Saturday 30 June 2012

Demokrasi Media


Demokrasi Media  Mendepani PRU 13

1. Berulangkali YAB Perdana Menteri  Datuk Seri Najib Tun Abd Razak melaungkan transformasi di era kepimpinannya. Asasnya ia adalah satu langkah yang baik untuk sebuah perubahan. Namun malangnya sehingga kini, transformasi itu belum menampakkan sebarang tanda bahawa parti - parti politik yang sah dan dibenarkan bertanding dalam pilihanraya mempunyai akses media yang seimbang dengan parti pemerintah.

2. Rakyat telah menghantar isyarat yang sangat jelas melalui  Bersih dan Bersih 2.0 tempohari, bahawa mereka mahu akses media yang lebih telus dan luas guna mewujudkan ruang dan peluang seimbang serta adil  kepada semua parti yang bertanding dalam pilihanraya.

3. Pilihanraya adalah platform untuk rakyat memilih pemimpin yang bakal membentuk kerajaan dan pentadbiran yang baik ke arah memacu negara bersaing seiring sejalan dengan pertumbuhan ekonomi global dan perkembangan sosial yang pesat serta menguasai iklim politik serantau mahupun antarabangsa.

4. Justeru itu, rakyat terlebih dahulu berhak untuk mendapatkan maklumat dari  parti yang bertanding berkait kewibawaan calon, polisi parti, tawaran dan janji untuk rakyat serta manifesto dan risalah perjuangan parti - parti yang bertanding.

 5. Apa yang berlaku dalam negara kita hari ini, hanya parti pemerintah yang menguasai media samaada cetak atau elektronik. Sementara parti bukan pemerintah dipaksa berpada dengan media lidah rasmi parti yang terhad bilangan dan keluarannya untuk ahli sahaja. 

 6. Fenomena ini tidak sihat untuk sebuah sistem demokrasi yang baik dan subur. Rakyat kelak memilih pemimpin tanpa maklumat yang cukup dan masak sebaliknya lebih bergantung kepada maklumat sebelah pihak dan satu hala. Selayaknya akhbar parti dibenar terbit dan edar secara umum, pula diberi laluan serupa dan seimbang untuk membawa suara perjuangan parti  melalui chanel khas dalam media elektronik.

7. Jika kita berpolitik untuk memajukan negara dan membangunkan minda rakyat, selayaknya rakyat dididik membuat pilihan dan pendirian berasaskan maklumat yang seimbang dan masak. Inilah politik baru yang berkali saya tegaskan. Iaitu politik berteraskan hujjah dan fakta bukan lagi politik tekan, paksa, sogok dan ugut.

 8. Ketidakadilan ini bakal mengundang risiko besar apabila rakyat tertekan dan rasa dinafikan hak mereka bersuara dan hak mereka untuk mendapatkan maklumat secara bebas dan telus. Ia boleh sahaja menjadi bom jangka yang mampu meledak pada bila - bila masa jika terus - terusan rakyat dikongkong. Satu peringkat mereka mungkin boleh dan masih bersabar namun bila tiba saat tertentu, negara terpaksa membayar harga yang tinggi untuk berdepan dengan kebangkitan rakyat.

 9. Negara maju malah mengamalkan sistem demokrasi telah lama mendahului negara kita dalam pendemokrasian media dan maklumat. Malah sebagai sebuah negara yang meletakkan agama rasminya ialah  Islam, sewajarnya menggalakkan keseimbangan maklumat dan pertumbuhan sumber perbendaharaan ilmu dalam pelbagai bidang yang mampu membina minda dan daya fikir masyarakat kita.

10. Kesalnya saya, apa yang berlaku dalam negara kita hari ini, media untuk membina dan membentuk jalur pemikiran, resam budaya ,  budi peribadi , skima politik dan ekonomi sangat terhad serta terbatas. Sebaliknya majalah picisan, novel separa porno dan akhbar hiburan tanpa kawal berlambak dipasaran dengan kelulusan KDN sedang ia sekali - kali tidak membangunkan harapan negara untuk melahirkan sebuah masyarakat yang bertamadun dan berkualiti.

Nasrudin bin Hassan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Sumber:  http://www.eperjuangan.com/2012/06/demokrasi-media.html
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Photobucket