Monday 16 January 2012

5 guru Pasti Kemalangan, Seorang Meninggal Dunia


GELANG PATAH, 15 Jan: Seorang guru Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) meninggal dunia selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya berhampiran Simpang Renggam kira-kira jam 3 petang tadi.

Mangsa, Zainon Maas, 30, dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas kenderaan MPV jenis Honda Wish yang dinaikinya bersama lima lagi rakan guru Pasti yang lain, dirempuh dari arah belakang.


Akibat rempuhan itu, mangsa yang duduk di tempat duduk bahagian belakang didakwa tercampak keluar melalui bonet belakang yang terbuka, dan kemudian dilanggar oleh sebuah kenderaan lain yang mengakibatkan beliau cedera parah dan meninggal di tempat kejadian.


Dalam kejadian itu juga, seorang lagi rakannya juga dilapor turut cedara parah, manakala yang lain hanya mengalami cedera ringan. Jenazah Zainon dan rakannya difahamkan kemudiannya dibawa ke Hospital Kluang.
 
Difahamkan juga, kesemua mereka ketika itu dalam perjalanan pulang dari menghadiri Usrah Perdana Pasti Negeri Johor di Parit Raja tengah hari tadi.
 
Guru Berdedikasi
 
Allahyarhamuha Zainon adalah seorang anak peneroka Felda Pasir Raja yang mengajar di Pasti Siswa 2 di Gelang Patah dan telah berkhidmat di sana lebih empat tahun.
 
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Johor, Mazlan Aliman ketika menghubungi Harakahdaily merakamkan takziah buat keluarga allahyarhamuha.
 
Katanya, pemergian allahyarhamuha bagi PAS Johor disifatkan sebagai satu kehilangan besar, lebih-lebih lagi beliau seorang guru yang sangat berdedikasi.
 
"Saya mewakili PAS negeri dan kawasan merakamkan takziah kepada keluarga beliau. Semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama orang-orang yang soleh," katanya yang juga Yang Dipertua PAS kawasan Tenggara.
 
Jenazah Allahyarhamuha menurut Mazlan akan dikebumikan pagi esok.

Sumber: Harakah Daily 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Photobucket