Monday 25 June 2012

Umum: Isra’ Mi’raj – Satu Penapisan Keimanan



Rejab dengan peristiwa Isra’ dan Mi’raj sememangnya tidak dapat dipisahkan dalam kalangan ummat Islam. Walaupun hakikatnya tarikh sebenar peristiwa Isra’ dan Mi’raj itu berlaku tidak diketahui secara tepat, namun ramai yang menganggap bahawa Isra’ dan Mi’raj itu berlaku pada 27hb Rejab.
Tidak mengapalah. Isu tarikh bukanlah satu perkara yang besar. Yang pentingnya, peristiwa Isra’ dan Mi’raj itu berlaku dan disepakati ianya berlaku sebelum peristiwa Hijrah Rasulullah SAW dan para sahabat dari Makkah ke Madinah.
Di sini ada beberapa perkara yang ingin saya sentuh berkenaan Isra’ dan Mi’raj ini.
Bukan saya ingin sentuh ceritanya.
Tetapi saya ingin sentuh hikmahnya.


Hidup Ini Akan Ada Penapisannya.
Kadangkala kita hidup, bekerja, berjuang, sampai satu tahap, kita akan merasa selesa dengan apa yang kita lakukan. Walaupun apa yang kita lakukan itu sukar, tetapi kerana sudah terbiasa, maka kita selesa. Hingga kita merasakan, kondisi kita itu sudah ‘okay’.
Contoh mudah, kita hidup sebagai muslim. Kita percaya dan beriman kepada Allah SWT, dan Rasulullah SAW. Kita solat 5 waktu, kita berpuasa di bulan Ramadhan, bila kita mampu kita naik Haji, masa bayar Zakat kita bayar zakat. Ibu Bapa kita Islam, begitu juga adik beradik kita. Kita rasa kita sudah Islam dengan baik, kita rasa keimanan kita telah mantap. Kita merasa selesa.
Tiba-tiba, berlaku satu peristiwa mengejutkan. Seorang lelaki mengaku mempunyai Kerajaan Langit, dan dia menyatakan bahawa dia Rasul yang diturunkan Tuhan. Dia menyatakan, jika mahu masuk syurga, perlulah mengikuti ajarannya, dan taat kepadanya.
Kita yang selama ini merasa sudah cukup Islam pun ‘tergegar’ – “Eh, betul ke hah?”
Dan entah berapa ramai yang tersungkur, mengikuti orang yang mengaku dirinya Rasul itu.
Inilah dia tapisan.
Apakah benar keimanan kita selama ini utuh? Allah akan uji dari masa ke semasa.
Allah SWT berfirman:
“Apakah manusia itu mengira, mereka akan ditinggalkan berkata: Kami telah beriman, sedangkan mereka belum diuji?” Surah Al-Ankabut ayat 2.

Isra’ dan Mi’raj – Tapisan Yang Besar.
Maka Isra’ dan Mi’raj adalah tapisan yang sangat besar buat mereka yang menyatakan bahawa diri mereka beriman kepada Rasulullah SAW.
Bayangkan, dari Makkah ke Palestin, kemudian naik ke langit, dan seterusnya kembali semula ke Makkah, hanya dalam satu malam sahaja. Alagkan kita di dunia teknologi ini pun ternganga, apatah lagi pada zaman Rasulullah SAW sana yang langsung tidak mempunyai teknologi maju seperti kita.
Maka bergegarlah keimanan para sahabat, diuji dengan satu peristiwa yang memang tidak mampu diterjemahkan akal. Kaum Musyrikin Makkah pula, tatkala mendengar sahaja cerita Isra’ dan Mi’raj ini, melihat bahawa inilah dia peluang untuk menjahanamkan usaha dakwah Muhammad.
Justeru ada dari kalangan mereka yang telah beriman, meninggalkan Rasulullah SAW.
Namun, tinggal di sisi baginda manusia-manusia yang tidak rosak keimanan mereka, bahkan kekal yakin dengan Rasulullah SAW. Antaranya Umar Al-Khattab, Abdurrahman bin Auf, Suhaib Ar-Rumy dan lain-lain.
Dan antara yang kekal percaya adalah Abu Bakr RA.
Kala mana orang-orang Quraisy meluru ke arah Abu Bakr untuk menggoyahkan keimanan beliau dengan bertanya: “Tidakkah engkau mendengar rakan engkau Muhammad menceritakan sesuatu yang gila? Dia pergi ke Palestin dan naik ke langit kemudian pulang semula pada malam yang sama!”
Tetapi Abu Bakr RA, yang apabila diuji dengan perkara sebegini, semakin terbukti kukuh keimanannya, berkata:
“Sesungguhnya jika Muhammad berkata lebih dari itu sekalipun, aku tetap percaya.”
Ya. Berjayalah orang yang kekal percaya.
Dan merugilah bagi yang meninggalkan kepercayaan mereka.

