Tuesday 10 January 2012

Ketua Muslimat PAS Kuala Nerus Meninggal Dunia


KUALA NERUS, 10 Jan: Dewan Muslimat PAS Kuala Nerus ‘kehilangan’ teraju kepimpinannya apabila allahyarham Tengku Aminah Tengku Ali, 59, telah kembali ke rahmatullah.

Allahyarham Tengku Aminah merupakan isteri kepada Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Terengganu, Ustaz Abu Bakar Abdullah yang juga mantan Yang Dipertua PAS Kuala Nerus.


Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 4.15 petang Isnin, 9 Januari di sisi suami serta anak-anaknya di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

Allahyarham telah dimasukkan ke hospital akibat penyakit leukemia (kanser sel darah putih) yang baru dikesan sejak seminggu lalu.

Allahyarham Tengku Aminah juga merupakan bekas guru berdedikasi di Sekolah Menengah Teknik Wakaf Tembesu, Gong Badak, Kuala Terengganu.

Hasil perkongsian hidupnya dengan Ustaz Abu Bakar melahirkan 13 orang anak terdiri dari lapan lelaki dan lima perempuan berumur antara 16 hingga 32 tahun serta mempunyai beberapa orang cucu.

Allahyarham juga merupakan Timbalan Ketua Khairunnisa Terengganu iaitu Persatuan Isteri-isteri Bekas Wakil Rakyat PAS Terengganu.

Sementara itu, Ustaz Abu Bakar Abdullah berkata pemergian Allahyarham Tengku Aminah diterima dengan penuh keredhaan kepada Allah SWT.

Katanya, di saat akhir hayat allahyarham masih sedar dan kelihatan tersenyum dengan linangan air mata.

“Saya lihat keadaan dia (allahyarham) semakin lemah, ajar mengucap tetapi dia masih sedar dan boleh bercakap walau pun kelihatan letih.

“Saya katakan kepadanya, saya redha (dengan pemergiannya) dan dia tersenyum dengan linangan air mata,” ujarnya dengan hiba.

Menurutnya, allahyarham seorang ibu yang baik terhadap anak cucu serta istiqamah dalam perjuangan PAS.

Sebab itu, kata Ustaz Abu Bakar, allahyarham masih dipilih sebagai Ketua Muslimat PAS Kuala Nerus sejak dari tahun 1992 hingga akhir hayatnya.

Solat jenazah allahyarham diimamkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bersama lebih 500 ahli jemaah pada jam 10.30 pagi tadi serta dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gemuroh, Tepoh.

Hadir sama ialah Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut, Ketua Ulamak PAS Terengganu, Datuk Husain Awang, Ketua Muslimat PAS Terengganu, Safinah Jusoh dan ramai lagi termasuk Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Terengganu, Dr Bala Chandran.

Sumber: Harakah Daily
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Photobucket