Friday 29 June 2012

SUBSIDI TR1MA - 'LAIN YANG SAKIT, LAIN PULA UBATNYA'


Lain yang sakit, lain pula ubatnya. Begitulah yang dapat ditafsirkan dalan subsidi TR1MA yang diberikan oleh kerajaan kepada pemandu teksi seluruh Malaysia.

Semua masyarakat sedia maklum, masalah sebenar perkhidmatan teksi di Malaysia adalah berleluasanya permit teksi yang diberi kepada syarikat-syarikat, berbanding kepada pengusaha teksi individu. Kebanjiran permit teksi yang diberi kepada syarikat-syarikat menyaksikan mereka untung ‘atas angin’ di atas penat lelah pemandu teksi.

Sebagai contoh, secara purata kadar sewa teksi sehari adalah RM50. Jika dikumpulkan selama sebulan, ia menjangkau RM1,500 (aama bayaran bulanan kereta 2.4 cc). Sedangkan syarikat hanya membayar sekitar RM 500-RM700 sebulan kepada bank untuk sebuah teksi.

Dengan kata lain, syarikat secara mudah mengaut keuntungan sebanyak RM800/bulan/teksi. Jika sesuatu syarikat itu memiliki 100 buah teksi, mereka secara mudah mereka mengaut keuntungan sehingga RM80,000 tanpa menumpahkan sebarang keringat di jalan raya.

Sedangkan daripada kerajaan berhempas pulas mengeluarkan peruntukan sebanyak RM32 juta setiap tahun kepada pemandu teksi, mengapa tidak kerajaan memansuhkan terus permit teksi kepada syarikat-syarikat dan bertindak sebagai pemudah cara kepada pemandu teksi ini untuk mendapatkan permit teksi individu.

Jika ini dapat direalisasikan pemandu teksi ini dapat menjana pendapatan tambahan sekurang -kurangnya RM800 sebulan dengan hanya membayar bayaran teksi secara sewa beli kepada pihak bank yang mana jauh lebih murah daripada kadar sewaan teksi oleh syarikat. Kerajaan juga dapat menjimatkan peruntukan RM32 juta tadi untuk perkara lain yang lebih penting.

Dengan wang lebihan tadi, pemandu teksi mampu melakukan penyelenggaran dan mencantikkan teksi mereka lagi. Jika teksi mereka cantik dan diselenggara secara sempurna, maka makin ramai akan memilih perkhidmatan mereka.

Dengan keadaan sekarang di mana limpahan pengangkutan awam seperti bas, komuter, LRT, monorail, teksi dilihat tidak lagi menarik untuk dinaiki, maka jika mereka ini diberikan permit individu, rasa kepunyaan atau ‘self of belonging’ akan dapat diterapkan kepada mereka.

Justeru itu, mereka akan merasa teksi itu adalah perniagaan mereka dan mereka akan mengusahakan perniagaan mereka secara bersungguh-sungguh dalam menghadapi persaingan semasa.

Akhir kalam, kerajaan perlu melihat pendekatan jangka panjang daripada melakukan pendekatan jangka pendek dan bersifat popular semata. Hanya kerana untuk membeli undi pemandu teksi, kerajaan sanggup berhabis RM32 juta, berbanding memberikan mereka permit teksi yang mana dapat memberi pendapatan tambahan sehingga RM10,000 setahun kepada pemandu teksi.

Adalah malang, selepas penubuhan Spad sebagai teraju kepada pengangkutan awam darat, kerajaan masih gagal menelusuri permasalahan sebenar pemandu teksi ini. Yang lebih malang lagi, yang sakitnya PERMIT, tapi ubatnya adalah TAYAR. Itulah pemikiran kerajaan 1Malaysia.



MOHD IKHMAL MOHD ISKANDAR adalah lulusan BBA (Hons) Transport,UiTM, DBS (Transport) UiTM. Beliau merupakan penyelidik untuk kajian pengangkutan awam dan bas henti-henti kerajaan negeri Terengganu.


Sumber: http://tuanibrahim.blogspot.com/2012/06/subsidi-trima-lain-yang-sakit-lain-pula.html
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Photobucket