Friday, 3 February 2012

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sah bertanding Pilihanraya ke-13




Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang akur dengan keputusan Lajnah Politik PAS yang menolak hasratnya mengundurkan diri menjadi calon dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Keputusan itu dibuat selepas lajnah itu bermesyuarat semalam dan sebulat suara menolak hasratnya untuk tidak dicalonkan dalam pilihan raya umum sama ada di peringkat DUN atau parlimen.

"Dengan pengumuman ini, maka isu penarikan diri beliau tidak berbangkit kerana parti melihat beliau masih diperlukan bagi memimpin parti dan Pakatan Rakyat dalam menghadapi PRU ke-13.

"Kita yakin dengan karisma kepimpinan, wibawa dan kedudukan Tuan Guru Haji Hadi untuk memimpin parti," kata ketua penerangan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (
gambar).

"Malah, dengan kepercayaan gerakan Islam antarabangsa kepada beliau bagi menjadi pimpinan utama dalam menghadapi sebarang kemelut negara-negara Islam boleh dinobatkan sebagai pimpinan Muslim agung abad ini."

Minggu lalu, dalam wawancara eksklusif yang disiarkan
Sinar Harian, Abdul Hadi dilapor menawarkan berundur berdasarkan khidmatnya yang disifatkan sudah terlalu lama menyandang jawatan sebagai yang berhormat.

Ekoran kenyataan tersebut, ia mengundang pelbagai
reaksi dari pemimpin Pakatan, termasuk Mursyidul Am Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam kenyataannya hari ini, Tuan Ibrahim berkata PAS bersetuju dengan pandangan Nik Aziz yang menegaskan perjuangan Islam tidak mempunyai tempoh masa bahkan sehingga akhir hayat dan pemimpin Pakatan masih memerlukan khidmat Abdul Hadi.


Menurut Tuan Ibrahim lagi, hasrat Abdul Hadi membuat tawaran itu "lahir dari sifat tawaduk dan akhlak Islam yang mana jawatan bukan perkara yang direbut, tetapi ianya adalah amanah".


"Islam mengajar kita agar tidak meminta jawatan, tetapi di waktu yang sama kita tidak boleh melarikan diri bila mana jemaah mengharap dan memerlukan kita untuk terus memimpin," katanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...