Friday 30 March 2012

Motivasi: Pertama sekali, kita perlu mereformasi diri


Saya sentiasa mencari penyelesaian kepada permasalahan ummat Islam. Di manakah titik penyelesaian kepada permasalahan Palestin, di manakah titik penyelesaian kepada permasalahan kelemahan ummat Islam, di manakah titik penyelesaian kepada masalah kesatuan ummat Islam.

Di manakah titiknya?
Akhirnya saya tidak berjumpa apa-apa penyelesaian yang solid, selain mereformasikan diri kita sendiri.
Ya, Islah nafsak _ perbaiki diri.

Jangan tuding jari pada yang lain
Hari ini, kita lihat Islam terpinggir dan terhimpit di dalam dunia yang luas. Kita ini dipermainkan
dengan agenda musuh-musuh Allah SWT yang sememangnya mendeklarasikan perang kepada Islam.
Kita lihat hari ini, Palestin dijajah. Ummat Islam diselar sebagai pengganas, walaupun peristiwa 9/11 sudah jelas bukan perbuatan ummat Islam. Ummat Islam dihina dengan karikatur Nabi Muhammad. Itu belum lagi dikira dengan serangan-serangan ke atas negara Islam seperti Iraq dan Afghanistan. Itu pada era kita, belum lagi kita ungkit kes-kes hitam dunia seperti kes Bosnia Herzegovina, kes Shabra Shatilla, kes Gujerat, peristiwa di Maluku, Ambon.

Dan merentasi hinaan demi hinaan ini, kita ummat Islam menuding jari kepada Amerika Syarikat. Kita tuding jari kepada Israel. Kita tuding jari kepada Eropah. Kita tuding jari kepada Serbia. Kita tuding jari pada musuh-musuh Allah SWT. Ya, kita tuding jari pada mereka. Kita nampak mereka yang menyerang,kita nampak mereka yang membunuh, kita nampak merekalah yang menyusun agenda untuk merosakkan kita, menghancurkan kita. Pada kita, merekalah yang bersalah, berdosa dan segalanya.

Tetapi saya, berpendapat bahawa, yang salahnya adalah kita.

Ya, kita. Kitalah yang bersalah dan bertanggungjawab atas kejatuhan ummah ini. Kitalah yang bersalah atas kerosakan ummah ini, kehinaan yang ditanggungnya. Kitalah yang bertanggungjawab atas kematiankematian ummat Islam. Kita, kita, dan kita.
Jangan tuding jari kepada orang lain. Mereka semua bukan orang Islam, mereka memang tugasnya menjadi saingan, ujian, cubaan kepada kita. Mereka sekadar melakukan apa yang _orang memerangi islam_ lakukan. Sebagaimana perlakuan kaum musyrikin Makkah kepada Rasulullah SAW, sebagaimana perlakuan Firaun kepada Musa AS, sebagaimana Namrud kepada Nabi Ibrahim AS. Itu memang reality mereka. Justeru hendak salahkan mereka kah?

Sekali kamu menuding jari ke arah orang lain, ada empatjari lagi menuding ke arah kamu semula.Yang salahnya adalah kita.Sebab kita meninggalkan Islam dalam kehidupan kita.

Punca kejatuhan Islam
Apakah punca kejatuhan Islam? Mungkin akan keluar macam-macam pendapat, fakta-fatka sejarah itu dan ini. Mungkin ada yang nak cakap fasal kepincangan politik kerajaan Khilafah Uthmaniah, kebangkitan nasionalisma dan sebagainya.
Tetapi siapa yang menjatuhkan Islam?
Orang bukan Islam atau orang Islam?
Kalau kita sorot kembali, yang menjadi kunci kemenangan kepada musuh-musuh Allah dalam menjatuhkan Islam, adalah orang Islam sendiri. Semua boleh merujuk kembali sejarah betapa ummat Islam pada zaman kejatuhan itu, telah meninggalkan tatacara kehidupan Islam, telah jauh hubungan mereka daripada Allah SWT, tidak berani lagi menegakkan yang haq, hidup dalam nafsi-nafsi dan tidak lagi merasakan kepentingan menjaga Islam dalam kehidupan mereka.

Di sinilah punca kelemahan. Yang kemudiannya menyeret kepada kejatuhan Khilafah. Sebaik sahaja khilafah jatuh, mereka mencipta garis sempadan memberikan negara. Selepas semua yang tamak kuasa diberikan tempatnya, mereka mula menjajah Palestin dan tiada siapa yang bangkit membelanya. Dan selepas itu, kehinaan demi kehinaan kita langkahi sepanjang perjalanan ummat ini ke akhir dunia.
Siapa yang salah?
Kita. Kita, dan kita.

Asas kepada kebangkitan:
Memperbaiki diri
Bayangkan kalau kita kata penyelesaian kepada masalah ini adalah dengan kita menumbangkan kerajaan Amerika Syarikat. Tetapi apakah akan ada perubahan andai pemimpin yang menumbangkan kerajaan Amerika Syarikat adalah mereka yang tidak memperbaiki diri? Anda lihat, sama sahaja Bush dan Obama.
Tiada perubahan.
Apakah akan ada perubahan, kalau rakyat juga tidak bergerak memperbaiki diri?
Adakah masa kejatuhan khilafah dahulu, khalifah Islam ketika itu tidak baik?
Namun pemimpin yang baik sahaja tidak mencukupi.

Pernah sekali, Saidina Ali ditanya oleh seorang rakyatnya:
Wahai Amirul Mukminin, kenapa rakyat pada zaman Uthman baik-baik, manakala rakyat zaman kau rosak-rosak?_ Dengan niat untuk mempersenakan pemerintahan Saidina Ali. Tetapi Saidina Ali bijaksana,menjawab ringkas:


Kerana rakyat di zaman Uthman adalah seperti aku, dan rakyat di zaman aku adalah seperti kamu.


