Friday 2 March 2012

Mengatasi Kemurungan Berpanjangan



Kehidupan yang asyik MENEKAN, rasa TERTEKAN berpanjangan,di rumah,ditempat kerja, atau di mana-manapun berada,boleh membawa kepada pelbagai jenis masalah mental termasuk "KEMURUNGAN".

Hari ini bumi basah dilimpahi hujan. Terasa hari berjalan dengan teramat perlahan, malas bergerak dan kurang berminat untuk melakukan apa-apa aktiviti, kecuali TIDUR. Hal ini,mungkin normal memandangkan cuaca sejuk membuatkan diri yang sentiasa ‘dibakar’ kepanasan berasa nyaman dan ingin bersantai menikmati cuaca sejuk selama yang boleh.

Bagaimanapun, jika anda hilang minat terhadap sebarang aktiviti, terutamanya aktiviti kegemaran anda, sepanjang masa tidak kira tempat atau persekitaran, mungkin anda dilanda kemurungan. Di sebalik senyuman ketika di hadapan ahli masyarakat, rakan sekerja dan orang tersayang, seseorang itu tetap berkemungkinan menghadapi kemurungan.

PUNCAnya sukar untuk ditentukan. Ada pesakit yang menderita untuk jangka pendek dan pulih sendiri, ada juga yang sudah lama menderita akibat kemurungan tetapi tidak menyedarinya. Kerap kali juga kita mendengar kata-kata ‘saya berasa murung’ tetapi ada di antaranya cuma bercakap tanpa mengetahui maknanya.

Kemurungan mempunyai definisinya tersendiri bersama simptom tertentu yang menjadi ciri khusus dan penanda aras dalam mendiagnosis pesakit:

*KEMURUNGAN :

Kemurungan adalah sejenis penyakit mental yang banyak berlaku tetapi kurang didiagnosis sehinggalah masalah telah menjadi teruk dan memerlukan rawatan rapi. Hampir kesemua pesakit yang murung mengalami episod mood yang rendah, dan hilang minat sepenuhnya terhadap sesuatu aktiviti yang sebelum ini digemarinya.

Sering kesedihan, rasa cemas atau mudah marah, rasa rendah diri yang ketara, rasa bersalah tidak bertempat, rasa tidak berupaya, gelisah serta kesukaran menumpukan perhatian, mengingati maklumat atau membuat keputusan menjadi antara tanda-tanda kemurungan. Pesakit juga mungkin menyisihkan diri daripada masyarakat, keluarga atau rakan, dan mungkin wujud perasaan mahu atau cubaan membunuh diri.

Mereka yang murung juga mengalami simptom fizikal seperti berat badan atau selera makan meningkat (atau menurun), bangun terlalu awal, kurang bertenaga, sakit kepala, masalah penghadaman dan rasa sakit yang kronik. Orang di sekitar individu yang murung mungkin perasan penampilan yang semakin runsing atau pergerakan semakin perlahan.

Namun, bukan semua individu kemurungan menunjukkan kesemua atau simptom yang sama. Untuk mengelaskan seseorang itu sebagai murung, simptom tertentu (kecuali perasaan ingin bunuh diri) perlu hadir selama sekurang-kurangnya dua minggu.

Di kalangan kanak-kanak pula, simptom murung lebih sukar untuk dikenalpasti dan sering dianggap sebagai ‘membuat perangai’ semata-mata.

*HAKIKAT :

Bagi pesakit yang mengalami kemurungan, meluahkan apa yang terbuku di hati mungkin jalan terbaik untuk melegakan perasaan. Apa yang diperlukan bukan sahaja berdialog dengan doktor, tetapi juga dengan orang tersayang. Hakikatnya, komunikasi adalah satu bentuk terapi yang penting.

Statistik kemurungan global memperlihatkan satu keadaan yang kian membimbangkan. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kemurungan adalah penyakit keempat paling serius dalam melumpuhkan jiwa seseorang di dunia. Malah, kadar kelaziman penyakit ini juga didapati lebih ketara berbanding hipertensi (tekanan darah tinggi), mahupun diabetes.

WHO turut menganggarkan kadar kematian kejadian bunuh diri akibat kemurungan di rantau Asia Pasifik adalah lebih tinggi berbanding penyakit Tuberkulosis (tibi). Kadar kelaziman kes kemurungan di sesebuah negara adalah pula dianggarkan antara lapan hingga 10 peratus.

Malaysia dalam menuju ke arah pembangunan turut tidak terkecuali daripada menghadapi masalah yang sama di kalangan rakyatnya. Semakin tinggi kadar pemangkin tekanan (stres), semakin tinggi juga kadar kelaziman masalah kemurungan.

Beberapa laporan mendedahkan kira-kira sembilan peratus (hampir 2.5 orang) rakyat Malaysia mengalami kemurungan yang serius. Peratusan ini berada dalam lingkungan sama dengan anggaran purata dunia dengan kemurungan juga merupakan penyakit keempat serius di Malaysia.

Bagaimanapun, dari segi pecahan jantina, kemurungan menjadi masalah ketiga paling serius untuk wanita berbanding ke-10 serius bagi lelaki. Perbezaaan ini jelas menunjukkan betapa masalah ini menjejaskan hidup wanita yang lebih cenderung menghidap kemurungan, termasuk dalam tempoh tertentu selepas melahirkan anak.

*SENYUMLAH... :

Sedikit berita baik! Rawatan sewajarnya boleh membantu sekurang-kurangnya 85 peratus pesakit yang mengalami kemurungan. Pesakit lazimnya boleh menjalani sesi-sesi kaunseling, terapi ataupun menerusi pengambilan ubat anti kemurungan.

Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA), Dr. Yen Teck Hoe menjelaskan kemurungan merupakan satu bentuk gangguan emosi yang paling biasa berlaku, namun ramai yang masih tidak memahami apa itu kemurungan dan tidak dapat membezakannya dengan kesedihan biasa.

Tindakan segera mungkin boleh diambil apabila kita mengetahui diri mempunyai simptom-symptom kemurungan seperti yang telah dijelaskan tadi.
Selain itu, Orang ramai juga perlu belajar mempercayai doktor dan ubat-ubatan kerana diagnosis sendiri tidak akan membantu memulihkan keadaan.

Dan sebagai umat islam, kita kembali kepada asal kejadian kita, daripada datangnya kita dan kepada DIA lah juga kita kembali dan berserah. SesungguhNya Allah s.w.t Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNYa. Barangkali kita tidak menyukai sesuatu namun rupa-rupanya itulah yang terbaik bagi kita. Ingatlah, Allah s.w.t tidak akan membebani hambaNya dengan sesuatu yang tidak mampu hambaNya tanggung.Kembalilah kita pada Rukun Iman yang 6, Percaya kepada QADA' dan QADAR.

Untuk mendapatkan penerangan yang lebih lanjut berkaitan dengan kemurungan, bolehlah layari laman www.psychiatry-malaysia.org.

Sumber: Laman Kesihatan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Photobucket