LAPANGKAN HATIMU DENGAN TAUBAT
07
Ogo
Satu cara untuk mengetahui sejauh mana
kita benar-benar beriman ialah dengan mengukur sejauh mana kesan dosa
terhadap hati kita? Apakah hati kita akan terasa kesal dan menyesal
dengan dosa? Atau kita merasa biasa-biasa sahaja apabila berdosa? Jika
terasa menyesal, itu petanda iman masih ada di dalam dada. Sebaliknya,
jika dosa tidak memberi kesan apa, malah kita tetap gembira… itu satu
petanda buruk. Iman kita amat lemah, Hati kita sedang sakit. Boleh jadi
sudah menanti masa sahaja untuk melayang.
Apa tanda menyesal? Menyesal bukan
menyesal jika kita hanya berasa sedih tanpa berbuat apa-apa. Tetapi
menyesal yang sebenarnya apabila kita mula bertindak selaras dengan apa
yang kita kesalkan. Kita menyesal dengan dosa? Langkahnya, terus kita
tempuhi jalan-jalan taubat dengan memberhentikannya, niat tidak akan
mengulanginya lagi dan berbuat baik sebagai ‘galang-ganti’ kepada
kejahatan yang kita lakukan itu.
Mari kita bertanya pada hati
masing-masing? Bagaimana kita dengan dosa? Bagaimana kita dengan
taubat? Amat malang di Ramadan 1432 H ini jika kita terlepas lagi
peluang untuk diampunkan dosa seperti di Ramadan 1431 H yang lalu.
Sedangkan bulan Ramadan yang sedang kita lalui ini melimpah ruah dengan
keberkatan, keampunan dan janji terlepas daripada api neraka.
Bagi orang yang beriman, peluang sebesar
ini sangat dinanti. Sejak bulan Rejab lagi, mereka telah bersedia untuk
menyambutnya dengan menyemarakkan ibadah. Mereka sedar Ramadan
Bayangkan, terlepas derjat dan pangkat di sisi Allah yang Maha Mulia,
tentulah ruginya tidak terkira. Sedangkan manusia kini berebut-rebut
mengejar pangkat di sisi manusia sesama manusia.
Pangkat di dunia tidak akan berguna
selepas mati, sedangkan pangkat taqwa di sisi Allah bukan sahaja berguna
di dunia – dengan jaminan pembelaan, kecukupan rezeki, diberi jalan
keluar daripada sebarang masalah dan lain-lain, malah lebih berguna di
akhirat nanti – kehidupan yang hakiki dan abadi.
Rasulullah SAW bersabda : “Malaikat
Jibril datang kepadaku dan berkata : “Rugilah (kecewa) orang yang bila
namamu disebut dia tidak mengucapkan shalawat atasmu”. Aku mengucap :
“Amin”. “Rugi orang yang berkesempatan hidup bersama kedua orangtuanya
tetapi dia tidak sampai bisa masuk ke surga”. Aku berkata : “Amin”.
Jibril berkata lagi : “Rugi orang yang berkesempatan hidup pada bulan
Ramadhan, tetapi tidak sampai terampuni dosa-dosanya”. Lalu aku
mengucapkan : “Amin”. (HR. Ahmad)
Hati siapa yang tidak tersentuh apabila
mendengar hadis di atas? Betapa ruginya nanti kita di akhirat sana. Dosa
tidak diampunkan, masuk ke neraka dan jauh daripada rahmat dan
pengampunan Allah. Menyesallah dahulu, kerana menyesal kemudian tidak
berguna. Jika kita hendak menangis, maka menangislah pada hari ini…
kerana menangis di akhirat sudah terlambat dan tidak berguna.
Takuitilah akibat dosa yang kita lakukan.