Kita, pernahkah kita mempersoalkan keadaan diri kita?
Bagaimana kita beramal dengan Islam dalam kehidupan kita?
Bagaimana kita bergerak menuju Allah SWT dalam kehidupan kita?
Di mana kita meletakkan Islam dalam kehidupan kita?
Bagaimana hubungan kita dengan pencipta kita?
Pernahkah anda bertanya?
 Pernahkah anda berusaha melakukan perubahan?
Tidak pernah?
Kemudian anda menuding jari kepada Bush? Kepada Obama? Kepada Ariel Sharon? Kepada Pope Vatican? Kepada Tony Blair? Kepada John Howard? Kepada Yahudi? Kepada Nasara?

Pengajaran yang Allah beri Allah SWT memberikan pengajaran kepada kita melalui rasul-rasul-Nya. Allah SWT juga membantu rasul-rasul-Nya mengislahkan diri. Rasul dijadikan maksum supaya menjadi contoh kepada kita. Tetapi Rasul juga manusia dan mempunyai masa kejatuhan. Cuma kejatuhan Rasul, tidak sama dengan kejatuhan kita.

Sebagai contoh, Nabi Yunus AS. Dia kecewa dengan kaumnya, lantas dia meninggalkan kaumnya. Allah SWT kemudiannya mencampakkan Nabi Yunus ini dari kapal yang dinaikinya, ke dalam Ikan Paus.
Untuk apa?
Untuk Rasul-Nya yang bernama Yunus itu bermuhasabah dan memperbaiki diri. Selepas itu, apa yang Nabi Yunus lakukan sebaik sahaja dia ditegur Allah SWT demikian?
Dia pantas menyesali dirinya dengan sebenar-benar penyesalan.
Dan sebutkanlah peristiwa Zunnun(Nabi Yunus) ketika dia pergi meninggalkan kaumnya dalam keadaan marah, yang menyebabkan dia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan(selepas dia meninggalkan tugas dakwahnya), maka dia pun menyeru dalam keadaan gelap gelita(dalam perut ikan paus) dengan berkata:

Sesungguhnya Tiada Tuhan Melainkan Kau, Maha Suci Engkau, Sesungguhnya aku telah tergolong dari kalangan mereka yang menzalimi diri (Surah Anbiya_ayat 86)

Tidakkah anda melihat, kita hari ini, dunia sekarang ini, seakan-akan perut ikan paus yang gelap gelita,dan kitalah Nabi Yunus yang sedang menjalani teguran Allah SWT di dalam perut ikan paus ini?


Kenapa Nabi Yunus berada di dalam perut ikan paus?
Kerana dia meninggalkan tugasan yang Allah beri kepadanya.
Kenapa kita berada dalam kehinaan, kerosakan, seperti hari ini?
Kerana kita meninggalkan hubungan kita dengan Allah, kita meninggalkan Islam dalam kehidupan kita.

Apa yang Nabi Yunus lakukan? 
Muhsabah dan menyesali, bergerak memperbaiki dirinya. Lihat selepas Nabi Yunus berdoa, apa Allah lakukan kepadanya:

Maka Kami kabulkan doanya, dan Kami selamatkannya dari kesusahan yang menyelubunginya, dan sebagaimana kami menyelamatkannya(Nabi Yunus), begitulah Kami akan menyelamatkan orang-orang yang beriman (apabila mereka menyeru kepada Kami).. (Surah Anbiya: ayat 87)

Apa signifikan Allah SWT meletakkan ayat:
Dan sebagaimana Kami menyelamatkannya(Nabi Yunus),begitulah Kami akan menyelamatkan orang-orang yang beriman(apabila mereka menyeru kepada Kami)?


Apa signifikannya?
Signifikannya adalah, apabila kita melakukan kesalahan, sedarlah, perbaikilah diri kita, bergeraklah  merubah diri kita, kembali menjaga hubungan kita dengan Allah, kembali mengambil Islam sebagai cara hidup kita, kemudian Allah akan menyelamatkan kita juga dari keadaan kita, dari perut _ikan paus_dunia yang sedang merosakkan kita sekarang.
Itu signifikannya.
Berapa ramai hamba Allah SWT berfikir begini?

Penutup: Bergeraklah, bergerak...
Ketahuilah, bahawasanya kita semua punya saham atas jatuh bangun ummat ini. Ummat ini memang rosak di tangan musuh-musuh Allah. Tetapi siapakah yang membenarkan musuh-musuh Allah ini kuat dan bermaharajalela?
Kita.


Kelemahan kita, membenarkan mereka mengambil peluang.
Maka, kunci kemenangan adalah pada kita.
Bergeraklah memperbaiki diri. Hidupkan hati dan jiwa kita. Kita ambil semula Islam, terjemahkannya dalam kehidupan kita. Bukan sekadar kita memakai nama sahaja Islam. Ayat Al-Quran itu kita dalami,fahami. Bukan sekadar kita gantung sahaja di dinding rumah.

Sehingga ke tahap apa kita hendak redha dengan penghinaan ke atas agama Allah hari ini?
Sehingga ke tahap apa?
Atau sememangnya kita rasa tidak mengapa?
Maka tertinggal lah kita dari kafilah Rasulullah SAW yang menuju ke syurga.

Ayuh kita ubah!
Ayuh kita buat perubahan!
Ayuh beri sokongan dan kemenangan pada kebenaran dan ISLAM!

Sumber: Hilal Asyraf
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Photobucket