Friday, 9 March 2012

SBPA: Bagaimana status Kumpulan Premier?


KUALA LUMPUR, 9 Mac: PAS menuntut penjelasan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung status terkini kakitangan Kumpulan Premier setelah Skim Saraan Baru Penjawat Awam (SBPA) diumum mansuh semalam.

Ini kerana, kumpulan tersebut difahamkan telah diwajibkan bersara pada 31 Disember tahun lalu dan diserap sebagai kakitangan berstatus kontrak di bawah SBPA sejak Januari lalu.

"Sekarang SBPA dah diumum mansuh, jadi saya nak tanya apa status mereka (kumpulan premier) sekarang ini.

"Mereka sudah tandatangan surat pertukaran kepada jawatan kontrak, dan sudah dibayar gaji lebih tinggi mengikut SBPA malah ada yang sudah dapat ganjaran pesara sehingga mencecah RM500,000. Adakah mereka kena bayar balik atau bagaimana," soal Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menuntut penjelasan kerajaan.

Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini bahawa Skim Saraan Baru Penjawat Awam (SBPA) dimansuhkan dan Skim Saraan Malaysia (SSM) dikembalikan dengan penambahbaikan.

Selain itu Najib turut mengumumkan pelarasan gaji SSM dengan kenaikan 13 peratus bagi kumpulan pengurusan, profesional dan pelaksana dari gred 1 hingga 54.

Untuk gred utama kumpulan JUSA C, B dan A pula menerima kenaikan 9 peratus.

Turus 3 dan 2 menerima kenaikan sebanyak 8 peratus manakala turus 1 pula 7 peratus.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, beliau khuatir tindakan pembatalan SBPA yang diumum Najib semalam mempunyai kesan perundangan terhadap kumpulan premier ini yang boleh mengambil tindakan mahkamah terhadap kerajaan.

Turut dipersoalkan, sekiranya kumpulan ini ditukar semula kepada status asal sebelum ini, adakah gaji mereka akan dibayar sama seperti sekarang atau lebih rendah seperti asalnya.

Jumlah sudah dibelanja

Mahfuz yang juga ahli parlimen Pokok Sena turut memohon penjelasan Najib berhubung jumlah wang yang telah dihabiskan untuk tujuan perlaksanaan SBPA sejak ianya dicadangkan tahun lalu.

Menurut Mahfuz, rakyat harus tahu berpa jumlah yang telah dibazirkan kerajaan untuk satu skim yang tidak dibincang dengan teliti dan akhirnya diumum mansuh itu.

"Berapa jumlah duit yang sudah dihabiskan untuk tujuan ini? Saya hairan kenapa perdana menteri boleh bersetuju dengan cadangan JPA ini.

"Pada saya perdana menteri sudah hilang kelayakan. Selepas PRU saya rasa banyak lagi benda celaru macam ni akan diperkenalkan," katanya.

Sumber: Harakah Daily
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...