Wednesday, 21 March 2012

Umum: Allah SWT itu sentiasa memberikan yang terbaik!


Bagaimana keputusan peperiksaan anda? PMR, SPM, STAM, STPM?

Ya. Pelbagai orang, pastinya pelbagai gaya keputusan.

Tahukah anda, walau apa pun keputusan yang anda dapat, sesungguhnya itulah yang terbaik? Ini bukan sekadar menyentuh SPM/STAM/PMR dan lain-lain peperiksaan. Ini juga menyentuh keputusan-keputusan yang kita perolehi dalam mana-mana stesen kehidupan kita yang lain.

Hal ini kerana, Allah SWT tidak pernah memberikan yang tidak baik pada hamba-hamba-Nya.

Cuma pokoknya, apakah kita mampu menerima keputusan Allah dalam keadaan terbaik, yakni dalam keadaan redha pada-Nya?
Itu persoalannya.

Sikap orang beriman terhadap keputusan Allah SWT.

Orang Islam itu tidak ajaib. Tetapi, orang beriman diiktiraf sebagai menakjubkan. Kenapakah orang beriman mencapai tahap yang menakjubkan?

Hal ini kerana mereka mampu melalui segenap liku kehidupan dengan tabah dan ketenangan.

Rasulullah SAW bersabda: “Sungguh ajaib keadaan orang beriman, sesungguhnya semua urusan mereka berada dalam keadaan baik. Dan tiad ayang memperolehi keadaan ini melainkan orang yang beriman sahaja. Sekiranya dia dianugerahkan sesuatu, dia bersyukur. Maka jadilah anugerah itu baik untuknya. Sekiranya dia ditimpa musibah, dia bersabar. Maka jadilah musibah itu baik untuknya” Hadith riwayat Muslim.

Ya. Itu dia orang beriman. Segala keputusan Allah adalah baik. Anugerah kecemerlangan dan kegemilangan hidup tidak menjadikannya riya’, takabbur, ujub sehingga menyeretnya ke neraka. Timpaan musibah tidak membawa kepadanya putus asa, kecewa dan merungut-rungut sehingga menyeretnya ke dalam kalangan manusia yang tidak bersyukur.

Kenapa Rasulullah SAW menyebut ‘orang beriman’, tetapi bukan orang yang memeluk Islam?

Hal ini kerana, hanya yang ber’iman’ sahaja mampu menghubungkan jiwanya dengan Allah SWT, untuk redha dengan segala keputusan-Nya. Tunduk taat pada ketentuan-Nya. Hal ini kerana, hanya orang beriman sahaja yang percaya 100% tanpa ragu kepada Allah SWT.

Keburukan itu, hasil daripada tangan sendiri

Musibah-musibah yang menimpa kita dalam kehidupan, biasanya adalah daripada tangan kita sendiri. Tidak semestinya secara terus ia berkait.

Sebagai contoh, seorang pelajar gagal dalam peperiksaan. Tidak semestinya kerana dia tidak rajin studi. Tetapi kegagalannya di dalam peperiksaan, adalah teguran Allah SWT atas sikapnya yang angkuh, atas hubungan dengan ibu bapanya yang buruk, atas pembazirannya, atas kelupaannya dalam melaksanakan perintah-perintah fardhu da 1001 sebab lain.

Allah SWT tidak akan memberikan keburukan, melainkan kita sendiri yang menjemput keburukan itu. Lihatlah betapa pengasihnya Allah SWT menghantar rasul-rasul pada ummat yang tidak mengetahui. Allah tidak akan mengazab sesuatu kaum melainkan telah disampaikan rasul kepada mereka.

“Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah).” Surah Al-Israa’ ayat 15.

Tetapi, manusia memilih untuk ingkar. Sebab itu Allah menurunkan musibah kepada mereka.

Akhirnya benarlah firman Allah SWT:

“Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.” Surah Asy-Syu’ara ayat 30.

