yang mereka makan itu adalah api neraka. Allah Taala tidak akan bercakap kepada mereka di hari Kiamat, dan tidak akan membersihkan mereka. Mereka akan mendapat azab yang sangat pedih. Merekalah orang-orang yang telah menukar petunjuk (hidayah) dengan kesesatan, dan menukar keampunan dengan azab, alangkah beraninya mereka menerima azab neraka yang bersangatan dahsyatnya." - Surah al Baqarah:174

Di dalam al Quran kita dapati juga dua misalan yang paling buruk tentang orang-orang yang berilmu pengetahuan tetapi tidak mengamalkannya : Seperti seseorang yang telah diberi ilmu pengetahuan, malah kemudian melemparkan ilmu tersebut untuk mendapat sedikit kenikmatan dunia, perumpamaan mereka, "Laksana seekor anjing jika engkau bagi (sesuatu) ke atasnya ia akan menjulurkan lidah, dan bila engkau tinggalkannya ia (tetap) menjulurkan lidah juga".

Begitulah perumpamaan Bani Israel yang telah diamanahkan Kitab Taurat, tetapi mereka mensia-siakan dan mencampakkannya, tidak diamalkan petunjuk-petunjuk dan ajaran-ajarannya. Al Quran juga mengumpamakan mereka :


"(Sifat-sifat Nabi Muhammad itu telahpun diterangkan dalam Kitab Taurat tetapi orang-orang Yahudi tidak juga mempercayainya, maka) bandingan orang-orang (Yahudi) yang ditanggungjawab dan ditugaskan (mengetahui dan melaksanakan hukum) Kitab Taurat, kemudian mereka tidak menyempurnakan tanggungjawab dan tugas itu, samalah seperti keldai yang memikul bendela Kitab-kitab besar (sedang ia tidak mengetahui kandungannya). Buruk sungguh bandingan kaum yang mendustakan ayat-ayat keterangan Allah; dan (ingatlah), Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim." - Surah al Jumu’ah:5

Dari petunjuk ayat-ayat ini, maka para ulama muslimin telah memberi perhatian yang sangat serius tentang akhlak seorang mufti. Seorang mufti tidak cukup hanya memiliki ilmu pengetahuan yang mendalam dan wawasan hidup yang luas, tetapi juga ia dituntut untuk mempunyai akhlak yang mulia, bertaqwa, ikhlas dan budi pekerti yang luhur.

Saidina Ali Ibn Abi Talib R.A pernah ditanya, "Sudikah beritahukan tentang ciri orang yang paling faqih".

Lalu beliau menjawab, "Mereka ialah orang yang tidak pernah menyebabkan manusia berputus asa dari rahmat dan kasih sayang Allah, dan tidak pernah sedikitpun membenarkan manusia untuk bermaksiat kepada Allah. Ketahuilah, tidak ada kebaikan pada ilmu pengetahuan tanpa didasari oleh pemahaman (yang benar), dan tidak ada kebaikan pada kefahaman sahaja tanpa didasari dengan warak (sikap memelihara diri dari dosa), dan tidak ada kebaikan bagi orang yang membaca tanpa pemahaman (yang benar)."

Imam Malik R.A berkata, "Seseorang tidak akan menjadi alim yang sejati sehingga ia melazimkan dirinya untuk mengamalkan apa yang diketahuinya, sebelum ia memerintahkan orang lain untuk mengamalkannya atau memberikan fatwa (tentang sesuatu) pada mereka, sehingga jika hal tersebut tidak disampaikan kepada mereka ia tidak akan menanggung dosa (kerana dia sudah mengamalkannya terlebih dahulu)."

Kemudian, bagaimana dengan orang yang melarang manusia dari melakukan satu perbuatan haram, sedangkan dia sendiri melakukannya, atau memfatwakan kepada orang untuk melakukan suatu perkara sedang dia sendiri meninggalkannya. Dalam konteks ini, Allah Taala menyelar Bani Israel dengan Firman-Nya :

"Adakah kamu sekalian memerintahkan manusia untuk berbuat kebaikan, tetapi kamu melupakan diri kamu sendiri (dengan tidak melakukan kebaikan), walhal kamu membaca al Kitab, apakah kamu tidak memiliki akal fikiran." - Surah al Baqarah:44

Di antara sikap yang menunjukkan ketaqwaan dan amanah seorang mufti adalah menasihatkan si penanya untuk pergi kepada orang yang lebih arif dari dirinya mengenai satu-satu kemusykilan, tanpa adanya rasa tidak selesa di dalam hati. Suatu masa Ummul Mukminin Aisyah pernah ditanya orang tentang hukum menyapu air di atas kedua khuf (kasut dari kulit), kemudian beliau berkata kepada si penanya, "Pergilah kepada Saidina Ali dan bertanyalah kepadanya, kerana dia lebih mengetahui tentang perkara ini daripada saya, sebab dia pernah bermusafir (berpergian jauh) bersama Rasulullah S.A.W."

Demikian juga, mufti yang amanah dan bertaqwa selalu menghubungi orang-orang yang berilmu pengetahuan dan menjemput mereka untuk bermesyuarat, untuk menambahkan keyakinan dan ketenangan jiwanya tentang satu-satu perkara, seperti yang sering dilakukan oleh Saidina Umar R.A dimana beliau sentiasa menjemput para ulama di kalangan Sahabat Nabi S.A.W untuk diajak bermesyuarat, bahkan terkadang beliau memohon pendapat dari orang yang paling muda diantara mereka seperti Abdullah Ibnu Abbas R.A, seperti katanya, "Apa pendapatmu (Wahai Abdullah), dan jangan merasa segan meskipun umurmu masih muda."

