Rasulullah bersabda:
"الراحمون يرحمهم الرحمن، ارحموا من في الأرض يرحمكم من في السماء" رواه أبو داود والترمذي
Orang
yang penyayang akan disayangi oleh Yang Maha Penyayang. Kasihanilah
makhluk Allah di dunia ini nescaya anda akan dikasihani oleh Tuhan yang
di langit
Hadith riwayat Abu Daud dan Termizi.
Pendahuluan
Islam
adalah agama kebajikan. Ajaran Islam dalam apa jua bentuk dan bidang
yang digarapnya adalah untuk kebaikan dan kesejahteraan manusia dan jin
sejagat. Apabila Islam mengharamkan kezaliman maka itu adalah untuk
kerukunan hidup dan kesentosaan manusia dan jin. Apabila Islam
mengharamkan memakan bangkai atau binatang yang mati tanpa disembelih
menurut syara’ itu adalah untuk kesihatan diri manusia itu sendiri.
Apabila Islam menggalakkan amalan berkhitan bagi anak lelaki dan
perempuan maka itu untuk kebersihan dan keselamatan keturunan dan zuriat
manusia. Apabila Islam mengharamkan zina dan menggalak perkahwinan dan
sistem hidup berkeluarga maka itu adalah juga untuk tujuan yang sama.
Apabila Islam mengharamkan riba maka Islam bertujuan mengembangkan
kesaksaman dan kesejahteraan dalam “Interaksi Mal” dan sistem ekonomi
yang sihat di dunia ini. Ini semua untuk mencegah krisis pemikiran
sosial, ekonomi, politik dan lain-lain krisis yang merosakkan
ketenteraman dan kebahagiaan manusia.
Jadi
Islam dalam segala prinsip akidah, norma, syariat atau perundangannya,
dasar ihsan dan akhlak yang dianjurkannya amalan politik beragama dan
bermoral yang menjadi saranannya adalah diturunkan untuk menjana
kebajikan dan kebahagiaan manusia sejagat. Allah berfirman dalam Surah
al Anbia :107
وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلاَّ رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ
Kami tidak mengutusmu wahai Muhammad kecuali untuk menjadi (sumber) rahmat bagi seluruh alam.
”Dalam
pola pemikiran Islam nilai al Haq (kebenaran) sangat berganding rapat
dengan al Khair (kebaikan atau kebajikan). Dua nilai utama ini merupakan
matlamat penting yang mesti menjadi kewajipan umat Islam untuk
dilaksanakan. Tanpa kebenaran, sebuah perjuangan akan menyimpang ke
kancah kebatilan. Tanpa kebajikan pula, sebuah perjuangan akan menjadi
gersang dan tidak akan berupaya membawa kepada apa-apa kebaikan.
Matlamat
utama agama Islam adalah untuk merealisasi kebaikan dalam diri,
keturunan, akal, harta dan nama baik. Sebab itulah para ulama muktabar
telah merumuskan Maqasid al Syariah merangkumi aspek-aspek perlindungan
kepada agama, nyawa, zuriat keturunan, akal waras dan juga harta.”
Selaras
dengan itu dapat dibuat kesimpulan bahawa menegakkan negara
berkebajikan adalah sinonim dan selaras dengan hasrat menegakkan negara
Islam. Kerana itu maka manifesto Pakatan Rakyat dalam pilhanraya yang
lalu ialah untuk menegakkan negara dan negeri yang berkebajikan. Manusia
yang menolak pola negara berkebajikan atau pola negara Islam adalah
menolak rahmat dan memperbodoh diri mereka sendiri. Allah berfirman
dalam Surah al Baqarah ayat 130:
وَمَن يَرْغَبُ عَن مِّلَّةِ إِبْرَاهِيمَ إِلاَّ مَن سَفِهَ نَفْسَهُ ..
Siapa yang enggan menganut (mematuhi dan mengamalkan ) agama Ibrahim maka itulah manusia yang memperbodoh diri sendiri.
