Saturday 25 February 2012

Bai'ah: Pemuda PAS sedia fahamkan Dr Mahathir


KUALA LUMPUR, 23 Feb: Dewan Pemuda PAS Malaysia sedia menawarkan pengajian khas kepada Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menjelaskan ketidakfahaman bekas perdana menteri itu berhubung isu bai'ah.

Naib ketuanya Dr Raja Ahmad al-Hiss berkata, kenyataan Dr Mahathir mengenai isu ba’iah seperti yang dilapor media hari ini hanya menampakkan kejahilan beliau di dalam agama.

"Pemuda PAS sedia menawarkan kepada Tun Dr Mahathir sesi pengajian untuk memberikan kefahaman mengenai isu bai’ah ini.

"Bai’ah adalah satu perjanjian di antara dua pihak yang menuntut kepada kesetiaan. Bai’ah yang dilakukan di dalam PAS bukan seperti mana ikrar atau sumpah yang diucapkan oleh ahli Umno dalam memberi kesetiaan dan ketaatan kepada pemimpinnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Dr Mahathir semalam yang menyebut, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sepatutnya meminta ahli PAS berbai'ah kepada Allah dan bukannya kepada pemimpin mereka yang hanya berminat untuk menang pilihan raya.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika mengulas hal sama menjelaskan, bai'ah dalam PAS mempunyai nas dan sandaran yang kukuh dalam sejarah dan keilmuan Islam.

Bahkan, kata beliau dalam Al Quran dan Hadis secara jelas membicarakan soal bai'ah samada sewaktu perjanjian Aqabah, Hudaibiyah, dan lainnya, semuanya membuktikan ba’iah ada asas kukuh.

Jelas beliau lagi, PAS menggunakan kaedah bai'ah kepada calon yang mewakili parti agar tidak khianat kepada amanah yang diberi oleh rakyat, lebih-lebih lagi berhadapan dengan Umno yang suka mengoncang iman lawannya dengan taburan duit.

“Mereka yang telah memenangi kerusi samada Dun atau Parlimen mesti sedar ia menang di atas pilihan rakyat.

"Kalau selepas mereka menang lalu dengan tawaran jutaan ringgit akhirnya ia khianat dan lompat parti sehingga tumbang sesuatu kerajaan yang dipilih rakyat, apakah tindakan begini kita boleh terima dan dibenarkan syarak," soalnya.

Atas dasar itulah, kata Tuan Ibrahim, PAS membuat bai'ah kepada semua calon, di mana mereka yang menang atas tiket parti adalah dilarang lompat parti, keluar parti bahkan, sekiranya dipecat dari parti, mereka mesti mengosongkan kerusi yang dimenangi.

Sumber: Harakah Daily
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Photobucket