Showing posts with label Fiqh Harian. Show all posts
Showing posts with label Fiqh Harian. Show all posts

Saturday, 3 March 2012

Soal Jawab: Darah Nifas

 
Apa yang dimaksudkan darah nifas?

Darah nifas ialah darah yang keluar dari faraj wanita kerana melahirkan anak.

Adakah darah yang keluar sebelum lahirnya anak juga dikira darah nifas?

Sepakat para ulamak menyatakan bahawa darah yang keluar dari kemaluan wanita sebaik sahaja selepas melahirkan anak adalah darah nifas. Namun mereka berikhtilaf berkenaan darah yang keluar bersama dengan bayi atau sebelum kelahiran bayi; adakah termasuk darah nifas atau tidak?;

1. Bagi pandangan mazhab Syafi’ie; Darah nifas ialah darah yang keluar selepas lahirnya bayi sepenuhnya. Oleh demikian, darah yang keluar bersama bayi atau sebelumnya bukan darah nifas. Ia sama ada darah haid (jika ia sedang haid kerana mazhab Syafi’ie berpandangan harus wanita hamil kedatangan haid) atau darah fasad jika bukan haid.[1]

2. Di sisi mazhab Imam Ahmad; darah yang keluar dua hari atau tiga hari sebelum melahirkan anak yang disertai dengan rasa sakit, begitu juga darah yang keluar bersama dengan keluarnya bayi adalah dikira darah nifas sama seperti darah yang keluar selepasnya.

3. Mengikut mazhab Imam Malik pula; darah nifas ialah darah yang keluar ketika bersalin dan selepasnya. Adapun darah yang keluar sebelum bersalin, maka ia bukan darah nifas tetapi darah haid di sisi mereka.

Berapa lamakah tempoh paling pendek bagi darah nifas?

Terdapat khilaf di kalangan ulamak dalam masalah ini;

1. Mengikut mazhab Syafi’ie; tempoh nifas paling pendek (selepas seorang wanita melahirkan anak) ialah ialah seketika atau sedetik (لحظة).

2. Para fuqahak yang lain berpendapat; tidak ada had bagi tempoh minima nifas kerana tidak terdapat nas Syarak menentukannya.

Adalah tidak mustahil seorang wanita melahirkan anak tanpa keluar darah nifas sedikitpun. Terdapat riwayat menceritakan seorang wanita pada zaman Nabi s.a.w. melahirkan anak tanpa keluar darah nifas, lalu ia dipanggil dengan nama Zatil-Jufuf iaitu wanita yang kering.

Berapa lamakah tempoh paling panjang bagi darah nifas?

Masalah ini juga diikhtilafkan oleh ulamak;

1. Jumhur ulamak –merangkumi ulamak-ulamak sahabat, mazhab Imam Ahmad, Abu Hanifah, as-Sauri dan sebagainya- berpandangan; tempoh nifas yang paling panjang ialah 40 hari. Pandangan ini berdalilkan hadis dari Ummu Salamah r.a. yang menceritakan; “Wanita-wanita bersalin pada zaman Nabi s.a.w. menunggu (selepas bersalin) hingga 40 hari” (HR Imam at-Tirmizi).

Berdasarkan pandangan jumhur ini; wanita bersalin jika ia mendapati darah masih keluar dari kemaluannya walaupun selepas 40 hari, maka darah yang keluar selepas 40 hari itu bukan lagi darah nifas, akan tetapi darah penyakit (istihadhah). Oleh itu, selepas 40 hari itu hendaklah ia mandi wajib dan menunaikan solat walaupun darah masih keluar. Keadaannya sama seperti wanita yang istihadhah dan tertakluk dengan hukum-hakamnya sebagaimana yang akan diterangkan nanti.
 
2. Imam Syafi’ie dan mazhabnya mempunyai pandangan berbeza dari pandangan jumhur di atas di mana menurut beliau; tempoh maksima nifas ialah 60 hari. Jadi, jika seorang wanita darah bersalinnya berlarutan selepas 40 hari, mengikut pandangan ini; darah itu masih dianggap darah nifas sehinggalah 60 hari. Dalam tempoh 60 hari itu jika darah masih keluar, tidak harus ia mengerjakan solat, puasa dan sebagainya lagi dari ibadah-ibadah yang mensyaratkan bersuci. Jika selepas 60 hari darah masih lagi keluar, maka ketika itu barulah ia dianggap darah penyakit dan tertakluk dengan hukum-hakam istihadhah dan sulasul-baul sebagaimana di atas. Imam Syafi’ie berhujjah berdasarkan pengalaman, yakni menurut pengalaman dan pemerhatian beliau; terdapat wanita yang pernah mencapai tempoh nifas hingga 60 hari. Adapun tempoh 40 hari yang disebut oleh Ummu Salamah dalam hadis di atas, itu adalah tempoh kebiasaan nifas bagi kebanyakan wanita, bukan bermaksud tempoh maksimanya.

Bagaimana jika kelahiran melalui pembedahan?

Wanita yang melahirkan anak melalui pembedahan, jika keluar darah melalui farajnya selepas pembedahan itu, darah itu adalah darah nifas. Jika tidak ada darah yang keluar, tidak ada nifas baginya dan ia dikira suci. Kesimpulannya, sama ada seorang wanita itu bernifas atau tidak bergantung kepada keluar atau tidak darah dari farajnya selepas melahirkan anak, bukan bergantung kepada cara melahirkan iaitu melalui jalan biasa atau dengan pembedahan.

Bagaimana dengan suci antara hari-hari nifas? Adakah masih dianggap dalam nifas atau dianggap dalam suci?

Seorang wanita selepas bersalin melihat darah keluar dari farajnya lima hari, kemudian ia mendapati empat hari berikutnya darah berhenti, kemudian datang semula selepas itu selama lima hari; apa kedudukannya pada hari-hari ketiadaan darah itu, adakah ia suci atau masih dianggap bernifas?

Jawapannya; menurut pendapat ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie; jika tempoh berhenti darah itu l5 hari atau lebih, maka ia dikira suci (yakni bersih dari nifas). Darah yang keluar selepas itu dikira darah haid. Adapun jika kurang dari 15 hari, maka ia masih dianggap berada dalam nifas mengikut pandangan yang rajih dalam mazhab. Jika ditakdirkan seorang wanita melahirkan anak tanpa keluar darah sedikitpun selepas bersalinnya dan keadaan itu berterusan hingga 15 hari, maka ia dianggap suci secara keseluruhannya. Jika keluar darah selepas 15 hari itu, maka darah itu dikira darah haid, bukan darah nifas. Dalam kes ini, wanita itu dianggap tidak bernifas.

Bagaimana dengan wanita yang melahirkan bayi kembar?

Bagi wanita yang melahirkan anak kembar, menurut mazhab Syafi’ie; nifasnya dikira selepas kelahiran bayi kedua. Adapun darah yang keluar selepas kelahiran bayi pertama ia tidak dianggap darah nifas, tetapi darah haid jika berbetulan dengan kebiasaan haidnya atau dikira darah fasad/illah jika tidak berbetulan dengan kebiasaan haidnya.

Bagaimana dengan wanita yang keguguran anak? Adakah darah yang keluar selepas gugur itu dikira darah nifas?

Persoalan ini menjadi perbahasan di antara ulamak;

1. Mazhab Syafi’ie berpandangan; tidak disyaratkan untuk dikira darah nifas bahawa bayi yang dilahirkan itu hidup atau sempurna kejadian. Asalkan bidan mengesahkan bahawa yang keluar itu adalah janin manusia maka sabitlah hukum nifas bagi darah yang keluar selepas keluarnya janin itu sekalipun janin itu belum menampakkan rupa manusia iaitu hanya berupa seketul daging semata-mata.

2. Menurut mazhab Imam Malik; seorang wanita dikira bernifas jika janin yang gugur itu telah berumur empat bulan. Jika yang gugur itu baru dalam peringkat ‘alaqah atau mudghah, maka tidak dikira nifas bagi darah yang keluar selepasnya.