Allah berfirman dalam Surah al-Nisa’ ayat 42:
يَوْمَئِذٍ
يَوَدُّ الَّذِينَ كَفَرُواْ وَعَصَوُاْ الرَّسُولَ لَوْ تُسَوَّى بِهِمُ
الأَرْضُ وَلاَ يَكْتُمُونَ اللَّهَ حَدِيثًا Pada hari kiamat manusia
yang kafir (pendusta dan penentang agama Allah) dan penderhaka Rasul
(Allah) berharap kalau dia rata bersama tanah (tanpa tanggungjawab dan
melalui proses hisab ). (Pada hari itu) tidak ada pertuturan mereka yang
dapat mereka sembunyikan daripada Allah. Dalam ayat lain iaitu Surah
al-Naba’ penyesalan mereka digambarkan sebagai berikut:
وَيَقُولُ الْكَافِرُ يَا لَيْتَنِي كُنتُ تُرَابًا ..
(Pada
hari itu) Orang yang kafir akan berkata : Alangkah baiknya andaikata
aku hanya sekadar tanah tanih (ketika hidup di dunia) dahulu.
Penerimaan
solution “Negara Kebajikan” dalam maksud ini bukan suatu keharusan tapi
satu kemestian. Penerimaan ini demi keamanan manusia dan jin itu
sendiri di dunia dan di akhirat. Allah berfirman dalam Surah al Nisa’
ayat 115:
وَمَن
يُشَاقِقِ الرَّسُولَ مِن بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُ الْهُدَى وَيَتَّبِعْ
غَيْرَ سَبِيلِ الْمُؤْمِنِينَ نُوَلِّهِ مَا تَوَلَّى وَنُصْلِهِ
جَهَنَّمَ وَسَاءَتْ مَصِيرًا
Sesiapa
juga yang menentang Rasul setelah jelas kebenaran itu baginya ;
sebaliknya dia menurut jalan bukan jalan orang-orang mukmin Kami akan
biarkan dia terperusok dalam kesesatan yang dilakukannya itu dan Kami
(pasti) masukkan dia ke dalam neraka jahanam. Itulah seburuk-buruk
tempat untuk didiami.
Politikus
muslim atau Melayu yang menolak gagasan ini adalah manusia malang dan
celaka. Dia bukan sahaja mencelakan dirinya tetapi juga keluarga, kaum
kerabat dan bangsanya. Kecelakaan ini ikut merembat kepada para pengundi
dan para penyokong mereka.
Namun
usaha manusia untuk merealisasi idealisme serta cita-cita murninya ini
sering melalui berbagai peringkat masa dan modes operandi tertentu.
Mereka menyedari bahawa usaha menggapai cita-cita besar lumrahnya
memerlukan masa bertahun, berdekad, berpuluh dan mungkin sahaja beratus
tahun. Kendatipun sifat manusia inginkan sesuatu yang mudah dan segera
namun perkembangan kematangan, perubahan dan tamadun menuntut peringkat
masa tertentu. Halangan pun tidak kurang besarnya. Ini bermakna kita
terpaksa melalui proses bertahap.
Generasi
muda terbentuk melalui periode pentarbiahan dan proses pematangan.
Perubahan itu sendiri memerlukan variable dan angkubah atau prasyarat
tertentu berkait dengan peralihan kepimpinan, perubahan sikap pengikut
dan rakyat, latarbelakang suasana ekonomi dan iklim politik yang
membantu kehadiran kesedaran dan perubahan itu sendiri. Ini disamping
elemen yang tidak kurang pentingnya iaitu inayah dan taufiq daripada
Allah Azza Wajalla.Allah berfirman dalam Surah Ali Imran 126 :
وَمَا
جَعَلَهُ اللَّهُ إِلاَّ بُشْرَى لَكُمْ وَلِتَطْمَئِنَّ قُلُوبُكُم بِهِ
وَمَا النَّصْرُ إِلاَّ مِنْ عِندِ اللَّهِ الْعَزِيزِ الْحَكِيمِ
Berita
(kehadiran Malaikat bantuan) itu Allah jadikan sebagai perkhabaran yang
menggembirakan kamu . Sesungguhnya kemenangan itu semata-mata dari
(anugerah) Allah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
Konsep Negara Kebajikan
Kebajikan
bukan hanya bersumberkan harta benda, wang atau kesenangan meteri.
