Sunday 26 February 2012

Bai'ah PAS selari dengan tuntutan Islam


KUALA LUMPUR, 25 Feb: Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib (gambar) menegaskan sumpah taat setia atau bai'ah yang diamalkan parti itu adalah selari dengan ajaran Islam kerana pelaksanaannya tidak bertentangan dengan syariat dan hukum syarak.
 
Beliau berkata, amalan berbai'ah dalam PAS juga dilaksanakan berdasarkan kepada al-Quran dan hadis dan berteraskan ketaatan kepada Islam dan kesetiaan kepada pemimpin yang memperjuangkan Islam.

Menurut beliau lagi, perkara ini dapat dilihat melalui firman Allah s.w.t sepertimana yang terkandung dalam Al-Quran, aantaranya ialah sepertimana yang terkandung di dalam Surah Al-Fath.

Beliau berkata demikian sebagai merujuk kepada ayat 10 dan 18 daripada surah tersebut yang menceritakan tentang bai'ah dan akibat sekiranya tidak melaksanakan bai'ah.

Maksud ayat yang ke 10 daripada surah Al-Fath:"Sesungguhnya orang-orang yang memberi pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad, untuk berjuang menentang musuh), mereka hanyasanya memberikan pengakuan taat setia kepada Allah; Allah mengawasi keadaan mereka memberikan taat setia itu (untuk membalasnya). Oleh itu, sesiapa yang tidak menyempurnakan janji setianya maka bahaya tidak menyempurnakan itu hanya menimpa dirinya dan sesiapa yang menyempurnakan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah, maka Allah akan memberi kepadanya pahala yang besar".

Manakala ayat 18 surah yang sama pula bermaksud: “Demi sesungguhnya! Allah reda akan orang-orang yang beriman, ketika mereka memberikan pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad) di bawah naungan pohon (yang termaklum di Hudaibiyah); maka (dengan itu) ternyata apa yang sedia diketahuiNya tentang (kebenaran iman dan taat setia) yang ada dalam hati mereka, lalu Dia menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka dan membalas mereka dengan kemenangan yang dekat masa datangnya”.

Menurut beliau lagi, para sahabat juga turut berbai'ah kepada Rasulullah sepertimana yang tercatat dalam hadis nabi serta diriwayatkan dalam sirah nabawiyyah.

Justeru itu, jelasnya yang juga Adun Manir, Terengganu apa yang dilakukan oleh PAS dalam isu ba'iah adalah selari dengan tuntutan Islam dalam usaha untuk menegakkan agama Allah s.w.t di atas muka bumi ini.

Sumber: Harakah Daily
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Photobucket