Thursday, 1 March 2012

Pemimpin utama PAS Islam dan soleh - Nik Aziz


KUALA LUMPUR, 1 Mac: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini mengulangi penegasannya bahawa sesiapa sahaja yang beragama Islam yang soleh boleh memimpin parti itu.

Katanya, persoalan bangsa sama ada Melayu atau sebaliknya tidak menjadi persoalan selagi mereka adalah "muslim yang soleh".

"Saya ingin mengulangi penegasan saya bahawa sesiapa sahaja yang merupakan muslim yang soleh boleh memimpin PAS sekalipun bukan berbangsa Melayu kerana bangsa tidak mempunyai apa-apa nilai di sisi Allah SWT, " katanya melalui laman sosial Facebook hari ini.

Menurutnya, tiada guna sekalipun pemimpin itu Melayu, jika jahil tentang undang-undang Islam itu sendiri.

Tanpa menamakan sesiapa, Tuan Guru Nik Aziz juga turut merujuk kepada bekas seorang pemimpin Melayu negara yang disifatkannya masih meraba-raba.

"Untuk apa berbangsa Melayu jika masih mengeluarkan kenyataan yang mencerminkan kejahilan terhadap undang-undang Allah SWT?

"Saya simpati dengan salah seorang bekas pemimpin negara yang rupanya masih meraba-raba," katanya dalam nada menyindir. 

Kenyataan Tuan Guru Nik Aziz yang juga menteri besar Kelantan itu dipercayai sebagai respon terhadap kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir dalam kennyataannya semalam mencabar PAS melantik  Penasihat DAP, Lim Kit Siang sebagai Presiden PAS.

“Dulu PAS kata kita kerjasama dengan kafir. Setakat mana pemimpin bukan Islam dalam PAS?

"Sepatutnya, Lim Kit Siang menjadi Presiden PAS kerana beliau rakyat Malaysia yang mengutamakan Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai merujuk kepada pandangan AJK PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad kelmarin, bahawa PAS bersedia menerima bukan Islam sebagai pemimpin barisan kedua parti sekiranya ia satu keperluan dan ada tuntutan seperti yang dilakukan parti Ikhwanul Muslimin di Mesir.

Namun kata Dr. Dzulkefly, perkara itu tidak timbul sekarang ini, dan jika sekalipun akan dilaksanakan, perkara itu perlu diputuskan dalam muktamar parti.

Sumber: Harakah Daily
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...