Apakah hukum wanita yang berada dalam nifas?

Telah disepakati oleh sekelian ulamak (yakni telah berlaku ijmak) bahawa wanita yang menghadapi nifas hukumnya menyamai wanita yang haid. Oleh itu, dilarang/diharamkan ke atasnya perkara-perkara yang dilarang/diharamkan ke atas wanita yang kedatangan haid. Dan ia wajib mandi apabila kering darah nifasnya untuk membolehkannya melakukan solat, berjimak dengan suaminya dan sebagainya lagi dari perkara-perkara yang tidak harus ia lakukan melainkan setelah mandi wajib.

Nota Hujung;

[1]Para ulamak mazhab Syafi’ie memperincikan syarat darah nifas dengan penjelasan; hendaklah darah itu keluar selepas kosong rahim sepenuhnya dari bayi (yakni bayi telah keluar sepenuhnya dari rahim). Jika sebahagian sahaja badan bayi yang telah keluar dan masih tinggal sebahagian lagi yang belum keluar walaupun sedikit, maka darah yang keluar belum lagi dianggap darah nifas. Disyaratkan juga, darah itu keluar sebaik sahaja selepas kelahiran iaitu dalam tempoh lima belas hari. Adapun selepas 15 hari atau lebih baru darah keluar (yakni sebelum itu darah tidak keluar walaupun setitik), maka darah yang keluar itu tidak dianggap darah nifas. Ia dianggap darah haid.

Baca Selanjutnya...

Tuesday, 28 February 2012

Soal Jawab: Darah Istihadhah


Apa maksud darah istihadhah?

Darah istihadhah ialah darah yang keluar bukan pada masa haid dan juga nifas. Darah istihadhah merangkumi;[1]
a) Darah yang keluar sebelum umur kemungkinan haid iaitu sembilan tahun mengikut jumhur ulamak.
b) Darah yang keluar kurang dari tempoh minima haid iaitu sehari semalam mengikut mazhab Syafi’ie.
c) Darah yang keluar melebihi tempoh maksima haid atau melebihi tempoh kebiasaan haid.
d) Darah yang melebihi tempoh maksima nifas.
e) Darah yang keluar dari wanita yang hamil mengikut pandangan jumhur ulamak selain mazhab Syafi’ie.
f) Darah yang keluar melebihi umur putus haid

Darah istihadhah tidak turun dari rahim sebagaimana darah haid atau nifas, akan tetapi keluar dari urat yang dipanggil al-‘Azil (العاذل).[2] Sifat darah istihadhah -menurut mazhab Syafi’ie- adalah cair dan berwarna merah terang (antara merah dan kuning).[3]

Apa caranya untuk membezakan antara darah haid dan darah istihadhah jika seorang wanita menghadapi masalah keluar darah yang berterusan atau melebihi tempoh kebiasaan haid?

Berdasarkan hadis Nabi s.a.w., ada tiga kaedah untuk ia membezakannya;

1. Dengan merujuk kepada kebiasaan haidnya yang lalu.

Ini berdasarkan sabda Nabi s.a.w. kepada Wanita yang istihadhah pertamanya hendaklah merujuk kepada kebiasaan haidnya (yakni darah-darah yang keluar pada hari-hari kebiasaan haid adalah darah haid dan adapun yang keluar pada hari berikutnya adalah istihadhah). Ini berpandukan hadis dari ‘Aisyah r.a. yang menceritakan; “Fatimah binti Abi Hubaisyh r.a telah mengadu kepada Nabi s.a.w.; ‘Sesungguhnya aku kedatangan haid tanpa putus-putus. Apakah aku perlu meninggalkan solat?” Nabi s.a.w. menjawab; ‘Tidak. Sesungguhnya itu adalah darah dari urat (عرق), bukan darah haid. (Oleh demikian, janganlah kamu tinggalkan solat pada keseluruhan hari datangnya darah itu), akan tetapi kamu tinggalkan solat hanya pada hari-hari kamu biasa kedatangan haid padanya, kemudian (apabila habis hari-hari tersebut), hendaklah kamu mandi dan tunaikanlah solat”. (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim).

Jadi, seorang wanita semasa menghadapi masalah tersebut, jika ia mengingati tempoh kebiasaan haidnya, hendaklah ia mengira bilangan hari haidnya mengikut tempoh kebiasaan tersebut dan darah yang keluar selepas tempoh itu dikira sebagai darah istihadhah dan ia tertakluk dengan hukum wanita istihadhah (bukan wanita haid atau nifas). Contohnya; jika ia biasa kedatangan haid selama tujuh hari, maka hendaklah ia menetapkan tempoh haidnya selama tujuh hari dan darah yang masih keluar selepas tujuh hari itu dikira istihadhah.

2. Dengan melihat kepada perbezaan darah.

Jika seorang wanita tidak mempunyai kebiasaan haid (kerana baru kedatangan haid atau melupai kebiasaan haidnya), hendaklah dirujuk kepada perbezaan darah. Ini berdasarkan hadis dari Saidatina Aisyah r.a. yang menceritakan; Fatimah binti Abi Hubaiysh r.a. menghadapi istihadhah, maka Rasulullah s.a.w. bersabda kepadanya; “Sesungguhnya darah haid adalah darah berwarna hitam yang dikenali (yakni ia mempunyai bau yang dikenali oleh kaum wanita). Oleh demikian, jika kamu melihat darah sedemikian, hendaklah kamu menahan diri dari menunaikan solat. Tetapi jika kamu melihat darah berwarna lain, maka ambillah wudhuk dan kerjakanlah solat”. (Riwayat Abu Daud, an-Nasai, Ibnu Hibban dan al-Hakim. Berkata al-Albani; hadis ini hasan soheh).

Hadis di atas menjadi dalil bahawa diambil kira perbezaan sifat darah di mana jika bersifat dengan warna hitam, maka ia adalah haid dan jika tidak, maka ia adalah istihadhah.

3. Dengan merujuk kepada kebiasaan haid kebanyakan wanita.

Sekiranya seorang wanita tidak mengetahui kebiasaan haidnya dan begitu juga ia tidak dapat membezakan darah dengan melihat sifat-sifatnya (yakni warna darah yang keluar adalah sekata), maka ketika itu ia hendaklah merujuk kepada kebiasaan haid kebanyakan wanita iaitu enam atau tujuh hari. Ini berdasarkan hadis dari Hamnah binti Jahsyi r.a. yang menceritakan; Aku telah kedatangan haid yang banyak dan kuat. Lalu aku datang kepada Nabi s.a.w. untuk meminta fatwa dari baginda. Lalu baginda bersabda; Sesungguhnya ia (bukanlah haid, tetapi) satu tindakan jahat dari Syaitan (hingga menyebabkan kamu lupa kebiasaan haid kamu). Oleh demikian, tetapkanlah tempoh haid kamu enam atau tujuh hari sahaja, kemudian mandilah….(Riwayat Abu Dad, at-Tirmizi dan Ibnu Majah. Menurut al-Albani; hadis hasan).

Adalah wanita yang menghadapi masalah tersebut wajib merujuk kepada ulamak?

Ya, wajib ia merujuk kepada ulamak. Berkata Imam Ibnul-Jauzi dalam kitabnya “أحكام المرأة” (Hukum Hakam Wanita); apabila berlaku kepada seorang wanita yang kedatangan haid keadaan-keadaan yang berbeza dengan kebiasaan haidnya, wajib ke atasnya menceritakan kepada para fuqahak pada setiap apa yang berlaku (untuk mendapat pandangan Syarak serta fatwa). (Halaman 42).

Apakah kedudukan wanita yang menghadapi darah istihadhah pada hukum Syarak?

Mereka adalah seperti wanita yang suci kerana darah yang keluar dari faraj mereka tidak dianggap oleh Syarak sebagai darah haid, tetapi darah penyakit atau istihadhah. Kerana itu, mereka wajib menunaikan solat dan berpuasa serta diharuskan bagi mereka perkara-perkara yang dilarang ke atas wanita yang haid (yakni tawaf, sujud, membaca al-Quran, I’tikaf, bersetubuh dengan suami dan sebagainya).

