Tuesday 24 January 2012

Rampas tanah rakyat petanda kejatuhan Umno T'ganu


DUNGUN, 24 Jan: Pemimpin Umno cawangan yang memimpin Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dikecam hebat oleh masyarakat setempat kerana “merampas” tanah yang sebelum ini dimiliki oleh Sekolah Rendah Islam Darul Bayan (SRIDB) di Kampung Kolam Mak Tagar, Jalan Santong, Paka, Dungun.

Harakahdaily dimaklumkan, tanah berstatus Lesen Menduduki Sementara (TOL) kepunyaan pihak sekolah agama rakyat itu seluas dua ekar dirampas serta diagihkan kepada pihak Umno dan JKKK kawasan itu.

SRIDB yang ditubuhkan pada tahun 2001 merupakan sebahagian dari Markaz Tarbiyyah Islamiyyah Darul Bayan (MTIDB) yang berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) sebagai Sekolah Rendah Agama Rakyat.

Manakala, tapak kompleks bangunan sekolah yang seluas dua ekar tersebut telah diluluskan oleh kerajaan negeri pada 22 Oktober 2003.

Antara yang telah dibangunkan iaitu bangunan tetap satu tingkat bagi menampung 10 kelas, bilik guru, pejabat, surau dan kantin.

Bahkan, dalam tempoh 11 tahun dari tarikh kelulusan tersebut kini kompleks SRIDB telah pun mempunyai beberapa buah bangunan bagi keperluan 350 pelajar serta 38 orang guru dan kakitangannya.

Mengikut pelan pembangunan SRIDB, cadangan pembangunan seterusnya untuk tapak parkir, pembinaan bangunan tambahan, pembesaran kantin, perumahan guru serta asrama anak yatim Darul Bayan.

Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik menyifatkan tindakan pihak JKKK Kampung Limbong yang bertindak ‘merampas’ tanah Sekolah  Rendah Islam Darul Bayan sebagai zalim.

Kata beliau, tindakan merampas tanah tersebut satu kezaliman yang tidak boleh dimaafkan dan mesti ditentang oleh rakyat seluruhnya.

“Ini bukan pertama kali kerajaan Umno dan Barisan Nasional buat perkara yang memalukan dan kerana hendak memuaskan nafsu JKKK, mereka sanggup menafikan hak rakyat dan hak Darul Bayan.

“Tanah ini kita (sekolah) telah bayar Lesen Menduduki Sementara (TOL) sejak tahun 2003, 2004 dan 2005 lagi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Ceramah Isu Semasa “JKKK Rampas Tanah SRIDB” di perkarangan SRIDB, Kampung Kolam Mak Tagar, Paka, Dungun.

Menurut Ustaz Abu Bakar, sejak tahun 2006 pihak kerajaan negeri di bawah Menteri Besarnya, Datuk Seri Idris Jusoh telah membekukan pembayaran lesen TOL tersebut.

Beliau yang juga bekas Exco Kerajaan Terengganu menjelaskan pendidikan bukan isu biasa tetapi menjadi isu yang lebih penting dari isu-isu lain.

Ini kerana, katanya melalui pendidikanlah agama dapat disemai dalam diri setiap manusia dan rakyat menjadi baik.

“Kita (PAS) harap pihak berkenaan pulangkan semula hak (tanah) ini kepada pihak sekolah (SRIDB) sebelum berlaku sesuatu yang tidak diingini, kerana Allah SWT itu Maha Adil dan Bijaksana,” tegasnya.
Sementara itu, Pengerusi Lajnah Tarbiah PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata tindakan pihak Umno dan JKKK merampas tanah SRIDB petanda kejatuhan kerajaan BN Terengganu.

Menurutnya, tindakan serupa pernah dilakukan sebelum ini terhadap sekolah Institut Berakan (IB) di Kuala Terengganu tahun 1991.

“Ini (tindakan) petanda Umno-BN akan jatuh di negeri Terengganu kerana perbuatan zalim rampas tanah sekolah agama rakyat (SRIDB).

“Mereka (Umno) pernah rampas dan roboh Institut Berakan tahun 1991 dan akhirkan mereka jatuh kerajaan tahun 1999.
“Ini bukan sekolah untuk berniaga, buat duit tetapi untuk mendidik anak-anak kita termasuk anak yatim dengan ilmu agama (Islam),” ujarnya.

Katanya, rakyat perlu membuat perubahan dalam pilihan raya dengan menolak Umno dan kerajaan BN serta memilih PAS dan Pakatan Rakyat pada PRU13 akan datang.

Sumber:  Harkah Daily

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Photobucket