Monday 16 January 2012

PAS hantar calon ganti Hasan kepada MB Selangor


KUALA LUMPUR, 16 Jan: PAS Pusat telah menghantar nama calon bagi menggantikan Datuk Dr Hasan Mohamed Ali sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor kepada Pejabat Menteri Besar kira-kira jam 12.30 tengah hari ini.
 
Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali (gambar) berkata, beliau menghantar nama calon berkenaan telah menerima nama itu daripada Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

“PAS Pusat telah buat keputusan tentang orang yang akan menggantikan Datuk Hasan Ali dan saya telah menerima nama itu daripada Presiden dan nama itu telah pun saya maklumkan kepada Pejabat Menteri Besar Selangor sekitar pukul 12.30 tengah hari.
 
“Dan saya pun dah berhubung Pejabat Menteri Besar dan dah dimaklumkan mereka terima makluman itu,” katanya kepada Harakahdaily sebentar tadi.

Beliau bagaimanapun tidak bersedia mendedahkan nama calon yang dicadangkan itu. “Tapi untuk hari ini, saya rasa saya tak sedia untuk memaklumkan nama itu sekarang kerana urusan selanjutnya urusan kerajaan negeri dengan DYMM Sultan Selangor,” ujarnya lagi.

Jelasnya, terserah kepada pihak-pihak berkenaan untuk mengambil langkah selanjutnya. Semalam, beliau memberitahu Presiden PAS akan membuat keputusan calon bagi menggantikan Hasan sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor.

Beliau berkata, nama itu akan beliau sampaikan kepada Menteri Besar Selangor.


"Kita jangka, jika tidak ada sebarang masalah, mesyuarat Exco Selangor Rabu ini akan mendapat anggota baru dari PAS," katanya.


Hasan dipecat daripada menjadi ahli PAS pada 8 Januari lepas oleh Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat.


Beliau bagaimanapun berpeluang membuat rayuan terhadap keputusan itu kepada Majlis Syura Ulamak dalam tempoh 30 hari selepas dipecat.


Bagaimana pun, malam semalam Hasan membuat keputusan tidak akan merayu. Ia diumumkan beliau dalam satu majlis di Gombak.
 
Pada 13 Januari lepas, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memaklumkan perlantikan exco kerajaan negeri yang baru bagi menggantikan Hasan akan diadakan pada 18 Januari nanti di Istana Kayangan, Shah Alam.

Beliau yang hadir pada sidang media selepas mengadap Tuanku Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memberitahu pertemuan tersebut adalah bagi membincangkan status kedudukan Hasan yang tidak lagi menjadi ahli PAS.

Sumber: Harakah Daily
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Photobucket