Oleh demikian, wanita Istihadhah wajib mandi apabila menyedari bahawa hari-hari haidnya telah tamat sekalipun darah masih keluar dari kemaluannya (yakni darah istihadhah). Hukum ini telah menjadi ijmak ulamak berdalilkan arahan Rasulullah s.a.w. kepada Fatimah binti Abi Hubaiysh r.a. (yang menghadapi masalah istihadhah); “…..tinggalkan solat hanya pada hari-hari kamu biasa kedatangan haid padanya, kemudian (apabila habis hari-hari tersebut), hendaklah kamu mandi dan tunaikanlah solat”.

Bagaimana cara wanita yang menghadapi masalah istihadhah mengambil wudhuk? Adakah terdapat perbezaan dengan wanita suci lain yang tidak menghadapi masalah istihadhah?

Ya, ada perbezaan. Wanita yang mengalamai masalah istihadhah walaupun menyamai hukum wanita yang suci secara amnya sebagaimana dinyatakan tadi, namun ada sedikit perbezaan antaranya dengan wanita suci yang lain memandangkan darah masih keluar dari farajnya. Perbezaan itu ialah;

1. Wanita yang mengalami masalah istihadhah, ia hendaklah menunggu masuk waktu barulah mengambil wudhuk jika ingin mengerjakan solat fardhu atau solat sunat yang berwaktu. Tidak harus ia mengambil wudhuk sebelum masuknya waktu kerana wudhuknya hanyalah wudhuk darurat dan sesuatu yang dilakukan kerana darurat hendaklah dilakukan apabila tiba waktunya.

2. Menurut mazhab Syafi’ie; satu wudhuk hanya untuk satu solat fardhu sahaja. Jika ia ingin mengerjakan berbilang-bilang solat fardhu (seperti solat qadha, nazar atau menjamakkan) ia wajib mengulangi wudhuknya. Adapun solat-solat sunat, harus ia mengerjakan seberapa banyak solat sunat yang diingini dengan satu wudhuk. Namun menurut mazhab Hanafi dan Hanbali; harus ia mengerjakan dengan satu wudhuk seberapa banyak solat fardhu yang dikehendaki, iaitu tiada beza dengan solat sunat.[4]

3. Sebelum mengambil wudhuk ia hendaklah membasuh kemaluannya dengan sempurna, kemudian membalutnya dengan kain atau sebagainya sekadar yang termampu (untuk membendung darah dari keluar sekadar terdaya). Setelah itu, hendaklah ia segera mengambil wudhuk.

4. Ketika mengambil wudhuk hendaklah ia berniat untuk mengharuskan solat, bacaan al-Quran atau ibadah-ibadah lain yang mensyaratkan wudhuk. Contohnya; ia meniatkan di dalam hati; “Sahaja aku mengambil wudhuk untuk solat kerana Allah Taala”. Tidak harus semasa mengambil wudhuk ia berniat untuk mengangkat hadas kerana hadasnya tidak akan terangkat selama darah sentiasa mengalir keluar dari kemaluannya kerana perkara tersebut membatalkan wudhuk.

5. Setelah selesai wudhuk hendaklah ia segera menunaikan solat tanpa menangguh lagi.

6. Sebahagian ulamak mengharuskan wanita yang menghadapi masalah istiadhah menjamakkan dua solat dengan sekali wudhuk iaitu menjamakkan zohor dan asar atau maghrib dan isyak. Ini kerana Rasulullah s.a.w. pernah menyuruh Hamnah binti Jahsyi r.a. yang mengalami masalah istihadhah menjamakkan dua solatnya dengan sekali mandi sebagaimana baginda pernah menyuruh Sahlah binti Sahal r.a. berbuat yang sama.

Adakah wanita istihadhah harus disetubuhi suaminya?

Berlaku khilaf di kalangan ulamak;

1. Menurut jumhur ulamak (termasuk mazhab Syafi’ie); harus bagi suaminya mensetubuhinya sekalipun darah sedang keluar dari kemaluannya.

2. Menurut Imam an-Nakha’ie dan al-Hakam; dilarang mensetubuhinya kerana diriwayatkan dari Saidatina ‘Aisyah r.a. bahawa beliau menegah suami mensetubuhi isterinya yang istihadhah.

3. Imam Ibnu Sirin memakruhkannya.

4. Berkata Imam Ahmad; Tidak harus mensetubuhinya kecuali jika terlalu lama istihadhahnya. Dalam satu riwayat yang lain darinya; Tidak harus kecuali jika ditakuti suaminya akan berbuat dosa (zina dan sebagainya).

Nota Hujung;

[1] Wahbah Zuhaili, 1/478.
[2] al-‘Azil (العاذل); menurut kamus al-Marbawi bermaksud urat yang mengalir darinya darah istihadhah.
[3] Ibrahim Muhammad al-Jamal, hlm. 50.
[4] Al-Fiqh ‘Ala al-Mazahib al-Arba’ah, Syeikh ‘Abdurrahman al-Jazairi, 1/93-96. 

Baca Selanjutnya...

Monday, 27 February 2012

Soal Jawab Lengkap Tentang Tayammum (Bersuci)


Apa makna tayammum?

Tayammum bermaksud menyapu debu tanah yang bersih ke muka dan dua tangan sebagai ganti wudhuk dan mandi wajib ketika ketiadaan air atau tidak mampu menggunakan air kerana sakit, terlalu sejuk atau sebagainya.[1] Keharusan tayammum telah sabit dengan al-Quran, as-Sunnah dan Ijmak ulamak. Firman Allah di dalam al-Quran (bermaksud);

“Dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu menyentuh (atau mensetubuhi) perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk atau untuk mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah yang bersih, iaitu: sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah itu”. (al-Maidah: 6).

Bila diharuskan tayammum?

Secara dasarnya, ada dua sebab yang mengharuskan tayamumm;

1. Kerana keputusan air; sama air tidak ada langsung atau ada sedikit dan tidak cukup untuk mengambil wudhuk.

2. Kerana tidak mampu menggunakan air

Apakah dalil keharusan bertayammum apabila keputusan air?

Dalil keharusan bertayammum kerana keputusan air ialah hadis dari Said bin Abdurrahman bin Abza yang meriwayatkan dari bapanya yang menceritakan; Seorang lelaki datang berjumpa Umar r.a. dan bertanya; “Aku telah berjunub dan aku tidak menemui air (untuk mandi)”. Umar menjawab; “Janganlah kamu mengerjakan solat (hingga kamu menemui air)”. Namun ‘Ammar bin Yasir r.a. (yang ada bersama Umar ketika itu) berkata kepada Umar; “Tidakkah engkau ingat ketika kita sama-sama dalam satu musafir di mana kita berdua telah berjunub dan kita tidak menemui air (untuk mandi). Adapun kamu, maka kamu memilih untuk tidak menunaikan solat. Adapun aku, maka aku telah berguling di atas tanah (untuk bertayammum) dan kemudian aku menunaikan solat”. Apabila diceritakan kepada Nabi s.a.w., maka baginda berkata (kepada ‘Ammar); “Sesungguhnya memadai kamu menepuk dua tapak tangan kamu ke tanah, kemudian kamu hembusnya (untuk menipiskan sedikit debu di tapak tangan itu) dan seterusnya kamu sapukan debu ke muka dan ke dua tangan kamu (hingga pergelangannya)”.[2]

Apakah dalil keharusan bertayammum kerana tidak mampu menggunakan air?

