Thursday 7 June 2012

Pemuda : Pagar Iman


Saya masih ingat, seawal saya tingkatan satu dan dua di Ma’had Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI) dulu, guru saya, Cikgu Mohd Abdoh selalu mengulang-ngulang satu ayat. Kebetulan waktu itu, MATRI belum ada pagar di sekelilingnya.
Maka, guru saya itu selalu mengulang-ngulang :
“Sekolah kita ini tak ada pagar. Sebab apa tak ada pagar? Sebab kita didik pelajar-pelajar kita supaya ada pagar iman ada dalam diri masing-masing. Jadi, bila ada pagar iman, mereka tak akan buat apa yang Allah tak suka.”
Teringat apa yang disebut oleh guru saya itu, maka saya terdetik untuk berkongsi sesuatu berkaitan dengannya.


PAGAR DAN KEHIDUPAN
Apakah fungsi pagar? Di rumah kebanyakan kita ada pagar, di sekolah ada pagar, di universiti pun ada pagar.
Selain untuk menyempadankan sesuatu kawasan dan menjadikan kawasan itu nampak lebih cantik dan kemas, maka sudah tentulah untuk menjaga para penghuninya daripada keluar sesuka hati. Tambah-tambah lagi yang hidup di sekolah berasrama.
Saya sangat pasti, yang pernah hidup di sekolah berasrama, pasti pernah mendengar istilah-istilah seperti ‘fly’, ‘lompat pagar’ dan pelbagai lagi istilah ponteng lain yang dinamakan dengan nama yang lebih sedikit baik untuk menghilangkan persepsi buruk terhadap perbuatan itu.
Suatu ketika dulu, di sekolah saya belum ada pagar sebegitu. Yang memagari kawasan sekeliling MATRI itu hanyalah rumah-rumah orang kampung dan orang taman.
Nak keluar tanpa izin, mudah sekali. Keluarlah. Banyak saja jalan yang ada. Dan yang pastinya, tak perlu ‘lompat pagar’ sebab memang tidak ada pagar pun.
Guru saya itu selalu sahaja mengingatkan tentang pagar keimanan itu. Walaupun sekolah saya itu tidak berpagar ketika itu, namun memang terbukti majoriti pelajar dapat menjaga diri mereka daripada ‘fly’ dan ‘lompat pagar’ sesuka hati mereka. Kalau ada pun, hanya segelintir kecil sahaja.
Maka, saya melihat begitu pentingnya untuk kita membina pagar keimanan dalam diri kita berdepan dengan dunia yang lebih besar dan tidak ‘berpagar’ pada hari ini.

PAGAR IMAN, BENTENG DARIPADA DOSA
Kita boleh katakan, kehidupan kita hari ini, tidak ada satu hari pun kita terlepas dari dosa.
Kita ke mana pun hari ini, sangat mudah untuk kita berjumpa dengan punca-punca dosa.
Keluar rumah, nampak perempuan tidak tutup aurat. Jalan-jalan di bandar pun, kita akan bertemu dengan maksiat. Hatta sehingga berada di masjid pun, kita akan berjumpa dengan punca-punca dosa. Kadang, masjid pun dijadikan tempat sembang kosong dan tempat menyebar fitnah.
Punca dosa ada di mana-mana sahaja. Kerana dunia hari ini tidak ‘berpagar’, maka manusia bebas melakukan apa yang mereka suka tanpa batas dan sempadan.
Habis, kalau begitu, duduk di rumah sahajalah. Kita tak perlu keluar dan tak perlu ke mana-mana. Selamat sikit, tidak begitukah?
Tidak juga. Kalau kita tidak keluar rumah sekalipun, dapatkah kita menjamin kehidupan kita selamat dari dosa? Hatta dalam rumah kita sendiri pun, wujud punca-punca dosa itu.
Justeru,  tidak ada jalan lain sebenarnya, melainkan kita berdepan dengannya.
Tetapi, kita tidak berdepan dengannya dalam keadaan jiwa dan diri kita kosong begitu sahaja. Tidak bijaklah kalau orang ke medan perang tanpa ada apa-apa persediaan.
Maka, pagar keimanan adalah jawapannya. Pagar keimanan adalah persiapan yang sepatutnya ada pada diri kita.

BAGAIMANA IMAN MENJAGA KITA?
Orang yang membina iman dalam dirinya, maka dia akan lebih terjaga daripada melakukan maksiat dan apa-apa yang tak disukai oleh Allah s.w.t.
Orang yang membina keimanan dalam dirinya, juga akan membentuk satu prinsip dan pertimbangan yang matang dalam dirinya.
Lihatlah bagaimana Nabi s.a.w. telah menunjukkan kesan iman kepada diri kita :
“Tidak akan berzina seorang penzina itu sekiranya di kala dia berzina itu dia berada dalam keimanan. Tidak akan mencuri seorang pencuri itu sekiranya di kala dia mencuri itu dia berada dalam keimanan. Tidak akan meminum arak seorang peminum arak itu sekiranya di kala dia meminum arak itu dia berada dalam keimanan.”
[Hadith riwayat Bukhari, Muslim, Tirmizi, An-Nasa’ie, Abu Daud, Ibn Majah, Ahmad.]
Orang yang hendak berzina pun, ketika wujud pagar iman dalam dirinya, maka dia tidak jadi berzina. Orang yang hendak mencuri pun tidak jadi hendak mencuri ketika wujud pagar iman dalam dirinya. Itulah dia hebatnya aura keimanan.
Nah, maka apalagi yang kita tunggu?
Di saat kita dikeliingi oleh suasana yang memudahkan kita terjebak dengan dosa, maka pagar keimanan adalah benteng terbaik untuk menjaga diri kita daripada dosa.
Di saat kita dikelilingi oleh suasan kelemahan, maka pagar keimanan adalah pagar yang tempat kita menyandarkan diri mencari kekuatan semula.

PENUTUP : DEPANI DUNIA YANG TIDAK ‘BERPAGAR’ DENGAN PAGAR IMAN
Dunia hari ini tidak ‘berpagar’.
Baik dunia realiti mahupun dunia maya. Manusia bebas melakukan apa yang mereka suka. Mereka bebas memilih apa yang mereka mahu lakukan.
Hendak pilih melakukan dosa ataupun pahala, itu terpulang.
Bahkan, yang lebih dahsyat adalah usaha mempromosikan dosa dan maksiat dilakukan pula secara besar-besaran. Itu lebih menakutkan kita.
Maka, berdepan dengan semua ini, kita sangat perlu kepada pagar keimanan.
Pagar yang akan menjaga diri kita daripada terjebak juga dosa dan maksiat.
Pagar yang akan meletakkan diri kita pada prinsip dan pertimbangan yang matang antara manfaat dunia dan akhirat kita.
Dunia tidak ‘berpagar’, tetapi pastikanlah jiwa kita berpagar. Biar jiwa kita dipagari dengan pagar keimanan.
Kelak, kita tidak risau diterjah ujian dan dugaan.
Kerna ada pagar keimanan sebagai sumber kekuatan,
Maka, kita akan terus mara ke depan menuju syurga harapan !

Posted by:
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Photobucket