Saya merasa hairan sekiranya Umno yang
memimpin kerajaan BN tidak mengizinkan pilihanraya diadakan di musim
haji, kalau berlaku sebaliknya memang menghairankan. Umno pernah
menggunakan kuasanya mengadakan pilihanraya umum di musim haji, kerana
dasar dan konsep perjuangannya terus berpegang teguh dengan nasihat
Suruhanjaya Reid yang meletakkan agama sebahagian sahaja daripada aspek
politik dan urusan negara sebagaimana Umno melaksanakan tugasnya
menghapuskan tulisan jawi dan meletakkan kedudukan agama yang ada di
bawah kuasa raja-raja sekarang tanpa perubahan walaupun kemerdekaan
sudah berlalu lebih lima puluh tahun. Maka mengadakan pilihanraya di
musim haji terlalu kecil bagi Umno, kerana pilihanraya dianggap tidak
ada hubungan dengan dosa dan pahala boleh menipu, rasuah dan sebagainya.
Kalau berdosa pun boleh ditampung dengan haji dan umrah subsidi.
Kepada Umno ibadat haji boleh
dipolitikkan, bukan sahaja mengadakan pilihanraya di musim haji dengan
menafikan hak mengundi kepada kalangan umat Islam yang berada di Makkah
atau Madinah. Pilihanraya boleh diadakan di musim haji sekiranya
mengurangkan sedikit undi yang boleh memberi kemenangan kepada BN
walaupun dengan majoriti kecil khususnya di negeri-negeri utara dan
Pantai Timur Semenanjung. Bahkan Umno boleh mempolitikkan haji dengan
mengeluarkan wang peruntukan kerajaan bagi memberi subsidi haji kepada
imam-imam, JKKK dan sebagainya. Walaupun rukun haji diwajibkan kepada
seseorang yang mampu secara individu bagi dirinya dan berbuat kebajikan
sunat kepada kalangan keluarga dan sahabat. Maka memberi subsidi haji
dan umrah oleh kerajaan tidak wajib dan menerimanya juga tidak wajib,
bahkan haram sekiranya menjejaskan peruntukan rakyat miskin yang
pendapatannya tidak mencukupi sara hidup, begitu juga pelajar-pelajar
miskin yang menuntut ilmu fardu kifayah. Memang ternyata masih ramai
yang tercicir dan ada yang dinafi dan dibatalkan haknya kerana tidak
menyokong Umno.
PAS tetap menegaskan bahawa memilih
musim haji bagi tarikh pilihanraya adalah bercanggah dengan Islam,
kerana politik adalah sebahagian penting bagi agama Islam dan menjadi
syarat kepada melaksanakan hukum-hukum Islam yang banyak, termasuklah
membuktikan Islam itu adil kepada seluruh manusia dan seluruh alam serta
melaksanakan kewajipan amar makruf dan nahi munkar dengan kuasa
pemerintahan negara.
Saya telah menjelaskan hujah syarei
dalam tulisan sebelum ini, walaupun ramai yang tidak boleh menerimanya
kerana asas ilmu feqah politik yang tidak ada sedikit pun. Allah pernah
menempelak para pemimpin Makkah yang berbangga dengan khidmat hajinya
dan memakmurkan Al Masjid Al Haram, di mana pahalanya seratus ribu kali
ganda daripada beramal di masjid yang lain daripada Masjid Madinah dan
Masjid Aqsa.
Firman Allah:
أجعلتم سقاية الحاج وعمارة المسجد الحرام
كمن آمن بالله واليوم الآخر وجاهد في سبيل الله , لا يستوون عند الله والله
لا يهدي القوم الظالمين . التوبة 19
(Adakah kamu jadikan amalan memberi
layanan minuman air kepada para jamaah haji dan mengimarahkan Al Masjid
Al Haram itu, sama seperti kalangan yang beriman kepada Allah dan Hari
Akhirat, serta berjihad pada jalan Allah (menegakkan agamanya )?
Sebenarnya mereka tidak sama di sisi Allah dan Allah tidak memberi
petunjuk kepada orang-orang yang zalim ).
Mengundi adalah hak yang ditunaikan bagi
memilih pemimpin dan kerajaan. Kewajiban ini mengikut ajaran Islam
adalah satu amanah yang sangat besar dibebankan kepada umat Islam.
Firman Allah:
إن الله يأمركم أن تؤدوا الآمانات إلى
إهلها وإذا حكمتم بين الناس أن تحكموا بالعدل إن الله نعما يعظكم به إن
الله كان سميعا بصيرا . (النساء ).
