KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
SEMAKIN LAMBAT PRU, SEMAKIN BANYAK SKANDAL PM TERDEDAH
16 Sya'baan 1433 bersamaan 06 Julai 2012
Dewan
Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melihat isu skandal campurtangan Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam projek tambahan LRT Ampang
bernilai RM 960 juta yang dianugerahkan kepada sebuah konsortium yang
diterajui syarikat George Kent menandakan negara ini bakal menuju
kehancuran.
Dalam pendedahan Rafizi Ramli, Pengarah
Strategi PKR mendakwa laporan dari Halcrow, sebuah perunding
kejuruteraan terkemuka dunia membuktikan bahawa George Kent JV tidak
mempunyai kemampuan dalam teknikal dan kewangan. George Kent juga
didakwa tidak ada kepakaran membina projek LRT dan hasil rekod projek
syarikat George Kent juga membuktikan bahawa syarikat ini hanya pernah
mengendalikan projek bernilai RM 40 juta yang tidak memenuhi kriteria
projek LRT Ampang yang bernilai RM 1 bilion ringgit.
DPPM merasakan campurtangan PM dalam
urusan pengendalian projek ini amat serius dan perlu diberi perhatian
sewajarnya. Soalnya, apakah PM mahu menggadaikan keselamatan orang awam
dengan syarikat yang tidak memenuhi spesifikasi projek? Mengapa begitu
beriya-iya PM menganugerahkan projek kepada syarikat ini walhal telah
dilaporkan bahawa syarikat ini sememangnya tidak layak mendapat projek
ini? Adakah sesuatu kepentingan lain diperolehi oleh PM atau ahli
keluarganya melalui penganugerahan projek ini?
Dalam hal ini, Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) tidak boleh menutup mata melihat skandal sebesar
ini berlegar di depan mata tanpa tindakan. Skandal ini menguji integriti
badan itu dan mahu melihat sejauh mana wibawanya bagi mengendalikan
skandal sebesar ini. Namun demikian, ramai boleh mengagak bagaimana
kesudahan episod kisah ini dan siapa yang akan untung dan terselamat,
sebaliknya siapa pula yang bakal terjerat dan disiasat.
Kesemua pendedahan ini menunjukkan
bahawa sudah sampai masanya era pemerintahan BN berakhir kerana para
pemimpin negara pada hari ini sudah terlalu bermasalah dan berpenyakit.
Dalam beberapa bulan akan datang, entah berapa banyak lagi projek sulit
akan didedahkan yang menggemparkan dan mensensasikan negara. Nampaknya
semakin jauh PRU ke 13 berlangsung semakin banyak tembelang beliau pecah
dan semakin sukar beliau menepis segala dakwaan yang dihadapkan kepada
dirinya.
RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia