Wednesday, 1 February 2012

Presiden PAS ucap takziah kepada keluarga Shafri


KUALA LUMPUR, 1 Feb: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Mohamad Shafri Shamsudin (gambar) yang meninggal dunia semalam.

"Bagi pihak Pimpinan dan seluruh ahli Pas, saya mengucapkan takziah terhadap keluarga allahyarham Shafri yang telah kembali kerahmatullah.

"Kembalinya seorang wartawan yang didikasi dan petugas sepenuh masa parti merupakan satu kehilangan besar yang pastinya terkesan kepada jiwa-jiwa yang mengenali secara dekat dan jauh," kata Abdul Hadi dalam satu kenyataannya hari ini.

Shafri, wartawan Harakah meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur semalam akibat kanser hati.

Beliau yang mula dimasukkan ke HKL minggu lalu meninggal jam 5.37 petang semalam di depan keluarga dan teman-temannya.

Jenazah Allahyarham selamat disemadikan malam tadi di tanah perkuburan Islam berhampiran UIA, Gombak.

"Beliau pergi menuruti Allahyarham Pak Syed Muhammad yang juga petugas sepenuh masa parti, dan terlibat sama dalam organisasi Harakah diawal pembentukan harakah dibulan yang sama ini, pastinya sukar dicari ganti," kata Abdul Hadi.

Walaubagaimanapun, katanya, PAS mengucapkan terima kasih kepada ahli keluarga beliau, yang sepanjang hayatnya diserahkan sepenuhnya tenaga bagi menggerakkan jentera penerangan dan dakwah parti melalui akhbar Harakah dengan mengorbankan masa bersama keluarga.

"Semoga amalan yang baik ini, berpanjangan pahalanya dan semoga Allah memberi kesabaran kepada seluruh ahli keluarga dan sahabat handai beliau. Alfatihah," kata Abdul Hadi.

Sumber: Harakah Daily
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...