Tuesday 10 January 2012

Bebas Anwar, Kemenangan Awal Pakatan Rakyat


SHAH ALAM, 10 Jan: Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar (gambar) menyifatkan keputusan mahkamah terhadap Datuk Seri Anwar semalam merupakan tamparan awal kepada Umno BN menjelang Piliham Raya Umum ke-13 nanti.

Dengan keputusan membebaskan Anwar itu ujarnya, Umno terpaksa mencari skrip baru untuk menutup malu selepas terlebih dahulu meletakkan hukuman bersalah terhadap ketua pembangkang itu sebelum mahkamah membuat keputusan.


"Umno terpaksa menerima keputusan ini dalam keadaan yang sabar kerana keadilan akhirnya terbukti walaupun mereka sebelum ini telah membuat keputusan awal terhadap Anwar.

"Sebelum PRU-13 Umno telah kalah dalam politik kotor mereka yang telah dirancang hampir tiga tahun dan saya pasti hukuman sepenuhnya pada Umno adalah pada PRU13 nanti," jelasnya.

Kamaruddin yang juga AJK PAS Pusat itu juga berkata, hakim menolak pertuduhan fitnah yang dimainkan oleh Umno hanya menggunakan empat hingga lima ayat sahaja walaupun pelbagai perkara telah ditimbulkan.

"Saya harap ini harus menjadi kes politik kotor yang terakhir dalam sejarah negara ini dan rakyat sendiri pun sudah mula muak kepada politik sedemikian," sambung beliau lagi.

Sementara itu beliau berkata, sesi penerangan akan diteruskan oleh Pakatan Rakyat dalam usaha memberi maklumat sebenar kepada rakyat berhubung kes itu.

"Kita akan terus memberi penerangan kepada rakyat tentang apa yang sebenarnya berlaku sebab kita pasti Umno akan memutar belit kenyataan mereka," jelasnya.

Tanpa Gangguan, Perhimpunan Jadi Aman


Dalam pada itu, Kamarudin berkata, tindakan polis membenarkan perhimpunan itu berjalan tanpa gangguan membuktikan ia boleh berjalan dengan aman.


Berbanding dengan perhimpunan Bersih 2.0 sebelum ini, perhimpunan 901 berjalan dengan baik tanpa kekecohan dan kesusahan orang ramai.


"Tindakan polis yang membuat sekatan jalanraya dan tangkapan di seluruh negara sebelum, semasa dan selepas perhimpunan Bersih 2.0 yang menyebabkan kesusahan orang ramai. Tetapi apabila polis bagi kerjasama, ia berjalan dengan baik tanpa kekecohan," kata beliau.


Kamarudin mengulas suasana aman yang berlangsung sepanjang perhimpunan 901 semalam.


Sumber: Harakah Daily


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Photobucket