Dalilnya ialah hadis dari Amru bin al-As r.a. yang menceritakan; “Semasa dalam peperangan Zatus-Salasil, aku telah bermimpi (hingga keluar mani) pada malam yang bersangatan sejuk, lalu aku bimbang jika aku mandi mungkin akan membawa kebinasaan kepadaku. Maka aku pun bertayammum dan kemudian aku menunaikan solat Subuh bersama sahabat-sahabatku (tentera-tentera Islam). Apabila kami tiba di Madinah (setelah selesai perang), mereka mengadu kepada Rasulullah s.a.w. tentang apa yang telah aku lakukan (yakni bertayammum). Maka Rasulullah bertanya kepadaku; ‘Wahai Amru! Apakah kamu menunaikan solat bersama sahabat-sahabatmu sedangkan kamu berjunub?’. Lalu aku menjawab; ‘Aku teringat firman Allah; “Dan janganlah kamu membunuh diri kamu sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu”. (an-Nisa’; 29).
 
Maka kerana ayat itu aku pun bertayammum dan kemudian mengerjakan solat’. Mendengar peneranganku, Rasulullah s.a.w. ketawa dan baginda tidak berkata apa-apa”.[3]

Imam ad-Daruqutni menceritakan bahawa Saidina ‘Ali ditanya berkenaan seorang lelaki yang berada dalam musafir, lalu ia ditimpa junub sedang air yang ada padanya hanya sedikit di mana ia bimbang jika air itu digunakan untuk mandi wajib menyebabkan ia kehausan. Jawab Saidina ‘Ali; “Hendaklah ia bertayammum”. Imam Ahmad pernah menceritakan; “Beberapa orang sahabat bertayammum dan mereka menyimpan air untuk minuman mereka”.[4]

Apakah contoh-contoh keadaan yang mengharuskan tayammum kerana tidak mampu menggunakan air?

1. Tidak mampu menggunakan air kerana sakit, atau bimbang bertambah sakit, atau bimbang lambat sembuh. Hal tersebut diketahui dengan pengalaman atau makluman dari doktor.

2. Air yang ada diperlukan (untuk minum dan sebagainya) pada ketika itu atau akan datang.

3. Terdapat sangkaan yang kuat dalam dirinya bahawa akan ditimpa sakit jika ia menggunakan air.

4. Takut kepada musuh yang menghalangnya dari mendapat air sama ada musuh itu manusia atau binatang buas.

5. Air diperlukan untuk minuman haiwan yang bersamanya seperti kudanya atau sebagainya.

6. Air diperlukan untuk menguli tepung, untuk memasak dan sebagainya.

7. Air diperlukan untuk membasuh najis yang tidak dimaafkan (yakni mesti dibersihkan).

8. Bimbang kepada sejuk yang bersangatan jika musim sejuk luar biasa.

Apakah syarat-syarat sah tayammum?

Untuk sahnya tayammum, para ulamak telah menggariskan syarat-syarat berikut;[5]

Pertama; Hendaklah orang yang bertayammum mempunyai keuzuran yang menghalangnya dari menggunakan air iaitu kerana keputusan air atau tidak mampu menggunakan air.

Kedua; Berusaha mencari air terlebih dahulu jika tayammum dilakukan kerana keputusan air.

Ketiga; Hendak lah tayammum itu dengan menggunakan tanah yang bersih

Keempat; Hendaklah bertayammum setelah masuk waktu

Syarat pertama telahpun kita huraikan tadi iaitu tatkala memperkatakan tentang bilakah harus kita bertayammum. Untuk berikutnya kita huraikan syarat-syarat selebihnya iaitu yang bersangkutan dengan kewajipan mencari air, bahan tayammum (iaitu tanah menurut jumhur ulamak) dan waktu dilakukan tayammum.

Apa maksud mencari air?

Seseorang yang ingin bertayammum kerana ketiadaan air, wajib ia berusaha mencari air terlebih dahulu di kawasan sekitarnya. Jika air tiada di rumah, hendaklah ia pergi ke masjid umpamanya atau ke rumah berdekatan moga-moga menemui air. Jangan semata-mata tiada air di rumah, lalu ia pun bertayammum. Setelah pasti benar-benar tidak ada air, barulah bertayammum. Mencari air itu wajib diulangi setiap kali hendak bertayammum.[6] Tidak cukup dengan pencarian ketika kali pertama bertayammum sahaja.

Bagaimana jika ada air, namun tidak mencukupi untuk bersuci, adakah digunakan air baru tayammum atau terus tayammum?

Ada dua pandangan ulamak bagi masalah ini;[7]

Pandangan pertama; wajib digunakan air yang ada itu, kemudian barulah bertayammum bagi anggota yang tidak dapat dicuci dengan air. Pandangan ini merupakan mazhab Imam Ahmad dan Imam Syafi’ie (dalam qaul jadidnya).

Pandangan kedua; hendaklah terus bertayammum dan tinggalkan air itu. Pandanagn ini adalah pandangan jumhur ulamak yang terdiri dari al-Hasan, az-Zuhri, Hammad, Malik, Imam Abu Hanifah, Imam Syafi’ie (dalam qaul qadimnya), Ibnu al-Munzir dan al-Muzanie (murid Imam Syafi’ie).

Kalau seseorang itu lupa bahawa dalam kenderaannya ada air atau ia lupa ada menyimpan air di satu tempat, lalu ia pun bertayammum dan mengerjakan solat; bagaimana hukumnya?

Ada dua pandangan ulamak bagi masalah ini;

Pertama; menurut Imam Syafi’ie dan Imam Ahmad; tidak dipakai tayammum itu, yakni solatnya wajib diulangi semua setelah mengambil wudhuk dengan air tersebut. Hujjah mereka ialah; thoharah dengan air adalah perintah yang wajib. Ia tidak gugur semata-mata kerana lupa.

Kedua; menurut Imam Abu Hanifah; dipakai tayammum itu, yakni solatnya sah kerana lupa adanya air membawa ia kepada tidak dapat menggunakan air, maka halnya sama seperti orang yang ketiadaan air.

Adakah tayammum hanya harus dengan tanah sahaja? Bolehkah bertayammum dengan selain tanah?

Ada beberapa pandangan ulamak dalam masalah bahan yang harus digunakan untuk bertayammum;

Pertama; jumhur ulamak (mazhab Imam Syafi’ie, Imam Ahmad, Ishaq, Abu Yusuf dan Daud az-Dzahiri) mensyaratkan tayammum hendaklah dengan tanah, tidak harus dengan pasir, batu, kapur dan sebagainya yang tidak dikategorikan sebagai tanah. Dan disyaratkan tanah itu pula hendaklah berdebu (yakni dapat melekat pada tangan bila ditepuk) dan bersih.

Kedua; Imam Malik dan Imam Abu Hanifah pula berpendapat; tidak khusus kepada tanah sahaja. Harus tayammum dengan segala yang ada di atas permukaan bumi; tidak hanya tanah, tetapi juga pasir, kapur, batu dan seumpamanya. Malah menurut Imam Malik; harus tayammum dengan salji dan setiap yang melapisi permukaan bumi. Imam Malik dan Imam Abu Hanifah juga tidak mensyaratkan bahan-bahan untuk bertayammum itu berdebu. Oleh itu, pada pandangan mereka; harus bertayammum di atas batu yang tidak ada debu atau di atas tanah licin yang tidak ada debu yang melekat di tangan apabila ditepuk di atasnya.

Adakah harus bertayammum dengan menepuk di dinding, di atas permaidani, di pakaian, di belakang binatang kenderaan atau sebagainya?

Ada dua pandangan ulamak;

Pertama; mengikut pandangan mazhab Syafi’ie dan Ahmad; harus jika di atas tempat-tempat yang ditepuk itu ada terdapat debu yang dapat melekat di tangan sebagaimana yang disyaratkan tadi. Jika tidak terdapat debu padanya, tidak harus tayammum.

Kedua; mengikut Imam Malik; tidak harus melakukan tayammum dengan menepuk ke atas debu yang terdapat di atas pakaian, permaidani dan sebagainya itu. Menurut beliau, tayammum hendaklah dengan menepuk terus ke atas bumi.

Adakah harus bertayammum dengan tanah bernajis?

Tidak harus kerana tayammum wajib dengan tanah atau bahan yang bersih kerana Allah menyebutkan di dalam ayat “صعيدا طيبا” (sha’id yang bersih). Begitu juga, Nabi s.a.w. juga bersabda; “Sha’id (tanah) yang bersih adalah alat bersuci bagi seorang muslim jika ia tidak mendapati air sekalipun selama sepuluh tahun. Jika ia telah menemui air, hendaklah ia menyapu air (yakni membasuh) badannya. Demikian itu lebih baik baginya”.[8] Menurut Abu Hamid; hukum tersebut telah disepakati oleh sekelian ulamak.[9]

Adakah disyaratkan masuk waktu sahnya tayammum?

Ada dua pandangan ulamak;

Pertama; jumhur ulamak (terdiri dari mazhab Imam Malik, Syafi’ie, Ahmad dan lain-lain) berpandangan; tidak sah tayammum melainkan setelah masuk waktu solat sama ada tayammum kerana keputusan air atau kerana tidak mampu menggunakan air. Maksud ‘masuk waktu’ ialah tiba waktu yang mengharuskan suatu solat itu dilakukan. Disyaratkan masuk waktu kerana tayammum adalah toharah darurat seperti mana toharah wanita yang istihadhah di mana kedua-duanya tidak menghilangkan hadas, akan tetapi dilakukan hanya untuk mengharuskan solat sahaja. Maka sebagaimana wanita yang istihadhah tidak harus mengambil wudhuk melainkan setelah masuk waktu, begitu juga orang yang ingin melakukan tayammum juga tidak harus melakukannya melainkan setelah masuk waktu solat.

Kedua; Imam Abu Hanifah berpandangan; tayammum tidak terikat dengan waktu, yakni harus melakukan tayammum sekalipun belum masuk waktu. Beliau mengkiaskannya dengan wudhuk dan toharah-toharah yang lain (mandi, menyapu khuf, menghilangkan najis). Sebagaimana wudhuk harus dilakukan sebelum masuk waktu solat, maka tayammum juga sedemikian kerana ia disyariatkan sebagai ganti kepada kedua-duanya.[10]

Apakah syarat tayammum bagi orang sakit atau luka?

Tidak semua jenis sakit atau luka mengharuskan tayammum. Sakit atau luka yang mengharuskan tayammum ialah sakit atau luka yang penggunaan air ditakuti akan menyebabkan at-talaf (kematian atau kemusnahan anggota) atau mendatangkan mudarat pada badan. Ia merangkumi;[11]

1. Akan menyebabkan kematian atau kerosakan pada aggota (التلف); lumpuh dan sebagainya.
2. Penggunaan air menimbulkan penyakit yang membawa kematian atau kerosakan anggota.
3. Menyebabkan sakit bertambah teruk atau penyakit semakin melarat.
4. Menyebabkan lambat sembuh
5. Menyebabkan kesakitan yang tidak tertanggung.
6. Menimbulkan kecacatan dan kejelikan yang ketara pada badan; seperti kulit menjadi hitam atau sebagainya.

Kesan-kesan yang dibimbangi tersebut dari penggunaan air hendaklah disahkan oleh pengalaman sendiri atau berdasarkan makluman dari doktor yang mahir. Menurut mazhab Syafi’ie; doctor itu hendaklah muslim dan adil (tidak fasiq). Tidak diterima pengakuan atau pengesahan dari doctor kafir atau fasiq.[12] Namun menurut mazhab Imam Malik; harus memakai pandangan atau makluman dari doktor kafir jika tidak ada doktor muslim.[13]

Apakah syarat tayammum bagi orang yang kesejukan?

Syaratnya ialah tidak ada sebarang ikhtiar lagi yang dapat dilakuka bagi menggunakan air. Jika mampu berikhtiar sama ada dengan memanaskan air atau sebagainya, wajiblah dilakukan ikhtiar itu. Jika tidak mampu, barulah diharuskan tayammum.[14]

Sejauhmanakah ibadah yang harus dilakukan dengan tayammum?

Tayammum mengharuskan apa yang diharuskan dengan wudhuk dan mandi.[15] Seorang yang bertayammum harus mengerjakan solat fardhu, solat sunat, sujud tilawah, sujud syukur, membawa mushaf, membaca al-Quran dan beriktikaf. Hukum ini telah disepakati oleh ulamak.[16]

Namun para Fuqahak berikhtilaf dalam menentukan bilangan solat fardhu yang harus dikerjakan dinisbahkan kepada satu tayammum yang dilakukan. Di sana ada tiga pandangan; [17]

Pandangan pertama; tayammum sama seperti wudhuk iaitu tidak terikat dengan bilangan solat. Selagi tayammum tidak batal –iaitu dengan menjumpai air atau dengan berlakunya hadas-, maka harus untuk melakukan dengan tayammum itu seberapa banyak solat yang dikehendaki sama ada fardhu atau sunat dan tanpa mengira waktu. Pandangan ini merupakan pendapat Sa’id bin al-Musayyab, al-Hasan, az-Zuhri, as-Tsauri, Imam Abu Hanifah, al-Muzani dan ar-Ruyani.

Pandangan kedua; Jumhur ulamak yang terdiri dari Saidina ‘Ali, Ibnu Umar, Ibnu ‘Abbas, as-Sya’bi, an-Nakha’ie, Qatadah, Yahya al-Ansari, Rabi’ah, Malik, Syafi’ie, al-Laits, Ishaq dan Imam Ahmad. Mereka berpendapat; satu tayammum hanya untuk satu solat fardhu atau satu ibadah wajib sahaja. Oleh demikian, tidak harus menjamakkan dua solat dengan satu tayammum atau melakukan dua tawaf atau melakukan satu solat fardhu dengan satu tawaf fardhu, menghimpunkan dua solat nazar atau antara satu solat fardhu dengan satu solat nazar. Hendaklah diperbaharui tayammum untuk setiap solat fardhu yang hendak dilakukan setelah dipastikan tidak air terlebih dahulu. Adapun solat sunat, harus dilakukan seberapa banyak yang dikehendaki.

Pandangan ketiga; Imam Abu Tsur dan fuqahak mazhab Hanbali.[18] Mereka berpandangan; Tayammum terikat dengan waktu di mana satu tayammum hanya bagi satu waktu solat fardhu sahaja. Seorang yang bertayammum boleh melakukan apa sahaja solat yang dikehendaki sama ada solat fardhu dalam waktu, solat fardhu yang luput, menjamakkan dua solat dan seberapa banyak solat sunat yang diingini selama belum masuk waktu lain. Apabila masuk waktu lain, batallah tayammum dan wajib diulangi semula tayammum bagi mengharuskan solat kembali. Kedaaannya menyamai seorang wanita istihadhah atau orang-orang lainnya yang melakukan toharah darurat.[19]

Apakah anggota-anggota tayammum?

Berdasarkan ayat al-Quran tadi dan hadis-hadis Nabi s.a.w. (sebahagiannya telah kita sebutkan tadi), anggota tayammum hanya dua sahaja (sama ada tayammum bagi menggantikan wudhuk atau bagi menggantikan mandi) iaitu;

1. Muka
2. Dua tangan

Mengenai muka tidak ada khilaf di kalangan ulamak bahawa keseluruhan kawasan muka yang wajib dibasuh ketika mengambil wudhuk, maka ketika tayammum kawasan muka tersebut wajib diratai dengan debu. Adapun tangan, maka para ulamak berbeza pandangan tentang kawasan yang wajib disapui debu;

Pertama; mengikut jumhur atau majoriti ulamak iaitu Saidina ‘Ali, Ibnu ‘Umar, al-Hasan al-Basri, as-Sya’bi, Salim bin Abdullah, Imam Malik, al-Laits, Imam Abu Hanifah dan Syafi’ie; kawasan tangan yang wajib disapui debu adalah sama sebagaimana yang wajib dibasuh ketika mengambil wudhuk iaitu bermula dari hujung jari hinggalah ke siku.[20] Mereka berdalilkan –antaranya- sabda Nabi s.a.w.; “Tayammum itu dua kali tepukan, sekali untuk disapu ke muka dan sekali untuk di sapu ke kedua tangan hingga ke siku”.[21]

Kedua; sekumpulan ulamak yang terdiri dari ‘Atho, Makhul, al-Auza’ie, Imam Ahmad, Ishaq, Imam Syafi’ie (mengikut qaul qadimnya sebagaimana diceritakan oleh Abu Tsur)[22] dan disokong oleh Ibnu al-Munzir berpandangan; kawasan tangan yang wajib disapui debu ketika tayammum hanyalah sampai ke pergelangan tangan sahaja.[23] Mereka berdalilkan hadis kisah ‘Ammar (yang telah kita kemukakan tadi) di mana Rasulullah s.a.w. bersabda kepadanya; “Sesungguhnya memadai kamu menepuk dua tapak tangan kamu ke tanah, kemudian kamu hembusnya (untuk menipiskan sedikit debu di tapak tangan itu) dan seterusnya kamu sapukan debu ke muka dan ke dua tangan kamu (hingga pergelangannya)”.[24] Adapun hadis yang dijadikan hujjah oleh jumhur tadi ia adalah dhaif. Sebenarnya ia hanyalah pandangan Ibnu Umar, bukan sabda Nabi s.a.w..

