Tuesday, 31 January 2012

Muslimat Bersama Perjuangan Islam



Assalamualaikum w.r.t..


Nampaknya saya masih tiada kesempatan untuk menulis di kala ini..justeru, ingin saya lakarkan coretan kupasan dari sahabat seperjuangan saya,...Saya tertarik dgn karya beliau dan saya letakkan di blog ini sbg tanda penghargaan kepada beliau dan buat tatapan kita semua...Salam maulidurrasul...


MUSLIMAH DALAM PERJUANGAN ISLAM


Setiap muslimah pendokong harakah Islam mestilah benar-benar menyedari bahawa mereka mempunyai peranan yang tersendiri di dalam membina kekuatan ummah dan mendorong perjuangan Jamaah ke mercu kejayaan. Walaupun mereka dikenali sebagai golongan yang lemah lembut, namun dari fakta sejarah telah membuktikan bahawa mereka telah memberikan sumbangan yang sangat besar ertinya kepada perjuangan Islam.


Sejak awal kelahiran Islam sehinggalah cahaya Islam menerangi Jazirah Arab dan kawasan sekitarnya, medan perjuangan Islam tidak pernah sunyi daripada penyertaan angkatan muslimah. Mereka adalah sayap kiri perjuangan Islam, turut serta mengharungi liku-liku perjuangan menghadapi rintangan, meniupkan semangat, mengorbankan harta benda, sanggup melepaskan anak-anak dan suami yang mereka cintai malah ada di kalangan mereka yang gugur syahid kerana perjuangan Islam. Allah s.w.t berfirman di dalam al-Quran dalam surah Al-Mumtahanah ayat 12, yang bermaksud:



“Wahai Nabi, apabila perempuan-perempuan yang beriman datang kepada kamu untuk mengambiljanji setia bahawa mereka tidak akan menpersekutukan Allah dengan sesuatu apapun, mereka tidak mencuri, tidak berzina, tidak membunuh anak-anaknya, tidak berlaku bohong yang mereka ada-adakan di antara tangan dan kaki mereka dan tidak menderhakakan dalam perkara yang baik, maka hendaklah engkau menerima janji setia mereka dan mohonlah keampunan kepada Allah untuk mereka, sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun dan Penyayang.”

MUSLIMAH DALAM HARAKAH ISLAMIAH


Khadijah binti Khuwailid r.ha salah seorang daripada penghulu segala wanita di dunia ini merupakan contoh muslimah yang terlibat secara langsung di dalah Harakah Islamiah yang dibawa oleh suami beliau, iaitu Muhammad bin Abdullah s.a.w. Beliau merupakan simbol wanita yang beriman, jujur dan bersifat dermawan lagi penuh kesetiaan, gigih, berani dan terdidik serta petah berkata-kata. Beliau bertanggungjawab meniupkan semangat dan memberi perangsang kepada suaminya di dalam menghadapi pelbagai tribulasi dari kaum kafir Qurais Makkah ketika itu.


Dalam melaksanakan urusan rumahtangga, Sayyidah Khadijah menanggung beban yang berat, betapa dia benar-benar bahagia kerana melaksanakan seluruh tugasnya itu dengan penuh keikhlasan, menjaga pendidikan putera-puterinya serta memastikan segala keperluan keluarga khususnya suami dipenuhi sesempurnanya. Beliau berusaha mewujudkan sebuah rumahtangga yang aman damai untuk suaminya, kerana beliau tahu betapa penat dan jerih payah suaminya berdakwah.