Jangan ambil mudah dengan kemurkaan Allah. Jika marah isterti, suami,
boss dan kawan-kawan pun sudah boleh menyebabkan hidup kita resah dan
susah, apalagi murka Allah, Tuhan yang mencipta kita. Ya, kita sering
terlupa bencana akibat dosa boleh datang tiba-tiba. Lupakah kita dengan
kaum Aad yang ditimpa bencana tepat ketika mana mereka berarak ria
menuju ‘syurga’ ciptaan raja mereka? Apakah kita lupa bagaimana sikap
Rasulullah SAW ketika baginda dan para sahabat melalui lokasi tempat
kaum Aad dan Tsamud menerima bala? Baginda terlalu terganggu oleh
‘nostalgia dosa’ – hinggakan sejarah mencatitkan bahawa Rasulullah SAW
menyuruh para sahabat menundukkan muka dan jangan memandang ke langit
(tanda merendahkan diri) ketika melalui tempat tersebut.
Rasulullah SAW pernah berdoa memohon agar
Allah tidak menurunkan bala bencana ketika gerhana berlaku. Baginda
akan sembahyang dengan penuh tawaduk dan baginda berdoa:
“Tuhanku! Tidakkah engkau telah
berjanji untuk tidak mengazab mereka (umat Islam), dan aku berada
bersama mereka. Tidakkah engkau telah berjanji untuk tidak mengazab
mereka (umat Islam), sedangkan mereka adalah orang yang bertaubat.
(Sulaiman bin al-Ash’ath, Sunan Abi Daud)
Itulah sikap yang ditunjukkan oleh
Rasulullah SAW, seorang insan yang maksum daripada dosa dan dijamin
masuk syurga. Padahal baginda insan yang mulia, para penduduk kota
Madinah ialah para sahabat Rasulullah yang terkenal sebagai generasi
al-Quran dan kota Madinah itu sendiri adalah kota suci yang penuh rahmat
dan keberkatan. Dengan segala kelebihan itupun baginda masih tidak
terasa ada jaminan keselamatan daripada bala bencana. Sinisnya,
bagaimana nasib kita yang setiap masa bergelumang dengan kemungkaran dan
kemaksiatan, kadang-kadang hidup di tengah kota yang di kelilingi
premis dosa?
Walau bagaimanapun, bencana alam,
penyakit-penyakit kronik, gejala sosial dan lain-lain masalah sebenarnya
boleh membawa rahmat jika kita dapat mencungkil ibrahnya yang
tersirat. la boleh diumpamakan sebagai racun kepada hati yang derhaka
kepada Allah, tetapi penawar kepada hati yang tunduk dan patuh kepada
Allah. Kata orang, “What happens ‘in’ you is more important than what happens ‘to’ you.” – apa yang berlaku ‘di dalam’ diri kita jauh lebih penting daripada apa yang berlaku kepada (‘di luar’) diri kita.
Untuk memahami yang tersirat dan
mencungkil hakikat daripada sesuatu peristiwa, kita perlu menyingkap
lembaran sejarah. Bencana alam yang telah menimpa umat nabi-nabi
terdahulu kerana kederhakaan dan kedegilan mereka walaupun telah diberi
peringatan berkali-kali perlu diamat-amati.
Renungilah hakikat ini: Umat Nabi Nuh a.s
yang tunduk kepada hasutan syaitan, yang mana syaitan itu diciptakan
daripada api – Allah musnahkan mereka dengan mendatangkan banjir besar.
Kaum Saba’ yang juga menyembah api, Allah musnahkan dengan banjir.
Apabila api diagung-agungkan selalunya Allah datangkan air sebagai
pemusnah.
Hukum ini terus berjalan sepanjang zaman.
Apabila berlaku kemungkaran yang bermaharajalela di tengah umat
manusia, Allah akan datangkan bala bencana sebagai azab yang memusnahkan
mereka. Inilah yang telah berlaku kepada umat Nabi Lut, yang ditelan
bumi kerana mengamalkan homoseksual dan lesbian. Kaum Nabi Salleh kerana
curang dalam perniagaan. Kaum Aad dan Tsamud yang ditimpa hujan batu
kerana kederhakaannya.
‘Tentera Allah’ (air, angin, tanah)
dihantar kepada para pendosa yang engkar walaupun telah diberi
peringatan berulang kali oleh nabi masing-masing. Sepanjang sejarah,
sudah lapan bangsa pada lapan zaman yang telah mendapat akibat buruk
daripada Allah SWT kerana mendustakan rasul yang diutus kepada mereka.
Kelapan-lapan kaum itu ialah:
- Kaum Nabi Nuh.
