Thursday 7 June 2012

Kehidupan: Kita dan Cabaran Hidup.

Picture by ~ http://cho-oka.deviantart.com/
Hidup ini penuh dengan cabaran. Ada cabaran berbentuk kesukaran. Ada cabaran berbentuk kesenangan. Semuanya adalah susah sebenarnya. Kerana cabaran itu datang dalam bentuk yang menipu daya. Apatah lagi kita hidup dalam kalangan manusia, yang penuh dengan persepsi masing-masing. Mempunyai hati masing-masing. Kadangkala pandangan yang berbeza membuatkan mereka tidak bersama kita dalam membantu untuk mengeluarkan diri dari cabaran-cabaran ini. Bahkan, ada yang menolak kita untuk jatuh.
Hidup ini penuh dengan cabaran, dan ramai mengharap bahawa orang lain akan merasa kasihan. Tetapi sesungguhnya tiada yang merasa belas kepada diri kita, tiada yang benar-benar mampu membantu diri kita, melainkan Allah SWT dan diri sendiri sebenarnya.
Hidup ini penuh dengan cabaran. Kerana itu ramai yang berfikiran pendek, sekadar mahu menghentikan kehidupan.

Kematian Bukan Penyelesaian. Apatah Lagi Tangisan.
Hidup ini penuh dengan cabaran. Bunuh diri dan menghentikan kehidupan bukanlah penyelesaian. Kerana harga hidup itu adalah pada yang berani maju ke hadapan. Matahari akan tetap terus terbit dan terbenam, hujan akan tetap terus turun dan berhenti, manusia lain akan tetap terus berjalan menuju mati, walaupun selepas kita tiada nanti. Cabaran akan mentertawakan kita, kerana lemahnya kita hingga memilih untuk mati.
Hidup ini penuh dengan cabaran, jika kematian pun bukan penyelesaian, maka apatah lagi tangisan. Menangis hanya kelegaan yang sebentar. Jika terlalu dipanjangkan, akan melembikkan. Menangis bukan jalan keluar, tetapi hanyalah tempat rehat untuk mengaut kekuatan. Kerana itu jangan sampai dilemahkan tangisan. Cukuplah sebentar cuma, menyelesaikan cabaran adalah dengan menghadapinya.
Hidup ini penuh dengan cabaran, pahit dan perit. Pedih dan sakit. Kadangkala telah selesai cabaran itu, datang pula cabaran yang ini. Telah habis cabaran yang lalu, datang pula cabaran yang kini. Hingga kadangkala kita bertanya, di manakah bahagia di dalam dunia ini?
Meluaskan Pandangan Terhadap Kehidupan.
Hidup ini penuh dengan cabaran, dan yang menciptakan dunia ini adalah Allah SWT. Dan tiadalah Allah SWT itu zalim. Tidaklah juga Dia itu buta dan tuli. Dia melihat dan mendengar. Sentiasa memerhatikan hamba-hambaNya yang bangun menghadapi cabaran. Bahkan cabaran itu sendiri adalah ciptaanNya. Hamba-hamba yang memahami akan menyedari. Maka hanya kepada Allahlah kekuatan dicari.
Hidup ini penuh dengan cabaran, dan hidup akan terus berjalan. Memang hidup penuh dengan cabaran, tetapi bukan semua perkara di dalam kehidupan adalah kepahitan. Wujud di celah-celah cabaran itu kebahagiaan, kemanisan, keindahan. Insan yang meluaskan pandangan akan lebih menghargai kebahagiaan, kemanisan dan keindahan ini. Dia akan menjadikan itu semua seakan-akan lebih besar dari cabarannya, dia akan menghargainya dan mencintainya, sebagai bekalan untuk berhadapan dengan cabaran-cabarannya.
Hidup ini penuh dengan cabaran, tetapi itu bukanlah alasan untuk kelemahan. Tiada Rasul yang tidak dicabar dengan cabaran yang berat. Hatta Sulaiman AS yang terlalu kaya pun, ada cabarannya yang tersendiri. Hatta Adam AS, Bapa Manusia, Penghuni Syurga, pun punya cabarannya. Hatta Rasulullah SAW, Kekasih Allah SWT, pun hidup dengan berenang dalam lautan cabaran pada kehidupannya.
Hidup ini penuh dengan cabaran. Jika kita memandang dengan keluasan, kita akan beroleh kekuatan.
Penutup: Apapun Cabaran, Bukan Manusia Tempat Penggantungan Harapan.
Hidup ini penuh dengan cabaran. Bukanlah kerana kita hidup dengan gunung-ganang, lautan dan binatang. Tetapi majoriti asbab cabaran adalah kerana dalam kehidupan ini kita hidup dengan manusia. Di dalam hidup ini, ada manusia berani mencabar Tuhan dengan melanggar perintah-perintahNya. Maka apakah yang pelik apabila manusia berani mencabar manusia lain dalam kehidupannya.
Hidup ini penuh dengan cabaran, dan harapan kita bukanlah insan. Harapan kita hanyalah Allah SWT. Tiadalah kekuatan selain kekuatanNya. Tiadalah kasih sayang melainkan kasih dan sayangNya. Tiadalah kemenangan melainkan yang diberikan olehNya. Maka untuk menghadapi cabaran-cabaran ini, hubungan denganNya perlu dipertingkatkan. Dengan itu, diri akan menjadi lebih gagah dan perkara.
Hidup ini penuh dengan cabaran, tetapi manusia hakikatnya mampu untuk terus ke hadapan. Ketika Rasulullah SAW dan Abu Bakr RA tersekat di Gua Thur, dan di muka gua datang Kaum Quraisy ingin mendapatkan mereka, apakah Rasulullah SAW bergantung kepada Abu Bakr untuk menyelamatkan mereka? Sesekali tidak. Tetapi apakah sabda baginda?
“Wahai Abu Bakr, apakah pandangan engkau, sekiranya kita berdua, dan yang ketiganya adalah Allah?”
Hingga Allah SWT merakamkan peristiwa ini di dalam firmanNya:
“Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita. Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” Surah At-Taubah ayat 40.
Hidup ini penuh dengan cabaran. Tetapi kita masih ada Tuhan sebagai pergantungan!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Photobucket