Saturday 14 January 2012

Hasan Ali boleh rayu jika rasa teraniaya


TEMERLOH: Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) menegaskan, Datuk Dr Hasan Ali perlu mengambil peluang membuat rayuan berhubung keputusan parti memecat beliau yang berkuat kuasa, Ahad lalu.

Tuan Ibrahim yang juga anggota Majlis Syura Ulama PAS berkata, ini penting jika Exco Selangor yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Selangor itu merasakan dirinya teraniaya.

"Dr Hasan sebenarnya masih diberikan ruang untuk kekal bersama PAS dan di bawah perlembagaan parti, beliau ada tempoh 30 hari untuk mengemukakan rayuan.


“Kita harap beliau mengambil peluang itu jika pemecatan dirasakan satu penganiayaan terhadap dirinya. Kemudian terpulanglah kepada Majlis Syura untuk mempertimbangkannya,” katanya ketika ditanya pemberita selepas selesai mesyuarat Harian Badan Perhubungan PAS Pahang di sini.

Laporan sebelum ini menyebut PAS telah menghantar surat pemecatan kepada Dr Hasan yang juga Exco PAS Pusat, ditandatangani oleh Setiausaha Agung Pas Datuk Mustafa Ali.

Tindakan tersebut berikutan mesyuarat ahli jawatankuasa kerja PAS Pusat yang membuat keputusan memecat Dr Hasan, Ahad lalu berdasarkan Fasal 82(9) Perlembagaan parti.

Dr Hasan kemudiannya telah membuat sidang media yang seolah-olah menggambarkan beliau rasa teraniya dengan keputusan tersebut.

Sementara itu Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang mempertegaskan kenyataan bahawa berita Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din, Ustaz Taib Azamuddin Mohd Taib dan Datuk Ustaz Ismail Kamus berada di rumah Dr Hasan pada hari beliau dipecat adalah palsu.

“Kita mahu ahli jangan mudah melatah atau terpedaya dengan berita yang tersiar melalui media musuh sebaliknya merujuk terlebih dahulu kepada sumber parti,” katanya.

Tuan Ibrahim mengakui sejak dulu acap kali berada sepentas dengan Dr Hasan terutama dalam rancangan popular forum perdana yang disiarkan melalui televisyen beberapa ketika dulu.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Photobucket