Menurut Imam Nawawi; pandangan kedua di atas adalah kuat dari segi dalilnya dan lebih hampir kepada kehendak as-Sunnah.[25]

Berapakah bilangan tepukan yang wajib semasa melakukan tayammum?

Rentetan dari khilaf di atas, berlaku pula khilaf dalam menentukan berapakah bilangan tepukan ke tanah yang mesti dilakukan oleh orang yang melakukan tayammum? Mengikut jumhur ulamak tadi; tayammum wajib dengan sekurang-kurangnya dua kali tepukan ke tanah; satu tepukan untuk disapu ke muka dan satu tepukan lagi untuk disapu kepada dua tangan hingga ke siku. Jika dua kali tepukan itu mencukupi untuk menyapu keseluruhan kawasan muka dan tangan (hingga ke siku), tidak perlu lagi ditambah. Jika tidak, wajiblah tepukan itu ditambah hingga debu meratai seluruh kawasan yang wajib disapu itu.[26]

Adapun pandangan kedua di atas (‘Atho, Makhul, al-Auza’ie, Imam Ahmad, Ishaq dan disokong oleh Ibnu al-Munzir), mereka menegaskan; yang wajib ialah sekali tepukan sahaja untuk kedua-dua anggota tayammum iaitu muka dan dua tangan hingga pergelangannya.[27]

Bilakah batalnya tayammum?

1. Tayammum adalah bersuci gantian bagi wudhuk. Apabila berlaku kepada orang yang bertayammum perkara-perkara yang boleh membatalkan wudhuk sebagaimana yang telah kita jelaskan dalam tajuk yang lalu (contohnya, ia telah terkentut atau tersentuh kemaluan atau sebagainya), maka batallah tayammumnya. Kesimpulannya, perkara-perkara yang membatalkan wudhuk juga akan membawa kepada batalnya tayammum.

2. Bagi orang yang bertayammum kerana ketiadaan air, tayammumnya batal apabila telah bertemu air. Sebaik bertemu air, dengan sendiri tayammumnya terbatal. Apabila hendak solat semula, wajib ia mengambil wudhuk, yakni tidak cukup dengan tayammumnya tadi sekalipun ia tidak melakukan perkara-perkara yang membatalkan tayammumnya. Jika ia bertayammum tadi kerana ganti mandi wajib, hendaklah ia mandi wajib sebelum mengerjakan solat berikutnya.

3. Jika seorang bertayammum, kemudian belum sempat mengerjakan solat ia telah menemui air, tidak harus ia menunaikan solat dengan tayammum itu, akan tetapi hendaklah mengambil wudhuk, kemudian baru tunaikan solat. Ini kerana tayammumnya dengan sendiri terbatal dengan kerana bertemu air sekalipun belum sempat mengerjakan solat. Jika air ditemui semasa sedang solat (seperti ada orang memberitahunya semasa sedang solat itu), jika ia ingin meneruskan solatnya diharuskan dan solatnya sah. Namun sebaik-baiknya ialah ia menghentikan solatnya, kemudian mengambil wudhuk dan melakukan semula solat. Jika air ditemui setelah selesai solat, sah lah solat yang ditunaikan sebelum bertemu air itu dan tidak perlu diulangi semula sekalipun waktu masih ada.

4. Jika bertayammum kerana keuzuran (seperti sakit, sejuk keterlaluan dan sebagainya), tayammum dikira terbatal sebaik sahaja hilang keuzuran. Contohnya; jika seseorang bertayammum kerana sakit, maka sebaik ia sembuh dari sakit, batallah tayammumnya.

Nota Kaki

[1] Lihat takrif Tayammum di dalam; Al-Mughni, 1/180.
[2] Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim.
[3]Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan Daruqutni. Lihat hadis ini dalam Nailul-Autar.
[4] As-Solah ‘Ala Mazahib al-Arba’ah, hlm. 91.
[5] Al-Mughni, 1/182-184, al-Majmu’, 2/269.
[6] At-Tahzib, Imam al-Baghawi, 1/375.
[7] Al-Majmu’, 2/294-295, al-Mughni, 1/183.
[8] Riwayat Imam at-Tirmizi dari Abu Zar r.a.. Kata beliau; hadis ini hasan soheh.
Dalam riwayat yang lain, lafaz hadis berbunyi;
الصعيد الطيب وضوء المسلم، وإن لم يجد الماء عشر سنين. فإذا وجد الماء فليتق الله وليمسه بشرته، فإن ذلك خير
“Sha’id yang baik adalah wudhuk seorang muslim ketika ia tidak menemui air sekalipun sepuluh tahun. Jika ia telah menemui air, hendaklah ia bertakwa kepada Allah dan sapulah kulitnya dengan air (yakni ratakanlah anggota wudhuknya dengan air). Demikian itu lebih baik baginya”. (Riwayat al-Bazzar dari Abu Hurairah r.a.. Menurut Imam Ibnu Hajar; perawi-perawi hadis ini adalah soheh. Lihat; Faidhul-Qadier, hadis no. 5154).
Sabda Nabi s.a.w.; “…demikian itu lebih baik baginya”, bermaksud; bersuci dengan air itu lebih baik baginya dari segi keberkatan dan pahala. (Lihat; Faidhul-Qadier, hadis no. 5154).
[9] Al-Majmu’, 2/248.
[10] Al-Mughni, 1/182, al-Majmu’, 2/272.
[11] Al-Mughni, 1/195, at-Tahzib, 413-414, Tafsir Ibnu Kathir, 1/550 (Surah an-Nisa’, ayat 43).
[12] At-Tahzib, 1/414.
[13] As-Solah ‘Ala Mazahib al-Arba’ah, hlm. 90.
[14] Al-Mughni, 1/197.
[15] At-Tahzib, 1/396.
[16] At-Tahzib, 1/402.
[17] Al-Mughni, 1/198-199, al-Majmu’, 2/317-318, at-Tahzib, 1/396-402.
[18] Pandangan yang masyhur dalam mazhab Hanbali berbeza dengan pandangan yang dinaqalkan dari Imam Ahmad. Lihat; al-Majmu’, 2/318.
[19] Al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu, 1/413, al-Mughni, 1/198. Pandangan Abu Tsur; lihat dalam al-Mughni, 1/199 dan al-Majmu’, 2/318.
[20] Al-Majmu’, 2/242, al-Mughni, 1/189.
[21]Riwayat Imam al-Hakim dan at-Thabrani dari Ibnu ‘Umar r.a..
[22] Al-Majmu’, 2/241.
[23] Al-Majmuk, 2/242.
[24] Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim.
[25] Al-Majmu’, 2/242.
[26] Al-Majmu’, 2/241-242, al-Mugnni, 1/187.
[27] Al-Majmu’, 2/242, al-Mughni, 1/187. 


Sumber: Ustaz Ahmad Adnan Fadzil
Baca Selanjutnya...

