Thursday 12 January 2012

Jumpa Hasan: Ismail Kamus Mahu Saman Media


KUALA LUMPUR, 12 Jan: Bekas Adun Gombak Setia, Datuk Ismail Kamus menafikan dakwaan pihak media kononnya beliau hadir pada sidang media Datuk Dr Hasan Mohd Ali di Pinggiran Taman Tun Dr Ismail, 8 Januari baru-baru ini.

Beliau bertegas akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak media yang melaporkan berita palsu itu, lapor Harakah cetak yang sedang dalam pasaran sekarang.


“Ketika sidang media Hasan, pada hari Ahad saya dimasukkan ke Hospital Pantai kerana demam panas dan pagi tadi (10 Januari) saya baru keluar hospital,” katanya.

Menurut beliau, tidak ada sesiapa yang menghubunginya untuk menghadiri sidang media Hasan.

“Ini amat mengaibkan saya. Saya dikata bersekongkol dengan Hasan, ini tidak cantik. Nama saya sudah dikotorkan,” kata Ismail Kamus, bekas Adun Gombak Setia itu.


Ismail yang juga Tokoh Maal Hijrah Selangor untuk tahun 1433/2011 itu menang kerusi Dun Gombak Setia dalam pilihan raya umum 1999 atas tiket PAS.


Buletin Utama TV3 dan Astro Awani dalam laporan mereka berkata, majlis Hasan Ali yang diadakan di rumah beliau selepas beliau dipecat turut disertai oleh Ismail.

Selain itu, timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Harun Din dan anggota Parlimen Baling Ustaz Taib Azamudin juga dilaporkan menyertai majlis itu yang turut disertai oleh Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali itu.

Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man semalam menjelaskan, tiga pemimpin PAS itu tidak berada dalam majlis di rumah Hasan Ali itu.

"Ketika penjelasan itu diberikan, PAS mengesahkan bahawa Datuk Dr Haron Din sedang bermesyuarat Majlis Syura Ulamak di pejabat agung PAS, Ustaz Taib Azamuddin pula berada di China dan Ustaz Ismail Kamus sedang menerima rawatan,” terang Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan semalam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Photobucket