Friday 11 May 2012

Jamaah Diutamakan Kemenangan Berganda


Perjuangan tidak boleh digerakkan secara individu ia mesti bersama jamaah. Inilah sunnah Rasulullah SAW yang ditunjukkan oleh baginda kepada umatnya. Baginda boleh berjuang secara inidividu, kerana Allah boleh membantu baginda walaupun tanpa jamaah. Persoalannya jika baginda tidak tunjuk kepada umatnya bahawa kerja berjamaah ini wajib maka sudah pasti sukar bagi umatnya yang bukan seorang Rasul untuk berjuang. Barang pasti perjuangan yang penuh dengan ranjau dan duri tidak akan dapat dilakukan secara individu, ia mesti dilakukan secara berjamaah.

Apabila kita menjadi ahli, maka kita mesti mamahami apa yang terdapat di dalam arahan parti dan peraturan dan disiplin parti. Kita tidak boleh membuat sesuka hati kita apabila kita sudah berbaiah dengan parti ketika kita mengisi borang keahlian. Suatu perkara yang silap, apabila seorang yang menjadi ahli parti tiba-tiba tidak mahu mengikat dirinya sebagai seorang ahli parti dan hendak ikut kepalanya tanpa ada kawalan daripada parti. Almarhum Abu A’la Al Mauddudi mengatakan jika ada orang yang bersikap demikian orang ini tidak layak berada didalam jaamaah Islam sebaliknya layak berada di dalam jamaah gotong royong.
Sebagaimana Rasulullah SAW telah menyatakan “Wajib atas kamu berjamaah, kerana berjamaah itu rahmat dan berpecah itu satu musibah”.

Adab sebagai orang yang bersama dengan jamaah ia mesti mengutamakan jamaah daripada peribadi. Ia juga merupakan pra syarat untuk mendapat kemenangan berganda.

Kita tidak boleh membiarkan wujudnya golongan nifaq di dalam perjuangan, atau dalam erti kata yang lain musang berbulu ayam. Golongan munafik yang ada di sepanjang zaman sejak daripada zaman Rasulullah SAW di Madinah hingga kini merupakan gunting di dalam lipatan.

Setiap individu mesti menghindarkan diri untuk menunjulkan diri samaada di dalam kumpulan yang kecil atau besar kerana tabiat ini tidak disukai oleh orang ramai dan juga anggota jamaah. 

Mesti menunjukkan bahawa ini adalah program jamaah. Ertinya kejayaan jamaah yang ditunjukkan bukan kejayaan individu. Hebat macam mana individu di dalam jamaah jika tidak dibantu oleh amilin di dalam jamaah maka ia akan gagal dan mendapat natijah yang cemerlang. 

Buat kerja bukan kerana untuk mendapat pujian. Asuhlah diri kita supaya mengikhlaskan diri, bukan kerana hendak dipuji. Jika pujian yang diburu, kita bimbang kekuatan dan semangat akan luntur apabila kerja tidak dipuji. Kita tidak bimbang jika musuh hina atas kerja buat kita yang ikhlas, ini adalah lumrah di dalam perjuangan. Kerana Allah lebih ketahui nawaitu kita, daripada manusia. Prinsipnya ialah keredahaan Allah yang dicari bukan keredhaan manusia.

Antara sifat ahli yang mengutamakan jamaah ialah membuang sifat pentingkan diri sendiri. Kerana menjadi lumrah kepada manusia mereka mempunyai sikap pentingkan diri sendiri. Walau bagaimanapun sifat ini mesti diubah, sekiranya sifat ini yang menguasai di dalam tubuh badan kita maka agak sukar ia memberi keutamaan kepada jamaah. Ia perlu mendahului kepentingan jamaah walaupun kadang-kadang terpaksa mengobankan dirinya sendiri. Ibarat lilin membakar dirinya untuk menerangi diri orang lain.
Perlu ada semangat pengorbanan samaada tenaga, harta dan nyawa untuk memenangkan Islam. Tanpa ada ciri ini, maka sukar perjuangan akan diperolehi. Semua Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul yang terdahulu mengorbankan perkara ini. Ada yang terpaksa berpisah dengan keluarga kerana perjuangan mereka tidak direstui oleh anak isteri seperti yang ditunjukkan oleh nabi Nuh dan nabi Lut A.S. Terpaksa berlawan dengan kaum kerabat sendiri sebagaimana baginda nabi SAW. Kerana mereka yang berada di saf hadapan menentang baginda ialah bapa saudara mereka sendiri seperti Abu Lahab, Abu Jahal. Nabi Ibrahim berdepan dengan bapanya sendiri sebagai pengukir berhala. Apakah mampu Islam tersebar jika tanpa pengorbanan nabi-nabi terdahulu yang menjadi qudwah kepada kita?

Apa pun berlaku di dalam jamaah, keputusan yang wajib diambil ialah jamaah mesti diutamakan. Jangan bakar kelambu jika marahkan pejat. Sekiranya ada individu yang kita tidak puas hati maka biarlah individu itu sahaja yang kita marah. Jangan sampai kita memboikot program parti dan tidak mahu menggerakkan jentera parti terutama musim pilihanraya. Kerana perjuangan kita bukan kerana individu, individu boleh pergi tetapi jamaah mesti diutamakan.

Mesti peruntukkan masa kepada parti dan memasukkan dalam jadual harian hidup kita. Sekurang-kurangnya 2 jam sehari bagi mereka yang bukan bertugas sepenuh masa. Ini bermakna kita menyumbangkan masa untuk satu minggu 14 jam daripada 168 jam. Di dalam sebulan baru 56 jam kita sumbang kepada parti, sedangkan Allah anugerah kepada kita 672 jam. Selebihnya bolehlah kita menyelesaikan keperluan hidup kita. Ertinya nisbah untuk jamaah masih terlalu kecil jika dibandingkan masa untuk urusan peribadi. Walau bagaimana pun ini sudah baik jika kita dapat memikirkan dengan serius untuk menjalankan tugas jamaah.

Perlu tanamkan di dalam diri kita, jika kita tidak mengutamakan parti, bererti kita telah menjadi penyumbang utama membantu kemenangan kepada Umno. Kita jangan merasa bahawa menyokong Umno sahaja salah, tetapi kita tidak membuat kerja jamaah di cawangan kita juga merupakan satu kesalahan sehingga kezaliman berkekalan di negara ini.
 
Oleh: Ustaz Idris Ahmad
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Photobucket