Kebajikan berteraskan kepada kebenaran akidah perjuangan. Sebab itu
berada dipihak yang benar, berjuang dan berpolitik atas landasan
perjuangan yang benar atau Islam malah bersama perjuangan parti Islam
adalah suatu kebaikan, kebajikan dan rahmat. Sebab itu akhir-akhir ini
kita dapati ramai kalangan pemimpin Melayu yang ikhlas kembali ke
pangkal jalan. Mereka rela ikut bersama perjuangan dalam parti Islam
atau Pakatan Rakyat. Mereka meninggalkan parti UMNO kerana kesedaran
mereka yang tinggi terhadap dasar politik yang lohor dan benar.
Betapa
pun juga sebelum kita menjangkau lebih jauh dan sebagai asas
perbincangan ada baiknya kita sorot asas perkataan kebajikan atau
al-Khair dalam al Quran atau hadith.
Perkataan
kebajikan atau al Khair lumrahnya tersebut dalam al Quran sebagai kata
nama. Perkataan ini berulang sebanyak 180 kali; antaranya firman Allah
dalam Surah al Taubah ayat 41
ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
Perkataan
ini berulang sebagai perbuatan atau verb sebanyak tujuh kali dalam
tempat yang berlainan. Seperti yang tertera dalam Surah al Qasas ayat
68.
وَرَبُّكَ يَخْلُقُ مَا يَشَاء وَيَخْتَارُ
Perkataan ini dalam al Quran membawa beberapa makna dan maksud:
Pertama :( ( الخير bermakna harta .. Firman Allah dalam Surah al Baqarah ayat 180.
إِن تَرَكَ خَيْرًا
Perkataan al khair ( الخير)di sini menurut Imam al Quthubi bermakna:
المال من غير خلاف وعلى هذا المعنى جاء اكثر استعمال القران للفظ ( الخير) Firman Allah :
{ ولو كنت أعلم الغيب لاستكثرت من الخير } (الأعراف:188)
Dan
firmanNya: { وإنه لحب الخير لشديد } (العاديات:8) Ibnu Abbas dalam
menafsirkan ayat ayat ini menerangkan maksudnya ialah al-Mal atau harta.
Kedua bermakna makanan sepertimana firman Allah yang mengungkapkan
keluhan Nabi Musa ketika berhadapan dengan kesulitan hidup di rantau
orang dalam Surah al Qasas ayat 24
رَبِّ إِنِّي لِمَا أَنزَلْتَ إِلَيَّ مِنْ خَيْرٍ فَقِيرٌ
Hai
Tuhan, sesungguhnya dengan segala kebaikan yang Engkau telah hulurkan
kepada ku masih lagi miskin dan memerlukan (kepada kurniaanMu ).
Ibnu
Abbas R. A menerangkan bahawa Nabi Musa berkelana daripada Mesir ke
Madyan tidak membawa bekalan kecuali daun salad dan ulaman lain. Beliau
berkaki ayam. Ini kerana sebelum sampai ke Madyan capal beliau putus dan
tertanggal dari kakinya. Beliau duduk beristirehat sebentar di bawah
pokok untuk berteduh. Meskipun beliau makhluk Allah yang terpilih tapi
beliau pun menghadapi dugaan yang berat. Perut beliau menjadi kempis
kerana kelaparan dan kekurangan makanan. Kehijaun dedaun yang dikunyah
dan ditelan beliau tertera dalam rongga mulutnya. Beliau – ketika itu -
sangat memerlukan makanan seperti kurma dan lain-lain.
Ketiga bermakna kekuatan sepertimana firman Allah terhadap musyrikin Arab dalam Surah (Al- Dukhan :37):
أَهُمْ خَيْرٌ أَمْ قَوْمُ تُبَّعٍ
Adakah
mereka yang lebih baik atau kaum Tubba’. Kata Baghawi maksudnya adakah
mereka yang lebih kuat, lebih gagah dan lebih banyak bilangannya ataukah
kaum Tubba’. Ibnu ’Asyur menegaskan : maksud perkataan khairiah di sini
ialah membandingkan mereka dari sudut kekuatan dan daya tahan.
Keempat bermakna ibadah dan ketaatan. Firman Allah dalam Surah al Anbia ayat :73
وَأَوْحَيْنَا إِلَيْهِمْ فِعْلَ الْخَيْرَاتِ
Lalu
Kami mewahyukan kepada mereka dengan saranan beribadah dan ketaatan.
