Sunday 11 March 2012

TGNA: Ulama Juga Artis Seni


Semalam (15 Rabi’ul Akhir 1433), berkesempatan meraikan tetamu dari tanah seberang, Indonesia. Beliau (Oki Setiana Dewi pelakon Bila Cinta Bertasbih seorang ikon seni di sisi anak muda. Terima kasih atas ketibaan, semoga menambah seri ‘wajah’ Kelantan Negeri Serambi Mekah yang unik dengan pelbagai nilai seni dan budaya.

Langsung saya menzahirkan syukur atas ketinggian seni-budaya yang Allah SWT kurniakan untuk seluruh warga Kelantan. Seharusnya seluruh lapisan masyarakat dapat memahami pengertian insan seni dan budaya yang turut berkongsi kurniaan Ilahi, kerana ulama juga tergolong dalam golongan pencinta seni dan budaya seperti juga artis.

Sekiranya artis dimaksudkan dengan insan seni malah golongan ulama juga mempunyai keseniannya yang tersendiri. Kesenian di sisi ulama ialah keupayaan dan kejayaannya meyakinkan pelbagai lapisan masyarakat termasuk bukan Islam kepada memahami dan mendekati serta menerima Islam. Ia merupakan hasil kelunakan seni bahasa yang disampaikan ulama.

Kalau sebelum ini masyarakat hanya mengenali pelawak, pelukis, pelakon, penyanyi sebagai artis yang memajukan seni dan budaya, namun golongan ulama juga adalah artis yang memajukan pemahaman agama.

Justeru cara Rasulullah berdakwah juga ada seni tersendiri sehingga manusia terpikat dengan ajaran Islam. Al-Quran juga mempunyai seninya yang tersendiri, sehingga bila dibacakan dengan penuh nilai seni atau pelbagai qiraah, maka pendengarnya akan terpegun.

Semoga artis-artis terus mesra datang ke negeri ini. Mudah-mudahan akan melenyapkan tohmahan buruk terhadap masyarakat Kelantan, kononnya menolak peranan artis dalam memajukan seni dan budaya masyarakat. Hakikatnya, artis adalah sebahagian daripada kehidupan masyarakat Kelantan.

Rumah JKR 10,
Kampung Sireh, Kota Bharu.
Sumber: TG Hj. Nik Abdul Aziz Nik Mat (Mursyidul Am PAS)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Photobucket