Sunday 15 January 2012

Konvensyen Kali Ke-3 Pakatan Rakyat (PR) – “Bersihkan Malaysia”


Pada 22 RabiulAwwal 1431 bersamaan 8 Mac 2010 yang lalu saya telah merakam suatu pengharapan bersempena dua tahun usia Pakatan Rakyat yang terbina dan mencorakkan politik Malaysia pasca PRU-12.

Mengingati semula apa yang saya tegaskan dalam rakaman pengharapan tersebut, saya ulangi: “Perpaduan melalui Pakatan Rakyat telah membuka ruang bagi PAS menyampaikan kebaikan Islam kepada pemimpin dan ahli parti Pakatan Rakyat yang bukan Islam. Malah, Umno dilihat jelas mengkhianati perjuangan Islam apabila tidak berubah-ubah tindakan memfitnah PAS, misalnya menuduh PAS menjadi tunggangan DAP dan membuang matlamat negara Islam.”

Atas sebab tersebut, Umno tidak layak menjadi rakan PAS dan jauh sama sekali untuk dijemput menjadi rakan dalam Pakatan Rakyat. 

Pilihan Raya Harmoni 

Saya kekal dengan keyakinan bahawa kerjasama politik Pakatan Rakyat mempunyai peluang cerah dalam pilihan raya umum ke-13 nanti. Meskipun di sebalik proses pilihan raya yang berjalan sekarang nampaknya paling tidak adil dan penuh dengan pelbagai spekulasi yang mendera dan menekan PAS dan rakan-rakan Pakatan Rakyat.

Justeru, kenangan Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011 lalu perlu dipersegarkan, meskipun pihak Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib telah menggunakan taktik melengah-lengah menerusi pengisytiharan Jawatankuasa Terpilih Khas Parlimen ke arah penambahbaikan pilihan raya. Ia suatu usaha yang patut diragui keikhlasannya.

Ia tidak lebih daripada taktik mengalih perhatian umum supaya rakyat tidak menyerang Suruhanjaya Pilihan Raya dengan proses pilihan raya yang diamalkan selama ini. Apa yang jelas, ia suatu taktik supaya rakyat melupai lapan perkara tuntutan Bersih 2.0!

Maka, sukacita saya rakamkan balik apa yang pernah saya nyatakan sebelum ini iaitu, “tidak ada maknanya pilihan raya diadakan tanpa mengambil kira usaha-usaha pembaharuan pilihan raya, malah mengkebelakangkan lapan tuntutan yang dibangkitkan rakyat.

Pilihan raya bersih hanya akan terjelma melalui kertas undi. Maka kalau pilihan raya diadakan dalam keadaan undang-undang dan peraturan yang ada, ia masih menghasilkan pilihan raya yang kotor.” 

Bersih 3.0 

Atas prinsip dan pemahamaan tersebut, saya berpendapat sikap Kerajaan Barisan Nasional pimpinan Mohd Najib sekarang ini perlu terus diasak dan dipastikan agar penambahbaikan proses pilihan raya dibuat dalam pilihan raya ke-13 nanti. Ayuh, kita bangkit menggerakkan Bersih 3.0 demi memenuhi pilihan raya yang adil, telus dan bersih.

Bagi PAS, sampai masanya semua bahagian parti dapat menggarap dan meningkatkan kerjasama bersama Pakatan Rakyat. Kesempatan konvensyen ke-3 ini harus dimanfaatkan semoga hasilnya nanti, agenda Bersih 3.0 akan berjaya.

Ia suatu kerjasama yang pasti memartabatkan lagi Pakatan Rakyat selepas 901–– keadilan  untuk Datuk Seri Anwar. Harapnya ia selari dengan firman Allah Subhanahu wa Taala:


Maksudnya, Dan sesungguhnya orang yang bertindak membela diri setelah ia dizalimi, maka mereka yang demikian keadaannya, tidak ada sebarang jalan hendak menyalahkan mereka. Sesungguhnya jalan (untuk menyalahkan) hanyalah terhadap orang-orang yang melakukan kezaliman kepada manusia dan bermaharajalela di muka bumi dengan tiada sebarang alasan yang benar. Mereka itulah orang-orang yang beroleh azab seksa yang tidak berperi sakitnya.” [Surah as-Syura, ayat 41-42] 

Semoga kerjasama politik Pakatan Rakyat ini benar-benar memenuhi prinsip tahaluf-siasi dan merupakan kebajikan yang mendapat keredhaan Allah Subhanahu wa taala. Kejayaan Pakatan Rakyat, tertegaknya keadilan di puncak Putrajaya. 

Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat, 
 Al-Mursyidul Am PAS,
merangkap Menteri Besar Kelantan.
20 Safar 1433 bersamaan 14 Januari 2012. 
Alor Setar, Kedah Darulaman.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Photobucket