Pembinaan Ummah itu Memerlukan Orang Yang Kuat Keimanannya.
Maka apabila kita melihat aturan Allah SWT, tidak lama selepas peristiwa Isra’ dan Mi’raj, Allah SWT mengarahkan ummat Islam yang mampu, untuk berhijrah ke Madinah, bagi meneruskan kelangsungan dakwah.
Jelas di sini bahawa, Allah SWT ‘menapis’ dari Muslimin di Makkah, hanya yang ‘terbaik’, untuk dijadikan sebagai ‘pembina-pembina’ buat Kerajaan Islam di Madinah.
Ya, manusia-manusia yang kukuh keimanannya, yang jelas akan kepercayaannya kepada deen Allah SWT, itulah dia manusia-manusia yang membina Madinah sebagai sebuah kerajaan Islam, seterusnya merebakkan nur Allah SWT ke seluruh muka bumi.
Merekalah yang kala Madinah digempur pakatan Al-Ahzab, kukuh teguh menggali parit dan bersabar dikepung untuk satu jangka masa. Merekalah yang kala diseru untuk bertemu dengan pasukan gergasi lawan di Peperangan Dzat Ar-Riqa’, pergi membelah padang pasir panas hingga luka-luka kaki mereka sampai terpaksa dibalut dengan kain bendera. Mereka inilah yang kemudiannya, mengubah monopoli ekonomi Madinah, dari tangan Yahudi kepada tangan orang-orang Islam.
Keimanan membuatkan mereka teguh, kukuh, dan terus bergerak dengan istiqomah dalam perjuangan mereka, membina negara dari akar umbi dengan Allah SWT sebagai matlamat, Al-Quran dan As-Sunnah sebagai perlembagaan. Tidak tewas dengan hentaman musuh, tidak larut dengan kejayaan demi kejayaan. Akhirnya melahirkan sebuah empayar Islam yang adil, seterusnya disegani ramai.

Penutup: Keimanan Kita Juga Akan Diuji dan Ditapis.
Hari ke hari, sebagaimana para sahabat diuji dengan Isra’ dan Mi’raj, kita juga akan diuji. Bahkan, jika kita melihat semula, keimanan para sahabat dari masa ke semasa terus diuji. Antaranya, diuji dengan kisah Hadith Ifk(fitnah kepada Aisyah RH), dan antara ujian yang besar adalah kewafatan Rasulullah SAW itu sendiri.
Dan mereka yang berjaya melepasi ujian-ujian ini, adalah mereka yang paling berkualiti dan mampu menjadi tonggak kepada penerusan perjuangan serta kemantapan masyarakat.
Justeru, kita jangan leka dan lalai. Jangan terlalu merasa selesa. Dari masa ke semasa, perlu kita berusaha mempertingkatkan dan memperkukuhkan keimanan kita.
Mentadabbur Al-Quran, belajar tafsirannya, mengetahui perihal hadith dan terjemahan-terjemahannya, kemudian berusaha untuk terus berjuang menegakkan agama Allah SWT di muka bumi ini dengan apa sahaja potensi yang kita ada.
Keimanan kita akan diuji.
Tetapi tiada siapa kata kita mesti gagal di dalamnya.
Kita mampu untuk berjaya, seterusnya menjadi yang bermanfaat buat agama Allah SWT yang Maha Esa!

Posted by:
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Photobucket