Juga, di antara keluhuran dan kemuliaan akhlak seorang mufti adalah sedia menerima dan memperbetulkan kesalahan dan kesilapannya yang telah lalu. Ini kerana kesediaan untuk memperbetulkan kesilapan dan kesalahan adalah lebih baik daripada berada berterusan dalam kesalahan. Dia tidak berdosa atas kesilapannya itu, kerana sudah dilakukan mengikut kaedah-kaedah ijtihad, bahkan dia mendapat pahala dari jerih payah ijtihadnya. Dia hanya akan berdosa jika kesalahan fatwanya itu sudah diketahui sejak mula, namun dia tetap bertahan kerana sombong, bongkak dan tidak mahu menerima pandangan orang lain, atau kerana malu akan sindiran manusia, padahal Allah Taala tidak pernah malu atas perkara yang hak.

Para ulama salaf, jika mereka berfatwa, kemudian baru diketahui bahawa fatwanya itu salah, maka mereka akan memaklumkan kesalahan itu kepada khalayak ramai (orang awam) sambil berkata, "Fatwa saya pada hari ini adalah salah", dan mereka tidak peduli dengan apa yang bakal diperkatakan oleh orang ramai.

Di antara akhlak mufti adalah berfatwa dengan apa yang diketahuinya dan berpegang teguh atas fatwanya itu, meskipun boleh menyebabkan kemarahan siapa sahaja, termasuk para penguasa dan pemimpin kerajaan. Kerana apa yang dicarinya hanyalah keredhaan Allah Taala, bukan manusia yang akan kembali menjadi tanah ditelan bumi.

Para imam dan ulama besar terdahulu selalu memfatwakan perkara-perkara yang mengikut ijtihad mereka adalah hak dan kebenaran, meskipun ia bercanggah dengan pendapat dan keinginan penguasa dan pemimpin kerajaan. Mereka berpegang teguh dengan fatwa-fatwa tersebut meskipun harus berdepan dengan ancaman penguasa yang berupa seksaan, penjara atau buang negeri. Tetapi mereka tetap teguh dan bersabar dalam memperjuangkan hak dan kebenaran sesuai dengan agama Allah Taala. Imam Ibn Taymiyyah, misalnya, telah diseksa dan dipenjara berkali-kali selama hidupnya kerana fatwa-fatwanya yang bercanggah dengan kehendak dan keinginan penguasa pada zamannya, sehingga beliau meninggal dunia di dalam penjara. Meskipun ancaman dan seksaan datang silih berganti, tetapi ulama seperti Imam Ibn Taymiyyah tidak pernah menyerah dalam memperjuangkan agama Allah dan tidak mahu menarik kembali fatwa-fatwanya itu, sehingga beliau pernah berkata, "Penjara bagiku adalah khalwat (beribadah kepada Allah), dibuang negeri bagiku adalah hijrah, dibunuh bagiku adalah mati syahid".

Sebelum memulakan kerja-kerja fatwa seorang mufti hendaklah mendekatkan diri kepada Allah Taala, memohon dan meminta petunjuk dan pertolongan dariNya agar mendapat pandangan yang hak dan benar, memohon dijauhkan dari silap dan kesalahan serta ketergelinciran baik ia disampaikan melalui pena mahupun lisan, meminta dipelihara dari dorongan hawa nafsu dan bisik rayu iblis. Baik juga jika dia memulakan perbicaraannya dengan membaca doa yang disebut oleh para Malaikat ketika Allah mempersembahkan kepada mereka makhluk yang bernama Adam.

"Mereka (para Malaikat berkata); Maha Suci Engkau (Ya Allah). Tidak ada apa-apa ilmu pada kami, kecuali apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana." - Surah al Baqarah:32

Para ulama salaf telah menyusun beberapa kitab yang menjelaskan syarat-syarat, kewajipan-kewajipan dan adab serta ketertiban yang mesti dimiliki oleh seorang mufti. Di antara kitab-kitab tersebut ialah :
  • "Sifat al Fatwa wa al Mufti wa al Mustafti", karangan Allamah Sheikh Ibn Hamdan al Hanbali.
  • "Al Ahkam fi Tamyiz al Fatawa wa al Ahkam", karangan Imam al Qarafi al Maliki.
  • "Al Faqih wa al Mutafaqqih", karangan Imam Hafiz Abu Bakr al Khatib al Baghdadi.
  • "I'lamul Muwaqqa'in ila Rabb al 'Alamin", karangan Ibn Qayyim al Jawziyah. Dan kitab ini merupakan salah satu kitab yang paling lengkap dan terkenal di seluruh dunia intelektual Islam dalam perkara ini.
Sudah sewajarnya, seseorang yang menampilkan diri untuk berfatwa memiliki dan memahami kitab-kitab tersebut, terutama sekali kitab yang keempat, supaya ia memiliki bekalan yang cukup dan pengetahuan yang luas agar dapat berjalan dengan sempurna dibawah pimpinan cahaya hidayah Allah Taala.

sumber: http://www.tarbawi.my/index.php/en/inspirasi/mimbar-ulama/304-akhlak-seorang-mufti
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...