Menurut Qurthubi ayat ini bermaksud agar mereka melakukan amalan
ketaatan. Kelima bermaksud kedudukan atau kehidupan yang baik sejahtera.
Kehidupan berkualiti ini tersebut dalam dailog Nabi Syuaib dengan
kaumnya ; di mana beliau berkata:
إِنِّيَ أَرَاكُم بِخَيْرٍ
Saya dapati kamu semua hidup sejahtera (dan bahagia) (Hud :84).
Attabari
menerangkan : Termasuk dalam Khairuddunia atau kebaikan hidup di dunia
perkara berikut: Harta, perhiasan hidup dunia, harga yang murah dll.
Tidak ketara pula dari ungkapan beliau ini beliau mengutamakan satu
kebaikan dunia berbanding yang lain. Jadi tentulah yang beliau maksud
segala kebaikan dan kualiti hidup di dunia ini.
Firman
Allah { لا يسأم الإنسان من دعاء الخير } (فصلت:49) Manusia tidak
jemu-jemu memohon kebaikan. Menurut al Tabari. Perkataan khair di sini
bermaksud kesihatan dan harta. Al Qurthubi menegaskan maksudnya harta,
kesihatan, kekuasaan dan kemuliaan. Pengertian ini diperkuat dengan
bacaan Ibnu Mas’ud terhadap ayat ini sebagai berikut:
( لا يسأم الإنسان من دعاء المال ) .
Manusia tidak jemu-jemu memohon harta. Keenam (( الخير membawa maksud lebih utama atau al Tafdhil. Umpamanya firman Allah :
إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ أُوْلَئِكَ هُمْ خَيْرُ الْبَرِيَّةِ
Sesungguhnya
orang yang beriman dan beramal soleh mereka itulah sebaik-baik golongan
yang menghuni dunia ini. (al Baiyinah :7) Dengan lain-lain perkataan
orang-orang yang beriman kepada Allah itulah makhluk yang paling afdhal
dan mulia.
Ketujuh bermaksud al Quran. Ini seperti yang difirmankan oleh Allah S.W.T dalam Surah al Nahl ayat 30:
وَقِيلَ لِلَّذِينَ اتَّقَوْا مَاذَا أَنزَلَ رَبُّكُمْ قَالُواْ خَيْرًا
Apabila
ditanya kepada golongan yang bertaqwa ; apakah gerangan yang telah
Tuhan kamu turunkan. Mereka menjawab ”Khairan” . al Qurthubi mengatakan
maksud khair di sini ialah al Quran.
Ciri Negara Berkebajikan
Sebenarnya
kalau kita teliti ayat ayat di atas kita boleh menyimpulkan matlamat
dan ciri negara berkebajikan itu sebagai negara yang antara lain
bermatlamat :
1.
Menjamin Kebebasan Beragama dan Berbudaya Islam tidak membenarkan
umatnya memaksa orang lain; kaum Cina atau India beriman. Ini kerana
Allah berfirman tidak ada paksaan dalam beragama. Oleh sebab itu jaminan
kebebasan beragama adalah menjadi ciri negara yang berkebajikan. Dalam
masa yang sama Islam sebagai agama persekutuan yang diperakukan oleh
perlembagaan yang ada adalah teras keyakinan dan asas budaya negara. Ini
bemakna bahawa kedudukan bahasa rasmi atau bahasa Melayu dan bahasa
ibunda bangsa-bangsa yang menghuni Malaysia tetap dijaga.
2. Pengurusan dan Sistem Pentadbiran yang Berintegriti
Rasuah
dan penyalahgunaan kuasa sangat bertentangan dengan dasar keadilan yang
disanjung oleh PAS dan Islam khasnya. Oleh itu penyakit ini perlu
ditentang habis –habisan dengan melaksanakan sistem pentadbiran yang
berteraskan moral, etika kerja yang amanah, bersih dan berintegriti.
Badan pencegah rasuah dan Suruhanjaya anti korupsi atau Suruhanjaya
Pencegah dan Pembenteras rasuah perlu diperkasa dengan akta dan
peraturan yang kemas dan mantap.
3.
