Thursday, 2 February 2012

BN bertanggungjawab atas mala petaka Lynas


KUALA LUMPUR, 2 Feb: Segala syarat yang dikenakan oleh AELB ke atas Lynas menjurus kepada orang ramai membuat jangkaan bahawa AELB akan menolak permohonan lesen oleh Lynas sehingga syarat-syarat tersebut dipatuhi.

 “Akan tetapi sebaliknya, AELB telah membuat satu keputusan yang tidak munasabah dan tidak masuk akal sama-sekali,” kata Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh.

Katanya, syarat meminta Lynas bertanggungjawab ke atas sisa buangan radioaktif dari LAMP termasuk menghantar sisa tersebut ke tempat asal ianya di lombong tidak munasabah sama sekali memandangkan Menteri Perlombongan Australia Barat, Mr Norman Moores telah pun membuat kenyataan bahawa Australia tidak akan menerima sisa tersebut.

Norman Moore juga, ujarnya telah menegaskan bahawa sisa tersebut ialah kini milik Malaysia.

Basel Convention satu garis panduan PBB, yang menggariskan syarat di mana bahan radioaktif mesti dipulangkan ke negara asal juga tidak boleh dikuatkuasakan di dalam hal ini kerana syarat Basel Convention ini hanya untuk bahan radioaktif dan tidak meliputi bahan sisa radioaktif,” jelasnya yang juga Naib Presiden PKR dalam satu kenyataan.

Beliau menjelaskan, syarat yang mengatakan bahawa Lynas diberi tempoh 10 bulan untuk menyediakan Pelan Pengurusan Sisa Buangan dalam bentuk PDF (Permanent Disposal Facility) tanpa mengambil kira apa pun R&D yang telah dilakukan oleh pihak Lynas untuk pengkormersialan sisa radioaktif tersebut tentu sekali boleh ditangguh sehingga Lynas menunjukkan kesungguhan menguruskan sisa toksik dan radioaktif mereka secara bertanggung jawab.

Katanya, keputusan itu tidak lain dan tidak bukan membuktikan bahawa AELB bersekongkol dengan Lynas untuk menjadikan warga Kuantan sebagai bahan ujikaji dan seperti 'tikus makmal didalam tempoh 10 bulan kehadapan ini'.

Beliau menambah, sekiranya dakwaan berita NYT berkenaan syarikat AkzoNobel membatalkan perjanjian menjadi pembekal resin kepada LAMP atas sebab spesifikasi yang tidak menurut syarat dibuktikan benar, dan keretakan yang telah dilaporkan kemudian nanti mengakibatkan kebocoran di kolam RSF dalam masa 10 bulan ke hadapan, maka AELB dan Kerajaan Barisan Nasionallah yang akan bertanggungjawab di atas malapetaka yang bakal timbul kelak.

“Satu kerajaan yang bertanggungjawab dan benar-benar meletakkan keselamatan rakyat sebagai utama, tentu sahaja boleh memberi amaran kepada Lynas bahawa lesen tidak boleh dikeluarkan kecuali setelah syarat-syarat pengurusan sisa radioaktif disediakan dalam bentuk PDF,” ujarnya.

Juga, katanya satu kerajaan yang bertanggungjawab, akan menyiasat secara rapi apakah asas di sebalik aduan yang dilaporkan oleh NYT itu dengan membuat kajian teliti keatas kualiti dan spesifikasi pembinaan kilang LAMP dan bukan setakat mensyaratkan ke atas prosedur semata.

“Warga Kuantan berhak untuk dilindungi daripada malapetaka pencemaran yang bakal berlaku.

“AELB serta pihak Kerajaan Pahang mampu melakukan yang terbaik sekiranya mereka mempunyai kesungguhan politik untuk berbuat demikian,” katanya lagi.

Sumber: Harakah Daily
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...