Sunday, 26 February 2012

Soal Jawab: Cara Bersuci Orang Luka dan Berbalut


1. Jika seseorang itu luka, bagaimana caranya untuk ia bersuci?

Orang yang sakit atau luka, jika ia dapat membasuh atau memandikan dengan air sebahagian anggotanya, maka bahagian itu wajib dibasuh dengan air ketika ia mengambil wudhuk atau mandi. Adapun kawasan yang tidak dapat dibasuh dengan air –kerana takut membawa kerosakan atau mudarat- hendaklah diganti dengan tayammum (yakni dengan menyapu debu ke muka dan tangan). Ini adalah pandangan Imam Ahmad dan Imam Syafi’ie.

Menurut Imam Abu Hanifah dan Imam Malik; toharah adalah dengan salah satu sahaja iaitu dengan air (yakni wudhuk atau mandi) atau dengan tanah (yakni tayammum). Tidak wajib menggabungkan keduanya. Oleh demikian, menurut pandangan kedua ini; jika kebanyakan badan adalah elok dan dapat dibasuh dengan air, memadai dengan membasuh kawasan yang elok/sihat itu dan tidak perlu kepada tayammum. Dan kalau kebanyakan badan adalah sakit/luka, cukup dengan tayammum sahaja, tidak perlu lagi wudhuk atau mandi.

2. Orang yang mengalami luka pada badannya atau patah tulang anggotanya dan terpaksa dibalut, diplaster atau disimen di mana ia tidak dapat ditanggalkan (termasuk semasa ingin mengambil wudhuk), bagaimana caranya ia hendak mengambil wudhuk atau mandi?

Bagi kes tersebut, diberi kelonggaran untuk menyapu air di atas kain balutan atau plaster atau simen yang dipakainya. Orang yang menghadapi masalah sedemikian, ia hendaklah melakukan tindakan berikut semasa mengambil wudhuk;

Pertama; Hendaklah ia membasuh dan meratakan air sebagaimana biasa ke kawasan-kawasan yang sihat (tidak sakit) dari anggota wudhuknya.

Kedua; Bagi kawasan yang berbalut pula, wajib ia menyapu air ke atasnya. Menurut Imam Abu Hanifah; memadai dengan menyapu sebahagian besar balutan. Namun jumhur ulamak (iaitu Imam Malik, Syafi’ie dan Ahmad) berkata; “Wajib disapu air meliputi seluruh balutan”.

Jika ia mandi wajib, hendaklah ia mandi sebagaimana biasa iaitu dengan meratakan air ke seluruh badannya yang sihat (yakni yang tidak berbalut). Adapun kawasan yang sakit (yakni yang berbalut) hendaklah disapukan air ke atas balutan secara menyeluruh atau sebahagian besar darinya mengikut pandangan ulamak tadi. Apabila ia sembuh nanti, tidak diwajibkan ia mengulangi semula mandi wajibnya. Ia hanya diwajibkan membasuh/memandikan anggota-anggota yang berbalut sahaja.

Adakah wajib disertai dengan tayammum?

Mengenai soalan ini, para ulamak berbeza pandangan;

1. Menurut mazhab Imam Malik, Abu Hanifah dan Ahmad; tidak wajib lagi bertayammum. Memadai membasuh kawasan yang sihat dan menyapu air di atas balutan bagi kawasan yang sakit. Tidak perlu bertayammum.

2. Menurut mazhab Imam Syafi’ie; wajib disertai dengan tayammum. Berdasarkan mazhab Syafi’ie, orang yang memakai balutan ia hendaklah melakukan tiga perkara semasa mengambil wudhuk atau mandi wajib;
a) Membasuh kawasan yang sihat (tidak sakit atau cedera)
b) Menyapu air ke atas balutan dengan meratakannya
c) Bertayammum; bagi mandi wajib, cukup dengan sekali tayammum sahaja sama ada sebelum mandi atau selepasnya. Adapun bagi wudhuk, ada dua pandangan; (Pandangan pertama); wajib bertayammum mengikut bilangan anggota wudhuk yang berbalut untuk menjaga tertib yang disyaratkan dalam wudhuk. (Pandangan kedua); cukup sekali tayammum sahaja iaitu sebelum wudhuk atau selepasnya. Pandangan yang rajih dalam mazhab ialah yang pertama.

3. Mengikut mazhab Imam Ahmad; wajib tayammum hanya jika balutan melebihi kawasan yang perlu, yakni kawasan yang sakit atau cedera. Jika balutan hanya membalut kawasan sakit tanpa menyentuh kawasan yang sihat, tidak perlu bertayammum, cukup dengan menyapu air ke atas balutan sahaja.

Adakah wajib memakainya setelah bersuci?

Ada dua pandangan ulamak;

Pandangan pertama; wajib balutan atau palster atau simen itu dipakai setelah bersuci iaitu setelah mengambil wudhuk atau setelah mandi wajib. Jika tidak, maka solat yang ditunaikan sepanjang memakai balutan atau simen atau plaster itu wajib diulangi semula apabila sembuh nanti. Pandangan ini telah diberikan oleh mazhab Imam Syafi’ie dan Imam Ahmad.

Pandangan kedua; tidak wajib bersuci terlebih dahulu sebelum memakainya. Dalam pengertian yang lain; tidak disyaratkan pemakaian balutan atau simen atau plaster itu dibuat setelah mengambil wudhuk atau mandi wajib terlebih dahulu. Sekalipun seseorang memakai balutan atau simen dalam keadaan tidak berwudhuk, harus baginya menyapu atas balutan atau simen itu semasa mengambil wudhuk atau mandi wajib dan tidak perlu ia mengulangi solatnya apabila sembuh. Pandangan ini telah diberikan oleh mazhab Imam Abu Hanifah dan Imam Malik.

Berapa lamakah tempoh diizinkan menyapu balutan?

Keizinan dari Syarak untuk menyapu balutan tidak ada tempoh masa tertentu. Ia bergantung kepada tempoh kesembuhan luka atau patah. Selagi luka atau patah belum sembuh dan balutan masih perlu dipakai, maka selagi itu keharusan menyapu di atas balutan berterusan. Apabila sakit telah sembuh dan balutan dapat dibuka, hilanglah keharusan tersebut dan wajib mengambil wudhuk atau mandi wajib sebagaimana asalnya. 

Baca Selanjutnya...

Thursday, 16 February 2012

Batalkah Solat Bersentuh Anak Bernajis?


Soalan 
Assalamualaikum ustaz, Saya seorang ibu yang mempunyai anak-anak yang masih kecil. Saya pernah diberitahu bahwa solat akan terbatal sekiranya anak-anak yang membawa najis (memakai lampin) dan anak-anak yang belum berkhatan tersentuh pakaian kita semasa kita sedang sembahyang, apatah lagi jika tersentuh tubuh badan. Tetapi, saya pernah melihat ada orang yang terus solat apabila keadaan itu berlaku. Saya mohon penjelasan, adakah perselisihan pendapat dalam hal ini? Terima kasih.

- Ibu musykil -

Jawapan Ust Zaharuddin
Menurut Mazhab Syafie bersentuhnya anak yang menanggung najis di dalam lampin atau belum bersunat dengan seseorang dewasa yang sedang solat adalah tidak membatalkan solat

Keadaan yang seperti ini ada disebutkan oleh Imam An-Nawawi di dalam Rawdah at-Tolobin dengan katanya : " Sekiranya (seseorang yang sedang solat itu bersentuh dengan sesuatu yang suci (pada jasanya seperti kanak-kanak ) tetapi benda yang suci tadi bersentuh pula dengan najis atau menanggung najis maka TIDAK BATAL SOLATNYA" (Rujuk Rawdah at-Tolibin, hlm 123 cet : Dar Ibn Hazm). Pada hemat saya ini adalah kerana :- 

a. Bersentuh itu tidak secara langsung dengan najis yang di tanggunginya. Jika secara langsung batallah solat seseorang tapi tidak wudhunya. Jika tersentuh najis secara langsung, ia hanya perlu membasuh najis itu sehingga bersih, dan tiada wudhu baru diperlukan.

b. Bersentuh secara tidak langsung dengan budak yang menanggung najis seperti memegang tangannya atau ia menyentuh pakaian kita, adalah tiada membawa sebarang masalah kerana kanak-kanak itu bukannya najis bergerak dan tidak pula tubuhnya bertukar menjadi najis hingga tidak boleh disentuh sama sekali, ia hanya menanggung najis sahaja. 

