Friday 27 January 2012

Himpunan Hijau akan demo bantah Lynas


KUALA LUMPUR, 27 Jan: Satu gabungan rakyat yang dinamakan Kumpulan Himpunan Hijau akan mengadakan satu himpunan besar-besaran di Kuantan pada 26 Februari ini.

Himpunan Hijau 2.0 dengan tema Langkah Bestari "Pilihan di tangan kita" bertujuan membantah projek pembinaan Lynas Advanced Material Plant (LAMP) di Gebeng,  setelah pelbagai usaha menyuarakan pandangan sebelum ini tidak diendahkan kerajaan.

Setiausaha Kumpulan Himpunan Hijau, Bang Seet Ping berkata, pihaknya komited dalam keadilan alam sekitar dan kemanusiaan serta akan berusaha menyelamatkan rakyat Kuantan daripada berhadapan dengan risiko pembinaan LAMP.

"Kita semua adalah rakyat biasa yang mengambil berat masa depan generasi muda kita.

"Kita tidak akan membenarkan kedatangan sebuah syarikat asing yang membahayakan nyawa anak cucu kita. Tanpa persetujuan rakyat, kilang-kilang sedemikian tidak akan dibenarkan untuk beroperasi," kata beliau pada sidang media bersama beberapa pimpinan Pakatan Rakyat di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini.

Sehubungan itu, Seet Ping berkata, Kumpulan HimpunanHijau mengajak semua pihak tanpa mengira kaum, agama dan parti politik menyertai himpunan tersebut yang berlangsung dalam keadaan santai.

Ia dijangka berlangsung selama satu jam setengah bermula jam 10 pagi sehingga 11.30 pagi.

Henti Lynas

Selain itu, beliau mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat keputusan yang bijak untuk memberhentikan projek tersebut sebelum pilihan raya umum ke-13.

"Jika tidak, rakyat akan menolak mereka yang zalim dan memilih mereka yang bersama rakyat.

"Isu Lynas ini sudah lama diperkatakan. Seluruh komuniti Kuantan terpaksa hidup dalam keadaan tertekan dan tidak selesa. Kita berasa masa dan ruang yang diberikan sudah mencukupi. Berapa lama lagi rakyat harus hidup menderita?" soalnya.

Sebelum ini, HimpunanHijau 1.0 telah diadakan juga di Kuantan pada 9 Oktober tahun lalu dengan kehadiran kira-kira 7,000 ribu rakyat.

Sertai Himpunan Hijau 2.0

Sementara itu, pada sidang media sama, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menyeru seluruh ahli untuk turut serta dalam himpunan tersebut bagi menunjukkan sokongan terhadap rakyat Kuantan.

"PAS menyokong penuh himpunan aman dan santai ini, dan menyeru ahli-ahli PAS dan Pakatan Rakyat untuk turut serta.

"Rakyat negara-negara dunia ke-3 nampaknya kurang peka terhadap hal-hal alam sekitar.  Jadi PAS berterima kasih kepada NGO yang bagi kesedaran kepada masyarakat dalam isu ini," kata beliau.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, permit akan dipohon bagi himpunan tersebut dan berharap polis akan memberi kerjasama.

"Himpunan ini bukan demonstrasi, tidak berarak sebaliknya hanya berkumpul setempat dan akan diisi dengan pelbagai aktiviti menarik.

"Tiada perarakan dan tidak akan melibatkan kesesakan lalu lintas, jadi tiada masalah untuk polis beri kebenaran," katanya yang juga Pessuruhjaya PAS Pahang.

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh yang komited membawa isu ini di Parlimen pula berharap kerajaan akan membuka mata terhadap suara rakyat ini.

"Kita sudah banyak kali menyuarakan pandangan dan bantahan kerana kesan yang sangat bahaya terhadap penduduk sekitar.

"Jadi kita akan berusaha untuk memastikan projek ini dibatalkan," kata Naib Presiden PKR itu sambil menambah, akan turut mengerah ahli PKR menyertai himpunan tersebut.

Turut bersama pada sidang media tersebut ialah Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat, Zulkifly Omar dan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamarudin yang juga Ahli Parlimen Ampang.

Sumber: Harakah Daily
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Photobucket