- Ashabul Rass – mendustakan nabi mereka yang bernama Hanzalah. Mereka menyembah berhala.
- Kaum Tsamud – kaum Nabi Salleh.
- Kaum Aad – kaum Nabi Hud.
- Firaun dan pengikutnya.
- Kaum Nabi Luth.
- Ashabul Aikah – kaum Nabi Syuaib.
- Kaum Tubba’.
Untungnya, umat Nabi Muhammad mempunyai
banyak kelebihan berkat kasih sayang Allah kepada Nabi-Nya – Muhammad
SAW. Bencana tidak berlaku serta-merta kepada umat Nabi Muhammad
sepertimana yang menimpa umat nabi-nabi terdahulu. Masih ada penangguhan
dan diberi tempoh masa untuk memperbaiki diri.
Bencana alam seperti tsunami, gempa bumi,
tanah runtuh, banjir, kemarau dan lain-lain (walaupun sudah hebat dan
dahsyat) tetapi ini berkali-kali ganda lebih ringan berbanding bencana
yang menimpa umat-umat terdahulu. Apapun, mesejnya tetap sama – sebagai
peringatan dan amaran. Dengarkanlah ‘bisikan’ Allah ini. Jangan sampai
kita terpaksa mendengar ‘jeritan-Nya!’ (bencana yang lebih dahsyat).
Lihat sahaja loji-loji nuklear di Fusyima
Jepun yang dilumpuhkan hanya dengan kuasa air. Bukankah ini satu
tempelakan kepada kemajuan teknologi yang dibanggakan oleh manusia
tetapi akhirnya tunduk kepada kuasa ‘konvensional’ yakni air?
Walau bagaimanapun, ada bencana yang
lebih seni dan maknawi sifatnya. Tidak ketara oleh mata, tetapi sangat
derita pada hati. Di dunia, dosa dapat membuat hati keras dan buta dari
kebenaran. Ia akan menutup pintu hati dari melihat kebenaran dan
membuatnya terbalik dalam membuat penilaian. Allah berfirman:
“Kemudian apabila mereka melupakan
apa yang telah diperingatkan dengannya, Kami bukakan kepada mereka
pintu-pintu segala kemewahan, sehingga apabila mereka bergembira dengan
apa yang telah diberikan, Kami seksa mereka secara mengejut, maka ketika
itu mereka berputus asa. (Surah al-An’am 6: 44)
Manakala secara peribadi dosa akan
menyebabkan hidup kita menjadi sempit, perasaan menjadi tidak keruan dan
fikiran selalu kacau. Ada sahaja yang tidak kena walaupun kekadang kita
sudah memiliki kekayaan, kesihatan dan pekerjaan. Firman Allah: “Dan barang siapa yang berpaling daripada peringatan Ku maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit.” Thaha: 24
Ibnu Khatir menjelaskan keadaan orang yang melakukan dosa dengan katanya: “Di
dunia dia tidak akan mendapat ketenteraman dan ketenangan. Hatinya
gelisah akibat kesesatannya. Meski pun lahiriahnya nampak begitu senang,
mampu memakan apa sahaja makanan yang diingini, mampu tinggal di mana
sahaja yang dia kehendaki, namun selama dia belum sampai kepada
keyakinan dan petunjuk maka hatinya akan sentiasa gelisah, bingung, ragu
dan masih terus ragu. Ini ialah kehidupan yang sempit.”
Hati orang soleh begitu lembut, sensitif,
mudah menerima cahaya hidayah dan taufik. Sebaliknya, hati seorang
pendosa menjadi gelap, tertutup, berkarat, keras, dan kerananya tidak
dapat ditembusi cahaya kebenaran. Kita sering diingatkan bahawa apabila
bencana menimpa jangan salahkan sesiapa, tetapi salahkanlah diri
sendiri.
Perhatikanlah hari-hari yang kita lalui
di Ramadan yang mulia ini, apakah penuh pahala atau sebaliknya.
Bagaimana kita di sini (di dunia), begitulah kita di sana (akhirat)
nanti. Siapa yang menyemai angin, pasti terpaksa menuai badai!
sumber.gentarasa