Bagaimanapun, solat boleh terbatal sekiranya kita menanggung kanak-kanak ini (ia disebut dalam mazhab Syafie sebagai : "Haamil limuttasil binajastin") sama ada dengan mendukungnya atau ia memanjat belakang kita semasa sujud atau ia duduk di atas riba semasa kita sedang duduk tasyahhud akhir. (Mughni Al-Muhtaj, 1/ 264 cet Dar al-Fikr ) 

Akan tetapi jika kita menanggung sesuatu najis lalu bertindak membuangnya dengan cepat, solat tidak dikira batal . Ia berdasarkan peristiwa para sahabat bersolat bersama Nabi SAW dan Nabi SAW bersolat dengan memakai selipar, lalu tiba-tiba mereka melihat Nabi SAW (semasa dalam solat) menanggalkan seliparnya, maka seluruh sahabat yang melihat keadaan ini turut menanggalkan selipar mereka (kerana menyangka ia adalah perbuatan yang mesti diikuti), maka apabila telah selesai solat nabi bertanya kepada para sahabat : " Apakah yang menyebabkan kamu menanggalkan selipar-selipar kamu ? : para sahabat menjawab : kerana kami melihat kamu melakukannya : nabi membalas : Telah datang kepadaku Malaikat Jibrail as lalu memberitahuku bahawa di seliparku terdapat kekotoran atau najis (maka aku tanggalkan kerana itu). (Riwayat Abu Daud , no 650 , hlm 92 : Shohih menurut Albani.  cet : Bayt Afkar )

Dari hadith di atas jelas kepada kita jika dengan segara membuang penanggungan kita terhadap najis, maka solat tidak terbatal sebagaimana dengan sgeranya Rasulullah membuang seliparnya yang terdapat najis. Justeru, jika anak kecil yang menanggung najis duduk di atas riba kita dan dengan pantas kita mengelak, maka solat tidak batal. (Rujuk Al-Fiqh Al-Manhaji, bab perkara yang membatalkan solat) 

Sekian
Ust Zaharuddin

Baca Selanjutnya...

Wednesday, 15 February 2012

Solat Selepas HAID: Perkara Yang dipandang Ringan.. Kesilapan Wanita.. AMBIL PERHATIAN!!!


Pengetahuan Islam kepada sesiapa yang bernama wanita ISLAM!!! Kebanyakkan perempuan/wanita/ muslimah (wanita Islam) tak berapa perasan ATAU lebih malang lagi jika memang tak tahu menahu akan perkara ini... 

Ilmu Fekah, khususnya BAB HAID yang berkaitan dengan diri wanita itu sendiri amat kurang dikuasai atau difahami secara menyeluruh oleh kebanyakkan wanita Islam...kenapa hal ini boleh terjadi?? Amat susah untuk mencari seorang guru/ustazah yang betul-betul pakar dalam bab 'Orang-orang Perempuan ini' kecuali terpaksa@mesti dirujuk kepada lelaki/ustaz-ustaz yang bernama LELAKI jugak...(saya rasa ramai yang bersetuju dengan pandangan saya ) 

Contohnya yang paling simple bila ditanya kepada kebanyakkan wanita Islam:-

"adakah wajib bagi seorang wanita Islam menqhada'kan solat mereka yang ditinggalkan ketika haid?"

Pastinya kita akan mendengar jawapan daripada kebanyakkan mereka mengatakan:-

"alaa...itu soalan mudah jee..bila 'datang period' maka solat tuu tak perlu qadha, yang perlu qadha hanya puasa jee..itulah yang kami belajar sejak mula-mula 'bergelar wanita' dulu"

Jika dibuat pantauan nescaya jawapan seperti di ataslah yang akan kita jumpa... Sebenarnya TAK SEBEGITU MUDAH bagi seorang muslimah nak meninggalkan solat mereka walaupun dirinya didatangi haid!!! sekalipun. Hal ini boleh dirujuk di dalam kitab Ihya' Ulumuddin karangan Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali yang mashur. 
 
Kitab yang padanya ada ilmu yang berkaitan Tasauf dan padanya juga perbahasan Fekah yang luas, inilah bukti kehebatan ulama' terdahulu.. Dalam BAB TIGA : " Fi adab Mua'sharah Wama Yujzi Fi Dawamun Nikah..." perkara YANG KETUJUH disebut dengan jelas dalam kitab tersebut : PERKARA YANG BERKAITAN DENGAN HAID: Penjelasan (bayan) terhadap solat yang perlu diqadha bagi perempuan yang didatangi haid : 
1. Jika perempuan dalam keadaan haid mendapati darah haid itu berhenti (dengan melihatnya) sebelum masuknya waktu Maghrib, kira-kira sempat dia solat asar sebanyak satu rakaat, maka baginya wajib qadha solat zohor dan asar. 

2. Jika perempuan mendapati darah haidnya kering sebelum masuknya waktu subuh, kira-kira sempat baginya solat Isya' sebanyak satu rakaat, maka wajib baginya qadha solat maghrib dan Isya'. " Dan hal ini (qadha solat yang ditinggalkan semasa haid) adalah sekurang-kurang perkara yang wajib diketahui oleh setiap wanita Islam" (Imam Al-Ghazali)
HURAIAN MASALAH :

1. Kenapa perlu diqadha solat Asar dan Zohor? - Kerana perempuan itu hanya menyedari keringnya haid masih dalam waktu Asar, maka baginya wajib solat asar (selepas mandi hadas) 

2. Kenapa pula solat Zohor juga perlu diqadha sama? - Kerana di dalam hukum menjama' (menghimpun solat bagi orang musafir) solat Asar boleh dijama' dan diqosarkan bersama solat Zohor. - Kerana kecuaian wanita itu sendiri (dari melihat haidnya kering atau tidak), boleh jadi haidnya sudah kering dalam waktu Zohor lagi, langkah Ihtiyat ( menjaga hukum) maka perempuan itu juga perlu mengqhada solat Zohor. 

3. Dalam perkara solat subuh pun sama : -perempuan itu hanya menyedari darah haidnya kering, sebelum masuk waktu subuh, kira-kira sempat solat Isyak satu rakaat (selepas mandi hadas) maka wajib baginya solat Isya' sebab darahnya kering masih dalam waktu Isya'. -Solat Isya' juga boleh dijama' (bagi musafir) dengan solat Maghrib, maka baginya juga perlu diqadha solat maghrib. 

-Di atas kecuaiannya (tidak betul-betul melihat darahnya kering atau tidak dalam setiap waktu solat) maka boleh jadi darahnya sudah kering dalam waktu maghrib lagi (sebab proses keringnya darah itu berlaku secara perlahan-lahan, mungkin perempuan itu hanya menyedarinya dalam waktu subuh, hakikatnya proses pengeringan itu sudah lama berlaku) -maka langkah ihtiyat (menjaga hukum) maka adalah bagi perempuan itu perlu di qadha juga solat maghribnya. 

Sila rujuk : Kitab Ihya' Ulumuddin (Jilid ke 2) cetakan Darul Nahwan Nil / Darul Haram Lil Turath, Kaherah. Diharapkan tulisan ini memberi kesedaran kepada seluruh yang bergelar Muslimah untuk lebih mendalami diri mereka dengan ilmu 'Fiqhul Nisa' ini yang berkaitan dengan diri mereka sendiri!!! 

TOLONG SEBARKAN KEPADA ORANG LAIN DEMI SAHAM AKHIRAT ANDA
 
Sumber: Kaktus Berduri
Baca Selanjutnya...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Photobucket