Orang yang memberi sumbangan harta benda pada jalan Allah SWT diberi pahala sampai kepada 700 kali ganda di mana kebiasaannya amal yang baik itu digandakan dengan 10 kali ganda tetapi pengorbanan harta benda kerana meninggikan agama Allah diberi pahala sampai kepada 700 kali ganda.
Allah Taala berfirman dalam al-Quran bermaksud :"Jangan kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan." (Al-Baqarah ayat 195)
Makna mencampakkan diri ke dalam kebinasaan ialah kamu tidak menjalankan tugas jihad. Tetapi ada manusia menyalahgunakan ayat ini. Mereka berkata, tidak ada gunanya kita berjuang untuk Islam nanti, kita akan dipenjarakan, ditukar tempat kerja atau dibuang kerja dan sebagainya sedangkan Allah Taala mengatakan jangan kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan.
Inilah cara bagaimana cakap-cakap yang berdalilkan ayat dengan cara
yang salah kerana ayat ini mempunyai hubungan dengan menegakkan agama
Allah SWT, bahkan orang yang tidak berani menegakkan agama Allah itulah
orang yang mencampakkan diri mereka ke dalam kebinasaan.
Pernah
diriwayatkan ketika orang-orang Islam berperang dalam rangka menawan
kota Konstantinople (Istanbul, Turki) tiba-tiba orang Islam berdepan
dengan tentera Rom yang terlalu ramai.
Ada antara orang Islam itu
seorang pahlawan yang terlalu berani. Dia terus masuk ke dalam tentera
Rom yang ramai secara bersendirian sehingga dia dibunuh oleh tentera
Rom, lalu orang ramai mengatakan, kenapa dia sanggup membinasakan
dirinya? Tidakkah Allah mengatakan dalam al-Quran:" Jangan kam
mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan." (Al-Baqarah ayat 195)
Kebetulan
di dalam peperangan itu ada seorang sahabat yang bernama Abu Ayub
al-Ansari r.a iaitu sahabat yang diberi kelebihan ketika Rasulullah
s.a.w berhijrah di mana baginda s.a.w bermalam di rumah sahabat itu
sebelum baginda memiliki rumahnya sendiri di kota Madinah. Semasa Abu
Ayub meniti usia tua, beliau juga hadir sama dalam peperangan dengan
tentera Rom.
Apabila beliau mendengar seseorang membaca ayat
tersebut, dia naik radang sambil berkata: "Wahai manusia! Sesungguhnya
kamu telah mentakwilkan ayat ini dengan takwil yang begitu rupa.
Sesungguhnya ayat ini diturunkan kepada kami golongan Ansar ketika kami
telah mendapat ganjaran daripada Allah ketika Allah memenangkan
agama-Nya dan ramai orang yang menolong agama-Nya maka berkatalah
sesetengah kami terhadap sesetengah yang lain.
"Kami berbisik
sesama kami dengan tidak diketahui oleh baginda Rasulullah s.a.w
bahawasanya harta manusia sudah banyak. Kita ketinggalan dalam masalah
harta benda kerana mementingkan jihad, tidak menguruskan kebun dan
perniagaan dengan baik.
"Sesungguhnya Allah memberi kemenangan
kepada Islam dan orang yang menegakkan agama Islam juga sudah ramai maka
langkah sebaiknya kita semua tinggal di Madinah, tidak payah lagi
berperang seperti biasa. Kita serahkan urusan jihad itu kepada orang
lain kerana kita mahu membaiki dan menjaga kebun kita dan apa yang
ketinggalan selama ini dalam harta benda, kita dapat mengatasinya
semula."
"Justeru, Allah SWT menurunkan ayat ini kepada Nabi-nya
sebagai menolak apa yang kami katakan:"Dan berbelanjalah kamu pada jalan
Allah dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan."
Abu
Ayub r.a adalah serorang sahabat yang berani di mana ketika dalam
keadaan sakit beliau mewasiatkan supaya dikebumikan mayatnya di tepi
kota itu (kota musuh), jangan dibawa pulang mayatnya ke Madinah. Ini
kerana beliau mahu kuburnya dipijak oleh kuda-kuda tentera Islam yang
meneruskan perjuangan Islam, menawan kota tersebut dari tangan musuh.
Orang
Islam berjihad beratus-ratus tahun lamanya untuk menawan kota
Konstantinople kerana kerajaan Rom Timur mempunyai teknologi yang kuat
dan lebih daripada orang Islam. Mereka mempunyai berbagai-bagai senjata
moden pada zaman itu antaranya mereka boleh melontarkan peluru api yang
boleh bernyala di dalam air sehingga kapal-kapal tentera Islam terbakar.
Akhirnya
Allah SWT memberi kurniaan kepada Sultan Muhammad al-Fateh iaitu Sultan
kerajaan Islam Uthmaniyah yang memimpin tentera Islam dalam usia 20-an.
Baginda diberi kelebihan yang dijanjikan oleh Rasulullah s.a.w bahawa
baginda boleh menawan kota itu semula dan memimpinnya.
Setelah
kota itu ditawan orang Islam, mereka menukar namanya kepada Istanbul dan
gereja Es Sophia yang besar itu telah ditawan oleh orang Islam.
Patung-patung yang dibina di dalam dan persekitarannya di buang serta ia
ditukar menjadi masjid yang agung hingga ke hari ini.
Sehingga
sekarang masjid itu dikenali dengan Masjid Al-Fateh atau Masjid Es
Sophia tetapi sayangnya apabila Mustafa Kamal Ataturk berkuasa di Turki,
dia telah menjadikan masjid itu sebagai muzium. Tetapi alhamdulillah
setelah orang Islam kembali sedar, muzium itu ditukar semula kepada
masjid.
Berdasarkan kepada ayat yang ditafsirkan ini dan
berdasarkan kepada riwayat Abu Ayub, orang Islam boleh menunjukkan
keberanian sehingga keperingkat mati menentang musuh yang lebih ramai
jika sekiranya tindakan itu memberi semangat kepada tentera-tentera
Islam yang lain.
Memang berlaku di kalangan orang Islam apabila
hatinya terlalu kuat hubungannya dengan Allah SWT dengannya, yang dia
nampak ialah balasan baik daripada Allah dan janjinya, apabila
berlakunya hubungan langit dan bumi yang terlalu erat dan tidak ada
pemisahan lagi, maka seseorang itu tidak akan takut lagi kepada mati.
Inilah
yang pernah dinyatakan oleh ulamak sebagaimana yang disebut oleh
as-Syahid Saiyid Qutb di dalam buku-buku tulisannya. Apabila bumi
berhubung dengan langit, apabila hati itu bulat kepada Allah SWT, maka
dia tidak mengira mati lagi dalam menegakkan diri dalam kebinasaan.
Kesimpulannya,
mencampakkan diri ke dalam kebinasaan ini ialah ditujukan kepada orang
yang tidak berjihad dan tidak memberi sumbangan harta benda serta jiwa
raganya untuk meninggikan agama Allah. FirmanNya yang bermaksud
:"Berbuat baiklah kamu, sesungguhnya Allah kasih kepada orang yang
berbuat baik." (Al-Baqarah ayat 195)
Diantara berbuat baik itu
ialah membelanjakan harta benda kepada menegakkan agama Allah SWT dan
sesungguhnya Allah amat suka dan kasih kepada orang-orang yang suka
berbuat baik.
-----------
Dipetik daripada buku
"Kuliah Tafsir, Tauhid Rububiyah dan Tauhid Uluhiyah", halaman 173-178,
terbitan Dewan Muslimat Sdn Bhd, 1999.
Ditulis oleh Presiden PAS