Sesungguhnya Allah memerintah kamu
supaya menunaikan amanah dengan menyerahkan kepada orang yang mampu
menunaikannya. Dan apabila kamu melaksanakan hukuman di kalangan manusia
hendaklah berlaku adil, sesungguhnya Allah menyuruh kamu melakukan
ajaran yang terbaik, sesungguhnya Allah itu Maha Mendengar lagi Maha
Melihat.)
Maka pilihanraya memilih pemimpin dan
kerajaan adalah kewajipan besar dalam ajaran Islam, bagi menunaikan
amanah, menyerahkan amanah yang menentukan baik dan buruk, adil dan
zalim yang menjadi kepentingan umum dan masa depan dunia sehingga
akhirat. Rasulullah S..A.W. meletakkan hilangnya amanah memberi tugas
memimpin umat kepada orang yang tidak melaksanakan Syariat Allah menjadi
punca kemusnahan yang membawa berlakunya ajal dunia. Memilih pemimpin
bukan kerana kelayakan agama, akhlak dan ilmunya tetapi kerana wang,
pangkat dan sebagainya adalah mengkhianati Allah dan Rasul.
Sebahagian besar para sahabat R.A. hanya
bersembahyang jenazah Rasulullah S.A.W. kemudian berundur meninggalkan
upacara mengebumikan jenazahnya yang mulia kerana menghadirkan diri
dalam perhimpunan di Thaqifah Bani Saidah, melaksanakan amanah yang
lebih besar daripada mengebumikan jenazah Rasulullah S.A.W. iaitu amanah
pemilihan Khalifah pertama, yang membuat keputusan majoriti memilih Abu
Bakar R.A.
PAS hanya mampu mengerahkan segelintir
ahlinya sahaja dengan penyebaran ajaran politik Islam, supaya
menangguhkan haji wajib kalau berlaku pilihanraya, kerana memilih wajib
menunaikan amanah besar yang tidak boleh ditangguh kerana dipaksa. PAS
tidak mampu menyebarkan kefahaman ini kepada masyarakat Islam
seluruhnya, kerana khutbah Jumaat di masjid-masjid, ustaz-ustaz upahan
dan media digunakan oleh BN bagi menyempitkan fahaman umat Islam
terhadap ajaran Islam dan menyebarkan fitnah terhadap PAS melalui segala
medan, termasuk media yang berlagak Islam, mencampurkan dosa dan
pahala, benar dan bohong, laksana lembu yang mengibas ekor di belakang
terhadap sesiapa sahaja dan hanya melihat ke hadapan ke arah rumput yang
boleh diisi ke dalam perut.
Warga Turki yang bekerja di Australia
yang peka dengan amanah ini, pulang ke negaranya dengan tambang berlipat
kali ganda daripada menunaikan haji. Mereka pulang untuk mengundi parti
Islam sehingga mengalahkan kaum Kamal Atarturk yang memaksa umat Islam
Turki dengan pemerintahan sekularisme yang melemahkan Turki dan
merosakkannya. Warga Mesir dan Tunisia di luar negara berjaya
memenangkan parti Islam setelah berlakunya kesedaran politik sehingga
mengalahkan parti ala Umno di negara masing-masing.
Harapan PAS kepada umat Islam di negara
ini supaya bersedia menghadapi Pilihanraya Umum ke-13 walaupun Umno BN
melaksanakannya tanpa mengira musim haji. Tema politik itu kotor
(politic is dirty), adalah penipuan penjajah terhadap umat Islam supaya
meninggalkan politik dan memberi ruang dan peluang kepada mereka dan
pengikut mereka menjajah selama-lamanya dan menghalang Islam berdaulat.
Sebenarnya merekalah yang mengotorkan politik yang menjadi amanah Allah
yang termasuk dalam perkara kerasulan yang membawa rahmat Allah kepada
seluruh alam dengan melaksanakan Islam yang adil kepada semua dan
matlamat kejadian manusia yang dihisab pada Hari Akhirat nanti. Akhirnya
Rasulullah S.A.W. memberi jaminan daripada Allah, bahawa sesiapa yang
melaksanakannya dengan sempurna menjadi kalangan pertama daripada tujuh
jenis manusia yang bernaung di bawah naungan Allah di padang Mahsyar.
Presiden PAS
Sumber:
http://presiden.pas.org.my/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=386:haji-pilihan-raya-dan-umno&catid=14:kenyataan-rasmi&Itemid=56