Tuesday, 10 January 2012

Tergugat di Perak, 135 Wakil Rakyat BN Berkampung


KUALA LUMPUR, 10 Jan: Tindakan BN yang akan mengadakan pemukiman Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) mereka selama tiga hari bermula 12 Januari ini di Perak menandakan mereka rasa tidak selamat lagi di negeri itu.

AJK PAS Pusat Idris Ahmad (gambar) berkata, pemimpin Umno sekarang sedar bahawa rakyat Perak masih dengan sentimen membenci BN ekoran cara mereka mengambil alih negeri yang disifatkan tidak demokratik.


"Sekarang mereka cuba mengambil hati rakyat dengan program turun ke padang, konon cuba menyelami masalah rakyat bawahan.

"Apabila rakyat perhatikan selepas rampasan kuasa tidak ada apa-apa kelebihan yang Umno tawarkan untuk rakyat malahan apa yang berlaku ialah hanya dendam kesumat dan fitnah kononnya kerajaan PR menindas Melayu," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Difahamkan seramai 135 wakil rakyat BN akan mengikuti program pemukiman itu di beberapa kawasan di Perak.

Sebelum ini Pengerusi Kelab Adun BN (BNBBC), Datuk Nadzri Ismail berkata, setiap wakil rakyat akan menetap bersama keluarga angkat masing-masing di 135 kampung terpilih melibatkan lapan bahagian utama iaitu Larut, Parit Buntar, Bagan Serai, Bukit Gantang, Taiping, Padang Rengas, Beruas dan Lumut.

Pemukiman sama sebelum ini telah dibuat di Selangor.

"Kawasan-kawasan ini adalah kawasan yang gelap pada perkiraan BN, maka tumpuan khas harus diberikan untuk menarik sokongan.

"Sekarang pemimpin Umno BN terpaksa melutut kepada rakyat unuk mengemis undi daripada rakyat," katanya.

Sumber: Harakah Daily

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...