Badan Kehakiman Yang Bebas dan Berwibawa. Keadilan adalah dasar dan
matlamat kehidupan yang disepakati oleh semua orang yang waras. Ini
kerana dengan keadilan masyarakat akan mendapat keamanan dan ketenangan.
Sebab itu negara berkebajikan mesti memperjuangkan badan kehakiman yang
berwibawa, berintegriti, bebas dari pengaruh kuasa eksekutif dan
rasuah. PAS berjuang untuk membantu kehadiran Badan Kehakiman yang boleh
dipercayai oleh rakyat dan orang ramai membela kepentingan mereka dan
bukan para pemimpin nasionalis Melayu yang zalim dan menobatkan
kezaliman.
4. Memiliki Agenda Ekonomi Yang Mapan
Ekonomi
dunia kini merudum dan berkrisis kerana asasnya yang rapuh dan
berteraskan riba serta eksploitasi. Ekonomi negara pun menghadapi gejala
ketirisan berbilion ringgit kerana salah urus dan ketiadaan amanah.
Oleh itu negara berkebajikan mesti merangka dan membangun sebuah agenda
ekonomi yang lebih adil, lebih terbuka, mapan, kompetitif serta bebas
dari unsur rasuah dan amalan kronisme serta nepotisme. Agenda ekonomi
yang bersifat pro pertumbuhan, pro-perniagaan dan menekankan pengagihan
yang adil serta berkebajikan tanpa meminggirkan mana-mana kaum atau
golongan dinegeri atau negara ini. Dasar dan tindakan afirmatif akan
dilaksanakan berpandukan keperluan bagi membantu golongan miskin dan
terpinggir dari semua kaum, gender, agama dan fahaman politik.
5. Kebebasan Media dan Keupayaan Mengakses Maklumat
Pembangunan
insan bertamadun berkait rapat dengan pembangunan ilmu dan maklumat
serta keupayaan mengakses ilmu serta maklumat. Sebab itu negara
berkebajikan komited untuk menggubal undang-undang untuk menjamin rakyat
mendapat akses kepada sumber maklumat. Ini sejajar dengan asas dan dsar
memperkasa rakyat yang celek pengetahuan untuk membolehkan mereka
berperanan menyemak-imbang (check and balance) secara berkesan.
Sehubungan dengan matlamat ini maka negara kebajikan akan menghapuskan
segala bentuk undang-undang yang menyekat rakyat mendapat maklumat
seperti OSA, Akta mesin Cetak dan Penerbitan. PAS dan Pakatan Rakyat
akan memastikan agar rakyat bebas mendapat maklumat bagi melahirkan
rakyat yang matang berpolitik berteraskan syura dan nilai-nilai
demokrasi yang selaras dengan Islam.
6. Pembentukan Masyarakat Berasaskan Syura dan Nilai Demokratik
Ciri
masyarakat yang matang ialah urusan kepimpinan dan negara mereka
dilandaskan atas nilai-nilai permuafakatan yang sihat. Ini bermula
dengan amalan berkenaan dalam parti dan pakatan parti-parti yang
mengurus negara atau negeri tersebut. Parti yang tidak demokratik dan
memilih pemimpin berdasarkan pemberian habuan dan rasuah tentu akan
merebakkan amalan tidak sihat tersebut dalam negara dan di kalangan para
pegawai kerajaan. Sebab itu Negara kebajikan komited untuk menegakkan
serta memantapkan peranan institusi syura dan demokrasi di semua
peringkat. Pendemokrasian dan penstrukturan semula kerajaan tempatan
bahkan semua jentera kerajaan akan dipulihkan. Reformasi SPR suatu
kemestian. Ini untuk memastikan berlakunya pilihanraya yang adil, bersih
dan telus. Institusi parlimen akan dimurni dan diperkasa. Sikap
kepimpinan parlimen yang lebih adil, mulia, amanah dan memihak kepada
kepentingan rakyat akan dipastikan menjadi amalan. Parlimen bukan hanya
sebagai rubber stamp kepada kepentingan kroni dan pemimpin atasan
tertentu.
Segala
undang-undang rimba yang zalim, drakonian termasuk ISA, Akta Polis ,
AUKU dan lain-lain yang menafikan hak-hak asasi seperti hak
berpersatuan, bersuara dan berhimpun akan ditamatkan.