Sayyidah Khadijah merupakan contoh yang terbaik dalam menyintai dan memuliakan suaminya serta mengutamakan terhadapan apa yang beliau senangi. Ketika beliau dapati suaminya terlalu cinta kepada bekas hambanya Zaid Bin Harithah, dia memuliakannya. Begitu juga sewaktu beliau mengetahui nabi ingin menanggung salah seorang anak bapa saudaranya iaitu, Ali, beliau menerimannya dengan senang hati yang terbuka serta mendidiknya dengan penuh kasih sayang. Dengan ini Sayyidah Khadijah memberi kesempatan yang berharga kepada Ali dan Zaid untuk mempelajari akhlak suaminya, Muhammad s.a.w, Maka ketika nabi diutus untuk menyampaikan agama yang terakhir dengan mengajak keduanya untuk beriman, Ali dan Zaid bin Harithah telah beriman dan menjadi sebaik-baik pembela nabi.



Sewaktu Nabi Muhammad s.a.w mula mengalami peristiwa penerimaan wahyu, baginda merasai bimbang dan takut, lalu Sayyidah Khadijah memujuknya dan memberi kepadanya pengharapan. Rasulullah s.a.w bersabda ertinya:



“Aku takut sesuatu berlaku ke atas diriku”



Kemudian Khadijah memujuk baginda dan berkata:



“Tidak sama sekali, demi Allah ia tidak mengapa-apakan engkau selama-lamanya. Engkau seorang yang menghubungkan silaturrahim, menanggung kesusahan untuk menolong orang yang memerlukan, mendapat pendapatan untuk orang yang tidak berpendapatan, memuliakan tetamu dan menolong ketika sesuatu kejadian”



Sayyidah Khadijah bukan sekadar menghiburkan hati Rasulullah s.a.w dan memberikan kepada Baginda harapan dengan kata-kata itu, bahkan Khadijah membawa baginda menemui sepupunya Waraqah bin Naufal, seorang penganut agama Nasrani yang menjadi penulis kitab Injil dan mengetahui mengenai pengalaman nabi-nabi terdahulu. Daripada Waraqah, baginda menyedari bahawa pengalaman yang dialaminya adalah pengalaman nabi-nabi terdahulu dan merupakan berita baik kepada seluruh manusia. Bagindalah insan yang dipilih oleh Allah s.a.w sebagai nabi akhir zaman.



Khadijah merupakan wanita pertama yang beriman kepada Rasulullah s.a.w. Sebagai wanita yang berada, beliau mengorbankan seluruh kepentingan kebendaannya untuk tujuan dakwah Islam serta membantu Rasulullah s.a.w menjalankan tugas dakwahnya. Sebagai seorang wanita yang berpengaruh, beliau menggunakan pengaruhnya untuk melindungi Rasulullah s.a.w sewaktu dakwah yang dijalankan oleh Rasulullah mula dimusuhi oleh orang-orang Qurais. Kaum Qurais mengambil tindakan memulaukan keluarga Bani Hashim dan orang-orang Islam dengan memutuskan hubungan ekonomi dan sosial dengan mereka. Sayyidah Khadijah tetap bersama di dalam perjuangan suaminya walaupun terpaksa mengalami penderitaan akibat daripada pemulauan tersebut sehingga menjejaskan kesihatannya.



Kesan daripada pemulauan ini menyebabkan penyakitnya bertambah tenat akhirnya beliau pulang ke Rahmatullah. Pada tahun yang sama, bapa saudara rasulullah s.a.w iaitu Abu Talib juga meninggal dunia. Tahun ini dianggap tahun dukacita oleh Rasulullah kerana baginda kehilangan dua orang yang membantu dan melindungi baginda dari ancaman musuh-musuh Islam. Justeru kebaikan dan keprihatinan Khadijah yang begitu tinggi ini, sehinggakan tahun kematian beliau dan bapa saudara tersebut digelar sebagai “Tahun Berdukacita” oleh Rasulullah. Bahkan isteri baginda Aisyah r.ha mencemburui Khadijah, kerana walupun Khadijah telah tiada tetapi nabi masih menyebut-nyebut nama istimewa tersebut. Demikianlah hebatnya Siti Khadijah Al-Khuwailid r.ha isteri pertama Rasulullah s.a.w.



Sejarah perjuangan Islam telah mencatat bahawa suatu Jamaah penggerak dakwah islamiyyah yang ulung, iaitu merupakan ‘safwah Al-Mukhtarah’ telah muncul pada permulaan dakwah Islam tersebut. Kemunculan mereka merupakan kebangkitan suatu ummah yang mempunyai ciri-ciri tersendiri di tengah-tengah penguasaan wathaniyyah ke atas masyarakat manusia seluruhnya. Jumlah kumpulan ini kira-kira 60 orang dan seperempat daripada mereka terdiri daripada wanita-wanita. Di antara mereka ialah:

1. Ummu AL-Fadhl binti Harith

2. Asma’ binti Umais (isteri Ja’afar bin Abi Talib)

3. Khadijah binti Khuwailid

4. Aminah binti Khalid (isteri Khalid bin Said)

5. Fatimah (isteri Abu Ahmad bin Jahsyin)

6. Asma’ (isteri ‘Iyasy bin Abi Rabi’ah)

7. Sumayyah binti Khayyat (isteri Yasir bin Amir)

8. Fatimah binti Khattab (adik Umar bin Al-Khattab)

9. Hafsah binti Umar (isteri Khurasi’ bin Huzafah)

10. Fatimah (isteri Khatib bin Al-Harith)

11. Fukaihah (isteri Khattab bin Al-Kharith)

12. Ramlah (isteri Abdullah bin Maz’un)

Generasi awal yang menjadi pelopor dalam harakah Islamiyyah ini sentiasa berdiri teguh dalam perjuangan Islam. Mereka mempunyai keimanan yang kental dan tahap pengorbanan yang begitu tinggi.




Pengorbanan wanita dari kalangan generasi pelopor ini dapat dilihat dari kisah-kisah yang berlaku ke atas Sumayyah iaitu isteri Yasir dan ibu kepada Ammar. Beliau sekeluarga telah disiksa oleh orang-orang Qurais sehingga mendapat penghormatan sebagai syahid yang pertama bersama suaminya, Yasir. Sewaktu mereka sedang disiksa, Rasulullah s.a.w lalu berhampiran dengan mereka dan bersabda:



“Sabarlah wahai keluarga Yasir, sesungguhnya kamu adalah (penghuni) syurga”



Selain daripada Sumayyah, wanita-wanita yang tuurt disiksa ialah Zunairah Al-Nahdiyyah dan anak perempuannya serta Ummu Abyas. Mereka terdiri daripada hamba-hamba yang menganut agama Islam tanpa merasa gentar menghadapi siksaan tuan-tuan mereka.



Sewaktu tekanan dan siksaan ke atas orang-orang Islam memuncak, Rasulullah s.a.w memindahkan sebahagian daripada orang-orang Islam ke Habsyah. Termasuk di dalam rombongan itu ialah wanita-wanita Islam dari keluarga ternama yang berpengaruh seperti Ummu Habibah binti Abu Sufyan pada ketika itu ialah ketua orang-orang jahiliyyah yang juga memusuhi Islam.



MUSLIMAH SEBAGAI ISTERI DAN IBU DALAM PERJUANGAN ISLAM


Wanita Islam taat kepada suaminya bukanlah kerana didorong oleh perasaan rendah diri atau terpaksa, tetapi ia diterima dengan ikhlas hari dan suami diletakkan sebagai pembimbing terbaik. Asma’ binti Yazid seorang wanita Ansar yang mahsyur, terkenal kerana kepetahan berbicara telah mengetuai beberapa orang wanita untuk memberitahu Rasulullah s.a.w akan kekecewaan mereka kerana kelebihan ganjaran kepada lelaki. Beliau mempersoalkan bahawa lelaki mempunyai peluang lebih untuk mendapat pahala melalui solat jumaat, solat jamaah, menziarahi orang sakit, menghantar jenazah dan melibatkan diri dalam jihad. Sedangkan kaum muslimah tidak dapat melibatkan diri secara sepenuhnya ke dalam amalan-amalan tersebut. Rasulullah s.a.w memberikan jawapan yang sangat mudah tetapi mempunyai makna yang sangat tinggi, iaitu jika wanita tersebut menyintai suaminya, menggembirakannya dan metaatinya, ia juga akan menerima ganjaran yang sama seperti yang di dapati oleh lelaki.



Seorang isteri yang beragama Islam amat mengambil berat akan kesihatan jiwa suaminya di damping menjaga keselesaan hidupnya. Muslimah mesti menjadi pendorong dan penyokong dalam perjuangan suaminya. Berkorban apa saja demi perjuangan Islam. Janganlah isteri pejuang Islam menjadi sebab kepada gugurnya suami dari medan perjuangan Islam. Janganlah memberatkan suami dengan perkara remeh-temeh. Jika boleh, urusan yang dapat diselesaikan sendiri, selesaikanlah secara sendiri. Mereka juga hendaklah melatih diri sebagai isteri yang cekap dalam pengurusan rumahtangga, mempunyai keyakinan diri dan mempunyai matlamat hidup ke arah melahirkan generasi Al-Quran.



Ummu Sulaim biti Malhan ibu kepada Anas bin Malik mempunyai anak lelaki yang sakit tenat. Sedang suaminya solat Asar di masjid, anak mereka meninggal dunia. Ia tidak memanggil suaminya, sebaliknya menunggu sehinggalah suaminya pulang. Ketika pulang, suaminya membawa beberapa orang teman. Ummu Sulaim menahan dirinya dan menyediakan makanan untuk tetamunya. Kemudian apabila ditanya oleh suaminya akan kesihatan anaknya, ia menjawab lebih sihat dari sebelumnya. Tetapi setelah keadaan tenang, barulah diberitahu keadaan yang sebenarnya. Demikianlah contoh seorang isteri dan ibu yang tenang dalam menghadapi keadaan yang gawat.



Wanita Islam juga mestilah sentiasa berhati-hati dalam memilih calon suami. Janganlah jadikan alasan suami membuatkan muslimah berundur selangkah demi selangkah dari medan perjuangan Islam. Pilihlah calon suami yang bakal menjadi pendorong dan sumber inspirasi dalam perjuangan Islam. Suami yang dapat memberi kerjasama dalam rumahtangga dan perjuangan Islam. Ibarat kata pepatah, ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’. Sebagaimana Ummu Sulaim enggan menerima lamaran Abu Talhah kerana ia masih percaya kepada jahiliyyah. Ia menyuruh Abu Talhah meninggalkan alam jahiliyyah dan memeluk agama Islam. Gesaan ini memberi kesedaran kepada Abu Talhah dan akhirnya memilih Islam dan Ummu Sulaim.



Ketaatan kepada Islam menjadikan wanita Islam ibu yang baik. Ia mendidik anak-anak dengan kecenderungan yang berpandukan kepada nilai-nilai Islam. Sikap keibuan bagi seorang wanita adalah punca utama melahirkan akhlak yang baik kepada anak-anak. Sebagai seorang ibu yang terlibat dalam harakah Islamiyyah, seawajarnya mereka menjelaskan kepada anak-anak tentang penglibatan mereka tersebut, yakni tuntutan terhadap mengintima’kan (menyertai) jamaah Islam, supaya anak-anak mereka faham kegiatan-kegiatan ibu mereka yang mungkin sedikit sebanyak menjejaskan peranan mereka sebagai ibu di dalam dunia rumahtangga. Muslimah seharusnya menanamkan sifat berdikari kepada anak-anak mereka sejak kecil.


Begitu juga mereka sewajarnya menjadi seorang ibu yang dapat meniup roh perjuangan Islam ke dalam diri anak-anak. Seharusnya ibu-ibu muslimah sentiasa mendedahkan kepada anak-anak setiap aktiviti dalam kegiatan harakah. Anak-anak patut dibawa bersama-sama menghadiri rehlah, perkhemahan, jambori amal, ceramah dan muktamar mahu pun lain-lain program parti dan jamaah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...