Thursday 5 January 2012

Himpunan 901 bukan kerana Anwar - Pemuda PAS


KUALA LUMPUR, 5 Jan: Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hassan (gambar) menjelaskan himpunan aman di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari ini bukan kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim, tetapi mesej menentang ketidak adilan kerajaan Umno BN.

Beliau juga menjelas, perhimpunan bukan bertujuan mempertikaikan keputusan mahkamah tetapi menentang tindakan BN yang telah menghukum Anwar melalui media mereka sebelum mahkamah membuat keputusan.

"Kita turun bukan kerana batang tubuh Anwar, tetapi ini mesej daripada rakyat bahawa sistem yang diamal BN tidak boleh diterima. Kebetulan kali ini kena kepada Anwar."

"Kalau (Datuk Seri) Najib Razak kena zalim macam tu pun, kita akan turun demo," katanya kepada Harakahdaily.

Sementara itu beliau turut berkeyakinan himpunan akan datang itu nanti akan berlangsung aman jika tidak diprovokasi mana-mana pihak lain.

"Rekod kita tak pernah ada provokasi dari pihak kita, kalau ada saya boleh jamin ia dari pihak lain," katanya merujuk beberapa perhimpunan aman sebelum ini.

Ditanya jumlah anggota pemuda PAS yang akan dikerahkan ke himpunan tersebut, Nasruddin berkata mobilisasi sedang digerakkan.

"Pemuda PAS beri komitmen untuk capai sasaran 100,000 orang yang ditetapkan oleh penganjur," jelasnya.

PKR sebelum ini menyatakan hasrat untuk menghimpunkan 100,000 peserta hadir pada himpunan Bebaskan Anwar 901 itu.

Setakat ini kesemua kepimpinan parti dalam Pakatan Rakyat telah menyatakan komitmen untuk hadir ke mahkamah bagi mendengar keputusan kes tersebut.

Ianya termasuk Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Photobucket