7. Meningkatkan Taraf Kedudukan Sosial dan Cara Hidup Yang Berkualiti
Memastikan
kesejahteraan dan ciri hidup yang lebih berkualiti adalah merupakan
matlamat negara berkebajikan. Selaras dengan itu segala bentuk jenayah
dan salah laku akan dibasmi dan dikekang. Kerajaan negeri atau negara
kebajikan komited untuk meningkatkan taraf akhlak dan moral dalam semua
bidang. Kerajaan memberikan kemudahan perumahan yang lebih murah tapi
bermutu. Kerajaan menyediakan peluang pendidikan percuma dan berkualti
di semua peringkat sehingga ijazah pertama, di samping meningkatkan mutu
perkhidmatan kesihatan agar lebih murah dan mudah terutama bagi
golongan miskin dan berpendapatan rendah. Kerajaan Berkebajikan akan
memastikan golongan wanita dan belia semua kaum akan lebih berperanan
dalam masyarakat dan nasib mereka terbela.
8. Menghormati Kedaulatan Perlembagaan Persekutuan
Perjuangan
menobatkan nilai dan ajaran Islam bukan berlaku dalam alam mimpi tapi
dalam realiti politik, sejarah, ekonomi dan budaya setempat. Oleh itu
kaedah-kaedah usul fiqh dan siasah syari’yah semuanya akan dimanfaatkan.
Sesuatu kebaikan dan jaminan yang sudah tercapai tidak disia-siakan
untuk meraih matlamat yang lebih berkualiti. Antara kaedah tersebut
ialah kaedah :”Mala yudrak kulluhu la yutrak julluhu”. Apa yang tidak
dapat dicapai seluruhnya tidak pula dibiar dan diabai kesemuanya.
Sejajar dengan itu – pada peringkat ini - kerajaan negara berkebajikan
akan berpegang teguh dan mendaulatkan prinsip-prinsip yang terkandung di
dalam perlembagaan Malaysia. Ia mengamalkan dasar ”Pemisahan Kuasa”
dasar transference dan dasar ”good governance ” serta dasar dasar yang
dianggap lebih maju dan berperi kemanusiaan. Dalam masa-masa yang akan
datang perlembagaan yang bukan berstaus al-Quran boleh ditokok tambah
menurut keperluan msyarakat semasa.
Negara Kebajikan Adalah Harapan Semua
Pemilihan
wadah perjuangan Islam, landasan politik berteraskan akhlak, moral dan
spiritual yang tinggi, bercirikan nilai integriti, adil, beradab dan
mengamalkan kepatuhan kepada sistem halal haram, disamping menjaga
kepentingan orang-orang yang bukan Islam sebagai makhluk dan amanah atau
dengan lain perkataan negara berkebajikan ini tentulah akan
membahagiakan siapa jua mahkluk Allah ; baik manusia mahupun jin yang
melaksanakannya. Ini adalah harapan semua rakyat yang ingin bebas
daripada cengkaman kezaliman UMNO dan BN.
Syaitan
dan manusia yang keliru sahaja yang merasa celaka dengan kedatangan dan
kehadiran solution Islam ini. Golongan yang derhaka, fasiq dan tidak
berakhlak mahu bermaharajelala melakukan kezaliman dengan ISA dan tidak
amanah mungkin akan merasa celaka dan malang kerana solution pemberian
Allah ini. Golongan tersebut tidak mahu hakikat kebatilan perjuangan
mereka terdedah.Mereka juga tidak mahu terdedah sebagai penentang Allah;
lalu mereka berdalih dengan menuduh bahawa orang berjuang atas landasan
Islam sebagai golongan yang menggunakan agama untuk kepentingan
politik. Tidakkah Islam hadhari dicipta untuk menggunakan nama Islam
yang ditambah dengan perkataan hadhari sebagai suatu helah licik
menggunakan nama agama untuk memenangkan faham asabiah UMNO dan BN.
Tidakkah
rezeki Allah berjuta malah berbilion ringgit daripada wang negara dan
rakyat digunakan untuk menjauhkan bangsa Melayu dari menurut solution
Allah ini. Tidakkan diayah mereka untuk meneruskan lagi era kezaliman
para pemimpin mereka di samping akan menambah lagi bentuk kejahatan
dalam masyarakat masih berterusan siang malam. Ini terbukti dengan
meningkatkatnya gejala penyimpangan akidah keruntuhan akhlak, jenayah
dan berbagai bentuk rasuah dan kejahatan dalam masyarakat kita kini.
Allah berfirman dalam Surah Taha ayat 1-4:
طه
مَا أَنزَلْنَا عَلَيْكَ الْقُرْآنَ لِتَشْقَى إِلاَّ تَذْكِرَةً لِّمَن
يَخْشَى تَنزِيلا مِّمَّنْ خَلَقَ الأَرْضَ وَالسَّمَاوَاتِ الْعُلَى
Ta
Ha , Kami tidak menurunkan al Quran (Solution ketuhanan) untuk anda
menjadi celaka. Ia semata-mata sebagai peringatan untuk manusia yang
takut (kepada Allah). Al Quran diturunkan oleh Tuhan pencipta bumi dan
langit yang tinggi .
Masalah dan Rintangan
Hasrat
untuk menegakkan negara berkebajikan ini tidak diterima oleh semua
orang. Hatta terhadap seruan Nabi atau Rasul Allah yang jelas-jelas baik
pun terdapat rintangan dan masalah. Masalah dan rintangan ini disebut
dalam Surah al-An’am ayat 123:
وَكَذَلِكَ
جَعَلْنَا فِي كُلِّ قَرْيَةٍ أَكَابِرَ مُجْرِمِيهَا لِيَمْكُرُواْ
فِيهَا وَمَا يَمْكُرُونَ إِلاَّ بِأَنفُسِهِمْ وَمَا يَشْعُرُونَ
Demikianlah
kami wujudkan di setiap desa (negeri atau negara) para petualang besar
desa berkenaan untuk melakukan tipu daya kepada penghuninya. Namun
mereka tidak memperdaya kecuali diri mereka sendiri. Malangnya mereka
tidak sedar. Rintangan dan masalah memang akan berjejalan untuk
menggencat proses kebangkitan umat dan rakyat menuju transformasi
politik yang diinginkan oleh mereka. Namun bagi manusia dan rakyat yang
berjiwa besar sudah tentu mereka akan menghadapinya dengan tabah dan
sabar demi mendapat kehidupan yang lebih berkualiti, diberkati dan
diredhai oleh Allah S.W.T.
Penutup
Idealisme
negara kebajikan perlu direalisasi. Penjanaannya memerlukan prasyarat
yang sangat banyak. Tidak ada jalan mudah untuk mencapai cita-cita besar
dan lohor, sebab itu semua pihak perlu mempunyai etika muafakat yang
standard. Mereka perlu melepaskan diri daripada sergahan dan perangkap
musuh. Mereka mesti berlapang dada berjiwa besar dan berfikir secara
realistik. Mereka perlu membudayakan dalam diri mereka budaya usrah,
tamrin, diskusi, pembelajaran dalam kelompok dan pembelajaran secara
aktif di samping etika dan akhlak berjamaah demi meningkatkan mutu
perlaksanaan politik dan dakwah mereka di dunia ini.
Islam
memulakan bibit-bibit kebaikan dan kebajikan melalui pendidikan insan
itu sendiri. Manusia perlu dididik dengan pegangan agama Islam yang
menitikberatkan persoalan kebajikan. Walau bagaimanapun manusia mesti
dididik, dilatih, diasuh untuk melaksanakan kebajikan dalam dirinya
sendiri dahulu. Hatinya perlu disirami dengan baja keimanan dan
ketaqwaan. Akalnya mesti diluruskan dengan kriteria menilai keburukan
yang jitu dan tepat berlandaskan wahyu (al Quran dan Hadith).
Perangainya mesti dibentuk menjadi manusia dan warga negara yang
cenderung berbuat baik dan berkebajikan. Dengan itu masyarakat dan
kerajaan yang akan dibentuk kelak akan bersikap serba berkebajikan untuk
rakyat dan tidak pecah amanah, rasuah , zalim dan jahat.
Oleh : Ustaz Hj. Abdul Ghani Bin Samsudin