Tuesday 10 January 2012

Bob Lokman Selesai Beri Keterangan kepada Jaip


KUANTAN, 10 Jan: Pelakon dan penulis lirik terkenal, Mohd Hakim Lokman, 47, atau Bob Lokman selesai memberi keterangan di hadapan Ketua Pegawai Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) Ahmad Raffli Ab. Malek dekat sini semalam.

Menurut peguambelanya, Mohd Fadzli Mohd Ramly, siasatan tersebut yang sepatutnya dilakukan pada 5 Januari lalu, ditangguhkan ke tarikh semalam di atas persetujuan bersama dan prosedur siasatan selama hampir satu jam itu berakhir dengan tenang dan profesional.



“Pihak Jaip akan memutuskan kemudian sama ada kes ini dibawa dan didakwa ke mahkamah. Kita akan menunggu tindakan lanjut dari pihak terbabit. Sekiranya diperintahkan untuk ke mahkamah, kita akan lawan,” katanya dalam sidang media bersama kira-kira 30 orang penyokong.

Bob pada 24 Disember lalu telah ditahan pegawai Jaip sebaik selesai menyampaikan tazkirah selepas solat Maghrib di hadapan jemaah Masjid Taman Sri Mahkota Aman, Batu 11, Jalan Gambang dekat sini Sabtu lalu.

Pegawai tersebut mengambil maklumat yang disiasat di bawah Seksyen 161, Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982.

Seksyen 161, Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 ialah peruntukan bagi “Mengajar Ugama yang salah” di mana jika sabit kesalahan hukuman denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Mohd Fadzli berkata, beliau turut menemui pegawai penyiasat Jaip dan menyatakan beliau kurang bersetuju dengan akta yang dikenakan kepada Bob Lokman kerana menurutnya anak guamannya itu bukan menyampaikan ceramah agama sebaliknya berkongsi pengalaman hidup bersama jemaah masjid.

“Bob tidak berceramah agama atau politik sebaliknya menceritakan kisah perjalanan dan pengalaman hidupnya yang akhirnya bertukar daripada seorang selebriti kepada pendakwa.

“Sudah tentu cerita yang berbentuk nasihatnya itu ada kaitan dengan peristiwa hijrah yang sedang disambut pada masa itu,” tambahnya.

Tambah Fadzli, jika Jaip benar-benar mahu memantau aktiviti penyebaran agama di negeri ini, mereka sepatutnya mengenakan tindakan kepada guru agama serta guru mengaji yang tidak bertauliah.

“Oleh itu kita mahu kes ini dipertimbangkan sebaiknya kerana bimbang ada campur tangan politik. Jika tidak, tindakan yang dikenakan ke atas anak guaman saya dianggap sebagai ‘pendakwaan terpilih’,” katanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Photobucket