Kenapa dikatakan dosa-dosa, bukan perbuatan? Sebab tidak semua perkara Allah balas kerana perbuatan. Mungkin dosa kita dengan rakan, menyebabkan kita gagal pada satu sisi lain dalam kehidupan kita, walaupun perbuatan kita terhadap sisi kehidupan itu baik-baik sahaja.

Ini juga satu ujian

Bila Allah SWT menunjukkan keputusan-Nya pada kita atas sesuatu perkara, kita perlu ingat, bahawa bagaimana pun keputusan itu, semuanya adalah untuk menguji kita.

Cemerlang atau gagal, berjaya atau tewas, menang atau kalah, kedua-dua sisi keputusan itu mempunyai ujiannya yang tersendiri.

Cemerlang diuji hebat dengan ujub, riya’, takabbur, dan lupa diri.

Gagal diuji hebat dengan putus asa, kecewa, sangka dan buruk pada Allah SWT.

Maka, hakikatnya, kita perlu berhati-hati dengan keadaan ini. Baik kita cemerlang, mahupun kita di posisi gagal. Baik kita dikurniakan kejayaan, mahupun kita di posisi ditimpa musibah.

Allah SWT mengingatkan kita dalam firman-Nya:

“Apakah manusia itu mengira, mereka akan ditingalkan dengan berkata: Kami telah beriman, sedangkan mereka belum diuji(keimanan mereka itu)?” Surah Al-Ankabut ayat 2.

Adakah check semula markah itu tanda tidak sangka baik dengan Allah?

Ini soalan yang menyeronokkan, dan hangat pada setiap pengambil keputusan peperiksaan.

Tidak salah. Hal ini kerana, check semula keputusan itu bukannya kita sangka buruk dengan Allah SWT yang memberikan kita keputusan yang kurang baik. Bahkan, check semula keputusan itu adalah satu USAHA untuk kita mencapai kecemerlangan.

Selepas check, dan telah kita dapat keputusan yang sebenarnya, ketika itu kalau tidak redha juga, maka barulah termask dari kalangan yang tidak bersyukur, dan tidak bersangka baik dengan Allah SWT.

Maka, jika anda rasa anda layak mendapat kecemerlangan pada keputusan peperiksaan anda, tetapi keputusan menunjukkan anda gagal, tiada salahnya anda pergi memeriksa.

Anggaplah, keputusan gagal yang mungkin silap itu, sebagai pengajaran besar oleh Allah SWT kepada anda.

Dan bila anda disahkan berjaya, jangan lupa bersyukur kepada-Nya.
Dan bila anda disahkan tetap gagal, jangan lupa juga muhasabah kembali diri anda.

Tiadalah pemberian Allah itu yang tidak baik.

Tetapi kitalah yang perlu belajar untuk menerima keputusan-Nya dengan baik.

Penutup: Allah sentiasa memberikan yang terbaik.

Dunia ini merupakan kembar dengan ujian. Baik buruk di dalam dunia ini adalah ujian. Mendapat kebaikan itu juga ujian, mendapat keburukan juga adalah ujian.

Hakikatnya, tiada yang buruk dalam pemberian Allah SWT. Semuanya terbaik. Cuma kita yang gagal menilainya.

Bila Allah berikan kita kejayaan, itu kebaikan dari segi balasan usaha kita. Bila Allah berikan kita kegagalan, itu kebaikan dari segi peringatan kepada kita.

Yang menjadikan pemberian Allah itu buruk adalah kita.

Bila Allah berikan kita kejayaan, kita riya’, takabbur, ujub, angkuh dan melupakan-Nya. Bila Allah berikan kita kegagalan, kita kecewa, sakit hati, putus asa dan mengeji-Nya.

Segala yang baik itu memang daripada Allah SWT. Kita sahaja yang memburukkan diri kita.

Maka marilah kita sama-sama, mendidik diri untuk redha dengan keputusan yang Allah SWT berikan.

Allah SWT sentiasa memberikan yang terbaik.

Tetapi kitalah yang kita perlu belajar bagaimana hendak menerima keputusan Allah dengan baik.

Sumber:
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...