Saturday, 18 February 2012

Apa yang boleh anda sumbangkan untuk PRU13

Kolum Kesatuan Fikrah adalah wadah untuk rakyat memperlihatkan kepelbagaian idea daripada lapisan-lapisan pemimpin PAS, dari yang veteran ke pemuda dalam isu-isu hangat yang membelungi negara kini. 
Mewakili PAS Pusat ialah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, suara ulama diwakili oleh Ketua Penerangan Dewan Ulama, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh manakala suara pemuda diwakili Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasrudin Hassan at-Tantawi.

Jika anda mempunyai sebarang soalan yang ingin ditanyakan kepada Abang Mat, Ustaz Tuan, Ustaz Nik Zawawi dan Ustaz Nasrudin, sila email kepada:

hdaily.kesatuan.fikrah@gmail.com

Minggu ini, mereka berempat berbicara dengan soalan berikut:
Apakah sumbangan yang anda dan ahli PAS boleh lakukan untuk kejayaan PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) 13?

Abang Mat:
Saya nasihatkan setiap ahli PAS hendaklah berjumpa untuk besembang, berdialog dengan bukan ahli PAS dan mengajak mereka membuat perubahan. Dengan memberikan contoh-contoh penyelewengan dan korupsi kerajaan BN, kita sama-sam memberitahu mereka untuk selamatkan negara dari muflis dan gantikan dengan negara berkebajikan. Saya juga sarankan agar ahli PAS menggunakan Buku Jingga dan Negara Kebajikan terbitan PAS untuk mendekati mereka.

Sementara itu, saya akan memokuskan usaha bersama parti PAS dan Pakatan Rakyat untuk mengeratkan perpaduan antara parti dan ahli untuk berusaha membentuk kerajaan persekutuan dengan mengalahkan kerajaan BN di PRU-13 dan menzahirkan good governance dalam pemerintahan negeri dan juga persekutuan.

Ustaz Tuan:
PRU ke 13 adalah pilihanraya paling penting dalam perkembangan politik negara kerana umum akan melihat sejauh mana Pakatan Rakyat mampu mempertahankan kemenangan di negeri yang telah dimenangi, serta perkembangan politik di negeri yang belum dimenangi.

Perubahan mood rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama serta pola politik dijangka mengalami perubahan menjelang PRU akan datang.

Senario ini menuntut peranan semua pihak bagi memastikan BN tumbang dalam PRU ini. Antara peranan yang boleh dimainkan ialah meningkatkan daftar pemilih pengundi baru dan membantu dalam memastikan pengundi luar khususnya di Lembah Klang kembali untuk mengundi pada hari pengundian nanti.

Di samping itu, rakyat perlu didedahkan dengan isu semasa yang berlaku yang mempunyai implikasi langsung ke atas rakyat, samada penyelewengan dana negara dalam isu NFC, teguran audit negara dalam pengurusan kewangan, isu Lynas, SPBA, penyenaraian Felda, penyalahgunaan dana zakat, dan lain-lain. Insya Allah semua ini dapat dilakukan saya bersama dengan jamaah PAS.

Ustaz Nasrudin:
Kejayaan dan kemenangan adalah suatu yang sangat didambakan, justeru itulah kita berjuang saban waktu tanpa henti. Kejayaan dan kemenangan tidak mungkin dapat dicapai tanpa usaha gigih dan kerja kuat dari pimpinan dan anggota parti.

Memburu kemenangan di dalam pilihanraya sebagaimana langkah ijtihad yang diambil oleh PAS di Malaysia sangat berbeza cara dan kaedahnya dengan memburu kemenangan di dalam medan perang sebagaimana langkah yang terpaksa diambil oleh Hamas di Palestin. Oleh kerana mereka dihadapkan oleh musuh [Yahudi] dengan senjata, maka pilihan yang ada pada rakyat Palestin untuk mempertahankan maruah agama, bangsa dan tanahair ialah juga dengan senjata.

PAS sebagai sebuah Gerakan Islam telah mengambil manafaat melalui ruang demokrasi lalu menyertai pilihanraya sejak tahun 1955 untuk menggerakkan kebangkitan rakyat melakukan perubahan secara aman di dalam negara tercinta ini.

Langkah berkesan ke arah memenangi pilihanraya terbahagi kepada 2 kategori utama.

Pertama: Kekuatan dalaman.

a] Bermula dengan hubungan erat antara kita dengan Allah swt. Tuhan yang akan menganugerahkan kemenangan kepada siapa jua yang Ia kehendaki. [ertinya memiliki aqidah perjuangan yang kental ]

b] Memperkukuhkan ikatan ukhuwwah fillah [ persaudaraan kerana Allah ] di kalangan anggota parti di semua peringkat termasuk pimpinannya.

c] Memiliki asas kekuatan strategi yang berkesan dan praktikal, dana kewangan dan keperluan material yang kukuh, serta penyusunan organisasi dan pengarahan gerak kerja yang terancang.

Kedua : Kekuatan Luaran

a] Bermula dengan akhlak dan syakhsiah [keperibadian] yang soleh dan terpuji yang akan menghubungkan kita dengan masyarakat [termasuk pengundi] . Termasuklah akhlak kita terhadap musuh politik agar terbentuk satu public relation yang baik, positif dan berkesan. Menawan hati dan mempengaruhi minda pengundi.

b] Keupayaan ilmu dalam pelbagai lapangan yang diperlukan oleh massa. Mengemukakan polisi dan gagasan yang menepati tuntutan semasa [kontemporary] serta kemampuan menguasai dan menjuarai isu rakyat. Skill ini tidak semestinya dimiliki pada individu tetapi apa yang lebih penting ialah kerja secara berpasukan [ Amal Jamaei ]

c] Membina jaringan dan hubungan luar dengan pelbagai pihak [engagement] yang melibatkan individu, ngo, parti-parti politik dan juga jaringan di peringkat antarabangsa.

Antara apa yang paling penting juga ialah mengurus persepsi namun dalam masa yang sama teguh bersama prinsip perjuangan. Saya suka dengan penegasan yang selalu digunakan oleh al Marhum Tuan Guru Hj. Fadhil Mohd Nor iaitu bersifat futuristik dalam perancangan, kontemporary dalam pendekatan dan fundamental dalam prinsip perjuangan.

Ustaz Nik Zawawi:
Ahli PAS dan saya boleh menyumbangkan tenaga dengan membantu parti untuk mengumpul dana sebanyak mungkin menjelang PRU-13.

Di samping itu, saya dan ahli PAS juga harus membantu parti dengan memperbanyakkan kempen berstrategik dengan turun ke padang dan berdialog dengan sasaran pengundi atas pagar dan pengundi luar yang bekerja di ibukota.

Selain itu, ahli PAS dan saya juga perlu mengeratkan hubungan PAS dengan NGO dan kerajaan negeri agar perjalanan kempen parti dapat digerakkan dengan lebih lancar dan bantuan luar yang tidak diduga.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...