Thursday 23 February 2012

TARBIAH MENGATASI KECICIRAN DALAM PAS


Gejala keguguran adalah satu fenomena yang biasa dan berulang-ulang berlaku di dalam Jamaah Islam. Kita boleh lihat di dalam gerakan Islam di mana-mana sahaja akan berlaku fenomena ini, dan tidak terkecuali kepada Pas. Nama-nama yang hebat tetapi hilang kemudiannya, pada hal mereka adalah orang yang cergas, bekerja dan bertanggungjawab pada permulaannya.
 
Ada di kalangan mereka yang meninggalkan jamaah, ada yang tawaquf, ada yang keluar dan mengasaskan jamaah baru dan ada pula yang menggabung dengan jamaah lain dan ada yang bergabung dengan parti musuh.

Walaupun ada orang yang menganggap bahawa gejala keciciran ini sebagai satu penapisan  dan tidak memberi apa-apa kesan kepada jamaah dan ahli. Namun di sana ada juga berlakunya gejala keciciran ini mendatangkan kesan yang negatif kepada jamaah. Sungguh pun begitu ia melambatkan perjuangan dan mengganggu perancangan jamaah.

Selalunya gejala keguguran berlaku ialah orang yang berada di barisan hadapan (pemimpin) dan ada sedikit yang berlaku di peringkat ahli biasa.

Menurut al-Marhum Ustaz Fathi Yakan gejala keciciran banyak memberi akibat buruk kepada perjuangan Islam antaranya;

a.Menyebabkan tersebarnya fitnah serta meracuni gerakan yang boleh meruntuh dan merugikan Islam dan dakwah.

b.Terbuka rahsia-rahsia jamaah. 

c.Melemahkan gerakan dan menarik musuh untuk menghancurkannya.

d.Menghilangkan kepercayaan orang ramai terhadap gerakan. Jika ini berlaku segala rancangan dan perjalanan  gerakan akan terhenti.

Di sana terdapat beberapa faktor berlakunya gejala keciciran antaranya kerana sebab jamaah dan sebab sikap anggota jamaah. Walaupun di sana banyak faktor-faktor penyumbang kepada gejala keciciran namun kelemahan sudut perlaksanaan tarbiah adalah merupakan faktor yang besar. Timbul persoalan, gejala keciciran ini berlaku di kalangan orang yang mengendalikan tarbiah.  Dekat mana yang tidak betul? Tarbiah lemahkah? Tarbiah tidak berkesankah? Jika orang biasa boleh dimaafkan. Masalahnya terjadi kepada mereka yang berada di hiraki parti yang tinggi.

Untuk menjawab kemusykilan ini kita melihat bagaimana Allah SAW menyatakan kepada seorang Badwi yang mengaku dirinya beriman

“Orang-orang Arab Badwi berkata, "kami telah beriman”.Katakanlah (kepada mereka), kamu belum beriman, tetapi katakanlah “Kami telah tunduk (Islam), kerana iman belum masuk ke dalam hati mu. Dan jika kamu taat kepada Allah dan RasulNya. Dia tidak akan mengurangi sedikitpun (pahala) amalmu. Sungguh, Allah Maha Pengampun , Maha Penyayang)” (al-Hujurat; 49:12)

Mungkin tarbiah yang mereka bercakap hanya di lidah dan dihalkum sahaja, ia tidak meresap ke dalam hati. Sebab itulah tarbiah tidak boleh hanya sedap di lidah tidak meresap di hati. Yang penting kesan tarbiah meresap di dalam jiwa dan sanubari sehingga merasakan Allah memerhatikan apa tindakan mereka dan takut kepada dosa dan neraka. Nabi SAW mengingatkan kepada kita

“Jadilah diri kamu memelihara (beramal) dan jangan jadikan diri kamu hanya pandai meriwayat (bercakap) sahaja”

Apabila jamaah meletakkan tarbiah di dalam ruang yang kecil dan tidak bermaya berbanding dengan pentadbiran dan politik maka ini satu perkara yang merbahaya. Akibatnya tindakan dan cara muamalat (perhubungan)  mereka jauh dari akhlak Islam. Akhirnya jiwa menjadi kosong dan tegang. Ia amat berlainann dengan suasana kerohanian yang dibentuk sehingga membentuk jiwa dan riqabatullah (pengawasan Allah).

Jika penumpuan tarbiah tidak diberikan maka mereka yang bergelar pimpinan hanya memfokuskan mengenai politik berdasarkan kepada tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya. Ia merasa puas hati dengan kedudukannya tanpa merasakan apa apa kekurangan diri, rohani dan tarbiah. Tanpa perlu kepada makanan iman di dalam hidupnya. Jika ia tidak mengambil langkah segera maka ia akan jatuh ke kancah keciciran dalam perjuangan.

Oleh itu mahu tidak mahu anggota harakah samaada terdiri daripada saf pimpinan (qiadah) atau barisan pejuang (jundi) mestilah mengikuti tarbiah walaupun betapa  sibuk dalam apa jua keadaan sekalipun. Terutama ketika perjuangan kita menghadapi saat yang getir , tarbiah lebih perlu diberi perhatian, bukan sebaliknya. Sebab keperluan manusia kepada pemeliharaan Allah dan mengingati Allah lebih diperlukan dalam  suasana seperti itu.

Lojiknya mengatakan bahawa tarbiah tidak perlu untuk mereka yang berada di saf hadapan adalah tidak betul. Tarbiah bukan sahaja untuk ahli biasa. Kerana pimpinanlah orang yang paling banyak diuji, kadang-kadang yang membawa kebinasaan dan keciciran. Ia bertentangan dengan Islam dan falsafah pendidikannya. Falsafah yang menghendaki tarbiah berterusan sehingga mati. Dan Fitrah perjuangan Islam pula sentiasa diujui oleh Allah terutama kepada mereka yang berada di saf hadapan. Kita mewajibkan pengawasan diri, sentiasa mengigati Allah untuk menyuburkan iman. Mohonlah kepada Allah supaya hati sentiasa berjaga-jaga dari su’ul munqalib  dan sentiasa memohon dari Allah supaya dimatikan di dalam kesudahan yang baik. Sebagaimana doa yang diajar oleh nabi Muhammad SAW “Ya Allah yang membalikkan hati, engkau tetapkan hati aku di atas agamamu ”.

Kita sebagai anggota Pas tanpa  kecuali, mestilah mengikuti tarbiah dari semasa ke semasa. Hubungan anggota  (individu) dengan harakah hendaklah berasaskan kepada asas hubungannya dengan Allah dan dengan Islam. Inilah sebagai penyelamatnya untuk mengatasi gejala keciciran dalam perjuangan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Photobucket